Thursday, August 4, 2011

Edisi 4 Ramadhan


Bismillahirrahmanirrahim…

Hari ini 3 ramadhan. Saya bertolak pulang ke Langkawi dari stesen bas Kajang. Segala kenangan manis yang saya lalui bersama sahabat-sahabat masih segar di ingatan dan akan tersimpan kemas di dalam memori ingatan. Subhanallah, indahnya saat bersama mereka yang solehah. Kak Amalina, K Nailah, K Hanin, K Tasnim, K Husna, K Nik Nasihah, K Adila, Shahirah Farhana, Maryam Jameelah, dan Ukashah. Semoga Allah meredhai mereka.

Pada pagi ramadhan hari ini, ada sesuatu perkara pelik berlaku, iaitu diekori seorang lelaki yang tidak dikenali. Alhamdulillah, Maha Suci Allah, Rabb Yang Maha Memelihara, tidak mengizinkan sebarang perkara buruk berlaku ke atas saya.


Ketika itu, saya menuruni bas seorang diri di Kuala Perlis, kerana semua sahabat saya telah turun di Stesen Bas Kangar. Kemudian, saya bergerak ingin memasuki satu lorong untuk ke Jeti. Namun, sebelum memasuki lorong itu, saya pandang ke belakang. Sememangnya saya telah merasakan perkara ini sejak berada di KL lagi. Oleh sebab saya seorang yang memiliki aura personaliti berwarna hijau, naluri saya amat tinggi terhadap sesuatu perkara,dan sebab itu saya sentiasa berwaspada dengan perasaan saya. Jadi, apabila saya memandang ke belakang, saya dapati ada seorang lelaki sedang mengikuti saya dari kejauhan.Untuk memastikan saya benar-benar diekori, saya berjalan lagi, dan saya dapati lelaki itu berjalan setiap kali saya berjalan, dan berhenti ketika saya berhenti. Alhamdulillah, saya masih tidak jauh dari stesen bas Kuala Perlis, kerana di situ ada beberapa orang lagi. Jadi, saya berpatah balik menuju ke stesen bas.


Saya menunggu untuk beberapa minit di situ sambil mendengar azan subuh berkumandang. Kemudian, ada 2 orang pelancong dari Palestin dan Jordan, yang ingin turut sama ke Jeti datang dan bertanya . Saya meyakini bahawa mereka boleh dipercayai , insha’Allah. Sambil berjalan, saya terus berzikir dan membaca ayat Qursi semoga Allah swt melindungi saya dari sebarang perkara yang buruk. Lalu, saya menoleh ke belakang, Alhamdulillah, lelaki tadi sudah tidak kelihatan lagi. Saya terus mengikuti 2 orang lelaki tadi dengan jarak yang agak jauh. Alhamdulillah, dengan berkat keizinan dari Allah swt, tiada perkara buruk yang berlaku.


Setelah pulang ke Langkawi, Allah mentakdirkan, saya mengalami selsema dan batuk yang berterusan dari hari sebelumnya, menyebabkan saya begitu penat dan tidak dapat pergi ke tempat kerja. Saya mengambil masa untuk merehatkan diri supaya lebih bertenaga untuk melakukan kerja sesudah bangun. Saya seperti sudah hilang dalam dunia saya sendiri. Allahuakbar,moga-moga rehat saya dalam ibadah.


Alhamdulillah, sesudah bangun, Allah mengurniakan sedikit kudrat untuk melakukan kerja-kerja pembersihan bilik, mengemas beg, menyiapkan makanan untuk berbuka. Terima kasih yang tidak terhingga kepada ibu saya yang telah mengemas dan menjaga bilik saya sepanjang ketiadaan saya. Sungguh terharu apabila pulang melihat semua perkakas di bilik dikemaskan, tilam, selimut dibasuh dan dijemur. Ya Allah, saya sangat bersyukur dikurniakan ibu yang sentiasa menjaga dan menitikberatkan keselesaan anak-anaknya walau seringkali hatinya dilukai. Saya sangat gembira menatap wajah ibu saya. Melihat bilik saya yang bersih dan kemas, cuma ada sedikit yang perlu dikemaskan lagi, saya mendoakan agar Allah swt sentiasa mengembirakan hati ibu saya dengan beribadah kepadaNya. Oleh itu, saya sedaya upaya tidak menolak segala hajatnya, semoga saya bisa menjadi anak yang baik kepada ibu bapa saya, dan menjadi bakal ibu yang baik kepada anak-anak saya suatu hari nanti, sepertimana ibu saya memperlakukan ke atas saya dan adik beradik yang lain. Semoga Allah swt sentiasa menerima amal kebaikannya dan menempatkan ibu dan bapa saya dalam golongan mereka yang memperoleh hidayah dariNya.

Akhir kalam, saya tutupi penulisan ini dengan sebuah doa’:

“ Ya Allah, sesungguhnya kami ini makhluk ciptaanMu. Bukakanlah pintu untuk mentaatiMu, dan tutuplah hari ini dengan keampunan serta keredhaanMu. Kurniakanlah kami kebaikan, dan terimalah kebaikan dari kami. Bersih dan gandakanlah kebaikan itu untuk kami. Ampunilah segala perbuatan buruk kami. Engkau sahajalah Rabb Yang Maha Pengampun, Maha Pemurah, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.”

4 Ramadhan,

1.26 a.m

Langkawi, Kedah

No comments:

Post a Comment