Wednesday, August 31, 2011

KU MILIKMU


(Album : Ku MilikMu)

Jauh ku tinggalkan kisah semalam
Jauh ku tinggalkan duka kelmarin
Rusuh jiwa menyesakkan dada
Kecamuk hati ini tak pernah ku luah

Ketika Kau kurniakan
NikmatMu kepadaku
Terasa diri dillimpahi rahmatMu

Ku mohon Engkau pimpinlah kelemahan hati ini
Agar aku selalu di jalan redhaMu
Tak putus memujiMu
Moga tak kau biarkan
Dan lontarkan diriku
Bersama mereka
Yang di dalam kemurkaanMu

Tuhan
KepadaMu aku meminta
Jangan Kau biarkan aku terleka
Dan tenggelam dalam nikmat dunia
Terlupa yang ku miliki semua milikMu

Hanyalah keikhlasan serta pengabdianku
Menjadi lafaz syukurku kepadaMu

Kan ku kembali
PadaMu Tuhan
Yang menciptakan

Album : Ku MilikMu
Lagu : Manis Helma (Hijjaz Records Publishing)
Lirik : Atie (Hijjaz Records Pubslihing)
Hakcipta : Hijjaz Records Sdn. Bhd.


Semoga ramadhan lalu meninggalkan seribu satu makna bagi mereka yang bertaqwa.

" Ya Allah, pimpinlah kami menuju jalan ketaqwaan"

Tuesday, August 30, 2011

Eidul Mubarak, Kullu Aamin Wa Antum Bi Khair

Bismillahirrahmanirrahim…

Segala puji dan syukur daku panjatkan kepada Allah swt Azza Wajalla. Di pagi syawal yang begitu indah lagi barakah ini, Dia dengan segala limpahan rahmat serta kasih sayangNya masih sudi memberiku nafas untuk terus mengagungkanNya di dalam setiap helaan nafasku, berzikir mengingatiNya di dalam setiap dengupan jantungku. Alhamdulillah. Begitu indah apabila kita menjadi insan terpilih untuk merasai nikmat Islam dan Iman. Kemanisannya tidak dapat diungkapkan namun ia bisa dirasai dengan hati nurani yang bersih nan suci. Alhamdulillahi Rabbil Alamin. Selawat serta salam daku utuskan buat Kekasih Pilihan Allah swt, Rasulullah saw, Suri Tauladan buat sekalian umat. Salam sejahtera buat para sahabat serta ahli keluarga baginda yang memiliki keimanan yang luar biasa. Subhanallah.

Sahabat-sahabat sidang pembaca yang dicintai Lillahitaala,

Saya mendoakan kalian senantiasa berada di bawah limpahan rahmat serta keredhaan Allah swt walau di mana sahaja kalian berada. Semoga anugerah KETAQWAAN yang diperolehi menjadi pengawal dalam setiap tingkah laku kita, dan membenteng diri kita daripada segala perbuatan dosa dan kemaksiatan secara tersembunyi mahupun terang-terangan.

Aku lihat Ramadan dari kejauhan..lalu ku sapa Ia," Hendak kemana? " Dengan lembut ia berkata, " Maaf, aku harus pergi, mungkin lama,Tolong sampaikan pesanku untuk orang yang bernama Mukmin,Ajaklah Sabar untuk menemani hari-hari dukanya, peluklah Istiqamah saat dia kelelahan dalam perjalanan menuju Taqwa, Itupun Syawal..ia sudah tiba.."
Ku lihat Ramadan pergi..jauh..Ya Allah,apakah aku akan berjumpa lagi dengannya??

Sayu benar melihat pemergian tetamuku ramadhan yang menemaniku saban waktu. Kehadirannya membawa berita gembira bagi mereka yang bergelar Mukmin iaitu mereka yang sentiasa mengingati Allah swt ketika duduk, berdiri dan berbaring. Ia menjinjing bersamanya pakaian TAQWA untuk dipakaikan kepada insan-insan istimewa iaitu mereka yang melalui madrasah Ramadhan dengan penuh keimanan dan kesungguhan. Ya Allah, apakah daku akan bertemu lagi dengannya?

………………………………………………………………………………………………………………………………………………………

Terpesona saya dengan sebuah ucapan Eidulfitri daripada murobbi yang dikasihi fillah:

“ Hari ini hari kemenangan, hari kita menuai TAQWA. Semoga hari ini dan seterusnya kita mampu untuk taat kepada Allah swt, lebih mampu mengawal lisan & menundukkan pandangan, lebih mampu untuk pasrah dan berbaik sangka dengan takdir dan tadbir Allah swt. Sebahagian salafus soleh akan bermunajat selama 6 bulan supaya amalan semasa bulan ramadhan diterima Allah swt dan 6 bulan seterusnya bermunajat agar dipanjangkan umur sehingga bertemu Ramadhan lagi. Robbana taqabbal minna. Eidul Mubarak, kullu aamin wa antum bi khair ”

Ucapannya benar-benar menusuk hati kecilku. Sesungguhnya sahabat-sahabatku, kita tidak boleh dan tidak pernah boleh berhenti dari berdoa. Allah swt dan Rasulnya sentiasa mengajak dan mendidik kita agar tidak berhenti menadah tangan memohon kepadaNya kerana Dia Maha Mengetahui bahawa manusia adalah insan yang lemah. Ia sangat memerlukan kepada Rabbnya.


Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang mendo'a apabila ia berdo'a kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran. (QS. 2:186)


Tidak bermakna apabila kita telah melalui tarbiyah Ramadhan dengan bersungguh-sungguh, selepas musimnya berlalu, kita terus bermalas-malasan untuk berdoa kerana kita meyakini kita sudah melakukan yang terbaik semasa bulan Ramadhan. Tetapi, Allah swt mendidik kita untuk terus berdoa semoga amalan kita pada bulan Ramadhan itu diterima Allah swt. Oleh itu sahabat-sahabatku, marilah kita sama-sama berdoa semoga segala amal soleh yang dilakukan semasa bulan Ramadhan, akan diterima oleh Allah swt, dan dipelihara diri dan hati dari berjinak-jinak dengan dosa dan kemaksiatan. Setelah berfikir dalam-dalam, saya menjumpai jawapan bahawa, kemenangan dan kerehatan sebenar bagi seseorang mukmin, adalah SAAT KEMATIANNYA.

