Thursday, August 25, 2011

Alhamdulillah..AkHiRnYa MiSi SeLeSai. (^_^)


Bismillahirrahmanirrahim…

Maha suci Allah Azza Wajalla dan segala puji bagiNya sebanyak bilangan ciptaanNya dan keredhaanNya, dan seberat timbangan Arsy-Nya, dan sebanyak dakwat yang terpakai untuk menulis kalimatNya. Selawat dan salam buat kekasih pilihanNya, Rasulullah saw, contoh terbaik sepanjang zaman, serta salam sejahtera buat ahli keluarga serta para sahabat baginda.

Saya mendoakan semoga sidang pembaca sekalian sentiasa berada di dalam limpahan rahmat serta keredhaan Allah swt. Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama terus memanjatkan kesyukuran kepada Allah swt, kerana sehingga pada saat ini, Allah swt dengan segala kemurahan kasih sayangNya masih sudi mengurniakan kita nikmat untuk bernafas sehari lagi apatah lagi di pagi Ramadhan yang penuh keberkatan ini bagi menjalankan amanah sebagai seorang khalifah iaitu beribadah hanya kepadaNya.

" Ya Allah, sesungguhnya solatku, korbanku, hidupku dan matiku segalanya aku lakukan hanya kerana Allah yang berhak menerima segala- galanya. "

Tiada kata yang dapat ku ungkapkan melainkan Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar!!!

Semalam bersamaan hari Rabu (24/8/2011) merupakan hari terakhir saya bekerja di Pusat Khidmat Masyarakat, KEMAS, Langkawi. Bermula detik itu, tamatlah aktiviti percutian yang telah dirancang sejak awal berada di Langkawi. Semua ini adalah satu perancangan Allah swt. Alhamdulillah, walaupun hati ini masih berat dan sedih kerana meninggalkan rakan-rakan yang begitu baik, kehidupan perlu diteruskan. Selepas ini, di samping saya memanfaatkan masa-masa yang masih terluang dengan aktiviti-aktiviti menghidupkan Ramadhan Kareem, saya juga perlu menumpukan terhadap persediaan-persediaan, perancangan-perancangan untuk menghadapi semester baru di USM yang mungkin lebih mencabar.

Alhamdulillah, sesungguhnya sahabat-sahabat, kehidupan lalu merupakan satu pengajaran untuk melalui kehidupan mendatang. Itulah kepentingan muhasabah diri (post mortem), supaya kita dapat mengambil pengajaran daripada peristiwa lalu dan menjadi yang lebih baik pada masa yang akan datang. Begitulah pengharapan saya setiap hari. Walaupun terdapat banyak kelemahan yang masih belum diperbaiki, namun, usaha pembaikan itu harus ada. Sekiranya tidak, kita akan terus berada dalam keputusasaan dan membiarkan kegagalan demi kegagalan menyinggahi hari-hari dalam kehidupan. Itulah Tarbiyah Rabbani (didikan) yang sedang saya jalani, dan telah jalani sepanjang percutian ini. Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah, kerana telah memberikan saya sebuah pengalaman yang begitu berharga sepanjang percutian ini.

“ Sesungguhnya memori indah itu tidak dapat dibeli, tidak terdapat di jalanan, namun, ianya tersimpan kemas di dalam kamus kehidupan seorang insan yang telah melaluinya.”

Fokus saya pada coretan kali ini berkisar mengenai pengalaman berharga selama kurang 20 hari bertungkus lumus menyiapkan tempahan biskut raya yang begitu banyak, Allah swt Maha Mengetahui. Namun, akhirnya, pada tanggal 24 Ogos 2011, bersamaan 24 Ramadhan, misi selesai!!!

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah swt sekalian,

Sesungguhnya melakukan pekerjaan ini pada waktu-waktu seperti ini tidaklah mudah seperti yang kita sangkakan. Bagi seorang yang beriman dan mengharapkan keredhaan RabbNya, sangat penting baginya untuk sentiasa memperbaharui niatnya dan merancang bagaimana untuk menjadikan pekerjaan dunianya tidak melalaikan dirinya dan hatinya daripada mengingati Illahi. Sungguh saya katakan, pelbagai dugaan dan ujian yang telah dilalui sepanjang melakukan pekerjaan ini. Namun, saya sentiasa memohon kepada Allah swt supaya sentiasa menetapkan niat untuk mencari keredhaanNya. Apakah ujian yang saya rasakan mencabar itu?

