Friday, August 5, 2011

Edisi 5 Ramadhan

Assalamua’laikum wbt,

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah swt sekalian,

Semoga kalian sentiasa berada dalam sihat walafiat rohani, jasmani dan akhli, 3 fakulti insan yang tidak dapat dipisahkan antara satu sama lain.

Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah swt, pada hari yang barakah, 6 Ramadhan yang telah berlalu beberapa jam yang lalu, kita masih diberi peluang untuk bermunajat memohon keampunan kepada Yang Maha Pengampun, buat sehari lagi. Allah Maha Kaya, Allah Maha Besar, daku memanjatkan segala pujian hanya kepadaNya, Yang Maha Menghidupkan.

Suasana pagi ramadhan ke-5 hari ini benar-benar menusuk ke qolbu. Sinaran mentari yang menyinar amat berbeza sekali dari hari-hari yang lain. Memandang Alam Ciptaan Tuhan di pagi ini, terasa keberkatannya mengalir di setiap gerak nafasku, lalu menghadirkan aura ketenangan yang tidak dapat daku ceritakan bagaimana bentuknya. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Diam-diam daku berdoa, semoga kehidupanku dan saudara-saudaraku pada hari ini, akan sentiasa dilimpahi rahmat redha dan kasih sayang Illahi, Rabbul Jalil.

Teringat daku sebuah lagu yang benar-benar berbekas di hatiku, iaitu Harapan Ramadhan. Setiap insan yang beriman dan berhajat kepada keredhaan Rabbnya, pasti akan meletakkan azam yang tinggi untuk melakukan suatu perubahan, agar setiap ramadhan yang dilalui , tidak berlalu dengan sia-sia.

Harapan Ramadhan

Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti

Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kita memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan

Selangkah demi selangkah...
Dengan rahmatMu oh Tuhanku...
Ku tempuh jua

Dalam setahun yang ditempuhi – terdapat satu bulan yang berfungsi sebagai terminal rehat dan rawat. Bulan yang bertindak sebagai pusat persinggahan jiwa. Berperanan sebagai stesen untuk berteduh dan berehat buat jiwa-jiwa dan hati-hati kita semua setelah melalui pelbagai perasaan, pengalaman dan pergolakan jiwa yang dahsyat .- Bro Hamzah


Kata-kata ini benar-benar terkesan di hati kecilku. Dalam setahun ini, Allah mentakdirkan pelbagai ujian dan dugaan yang hadir satu persatu. Pernah daku rasakan ingin tersungkur di tengah-tengah perjalanan musafir ini, namun, setiap kali dugaan itu datang, setiap kali itulah, ‘tangan-tangan Allah’ telah memaut jari jemariku ini untuk bangun semula. Katanya perjalanan masih panjang, di sana, ada sebuah destinasi kebahagiaan yang hakiki, yang menanti buat mereka yang sentiasa sabar & redha dengan dugaanNya. Oleh itu, jangan berputus asa, dan terus berpegang teguh terhadap KalamKu & Sunnah KekasihKu, pasti dikau tidak akan sesat, dan tiba ke destinasi itu.


Sepanjang 11 bulan yang lalu – kita mengembara, berjalan, bermusafir, bertahan dan bertempur melalui segala bentuk rintangan kehidupan. 11 bulan yang diwarnai dengan pelbagai warna warni kehidupan. Dan tibalah suatu ketikanya, Allah SWT hadiahkan satu bulan yang akan memberikan teduhan perasaan dan kesejukan jiwa yang merehatkan.


Suatu hadiah yang mahal dan special daripada Allah SWT.


Inilah Ramadhan. Pusat “rehat dan rawatan” bagi kita semua. Segala kecederaan dan hirisan kelukaan di sepanjang penggembaraan akan dirawatkan di sini. Inilah perasaan seorang mukmin apabila menjejaki bulan Ramadhan, ia rasa benar-benar merasai nikmat keteduhan di bawah payungan kerahmatan Ramadhan.


Apabila berada di dalam bulan Ramadhan, ada yang benar-benar “merasai” akan sesuatu dengan Ramadhan dan ada yang mengganggapnya biasa-biasa sahaja.


Baginya, Ramadhan seperti bulan-bulan yang lain.


Jika inilah yang kita rasai, amat malanglah kerana kita tidak benar-benar merasai keberadaan di bawah naungan keistimewaan Ramadhan.


Persoalannya, bagaimana ia boleh merehatkan dan meneduhkan jiwa serta perasaan kita?


Tentu ada cara dan perkara-perkara yang perlu kita lakukan ketika “singgah” di stesen Ramadhan ini. Ketika berteduh dibawah payungan Ramadhan, kita perlu melakukan sesuatu agar kita disimbahi ketenangan, ketenteraman dan kebahagian jiwa.


Oleh yang demikian, marilah sahabat-sahabatku, kita bersama-sama memaknakan detik-detik ramadhan yang kita lalui dengan penambahkan serta memperbaiki ibadah wajib dan sunat seperti ibadah qiyamullail, membaca Al-Quran dengan penuh penghayatan, matsurat, solat sunat Dhuha, solat sunat Rawatib, solat sunat Tarawih, dan sebagainya. Dalam masa yang sama, marilah kita bersama-sama memperbaiki akhlak dan keperibadian, agar ianya menjadi satu malakah (kebiasaan) dalam diri. Semoga dengan segala amal ibadah ini, kita bisa memperoleh segala ganjaran yang dijanjikan Allah swt kepada hamba-hambaNya yang bertaqwa, ganjaran berupa Kejayaan Di dunia & di akhirat. Insha’Allah. Wassalam.

7.30 a.m

6 Ramadhan, 6 Ogos 2011




No comments:

Post a Comment