Pada kesempatan ini, saya Syafiyah binti Adzahar, dengan ingatan tulus ikhlas ingin mengucapkan Minal Aidil Walfaizin, kullu aamin wa antum bi khair buat sahabat-sahabatku di Maahad Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI), Kolej Matrikulasi Changlun, Universiti Sains Malaysia seterusnya rakan sekerja di KEMAS Langkawi. Semoga berlalunya Ramadhan yang indah lagi barokah ini menutup segala keaiban-keaiban lalu, serta membuka lembaran baru berupa berita - berita gembira, serta membuka himmah dan iradah yang baru untuk menjadi seseorang yang lebih baik dari sebelumnya.

“Peliharalah Kesucian Hatimu Agar Tidak Dicemari Dengan Kekotoran Dosa & Kemaksiatan” (Ustaz Ruqaimi).


“ Taqobballallahu minna waminkum”

Amin. Amin. Ya Rabbal Alamin.

9.52 a.m

3 Syawal, 1 September 2011

Langkawi, Kedah


Saturday, August 27, 2011

Cinta : Antara Kebahagiaan Atau Kesengsaraan Abadi

Penyampai: Tn Hj Rosdi Baharom

Di dalam kehidupan seseorang mukmin, ia sentiasa berada di dalam pertempuran antara 2 perkara iaitu Iman dan Nafsu. Akhlak dan keperibadian seseorang manusia terbentuk mengikut bahagian (portion) yang diberikannya kepada Iman dan Nafsu. Iman merupakan pemancar dalam kehidupan seorang mukmin, namun begitu nafsu bukanlah untuk dibuang terus tetapi haruslah dididik agar sentiasa tunduk kepada Iman.

Sesungguhnya hati yang telah mengalami kematiannya akan mengakibatkan seseorang manusia itu tidak akan dapat merasakan apa-apa ketika melakukan kemaksiatan kepada Allah Azza Wajalla. Oleh sebab itu, dia tidak merasa apa-apa ketika menderhakai Allah seperti berpacaran, malah dia merasa bangga dengan kederhakaannya.


Kebahagiaan

Allah swt telah menciptakan manusia untuk berbahagia dan manusia itu sepatutnya bahagia apabila dia memenuhi tuntutan-tuntutan dalam mencapai kebahagiaan. Kata Ibnu Qayyim Al-Jauziyah:

“ Sesungguhnya di dalam hati terdapat kotoran yang tidak akan hilang melainkan dengan menerima perintah Allah swt, di dalam hati terdapat kebuasan yang tidak akan lenyap melainkan dengan berjinak dengan Allah swt, di dalam hati terdapat kedukaan yang tidak akan pergi melainkan dengan gembira dan benar dalam melaksanakan perintah Allah swt, di dalam hati terdapat keresahan yang tidak akan tenang melainkan dengan berkumpul hanya keranaNya ”

Sesungguhnya manusia diciptakan untuk berbahagia bukannya menderita. Semua inginkan kebahagiaan, tetapi adakah kita ingin berbahagia seperti bahagianya lembu yang hidupnya hanya makan, minum dan berpacaran sahaja.

Terdapat 3 jenis kebahagiaan yang haram:

1) As happy as a cow (binatang ternak)

2) As happy as a hygiene (pemangsa)

3) As happy as a syaitan (syaitan)

Kebahagiaan yang dinikmati oleh hati, tapaknya ialah MAHABBATULLAH. Hati hanya akan memperoleh kebahagiaan dengan mencintai Allah swt dan menyerahkan segala urusan kehidupan kepada Allah swt. Apabila kita mencintai Allah swt secara total, Allah swt akan membuka jalan untuk mendapat apa yang dicintai.

Apabila kita mengabaikan proses membina keimanan, ditakuti apabila di akhir-akhir kehidupan kita, Allah swt mencabut nikmat iman itu dan kita pulang ke hadrat Allah swt dalam keadaan tidak memiliki iman. Nauzubillah.

Melalui rasa Cinta, manusia akan sedaya upaya berusaha menyempurnakan diri. Cinta adalah amalan hati. Terdapat beberapa jenis Cinta yang sering kali menghinggapi jiwa manusia iaitu:


1) Cinta Ibadah

Bermaksud timbul perasaan hina pada diri dan kita mencintai apa sahaja yang berkaitan dengan Iman. Sentiasa menghadiri majlis zikrullah. Firman Allah dalam Surah Al-Hujerat yang bermaksud:

“Tetapi Allah swt menjadikan kamu Cinta kepada keimanan”

Allah swt akan mengurniakan kita seseorang yang akan kita cintai keranaNya mengikut jalan-jalan yang Dia redhai.

2) Cinta Syirik

Bermaksud cinta yang boleh membawa kepada syirik. Dia menjadikan manusia itu sebagai Tuhan.

3) Cinta Maksiat

Bermaksud Cinta yang boleh membawa kepada sesuatu yang Allah haramkan. Minta Allah swt mencabut perasaan cinta terhadap pasangan yang haram dicintai.

4) Cinta Manusiawi

Cinta yang biasa berlaku dalam jiwa manusia seperti mencintai ibu bapa, adik, guru dan sebagainya. Namun, apabila manusia lalai dalam mengawal cinta ini dan mempengaruhi cintanya kepada Allah swt, maka akan menjadi cinta yang haram.

Sesungguhnya sifat dosa itu akan membawa manusia ke neraka akhirnya dan amal soleh akan membawa manusia ke syurga Allah swt. Realiti manusia pada hari ini adalah mereka terkeliru dalam mencari kebahagiaan.

Kebahagiaan itu tidak mungkin dapat dicapai melalui jalan nafsu kerana kebahagiaan hanya dapat diperolehi dari jalan Iman. Kebahagiaan ini hanya ada pada 3 perkara iaitu Kenal Allah , Taat Allah, dan Cinta Allah. Iman mesti menguasai hidup kerana ia merupakan pemancar.

Kesengsaraan

Jika cinta itu satu proses, membangunkan iman satu proses, menderita juga merupakan satu proses. Hati tidak akan beku secara tiba-tiba. Manusia yang menderita adalah manusia yang ingin mencapai kebahagiaan dalam perderhakaan kepada Allah swt. Terdapat 2 Dimensi penderitaan yang akan dialami oleh mereka yang menderhakai Allah swt iaitu penderitaan Dunia & penderitaan Akhirat.