1. Bagaimana saya ingin memelihara niat dan mendidik diri untuk menghidupkan Ramadhan dengan ibadah-ibadah bagi mencapai matlamat Ramadhan itu sendiri iaitu TAQWA sedangkan pekerjaan saya adalah berkisar mengenai Hari Raya. (buat biskut raya).

2. Bagaimana saya ingin membahagikan waktu kerja dengan amal ibadah, sedangkan pekerjaan saya menuntut keupayaan fizikal yang amat tinggi. Kepenatannya, tidak dapat saya ceritakan. Bekerja tanpa cuti.

3. Bagaimana saya ingin membawa akhlak Islamiyah ke dalam suasana masyarakat. Ini merupakan kali pertama saya benar-benar memasuki alam masyarakat hari ini yang memerlukan bimbingan mengenal Islam sedangkan saya sendiri merupakan seorang insan yang sangat lemah yang juga memerlukan bimbingan untuk terus berada di landasan Illahi.

Barulah saya mengerti akan kepentingan menghadiri program-program Islam. Kadangkala, ada mereka yang bertanya, mengapa kamu perlu menghadiri usrah? Mengapa kamu perlu pergi ke kuliah-kuliah agama sedangkan kamu boleh membaca buku-buku fikrah di rumah dan di bilik sahaja?

Di sini saya menjumpai satu jawapan berdasarkan pengalaman yang telah saya lalui bahawa semua program-program itu merupakan satu wasilah untuk memproses diri kita menjadi Seorang Mukmin Sejati. Program-program itu merupakan satu ‘input’ untuk kita ‘output’kan pada suatu hari yang kita sendiri tidak tahu atau dengan kata lain, ia merupakan satu bekal kita untuk dipraktikkan apabila tiba masanya.

“ Sesungguhnya Iman itu boleh lusuh seperti lusuhnya pakaian,maka hendaklah kamu memohon kepada Allah swt agar diperbaharui Iman itu di dalam jiwa kita.” (HR Al-Hakim dan At-Tabrani)

Sebagai contoh , kita telah belajar apakah itu ‘Sabar’ di dalam usrah, ataupun kuliah-kuliah. Namun, apabila kita berada di dalam situasi diuji, itulah gunanya teori itu. Bagaimana kita mempraktikkan erti ‘sabar’ di alam realiti. Saya juga selalu tewas dalam praktikal walaupun sudah berkali-kali mendengar teorinya. Astagfirullahal azim.

Oleh itu, untuk menyelesaikan kesulitan itu, hanya Dia menjadi pengharapan agar terus memelihara hati ini dari kelalaian.


tugasan saya pada hari-hari terakhir di sana : deeping, piping

Hari terakhir : biskut Sarang Semut

“ Cukuplah Allah bagiku, ke atasNya daku bertawakkal, sesungguhnya Dialah Rabb Pemilik Arsy Yang Agung”

Hanya sedikit yang mungkin boleh dikongsikan bersama para pembaca, jangan lansung meninggalkan amalan wajib, dan perbanyakkanlah amalan sunat, berdoalah kepada Allah dengan penuh resah, dan mengharap bantuanNya.

" Sebutlah (nama) Rabbmu dengan merendahkan diri dan rasa takut,sesungguhnya Dia tidak menyukai orang yang melampaui batas." (Surah Al-A'raf: 150)

Sentiasa merehatkan diri dengan penghayatan Al-Quran. Sedaya upaya meninggalkan langsung segala perbuatan dosa yang bisa menggelapkan hati serta tidak redha dengan segala yang berkaitan dengan dosa. Insha’Allah, dengan melakukan amalan-amalan ini dengan bersungguh-sungguh, Allah swt, Rabb Yang Tidak Pernah Menzalimi Hamba-hambaNya akan sentiasa memberi cahaya dan petunjuk kepada hati dan memelihara amalan dan menjadikan ujian yang sedang kita lalui itu sesuatu yang benar-benar memantapkan Iman dan mematangkan diri setelah ia berlalu.

