Tuesday, August 30, 2011

Eidul Mubarak, Kullu Aamin Wa Antum Bi Khair

Bismillahirrahmanirrahim…

Segala puji dan syukur daku panjatkan kepada Allah swt Azza Wajalla. Di pagi syawal yang begitu indah lagi barakah ini, Dia dengan segala limpahan rahmat serta kasih sayangNya masih sudi memberiku nafas untuk terus mengagungkanNya di dalam setiap helaan nafasku, berzikir mengingatiNya di dalam setiap dengupan jantungku. Alhamdulillah. Begitu indah apabila kita menjadi insan terpilih untuk merasai nikmat Islam dan Iman. Kemanisannya tidak dapat diungkapkan namun ia bisa dirasai dengan hati nurani yang bersih nan suci. Alhamdulillahi Rabbil Alamin. Selawat serta salam daku utuskan buat Kekasih Pilihan Allah swt, Rasulullah saw, Suri Tauladan buat sekalian umat. Salam sejahtera buat para sahabat serta ahli keluarga baginda yang memiliki keimanan yang luar biasa. Subhanallah.

Sahabat-sahabat sidang pembaca yang dicintai Lillahitaala,

Saya mendoakan kalian senantiasa berada di bawah limpahan rahmat serta keredhaan Allah swt walau di mana sahaja kalian berada. Semoga anugerah KETAQWAAN yang diperolehi menjadi pengawal dalam setiap tingkah laku kita, dan membenteng diri kita daripada segala perbuatan dosa dan kemaksiatan secara tersembunyi mahupun terang-terangan.

Aku lihat Ramadan dari kejauhan..lalu ku sapa Ia," Hendak kemana? " Dengan lembut ia berkata, " Maaf, aku harus pergi, mungkin lama,Tolong sampaikan pesanku untuk orang yang bernama Mukmin,Ajaklah Sabar untuk menemani hari-hari dukanya, peluklah Istiqamah saat dia kelelahan dalam perjalanan menuju Taqwa, Itupun Syawal..ia sudah tiba.."
Ku lihat Ramadan pergi..jauh..Ya Allah,apakah aku akan berjumpa lagi dengannya??

Sayu benar melihat pemergian tetamuku ramadhan yang menemaniku saban waktu. Kehadirannya membawa berita gembira bagi mereka yang bergelar Mukmin iaitu mereka yang sentiasa mengingati Allah swt ketika duduk, berdiri dan berbaring. Ia menjinjing bersamanya pakaian TAQWA untuk dipakaikan kepada insan-insan istimewa iaitu mereka yang melalui madrasah Ramadhan dengan penuh keimanan dan kesungguhan. Ya Allah, apakah daku akan bertemu lagi dengannya?

………………………………………………………………………………………………………………………………………………………

Terpesona saya dengan sebuah ucapan Eidulfitri daripada murobbi yang dikasihi fillah:

“ Hari ini hari kemenangan, hari kita menuai TAQWA. Semoga hari ini dan seterusnya kita mampu untuk taat kepada Allah swt, lebih mampu mengawal lisan & menundukkan pandangan, lebih mampu untuk pasrah dan berbaik sangka dengan takdir dan tadbir Allah swt. Sebahagian salafus soleh akan bermunajat selama 6 bulan supaya amalan semasa bulan ramadhan diterima Allah swt dan 6 bulan seterusnya bermunajat agar dipanjangkan umur sehingga bertemu Ramadhan lagi. Robbana taqabbal minna. Eidul Mubarak, kullu aamin wa antum bi khair ”

Ucapannya benar-benar menusuk hati kecilku. Sesungguhnya sahabat-sahabatku, kita tidak boleh dan tidak pernah boleh berhenti dari berdoa. Allah swt dan Rasulnya sentiasa mengajak dan mendidik kita agar tidak berhenti menadah tangan memohon kepadaNya kerana Dia Maha Mengetahui bahawa manusia adalah insan yang lemah. Ia sangat memerlukan kepada Rabbnya.


Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang mendo'a apabila ia berdo'a kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran. (QS. 2:186)


Tidak bermakna apabila kita telah melalui tarbiyah Ramadhan dengan bersungguh-sungguh, selepas musimnya berlalu, kita terus bermalas-malasan untuk berdoa kerana kita meyakini kita sudah melakukan yang terbaik semasa bulan Ramadhan. Tetapi, Allah swt mendidik kita untuk terus berdoa semoga amalan kita pada bulan Ramadhan itu diterima Allah swt. Oleh itu sahabat-sahabatku, marilah kita sama-sama berdoa semoga segala amal soleh yang dilakukan semasa bulan Ramadhan, akan diterima oleh Allah swt, dan dipelihara diri dan hati dari berjinak-jinak dengan dosa dan kemaksiatan. Setelah berfikir dalam-dalam, saya menjumpai jawapan bahawa, kemenangan dan kerehatan sebenar bagi seseorang mukmin, adalah SAAT KEMATIANNYA.

Pada kesempatan ini, saya Syafiyah binti Adzahar, dengan ingatan tulus ikhlas ingin mengucapkan Minal Aidil Walfaizin, kullu aamin wa antum bi khair buat sahabat-sahabatku di Maahad Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI), Kolej Matrikulasi Changlun, Universiti Sains Malaysia seterusnya rakan sekerja di KEMAS Langkawi. Semoga berlalunya Ramadhan yang indah lagi barokah ini menutup segala keaiban-keaiban lalu, serta membuka lembaran baru berupa berita - berita gembira, serta membuka himmah dan iradah yang baru untuk menjadi seseorang yang lebih baik dari sebelumnya.

“Peliharalah Kesucian Hatimu Agar Tidak Dicemari Dengan Kekotoran Dosa & Kemaksiatan” (Ustaz Ruqaimi).


“ Taqobballallahu minna waminkum”

Amin. Amin. Ya Rabbal Alamin.

9.52 a.m

3 Syawal, 1 September 2011

Langkawi, Kedah


No comments:

Post a Comment