Satu-satunya dosa yang mengganggu hati anak muda pada hari ini ialah zina hati dan mendekati zina. Cinta yang mendekati zina dikatakan sebagai perlanggaran hak Allah swt atau zunub. Cinta yang bawa kepada zina merupakan perlanggaran hak Allah dan hak makhluk.

Kesan Maksiat

1) Mengalami kerendahan dan kehinaan

Manusia merasa rendah diri, hina dan rasa malu adalah disebabkan masih mempunyai deria rasa. Kata Imam Hassan Al-Basri:

“Kerendahan dan kehinaan disebabkan kemaksiatan akan menyebabkan manusia tidak merasa apa-apa pada hatinya @ kehilangan deria pada hatinya”

2) Apabila manusia berzina, mereka memiliki nafsu haiwani. Nafsu haiwani itu akan mendorong kepada nafsu syaitani.

3) Hati mengalami keterbalikan

Umpama sebuah cawan yang diterbalikkan. Air tidak akan masuk hatta dari arah bawah sekalipun begitulah analoginya keadaan hati apabila mengalami keterbalikannya. Walaupun berkali-kali diberi nasihat, namun, hati tidak lagi terbuka kepada iman. Hati hanyalah terbuka untuk memenuhi kehendak nafsu.

Begitu juga sepertinya span, hati semakin selesa dengan melakukan maksiat dan semakin rosak seiring dengan bertambahnya dosa.

4) Hati mengecut

Hati terpenjara dan dirantai oleh nafsu.

“Pertempuran yang paling hebat yang berlaku di dalam hati manusia adalah pertempuran antara iman dan nafsu” (Dr Majdi Al-Hilali)

5) Menghilangkan fokus hati

“Barangsiapa yang kosong hatinya daripada selain daripada Allah swt, Allah swt akan mengisi hatinya dengan segala kebaikan, barangsiapa yang mengisi hatinya dengan perkara lain kecuali Allah swt, maka Allah swt akan hancurkan hatinya”

Rawatan Hati Mengikut Kitaran Tazkiyah

1. Mendalami Ilmu

Apabila kita sentiasa mengunjungi majlis-majlis ilmu, kita akan mengetahui hak Allah swt ke atas diri kita dan betapa perlunya kita kepada Allah swt. Sebuah hadis mengatakan :

"Wahai manusia, kamulah yang perlu kepada Allah swt"

2. Muhasabah

-Menilai di mana kedudukan kita di sisi Allah swt.

-Bandingkan kamaksiatan yang kita lakukan dengan kebaikan Allah swt ke atas diri kita. Setiap hari kita melakukan kemaksiatan yang berterusan sedangkan setiap hari Allah swt memberi nikmat yang berterusan kepada kita.

-Bagaimana dengan solat kita? Adakah munajat yang efektif? Mungkin ya, tetapi tidak bertahan lama. Cth: dengar azan, namun hati tidak boleh bertindak balas.

3. Muaqabah yang betul

Menghafal surah-surah pilihan. Kata seorang ulama':

" Saya bersarapan dengan zikrullah"

4. Taubat dengan sebenar-benarnya.

Jenis-jenis dosa:

a. Dosa yang Allah abaikan dan ampunkan

b. Dosa yang Allah memang tidak akan ampunkan kecuali taubat dengan sebenar-benarnya.

c. Dosa dengan makhluk

Cara bertaubat dengan makhluk: 1) meminta maaf

2) memuji di belakangnya

5) Mujahadah

Bermaksud usaha untuk tidak berulang keterlanjuran kita.Kesan daripada rawatan ini, hati akan semakin baik atau semakin hidup. Kemudian, mendalami siapakah Rasulullah dan kisah kehidupan Rasulullah saw.

Sahabat-sahabatku sekalian,

Kita tidak tahu bilakah kita akan mati? Apa yang lebih parah adalah kita tidak tahu, bagaimana keadaan hati kita?

-Berhati-Hatilah Dengan Hati.-

12.42 a.m

29 Ramadhan, 29 Ogos 2011

Langkawi, Kedah

Thursday, August 25, 2011

Alhamdulillah..AkHiRnYa MiSi SeLeSai. (^_^)


Bismillahirrahmanirrahim…

Maha suci Allah Azza Wajalla dan segala puji bagiNya sebanyak bilangan ciptaanNya dan keredhaanNya, dan seberat timbangan Arsy-Nya, dan sebanyak dakwat yang terpakai untuk menulis kalimatNya. Selawat dan salam buat kekasih pilihanNya, Rasulullah saw, contoh terbaik sepanjang zaman, serta salam sejahtera buat ahli keluarga serta para sahabat baginda.

Saya mendoakan semoga sidang pembaca sekalian sentiasa berada di dalam limpahan rahmat serta keredhaan Allah swt. Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama terus memanjatkan kesyukuran kepada Allah swt, kerana sehingga pada saat ini, Allah swt dengan segala kemurahan kasih sayangNya masih sudi mengurniakan kita nikmat untuk bernafas sehari lagi apatah lagi di pagi Ramadhan yang penuh keberkatan ini bagi menjalankan amanah sebagai seorang khalifah iaitu beribadah hanya kepadaNya.

" Ya Allah, sesungguhnya solatku, korbanku, hidupku dan matiku segalanya aku lakukan hanya kerana Allah yang berhak menerima segala- galanya. "

Tiada kata yang dapat ku ungkapkan melainkan Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar!!!

Semalam bersamaan hari Rabu (24/8/2011) merupakan hari terakhir saya bekerja di Pusat Khidmat Masyarakat, KEMAS, Langkawi. Bermula detik itu, tamatlah aktiviti percutian yang telah dirancang sejak awal berada di Langkawi. Semua ini adalah satu perancangan Allah swt. Alhamdulillah, walaupun hati ini masih berat dan sedih kerana meninggalkan rakan-rakan yang begitu baik, kehidupan perlu diteruskan. Selepas ini, di samping saya memanfaatkan masa-masa yang masih terluang dengan aktiviti-aktiviti menghidupkan Ramadhan Kareem, saya juga perlu menumpukan terhadap persediaan-persediaan, perancangan-perancangan untuk menghadapi semester baru di USM yang mungkin lebih mencabar.

