Tuesday, September 27, 2011

-Muhasahabah Diri-



Assalamua'laikum wbt,

Buat sidang pembaca yang dikasihi kerana Allah swt,

Alhamdulillah, bersyukur kita dengan sepenuh hati kepada Allah swt, Rabbul Alamin, kerana sehingga ke saat ini, sehingga ke detik ini, Dia dengan segala kemurahan kasih sayangNya, masih sudi memberi secebis nafas buat hamba-hambaNya untuk terus menadah tangan dan bersimpuh dengan penuh kerendahan hati meminta keampunan daripadaNya. Sesungguhnya, kita adalah hamba yang selalu melakukan dosa, malah mengulangi dosa lantaran gersangnya keimanan dalam diri. Lalu, Allah swt , Rabb yang Maha Luas Pengampunannya dan Maha Mengetahui kelemahan hambaNya berfirman:

“ Sesungguhnya setiap anak Adam itu melakukan kesilapan, namun, sebaik-baik manusia di sisiNya adalah mereka yang menyegerakan taubat”

Moga-moga kita sentiasa memiliki jiwa seorang hamba yang cinta kepada Taubat dan Kesyukuran. Siapa kita untuk berlaku sombong kepada Allah ? siapa kita untuk mengatakan kita sudah sempurna dan tidak perlu kepada Allah swt lagi? Ingatlah, kita dapat menggerakkan jari-jemari ini, hanyalah dengan izin Allah. Kita mendapat rezeki pekerjaan yang baik, gaji yang tinggi,kereta yang mahal, semuanya telah disusun dan ditakdirkan oleh Allah swt. Seandainya kita sentiasa membawa jiwa perhambaan dalam diri, semua itu tidak akan bernilai bagi kita lebih dari bernilainya Cinta & Redha Allah swt. Bukan bermakna semua itu tidak penting, tetapi, ia hanya menjadi satu keperluan kehidupan kerana kita sentiasa merasakan ada sesuatu yang lebih manis dari nikmat-nikmat itu, iaitu nikmat Mencintai dan dicintai oleh Allah swt, Kekasih Agung.

Teringat saya nasihat seorang guru yang sangat tabah semasa menziarahinya kerana baru kematian suami tercinta,

1. Jangan bertangguh untuk melakukan kebaikan, kerana mungkin kita tidak sempat melakukannya.

2. Setiap sesuatu yang terjadi dalam kehidupan kita, semuanya telah disusun dan diatur oleh Allah swt. Walaupun ujian itu berupa nikmat dan musibah, tetapi, PASTI ada kemanisan selepas itu bagi hamba yang menerimanya dengan REDHA.

“Sesiapa yg menjadikan akhirat HARAPANNYA , Allah akan menjadikan rasa cukup di dalam hatinya serta mempersatukannya, dan dunia akan datang kepadanya dalam keadaan menyerah diri. Tetapi siapa yang dunia menjadi HARAPANNYA, Allah akan menjadikan kefakiran berada di depan matanya serta mencerai-beraikannya, dan dunia tidak akan datang kepadanya kecuali sekadar apa yang telah ditetapkan baginya." ( Riwayat al-Tirmizi)


wallahua'lam

No comments:

Post a Comment