Thursday, August 4, 2011

Ramadhan Di Hatiku

Segala pujian hamba hina ini panjatkan ke atas Rabbnya Yang Maha Agung, Yang Maha Mengasihani, kerana dengan kasih sayang dan keizinan dariNya, saya masih diberi peluang untuk bernafas buat sehari lagi, serta bisa melangkah ke hari dan bulan yang penuh barakah ini, iaitu Ramadhan Kareem. Satu bulan yang menjadi kerinduan dan kegembiraan para mukmin yang mengharapkan keredhaan Rabbnya. Mereka adalah hamba Rabbani iaitu hamba yang dekat dengan Allah swt Azza Wajalla. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

"Barangsiapa yang bergembira dengan masuknya Ramadhan, maka Allah akan MENGHARAMKAN tubuhnya menyentuh mana-mana pintu dari pintu neraka"

Subhanallah. Selautan kasih rindu, ku utuskan buat Rasul Junjungan Umat, Rasulullah saw, Qudwah Terbaik sepanjang zaman serta para sahabatnya yang mulia memiliki keimanan yang luar biasa.

Hari ini 1 Ramadhan. Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar!!! Saya begitu bersyukur kerana bisa melangkah ke bulan Ramadhan pada kali ini. Tidak dapat digambarkan kegembiraan ini diberi kesempatan memasuki bulan yang penuh keberkatan yang dijanjikan Allah. Fasa awalnya rahmah, tengahnya keampunan, dan di akhirnya kebebasan daripada api neraka. Saya menyambut ramadhan kali ini bersama sahabat-sahabat seperjuangan. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana dapat bertemu mereka setelah lama menanggung rindu, ramadhan kali ini seperti satu jejak kasih, kerana saya berpeluang bertemu mereka yang sudah lama tidak berjumpa. Allah swt sahaja yang mengetahui betapa berbunganya hati ini apabila bertemu sahabat-sahabat yang soleh, menatap wajah mereka , jiwa yang resah menjadi begitu tenang. Hati yang pilu bertukar menjadi gembira. Mendengar bait-bait kalimah mereka, mengingatkan semula hamba ini kepada hakikat perhambaannya, dan menambahkan kerinduannya terhadap Penciptanya Yang Maha Agung. Lalu, kami bersama-sama menghayati hari ini dengan aktiviti-aktiviti yang mengeratkan ukhuwah mahabbah, serta membina keperibadian seorang muslim. Alhamdulillah.



Ramadhan kali ini menjadi begitu bermakna dengan pengisian-pengisian tarbawi seolah-olah curahan air yang membanjiri kekeringan hati. Saya memperoleh semula kekuatan diri setelah musim kelemahan berlalu. Tidak sama rasa nikmat beribadah apabila kita berada dalam suasana yang tarbawi (mengingati Allah) dengan suasana lagha (lalai dalam mengingati Allah). Oleh itu, saudara-saudara sekalian, apabila kita merasai keresahan jiwa, apabila kita menyedari bahawa hati kita sedang lalai dalam mengingati Allah, dan kita sudah merasa malas untuk beribadah kepadaNya, hati kita sudah tidak sensitif lagi terhadap perkara-perkara dosa, bermakna , pada masa itu, hati kita sedang berpenyakit. Apabila kita membiarkan sahaja penyakit itu, lama kelamaan ia akan merebak, dan hati kita akan mengalami kerosakan sedikit demi sedikit, dan akhirnya mati. Nauzubillah. Justeru, rawatan yang terbaik untuk kita lakukan bagi mengembalikan semula sensitiviti (kepekaan) kita terhadap urusan akhirat, maka kita perlu melakukan beberapa rawatan dengan segera .

Suatu ketika sahabat karib Rasulullah saw iaitu Ibnu Mas’ud r.a didatangi seorang lelaki yang kelihatan dirundung duka nestapa. Lelaki ini berkata kepada Ibnu Mas’ud:

“Saudara berikanlah kepadaku satu nasihat yang dapat aku jadikan penawar untuk jiwaku yang gelisah ini. Akhir-akhir ini jiwaku tidak begitu tenteram, jiwaku sentiasa gelisah, fikiranku juga selalu kusut, makanku tidak kenyang, tidurku tidak lena”

Mendengar itu, Ibnu Mas’ud membalas, “ Sekiranya itulah penyakit hati yang menimpamu, hendaklah kamu bawa hatimu mengunjungi tempat ini.