Alhamdulillah, sesungguhnya sahabat-sahabat, kehidupan lalu merupakan satu pengajaran untuk melalui kehidupan mendatang. Itulah kepentingan muhasabah diri (post mortem), supaya kita dapat mengambil pengajaran daripada peristiwa lalu dan menjadi yang lebih baik pada masa yang akan datang. Begitulah pengharapan saya setiap hari. Walaupun terdapat banyak kelemahan yang masih belum diperbaiki, namun, usaha pembaikan itu harus ada. Sekiranya tidak, kita akan terus berada dalam keputusasaan dan membiarkan kegagalan demi kegagalan menyinggahi hari-hari dalam kehidupan. Itulah Tarbiyah Rabbani (didikan) yang sedang saya jalani, dan telah jalani sepanjang percutian ini. Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah, kerana telah memberikan saya sebuah pengalaman yang begitu berharga sepanjang percutian ini.

“ Sesungguhnya memori indah itu tidak dapat dibeli, tidak terdapat di jalanan, namun, ianya tersimpan kemas di dalam kamus kehidupan seorang insan yang telah melaluinya.”

Fokus saya pada coretan kali ini berkisar mengenai pengalaman berharga selama kurang 20 hari bertungkus lumus menyiapkan tempahan biskut raya yang begitu banyak, Allah swt Maha Mengetahui. Namun, akhirnya, pada tanggal 24 Ogos 2011, bersamaan 24 Ramadhan, misi selesai!!!

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah swt sekalian,

Sesungguhnya melakukan pekerjaan ini pada waktu-waktu seperti ini tidaklah mudah seperti yang kita sangkakan. Bagi seorang yang beriman dan mengharapkan keredhaan RabbNya, sangat penting baginya untuk sentiasa memperbaharui niatnya dan merancang bagaimana untuk menjadikan pekerjaan dunianya tidak melalaikan dirinya dan hatinya daripada mengingati Illahi. Sungguh saya katakan, pelbagai dugaan dan ujian yang telah dilalui sepanjang melakukan pekerjaan ini. Namun, saya sentiasa memohon kepada Allah swt supaya sentiasa menetapkan niat untuk mencari keredhaanNya. Apakah ujian yang saya rasakan mencabar itu?

1. Bagaimana saya ingin memelihara niat dan mendidik diri untuk menghidupkan Ramadhan dengan ibadah-ibadah bagi mencapai matlamat Ramadhan itu sendiri iaitu TAQWA sedangkan pekerjaan saya adalah berkisar mengenai Hari Raya. (buat biskut raya).

2. Bagaimana saya ingin membahagikan waktu kerja dengan amal ibadah, sedangkan pekerjaan saya menuntut keupayaan fizikal yang amat tinggi. Kepenatannya, tidak dapat saya ceritakan. Bekerja tanpa cuti.

3. Bagaimana saya ingin membawa akhlak Islamiyah ke dalam suasana masyarakat. Ini merupakan kali pertama saya benar-benar memasuki alam masyarakat hari ini yang memerlukan bimbingan mengenal Islam sedangkan saya sendiri merupakan seorang insan yang sangat lemah yang juga memerlukan bimbingan untuk terus berada di landasan Illahi.

Barulah saya mengerti akan kepentingan menghadiri program-program Islam. Kadangkala, ada mereka yang bertanya, mengapa kamu perlu menghadiri usrah? Mengapa kamu perlu pergi ke kuliah-kuliah agama sedangkan kamu boleh membaca buku-buku fikrah di rumah dan di bilik sahaja?

Di sini saya menjumpai satu jawapan berdasarkan pengalaman yang telah saya lalui bahawa semua program-program itu merupakan satu wasilah untuk memproses diri kita menjadi Seorang Mukmin Sejati. Program-program itu merupakan satu ‘input’ untuk kita ‘output’kan pada suatu hari yang kita sendiri tidak tahu atau dengan kata lain, ia merupakan satu bekal kita untuk dipraktikkan apabila tiba masanya.

“ Sesungguhnya Iman itu boleh lusuh seperti lusuhnya pakaian,maka hendaklah kamu memohon kepada Allah swt agar diperbaharui Iman itu di dalam jiwa kita.” (HR Al-Hakim dan At-Tabrani)

Sebagai contoh , kita telah belajar apakah itu ‘Sabar’ di dalam usrah, ataupun kuliah-kuliah. Namun, apabila kita berada di dalam situasi diuji, itulah gunanya teori itu. Bagaimana kita mempraktikkan erti ‘sabar’ di alam realiti. Saya juga selalu tewas dalam praktikal walaupun sudah berkali-kali mendengar teorinya. Astagfirullahal azim.

Oleh itu, untuk menyelesaikan kesulitan itu, hanya Dia menjadi pengharapan agar terus memelihara hati ini dari kelalaian.


tugasan saya pada hari-hari terakhir di sana : deeping, piping

Hari terakhir : biskut Sarang Semut

“ Cukuplah Allah bagiku, ke atasNya daku bertawakkal, sesungguhnya Dialah Rabb Pemilik Arsy Yang Agung”

Hanya sedikit yang mungkin boleh dikongsikan bersama para pembaca, jangan lansung meninggalkan amalan wajib, dan perbanyakkanlah amalan sunat, berdoalah kepada Allah dengan penuh resah, dan mengharap bantuanNya.

" Sebutlah (nama) Rabbmu dengan merendahkan diri dan rasa takut,sesungguhnya Dia tidak menyukai orang yang melampaui batas." (Surah Al-A'raf: 150)

Sentiasa merehatkan diri dengan penghayatan Al-Quran. Sedaya upaya meninggalkan langsung segala perbuatan dosa yang bisa menggelapkan hati serta tidak redha dengan segala yang berkaitan dengan dosa. Insha’Allah, dengan melakukan amalan-amalan ini dengan bersungguh-sungguh, Allah swt, Rabb Yang Tidak Pernah Menzalimi Hamba-hambaNya akan sentiasa memberi cahaya dan petunjuk kepada hati dan memelihara amalan dan menjadikan ujian yang sedang kita lalui itu sesuatu yang benar-benar memantapkan Iman dan mematangkan diri setelah ia berlalu.

Ketika saya benar-benar dalam keletihan itu, sentiasa saya mohon, “Ya Allah, rehatkanlah hatiku dengan Al-Quran”. Selepas menunaikan solat, segera dicapai warkah Cinta Illahi itu. Ya, setelah membaca kalimah Rabbani itu, saya merasa lebih segar dan bertenaga. Alhamdulillah.