Ketika saya benar-benar dalam keletihan itu, sentiasa saya mohon, “Ya Allah, rehatkanlah hatiku dengan Al-Quran”. Selepas menunaikan solat, segera dicapai warkah Cinta Illahi itu. Ya, setelah membaca kalimah Rabbani itu, saya merasa lebih segar dan bertenaga. Alhamdulillah.

Sememangnya untuk menjaga hati , dan istiqamah dalam ibadah dalam situasi seperti itu adalah tidak mudah. Namun, sebagai seorang yang mengharapkan keredhaan Rabbnya, dan merasai betapa hinanya diri di hadapan Illahi, serta memerlukan bantuanNya, segala kesulitan terasa mudah baginya. Perlulah kita sedari, syurga Allah swt itu terlalu mahal. Jalan menujunya tidak dihampari oleh permaidani merah, tetapi dihampari oleh onak dan duri. Hanya mereka yang terpilih bisa menongkah segala duri itu. Tidakkah kita juga mahu menjadi hamba pilihanNya untuk menjadi penghuni syurga Firdausi?


Semasa berada di KEMAS, saya menemui rakan-rakan yang begitu baik serta prihatin. Mereka sentiasa bertolak ansur dan saling membantu. Tidak ada yang hanya melihat orang lain bekerja. Masing-masing menjalankan peranannya dengan baik. Ada masa kami gembira, ada masa kami serius. Satu perkara yang paling saya sukai bersama mereka adalah, mereka merupakan orang yang begitu mahir dalam soal masakan, kekemasan dan sebagainya banyaknya berkaitan dengan dapur. Saya dapat menduga melalui cara mereka menjaga kualiti biskut. Di samping itu, mereka sentiasa menjaga kebersihan kawasan kerja. Setelah siap semua pekerjaan, kami akan bersama-sama mengemas dan membersihkan kawasan. Saya merasa beruntung kerana dapat bekerja bersama mereka yang berpengalaman, berkemahiran. Saya merasa lebih berkeyakinan untuk memasak.

Ainin, Fifi & Husna

Di sana, saya juga dihiburkan dengan kanak-kanak rabena .Mereka adalah anak makcik-makcik yang bekerja bersama. Sangat gembira melayan mereka. Mereka banyak membantu memudahkan pekerjaan saya. Sangat rajin dan telus. Setiap hari mereka akan bercerita mengenai sekolah mereka sambil membuka ‘paper cup’. Mereka sangat bijak, kreatif dan suka mencuba. Itulah kanak-kanak. Sudah tentu akan merindui mereka. Semoga Allah menjadikan mereka anak-anak soleh yang taat kepada Allah dan Rasul serta berbuat baik kepada ibu bapa.

Begitulah sedikit sebanyak perkongsian saya bersama sidang pembaca sekalian. Bersama mereka banyak mendidik diri ini tentang kehidupan. Orang dewasa punya pengalamannya sendiri yang ingin dikongsi dan diambil segala yang baik, kanak-kanak juga punya ceritanya sendiri untuk menghibur hati dan dididik. Allahuakbar. Subhanallah. Alhamdulillah. Saya pasti merindui mereka.

Percutian kali ini meninggalkan kesan mendalam dalam diri saya. Segala kesusahan, keletihan dan kepenatan yang dilalui ketika melakukan kerja ini benar-benar mendidik diri agar menjadi lebih cekal. Perkara yang paling penting adalah bagaimana untuk mendidik diri menjadi orang bertaqwa dalam kesibukan mencari rezeki dunia? Bagaimana untuk terus istiqamah dalam ibadah dalam keletihan bekerja sehari-hari? Semuanya persoalan ini akan terjawab apabila seseorang itu membawa jiwa hamba. Iaitu mereka sentiasa merasai perhambaan kepada Allah swt walau di mana sahaja mereka berada, walau apa sahaja yang mereka lakukan serta mereka yang percaya dengan yakin akan janji Illahi. Wallahua’lam.


Dapat kad raya (^_^)


Terharunya....

Alhamdulillah....

7.13 p.m
25 Ramadhan, 25 Ogos 2011
Langkawi, Kedah




No comments:

Post a Comment