Monday, August 22, 2011

BERSIKAP TEGAS...TERHADAP SUAMIKU


“Wahai suamiku yang mulia, ingatkah engkau, tatkala kita bersetuju untuk melansungkan perkahwinan, apakah yang ku ucapkan kepadamu pada hari itu”

Beliau berkata:

“Ya, kamu mensyaratkan beberapa syarat,tetapi pada hari ini,aku bimbangkan gangguan dari pihak taghut terhadapmu”.

Kemudian beliau diam dan menundukkan kepalanya, lalu aku berkata kepadanya:

“ Aku masih ingat apa yang telah ku katakan kepadamu. Sesungguhnya ada satu perkara dalam hidupku yang wajib kau ketahui, kerana sesungguhnya kamu akan menjadi suamiku. Selagi kamu bersetuju untuk berkahwin, aku perlu memberitahumu akan perkara itu, supaya kamu tidak tertanya-tanya lagi di kemudian hari. Syarat-syaratku di dalam urusan ini, adalah aku tidak akan berhenti di dalam perjuanganku.”

“Sungguhpun aku belum melangkah walau satu langkah pun di dalam kemuliaan rabbani ini, namun aku yakin bahawa aku akan melangkah ke dalam jihad ini pada suatu ketika nanti di masa depan. Itulah cita-cita dan tekadku yang sangat ku harapkan. Apabila berlaku pertembungan di antara kepentingan peribadimu dan urusan ekonomimu dengan amal Islamku dan aku dapati kehidupan rumahtanggaku menjadi rintangan di jalan dakwahku dan pembangunan dakwah Islam, maka kita berdua berada di persimpangan jalan”

“ Di hari itu kamu menundukkan kepalamu, kemudian kamu mengangkatnya kembali dengan linangan air mata lalu kamu bertanya: apa yang kamu kehendaki untuk mas kahwinmu. Aku tidak meminta apa-apa cuma dengan syarat aku tidak menghalangmu berjihad di jalan Allah.”

Aku berkata:

“Alhamdulillah. Akhirnya kita bersetuju untuk bernikah , sedangkan tadinya aku telah pun memutuskan untuk membujang sepanjang hayatku bagi menumpukan seluruh hidupku semata-mata untuk dakwah sahaja. Aku tidak meminta kepadamu, supaya kamu menyertaiku di dalam jihad ini, tetapi aku hanya mensyaratkan kepadamu supaya kamu tidak menghalangiku dari jalan jihadku di jalan Allah swt. Di hari aku dibebankan oleh tanggungjawab dalam barisan Mujahiddin, maka janganlah kamu bertanya kepadaku, apa yang ku buat, tetapi hendaklah kita berdua percaya mempercayai sepenuhnya. Terimalah hakikat ini seperti seorang lelaki yang bernikah dengan seorang wanita yang berumur 18 tahun yang menyerahkan dirinya untuk berjihad di jalan Allah dan pembangunan daulah Islam. Sekiranya kepentingan rumahtangga bertembung dengan dakwah kepada Allah, pernikahan itu akan tamat dan dakwah kekal bersemarak di segenap diriku

Kemudian aku diam sejenak, lalu memandang kepadanya seraya berkata:

Kamu ingat lagikah?

“Ya” , jawabnya.

Aku berkata lagi:

“ Di hari ini aku meminta kepadamu supaya kamu menyempurnakan janjimu, janganlah kamu bertanya siapakah yang akan ku temui dan aku memohon kepada Allah supaya Dia menjadikan pahala jihadku dibahagi dua antara kita sebagai kurnia daripada Allah swt, apabila Dia menerima amal usahaku.

“Aku tahu bahawa adalah menjadi hak kamu untuk memerintahku dan menjadi kewajiban aku ta’at setia kepadamu, akan tetapi Allahuakbar (Allah Maha Besar) di dalam jiwa kita daripada diri kita. Dakwah Allah lebih mahal daripada diri kita.”

Suamiku berkata:

“Maafkanlah aku, bekerjalah alabarakatillah.”

Para pemuda sentiasa datang tanpa hentinya ke rumahku siang dan malam. Apabila suamiku yang mu’min mendengar ketukan-ketukan pintu di tengah malam, beliau terus bangun, membuka pintu dan mempersilakan mereka masuk ke bilik pejabat. Kemudian beliau pergi ke bilik pembantu rumah yang membantu dalam urusan rumahtangga, membangunkannya dan menyuruhnya menghidangkan makanan dan minuman kepada para pelawat. Kemudian beliau datang dan membangunkanku dengan lemah lembut dan berkata:

“ Sebahagian dari anak-anakmu yang nampaknya datang dari jauh dan kelihatan dalam kepenatan ada dalam pejabat”. Lantas aku segera bersiap dan pergi menemui mereka, sambil suamiku kembali semula ke tempat tidurnya, dan berkata kepadaku:

“Sekiranya kamu hendak solat subuh berjemaah, bangunkanlah aku supaya bersolat bersama kamu, sekiranya itu tidak menyusahkan kamu”

Lalu aku menjawab:

“ Insha’Allah”

Tatkala kami hendak solat subuh, aku bangunkan suamiku untuk menunaikan solat bersama kami, kemudian beliau beredar dan memberi hormat dengan penuh kasih sayang kepada tetamu-tetamu tadi seperti seorang bapa terhadap anak-anaknya.

Subhanallah, inilah sebuah baitul dakwah (rumahtangga dakwah) yang meletakkan Allah swt sebagai matlamat yang tertinggi dalam kehidupannya. Mempertahankan Cinta Allah di atas kecintaan-kecintaan yang lain. Merekalah insan yang sentiasa memandang kebahagiaan akhirat yang hakiki, dan memandang dunia ini dengan kejelekan. Justeru, daku tertunduk dan tertanya pada diriku sendiri, apakah aku telah meletakkan cinta Allah sebagai matlamat utama hidupku? Apakah rumahtangga yang ingin daku bina berasas kepada hawa nafsu ataupun untuk menjalankan urusan mencapai cinta & redha Allah? Lalu aku menjadi kelu. Teringat sebuah kata-kata seseorang yang daku hormati.

“ Perkahwinan untuk jihad, atau jihad untuk berkahwin?”

(Soalan cipu emas!! Tepuk dada tanya Iman).

Hari-hari dalam Hidupku,
Zainab Al-Ghazali,
23 Ramadhan, 23 Ogos 2011,
4.51 a.m,
Langkawi, Kedah

2 comments:

  1. Moga dipermudahkan segala urusan.

    ReplyDelete
  2. Anugerah : Amin.Terima kasih.Semoga Allah sentiasa mempermudahkan urusan kita, dan memberi segala yang terbaik untuk memelihara Iman hamba-hambaNya. Sama-sama kita doakan. Saya juga mendoakan semoga Allah swt mempermudahkan segala urusan anda.

    ReplyDelete