Sememangnya untuk menjaga hati , dan istiqamah dalam ibadah dalam situasi seperti itu adalah tidak mudah. Namun, sebagai seorang yang mengharapkan keredhaan Rabbnya, dan merasai betapa hinanya diri di hadapan Illahi, serta memerlukan bantuanNya, segala kesulitan terasa mudah baginya. Perlulah kita sedari, syurga Allah swt itu terlalu mahal. Jalan menujunya tidak dihampari oleh permaidani merah, tetapi dihampari oleh onak dan duri. Hanya mereka yang terpilih bisa menongkah segala duri itu. Tidakkah kita juga mahu menjadi hamba pilihanNya untuk menjadi penghuni syurga Firdausi?


Semasa berada di KEMAS, saya menemui rakan-rakan yang begitu baik serta prihatin. Mereka sentiasa bertolak ansur dan saling membantu. Tidak ada yang hanya melihat orang lain bekerja. Masing-masing menjalankan peranannya dengan baik. Ada masa kami gembira, ada masa kami serius. Satu perkara yang paling saya sukai bersama mereka adalah, mereka merupakan orang yang begitu mahir dalam soal masakan, kekemasan dan sebagainya banyaknya berkaitan dengan dapur. Saya dapat menduga melalui cara mereka menjaga kualiti biskut. Di samping itu, mereka sentiasa menjaga kebersihan kawasan kerja. Setelah siap semua pekerjaan, kami akan bersama-sama mengemas dan membersihkan kawasan. Saya merasa beruntung kerana dapat bekerja bersama mereka yang berpengalaman, berkemahiran. Saya merasa lebih berkeyakinan untuk memasak.

Ainin, Fifi & Husna

Di sana, saya juga dihiburkan dengan kanak-kanak rabena .Mereka adalah anak makcik-makcik yang bekerja bersama. Sangat gembira melayan mereka. Mereka banyak membantu memudahkan pekerjaan saya. Sangat rajin dan telus. Setiap hari mereka akan bercerita mengenai sekolah mereka sambil membuka ‘paper cup’. Mereka sangat bijak, kreatif dan suka mencuba. Itulah kanak-kanak. Sudah tentu akan merindui mereka. Semoga Allah menjadikan mereka anak-anak soleh yang taat kepada Allah dan Rasul serta berbuat baik kepada ibu bapa.

Begitulah sedikit sebanyak perkongsian saya bersama sidang pembaca sekalian. Bersama mereka banyak mendidik diri ini tentang kehidupan. Orang dewasa punya pengalamannya sendiri yang ingin dikongsi dan diambil segala yang baik, kanak-kanak juga punya ceritanya sendiri untuk menghibur hati dan dididik. Allahuakbar. Subhanallah. Alhamdulillah. Saya pasti merindui mereka.

Percutian kali ini meninggalkan kesan mendalam dalam diri saya. Segala kesusahan, keletihan dan kepenatan yang dilalui ketika melakukan kerja ini benar-benar mendidik diri agar menjadi lebih cekal. Perkara yang paling penting adalah bagaimana untuk mendidik diri menjadi orang bertaqwa dalam kesibukan mencari rezeki dunia? Bagaimana untuk terus istiqamah dalam ibadah dalam keletihan bekerja sehari-hari? Semuanya persoalan ini akan terjawab apabila seseorang itu membawa jiwa hamba. Iaitu mereka sentiasa merasai perhambaan kepada Allah swt walau di mana sahaja mereka berada, walau apa sahaja yang mereka lakukan serta mereka yang percaya dengan yakin akan janji Illahi. Wallahua’lam.


Dapat kad raya (^_^)


Terharunya....

Alhamdulillah....

7.13 p.m
25 Ramadhan, 25 Ogos 2011
Langkawi, Kedah




Monday, August 22, 2011

BERSIKAP TEGAS...TERHADAP SUAMIKU


“Wahai suamiku yang mulia, ingatkah engkau, tatkala kita bersetuju untuk melansungkan perkahwinan, apakah yang ku ucapkan kepadamu pada hari itu”

Beliau berkata:

“Ya, kamu mensyaratkan beberapa syarat,tetapi pada hari ini,aku bimbangkan gangguan dari pihak taghut terhadapmu”.

Kemudian beliau diam dan menundukkan kepalanya, lalu aku berkata kepadanya:

“ Aku masih ingat apa yang telah ku katakan kepadamu. Sesungguhnya ada satu perkara dalam hidupku yang wajib kau ketahui, kerana sesungguhnya kamu akan menjadi suamiku. Selagi kamu bersetuju untuk berkahwin, aku perlu memberitahumu akan perkara itu, supaya kamu tidak tertanya-tanya lagi di kemudian hari. Syarat-syaratku di dalam urusan ini, adalah aku tidak akan berhenti di dalam perjuanganku.”

“Sungguhpun aku belum melangkah walau satu langkah pun di dalam kemuliaan rabbani ini, namun aku yakin bahawa aku akan melangkah ke dalam jihad ini pada suatu ketika nanti di masa depan. Itulah cita-cita dan tekadku yang sangat ku harapkan. Apabila berlaku pertembungan di antara kepentingan peribadimu dan urusan ekonomimu dengan amal Islamku dan aku dapati kehidupan rumahtanggaku menjadi rintangan di jalan dakwahku dan pembangunan dakwah Islam, maka kita berdua berada di persimpangan jalan”

“ Di hari itu kamu menundukkan kepalamu, kemudian kamu mengangkatnya kembali dengan linangan air mata lalu kamu bertanya: apa yang kamu kehendaki untuk mas kahwinmu. Aku tidak meminta apa-apa cuma dengan syarat aku tidak menghalangmu berjihad di jalan Allah.”

Aku berkata:

“Alhamdulillah. Akhirnya kita bersetuju untuk bernikah , sedangkan tadinya aku telah pun memutuskan untuk membujang sepanjang hayatku bagi menumpukan seluruh hidupku semata-mata untuk dakwah sahaja. Aku tidak meminta kepadamu, supaya kamu menyertaiku di dalam jihad ini, tetapi aku hanya mensyaratkan kepadamu supaya kamu tidak menghalangiku dari jalan jihadku di jalan Allah swt. Di hari aku dibebankan oleh tanggungjawab dalam barisan Mujahiddin, maka janganlah kamu bertanya kepadaku, apa yang ku buat, tetapi hendaklah kita berdua percaya mempercayai sepenuhnya. Terimalah hakikat ini seperti seorang lelaki yang bernikah dengan seorang wanita yang berumur 18 tahun yang menyerahkan dirinya untuk berjihad di jalan Allah dan pembangunan daulah Islam. Sekiranya kepentingan rumahtangga bertembung dengan dakwah kepada Allah, pernikahan itu akan tamat dan dakwah kekal bersemarak di segenap diriku

Kemudian aku diam sejenak, lalu memandang kepadanya seraya berkata:

Kamu ingat lagikah?