  • 1. Tempat orang yang membaca Al-Quran. Sama ada kamu membacanya atau kamu sekadar mendengar orang lain membaca ayat suci Al-Quran.
  • 2. Majlis Ilmu yang dapat mengingatkan kamu kepada Allah swt.
  • 3. Carilah Tempat & Waktu yang sesuai supaya kamu dapat beribadah kepada Allah dengan khusyu’ dan tulus ikhlas.

Demikianlah penawar hati yang gelisah.

Alhamdulillah, apabila saya melaluinya sendiri, saya merasakan ketenangan itu hadir sedikit demi sedikit. Pada masa yang sama, saya sangat bersyukur kerana Allah mengurniakan saya sahabat-sahabat yang soleh, di mana, mereka sentiasa bersama saya ketika suka mahupun duka. Tiada perkataan lain yang terbit dari bibir mereka melainkan zikrullah. Sedikit sekali memperkatakan perkara yang sia-sia. Walaupun ketika berhibur bersama, pasti ada yang memberi peringatan agar besederhana dalam bersuka, dan bersabar dalam berduka. Inilah satu anugerah Allah kepada saya yang begitu bernilai. Melalui ramadhan bersama, qiyamullail, bersahur, menunaikan dhuha, mendengar pengisian hati, berbuka bersama, terasa keberkatan dan kehadiran Allah di dalam kesederhanaan kami. Subhanallah. Inilah kehidupan yang saya rindui, kehidupan yang sentiasa merasai kebersamaan Allah di dalamnya kerana tidak ada yang lebih dihajati oleh seorang mukmin, iaitu keredhaan Allah dalam setiap program kehidupannya. Inilah didikan Allah yang menggambarkan betapa Dia Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Segala puji hanya bagi Allah swt.

Moga-moga madrasah Ramadhan kali ini, benar-benar mendidik hati-hati kita dalam menjadi seorang yang lebih baru dalam Iman , Ilmu dan amal solehnya. Maka dengan adanya ketiga-tiga elemen tersebut, kita akan mendapat satu pengiktirafan dari Raja Seluruh Alam iaitu TAQWA. Semoga kita tidak termasuk dalam kalangan mereka yang rugi, iaitu mereka yang tidak mendapat apa-apa ganjaran pahala, melainkan lapar dan dahaga. Nauzubillahiminzalik.

"Sesungguhnya celakalah seorang hamba yang berpuasa pada bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak diampuni.”(HR Muslim & Ahmad)

Oleh itu, marilah sama-sama kita pergunakan setiap saat yang berlalu di bulan ramadhan ini dengan amalan zikrullah yang tidak putus-putus serta berdoa dengan bersungguh-sungguh akan segala yang kita hajati dengan penuh kerendahan hati dan beradab dengan Allah swt. Tidak ada sesuatupun yang mustahil bagiNya, yang kita perlu yakini dan tidak ragui. Insha’Allah, pasti akan ditunaikan dengan sebaiknya. Semoga segala amal ibadah di bulan ini akan menjadi satu noktah bidayah untuk terus beristiqamah pada bulan-bulan yang lain. Insha’Allah. Peringatan ini juga saya tujukan buat diri sendiri.

Akhir kalam, saya memohon keampunan dari Allah swt, dan meminta maaf kepada para pembaca, seandainya terdapat sebarang perasaan mazmumah di dalam penulisan ini. Segala yang baik itu dari Allah swt, dan segala yang lemah itu adalah daripada kelemahan diri saya sendiri. Hakikatnya, kedua-duanya adalah dari Allah swt Azza Wajalla. Wassalam.

12.35 a.m

Langkawi, Kedah.


Ayam sambal..rasa macam masakan makcik Tekun di USM..rindu USM…J

Kata k Tasnim: “Nak belajar kena tinggal di sini”…hmm..insha’Allah..andai diizinkan Allah. (^_^)


Menu berbuka di rumah kak Tasnim..hmm..yummy..yummy..


No comments:

Post a Comment