“Ya” , jawabnya.

Aku berkata lagi:

“ Di hari ini aku meminta kepadamu supaya kamu menyempurnakan janjimu, janganlah kamu bertanya siapakah yang akan ku temui dan aku memohon kepada Allah supaya Dia menjadikan pahala jihadku dibahagi dua antara kita sebagai kurnia daripada Allah swt, apabila Dia menerima amal usahaku.

“Aku tahu bahawa adalah menjadi hak kamu untuk memerintahku dan menjadi kewajiban aku ta’at setia kepadamu, akan tetapi Allahuakbar (Allah Maha Besar) di dalam jiwa kita daripada diri kita. Dakwah Allah lebih mahal daripada diri kita.”

Suamiku berkata:

“Maafkanlah aku, bekerjalah alabarakatillah.”

Para pemuda sentiasa datang tanpa hentinya ke rumahku siang dan malam. Apabila suamiku yang mu’min mendengar ketukan-ketukan pintu di tengah malam, beliau terus bangun, membuka pintu dan mempersilakan mereka masuk ke bilik pejabat. Kemudian beliau pergi ke bilik pembantu rumah yang membantu dalam urusan rumahtangga, membangunkannya dan menyuruhnya menghidangkan makanan dan minuman kepada para pelawat. Kemudian beliau datang dan membangunkanku dengan lemah lembut dan berkata:

“ Sebahagian dari anak-anakmu yang nampaknya datang dari jauh dan kelihatan dalam kepenatan ada dalam pejabat”. Lantas aku segera bersiap dan pergi menemui mereka, sambil suamiku kembali semula ke tempat tidurnya, dan berkata kepadaku:

“Sekiranya kamu hendak solat subuh berjemaah, bangunkanlah aku supaya bersolat bersama kamu, sekiranya itu tidak menyusahkan kamu”

Lalu aku menjawab:

“ Insha’Allah”

Tatkala kami hendak solat subuh, aku bangunkan suamiku untuk menunaikan solat bersama kami, kemudian beliau beredar dan memberi hormat dengan penuh kasih sayang kepada tetamu-tetamu tadi seperti seorang bapa terhadap anak-anaknya.

Subhanallah, inilah sebuah baitul dakwah (rumahtangga dakwah) yang meletakkan Allah swt sebagai matlamat yang tertinggi dalam kehidupannya. Mempertahankan Cinta Allah di atas kecintaan-kecintaan yang lain. Merekalah insan yang sentiasa memandang kebahagiaan akhirat yang hakiki, dan memandang dunia ini dengan kejelekan. Justeru, daku tertunduk dan tertanya pada diriku sendiri, apakah aku telah meletakkan cinta Allah sebagai matlamat utama hidupku? Apakah rumahtangga yang ingin daku bina berasas kepada hawa nafsu ataupun untuk menjalankan urusan mencapai cinta & redha Allah? Lalu aku menjadi kelu. Teringat sebuah kata-kata seseorang yang daku hormati.

“ Perkahwinan untuk jihad, atau jihad untuk berkahwin?”

(Soalan cipu emas!! Tepuk dada tanya Iman).

Hari-hari dalam Hidupku,
Zainab Al-Ghazali,
23 Ramadhan, 23 Ogos 2011,
4.51 a.m,
Langkawi, Kedah

SOMETIMES...


Sometimes Allah breaks our spirit to save our soul,
Sometimes Allah breaks our heart to make us whole,
Sometimes Allah sends us a pain so that we can be stronger,
Sometimes Allah closes our door to open hundreds more,
Sometimes Allah sends us failure so that we can be humble,
Sometimes Allah takes everything away from us,
so that we know the value of everything Allah gave us.

3.20 a.m
23 Ramadhan, 23 Ogos 2011,
Langkawi ,Kedah

Sunday, August 21, 2011

HAKIKAT PENDERITAAN DAN KENIKMATAN

Di sahih-nya, Muslim meriwayatkan hadis dari Rasulullah saw yang bersabda,

“ Pada hari kiamat, penghuni neraka yang dulunya penghuni dunia yang paling bahagia hidupnya didatangkan, lalu dicelupkan sekali ke neraka. Dikatakan kepadanya, “ Hai anak Adam, apakah engkau pernah merasakan kebaikan? Apakah engkau pernah merasakan kebahagiaan?” Orang tersebut menjawab: “Tidak demi Allah wahai Rabbku”. Kemudian, penghuni syurga yang dulunya merupakan penghuni dunia yang paling derita didatangkan, lalu dicelupkan sekali ke syurga. Dikatakan kepadanya , “Hai anak Adam, apakah engkau pernah melihat kesengsaraan? Apakah engkau pernah merasakan penderitaan? Orang itu menjawab, “Tidak demi Allah. Aku tidak pernah merasakan penderitaan dan melihat kesengsaraan sebelum ini” . (HR Muslim)

Di dalam hadis ini, dapat kita fahami akan dahsyatnya azab neraka dan hebatnya nikmat syurga sehingga manusia menjadi lupa bahawa mereka pernah bahagia dan derita ketika di dunia. Subhanallah, kepada Allah swt, kita panjatkan segala puji. KepadaNya sahaja kita meletakkan sebenar-benar rasa Takut, Cinta dan Harap . Maka, dengan berbekalkan perasaan ini, kita benar-benar berwaspada dengan setiap aktiviti kehidupan kita.

Manusia Paling Menderita

Di dunia ini kadang kita melihat orang mukmin yang hidup sengsara, diusir dan ditindas bangsanya sendiri, hanya kerana ia mengatakan Lailahaillallah, menolak sujud dan ruku’ kepada selain dari Allah swt, serta memberikan salah satu nama atau sifatNya kepada selain Allah swt. Kelak ,ia penghuni syurga dan didatangkan pada hari kiamat, lalu dicelupkan ke syurga. Lalu ditanya, apakah ia pernah merasakan derita? Apakah eangkau pernah melihat kesengsaraan sebelum ini? Apakah engkau pernah mengalami kesengsaraan sebelum ini?

Orang mukmin bersumpah dengan nama Allah pada hari itu bahawa mereka tidak pernah melihat atau merasakan penderitaan dan jawapan mereka bukanlah sesuatu yang dusta. Namun, perasaan yang dialaminya sesudah dicelupkan ke syurga. Di sana ia melihat istana syurga dibangunkan dari batu bata emas dan perak. Ia melihat sungai-sungai yang di bawahnya mengalir sungai-sungai susu, madu, khamr, dan air,di sebuah pemandangan yang menakjubkan, yang belum pernah ia lihat ketika hidupnya di dunia. Di sana, ia melihat tanah syurga berasal dari za’faran, lumpurnya dari kasturi, dan kerikilnya dari mutiara. Di sana, ia melihat burung-burung dengan warna warninya yang amat menarik dan sebagainya seperti yang dinyatakan dan dijanjikan Allah swt di dalam banyak kalamNya. Dan kesemua nikmat itu membuatkan ia lupa bahawa dia dahulunya pernah menderita.

Bagaimana kehidupan seorang mukmin di dunia?

Orang mukmin menyedari benar hakikat kehidupan dunia ini dan kesementaraannya. Ia mengetahui bahawa dunia ini merupakan ladang ujian, dan jambatan menuju ke akhirat. Ia hidup di dunia seperti layaknya orang asing, seperti diperintahkan Rasulullah saw kepada bersabda kepada Ibnu Umar r.a : “ Jadilah engkau di dunia ini seperti orang asing atau musafir” (HR Tarmizi)

Ibnu Umar r.a berkata : “Jika anda berada di petang hari, jangan menunggu ke pagi hari. Jika anda berada di pagi hari, jangan menunggu ke petang hari. Gunakan sihatmu untuk sakitmu, gunakan masa hidupmu untuk masa matimu.” (HR Bukhori)

Begitulah dalamnya pengetahuan, pemahaman dan penghayatannya mengenai kehidupan dunia ini. Orang asing memahami bahawa negeri yang ia sedang singgahi akan ditinggalkan pada suatu waktu. Kerana itu, ia bertindak layaknya sebagai seorang mukmin. Begitu juga musafir, kerana tidak pernah menetap di tempat ia lewati, namun, ia melewatinya dengan cepat, menuju ke tempatnya.

Orang mukmin hidup dengan perasaan seperti itu. Ia selalu berjalan. Ia menyediakan bekal sebanyak mungkin, dengan bekal yang membantunya mengharungi jalan, hingga tiba ke destinasi tujuan, Syurga Firdausi. Ia membekali dirinya dengan senjata TAQWA, untuk melindunginya dari perompak jalanan iaitu kemaksiatan yang ingin merompak ‘asetnya’.

Orang Yang Paling Bahagia Di Dunia

Orang yang tidak pernah merasakan perasaan seperti yang telah disebutkan, memiliki segudang kenikmatan dunia, harta, pangkat dan darjat, istana, status sosial yang tinggi, kekuasaan lalu lalai dan sesat serta tenggelam dengan nikmatnya. Namun, ketika ia dicelupkan ke neraka, lalu merasakan panasnya berkali-kali ganda dengan panasnya dunia. Atau ia melihat pohon zaqqum, yang seandainya setitis menitis ke dunia, maka ia akan merosakkan sumber kehidupan seluruh penghuni dunia. Atau melihat air panas yang diminum oleh ahli neraka, lalu air panas itu memotong usus mereka. Atau ia melihat langsung tangisan penghuni neraka, sumpah serapah dan penyesalan mereka. Serta melihat penyiksaan lain yang tidak pernah dilihat oleh pencaindera, didengar dengan telinga, dan dibayangi oleh kebatasan akal. Maka itu semua membuatkan ia lupa akan ia pernah merasai nikmat dunia. Lalu ia bersumpah dengan nama Allah taala, bahawa ia tidak pernah merasakan kenikmatan, dan merasa sebentar hidupnya di dunia ini.

Semoga kita sama- sama mengambil pengajaran bahawa, kesulitan kita di dunia ini, amatlah seketika sahaja walaupun kita merasa begitu berat. Itulah fitrahnya dunia, ia menguji sesiapa sahaja. Beruntunglah bagi mereka yang tetap beriman dan mengharapkan redhaNya dengan segala kesulitan yang dilalui.

" Jadikan sabar & solat itu penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyu”

Taujih Ruhiyah

8.05 a.m

22 Ramadhan, 22 Ogos 2011

Langkawi, Kedah

Saturday, August 20, 2011

PANDUAN MENDAPAT LAILATUL QADR



Muqadimah

Sesudah disyariatkan ibadah puasa, dengan harapan umat Islam dapat merealisasi nilai taqwa, Allah SWT melengkapi nikmat-Nya dengan memberikan "Lailatul qadr". Allah berfirman :

" Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Qur'an pada " Lailatul qadr". Tahukah kalian apakah " Lailatul qadr" ?. Itulah malam yang lebih utama daripada seribu bulan" (SURAH. Al Qodr : 1-3)

Keutamaan Lailatul qadr

Ayat yang disebutkan di atas jelas menunjukkan nilai utama bagi malam " Lailatul qadr". Anas bin Malik ra menyebutkan bahawa yang dimaksud dengan keutamaan disitu adalah bahawa amal ibadah seperti solat, tilawah al-Qur'an, dzikir serta amal masyarakat (seperti sadaqah dan zakat), yang dilakukan pada malam itu lebih baik dari seribu bulan berbanding malam-malam yang lain. Dalam riwayat lain Anas bin Malik juga menyampaikan keterangan Rasulullah SAW bahawa `sesungguhnya Allah mengurniakan " Lailatul qadr" untuk umatku, dan tidak memberikannya kepada umat-umat sebelumnya.’

Sementara berkenaan dengan ayat 4 surah al-Qadr, Abdullah bin Abbas ra menyampaikan sabda Rasulullah bahawa pada saat terjadinya Lailatul qadr, para malaikat turun ke bumi menghampiri hamba-hamba Allah yang sedang qiamullai, atau melakukan dzikir, para malaikat mengucapkan salam kepada mereka. Pada malam itu pintu-pintu langit dibuka, dan Allah menerima taubat dari para hambaNya yang bertaubat.

Dalam riwayat Abu Hurairah ra, seperti dinyatakan oleh Bukhori, Muslim dan al Baihaqi, Rasulullah SAW juga pernah menyampaikan , "barang siapa melakukan qiam ( solat malam) pada Lailatul qadr, atas dasar iman serta semata-mata mencari keridhaan Allah, maka Allah akan mengampuni dosa-dosa yang pernah dilakukannya".

Demikian banyaknya keutamaan Lailatul qadr, sehingga Ibnu Abi Syaibah pernah menyampaikan ungkapan al Hasan al Basri, katanya : " Saya tidak pernah tahu adanya hari atau malam yang lebih utama dari malam yang lainnya, kecuali ' Lailatul qadr', kerana Lailatul qadr lebih utama dari (amalan) seribu bulan".

Hukum "Mencari" Lailatul qadr.

Umar pernah menyampaikan sabda Rasulullah SAW : " Barangsiapa mencari Lailatul qadr, hendaklah ia mencarinya pada malam kedua puluh tujuh" (HADITH RIWAYAT. Ahmad). Maka para ulama' berkesimpulan bahawa berusaha mencari Lailatul qadr hukumnya mustahabbah (disunatkan) .

Bilakah terjadinya Lailatul qadr? Sesuai dengan hadith-hadith riwayat Ibnu Umar, Abu Dzar, dan Abu Hurairah, Lailatul qadr bukannya sekali terjadi pada masa Rasulullah SAW, melainkan ia terus berlangsung pada setiap bulan Ramadhan untuk mashlahat umat Muhammad, sehinggalah hari qiamat. Adapun tentang penentuan bila terjadinya Lailatul qadr, para ulama berbeza pendapat disebabkan luasnya maklumat hadits Rasulullah, serta pemahaman para sahabat tentang hal tersebut, sebagaimana dibawah ini :

1. Lailatul qadr terjadi pada malam 17 Ramadhan, malam diturunkan Al Qur'an. Hal ini disampaikan oleh Zaid bin Arqom, dan Abdullah bin Zubair ra. (HADITH RIWAYAT. Ibnu Abi Syaibah, Baihaqi dan Bukhori dalam tarikh).

2. Lailatul qadr terjadi pada malam-malam ganjil disepuluh hari terakhir bulan Ramadhan. Diriwayatkan oleh Aisyah dari sabda Rasululah SAW: "Carilah Lailatul qadr pada malam-malam ganjil pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan" (HADITH RIWAYAT. Bukhori, Muslim dan Baihaqi)

1. Lailatul qadr terjadi pada malam tanggal 21 Ramadhan, berdasarkan hadits riwayat Abi Said al Khudri yang dilaporkan oleh Bukhori dan Muslim.

2. Lailatul qadr terjadi pada malam tanggal 23 bulan Ramadhan, berdasarkan hadits riwayat Abdullah bin Unais al Juhany, seperti dilaporkan oleh Bukhori dan Muslim.

3. Lailatul qadr terjadi pada malam tanggal 27 bulan Ramadhan, berdasarkan hadits riwayat Ibnu Umar, seperti diriwayatkan oleh Ahmad. Dan seperti diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah, bahawa Umar bin al Khotob, Hudzaifah serta sekumpulan besar sahabat, yakin bahawa Lailatul qadr terjadi pada malam 27 bulan Ramadhan. Rasulullah SAW seperti diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, juga pernah menyampaikan kepada sahabat yang telah tua dan lemah tak mampu qiam secara berpanjangan dan meminta nasihat kepada beliau bilakah boleh mendapatkan Lailatul qadr, Rasulullah SAW kemudian menasihati agar ia mencarinya pada malam ke 27 bulan Ramadhan (HADITH RIWAYAT. Thabroni dan Baihaqi).

4. Seperti difahami dari riwayat Ibnu Umar dan Abi Bakrah yang dilaporkan oleh Bukhori dan Muslim, terjadinya Lailatul qadr mungkin berpindah-pindah pada malam-malam ganjil sepanjang sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan. Sesuai dengan maklumat terakhir ini, dan kerana pentingnya Lailatul qadr, maka selayaknya setiap muslim berupaya selalu mendapatkan Lailatul qadr pada sepanjang sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.

Tanda-tanda terjadinya Lailatul qadr

Seperti diriwayatkan Oleh Imam Muslim, Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: " Pada saat terjadinya Lailatul qadr itu, malam terasa jernih, terang, tenang, cuaca sejuk tidak terasa panas tidak juga dingin. Dan pada pagi harinya matahari terbit dengan jernih terang benderang tanpa tertutup sesuatu awan".

Apa yang perlu dilakukan pada Lailatul qadr dan agar dapat mencari Lailatul qadr?

1. Lebih bersungguh-sungguh dalam menjalankan semua bentuk ibadah pada hari-hari Ramadhan, menjauhkan diri dari semua hal yang dapat mengurangi keseriusan beribadah pada hari-hari tersebut. Disamping itu seseorang muslim itu disarankan untuk mengajak ahli keluarganya Hal inilah yang ditunjukkan Rasulullah SAW.

2. Melakukan i'tikaf dengan dengan sekuat tenaga. Itulah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

3. Melakukan qiamullail secara berjama'ah bersama imam, sehinggalah rakaat terakhir, sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Dzar ra.

4. Memperbanyak do'a memohon ampunan dan keselamatan kepada Allah dengan lafaz : "Allahumma innaka 'afuwun tuhibul afwa fa'fu 'anni". Hal inilah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada Aisyah ra ketika beliau bertanya : ' wahai Rasulullah, bila aku ketahui kedatangan Lailatul qadr, apa yang mesti aku ucapkan"? (HADITH RIWAYAT. Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmidzi)

Mencari " Lailatul qadr" bagi Muslimah

Sebagaimana tersirat dari dialog Rasulullah SAW dengan Aisyah, isteri beliau itu, maka mudah disimpulkan bahawa kaum muslimah-pun disyari'atkan dan diperbolehkan mencari Lailatul qadr dengan melakukan semaksima mungkin ibadah pada malamnya. Demikianlah panduan ringkas ini, mudah-mudahan pada bulan Ramadhan tahun ini Allah memperkenankan kita dengan " Lailatul qadr", malam yang utama dari 1000 bulan, iaitu bersamaan 83 tahun itu.

Tazkirah Ramadhan,

Ma'ahad Attarbiyah Al-Islamiyah.

21 Ramadhan, 21 Ogos 2011.

7.52 a.m