Monday, October 31, 2011

ABAH KENA KUAT!!!!!

“Abah kena kuat. Abah kena kuat!!!”. Begitulah kata-kata semangat yang meniti di bibir kak Arrauzah yang sedang bertarung dengan kesakitan setelah terlibat di dalam kemalangan jalan raya minggu lalu. Akibat kemalangan itu, ibu beliau telah dipanggil pulang mengahap Illahi. Subhanallah, kata-kata nasihatnya kepada ayahnya, telah memecahkan keheningan pada petang itu. Tiba-tiba suasana menjadi begitu sayu, melihat seorang anak yang sedang berada di dalam kesakitan yang amat akibat patah kedua-dua kakinya, namun, berbekalkan keimanan dan kesolehan serta keyakinannya kepada qada’ dan qadar Tuhannya, beliau tetap menjalankan peranannya sebagai seorang anak memegang tangan ayahnya dengan begitu erat dan penuh dengan kasih sayang memberi kekuatan kepada ayahnya untuk tabah menghadapi ujian pemergian ibunya. Segala kepedihan dan keperitannya nya ibarat telah hilang dalam bicaranya itu. Subhanallah. Tanpa disedari, air mataku juga membasahi pipi tidak dapat menahan sebak menyaksikan saat menyayat hati itu. Suasana itu juga memecahkan kerinduanku yang amat dalam terhadap ibu bapa dan keluarga yang sudah lama tidak ditatap wajah kasih sayang mereka.


Baru-baru ini, seorang sahabat saya, Kak Amilia telah diduga dengan sedikit ujian, iaitu telah menghadapi kematian ibunya di dalam sebuah kemalangan yang juga melibatkan adik dan juga anak saudaranya. Sesungguhnya , setiap sesuatu yang berlaku itu, merupakan suatu rahsia Allah swt. Alhamdulillah, sebelum pemergian ibunya, saya sempat bertemu makcik sebanyak 2 kali. Entah mengapa, saya merasa ada suatu tolakan dalaman untuk menziarahi kak Amilia sewaktu raya yang lalu, dan sempat bersembang bersama ibunya yang begitu lembut, ceria dan tidak pernah lekang dari bibirnya senyuman kasih sayang. Pertama kali saya bertemu dengannya, saya begitu teruja sebenarnya melihat akhlak dan keperibadian mulia seorang ibu dan ayah, yang darinya lahir anak-anak yang juga memiliki syaksiah mulia. Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya menemui makcik, setelah lama berhajat untuk ketemu. Namun, siapa sangka, itulah petemuan terakhir saya dengannya. Sememangnya hati saya merasa bahagia bertemu dengan allahyarham. Makcik dan pakcik sentiasa melayan tetamu dengan penuh keceriaan. Sangat peramah. Jika makcik berhenti bercerita, pakcik akan menyambungnya. Subhanallah, saya bermonolog sendirian, “patutlah Allah melahirkan dari mereka ini anak-anak yang mulia peribadinya”. Pemergian makcik sudah tentu dirasai sungguh oleh pakcik. Saya difahamkan bahawa, pakcik jarang sekali makan tanpa makcik. Biasanya mereka akan bersama.

Saya amat bersyukur dipertemukan dengan keluarga kak Amilia, sebuah keluarga yang penuh dengan kasih sayang dalam kesederhanaan. Mereka saling menguatkan antara satu sama lain. Kasih sayang dalam keluarga mereka juga dapat dirasai oleh sesiapa sahaja yang bergelar tetamu. Mereka saling menghormati antara satu sama lain, sentiasa menjaga tutur katanya, sentiasa menjaga perilakunya. Subhanallah, inilah baitul sakinah. Yang di dalamnya sentiasa mendahului Allah dan Rasulnya.


Masih segar di ingatan ini janji kepada makcik, akan datang lagi memakan nasi bersama. Janji untuk bermalam dan menghayati suasana pagi yang tenang di laman padi yang menghijau ceria di belakang rumah makcik. Ajakan makcik masih segar dalam memoriku, dan tidak akan kulupakan. Tidak sangka itulah ajakan terakhirnya. Kini saya datang menunaikan janji bersama sahabat-sahabat, bermalam di mahligai makcik dan pakcik yang begitu tenang, rasa seperti ketenangan itu luar biasa apabila berada di rumah insan soleh. Kami menjamu selera bersama kak Amilia dan keluarganya, serta menghayati suasana pagi di sawah padi. Allahuakbar..Tiupan angin pagi itu,begitu menusuk di qolbu kecilku. Hati ini begitu rindu padanya yang telah pergi. Hatiku bermonolog lagi..”Makcik, syafiyah datang tunaikan janji, walaupun makcik tiada di mata, namun, hati syafiyah sentiasa merasai kehadiran makcik” ..Diam-diam hati kecil ini memanjatkan doa, agar rohnya dicucuri rahmat, dan tenang di sana. Semoga kita bertemu lagi di destinasi abadi, Syurga Illahi yang menjadi impian setiap insan bernama mukmin. Di situlah pertemuan yang abadi.

Hatiku bertambah sebak mendengar kata-kata pakcik Razak senyum bersahaja namun penuh makna:

“ Datanglah lagi lain kali, bagi seronok pakcik” …


Allah..Rasa seperti ingin tinggal di sana,mengembirakan hati pakcik. Namun, insha’Allah, Allah PASTI akan mengembirakan hati pakcik, dengan kasih sayangNya. Sesungguhnya kasih sayang Allah itu begitu Luas. Dialah Pemilik Rasa Kasih dan Sayang. Kadangkala, apabila kita melihat musibah berlaku pada insan di sekeliling kita, sudah pasti hati ini merasa begitu kasihan. Namun, sahabat-sahabatku, sesungguhnya Allah tidak mentakdirkan sesuatu dengan sia-sia tetapi setiap takdirnya punya hikmah yang besar yang jahil dalam pengetahuan kita. Kita merasa kasihan, sudah tentu Allah lebih mengasihani, kerana Dialah Pemilik Rasa Kasihan. Ketika ini, teringat saya sebuah hadis Qudsi:


"Sesungguhnya ,diantara hamba-hambaKu,ada yang imannya tidak menjadi baik kecuali dengan kefakiran.Jika aku lapangkan rezekinya,maka imannya akan rosak.Diantara hamba-hambaKu ada yang imannya tidak menjadi baik melainkan dengan kondisi kaya.Jika aku membuatnya fakir,pasti imannya rosak. Diantara hamba-hambaku,ada yang imannya tidak menjadi baik,melainkan dengan kondisi sakit,seandainya aku sihatkannya,imannya pasti rosak.Aku mengatur hamba-hambaKu dengan pengetahuanKu terhadap apa yang ada dalam HATI mereka.Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Lembut."


Sebelum menziarahi keluarga Kak Amilia, saya sempat menatap beberapa lembaran ayat Al-Quran, lalu terpaku hati saya pada sebuah firman Allah swt yang bermaksud:


“ Dan Allah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari air mani, kemudian Dia menjadikan kamu berpasangan (lelaki dan perempuan). Tidak ada seorang perempuan pun yang mengandung dan melahirkan melainkan sepengetahuanNya. Dan tidak dipanjangkan umur seseorang dan tidak pula dikurangi umurnya, melainkan(sudah ditetapkan) dalam kitab Loh Mahfuz. Sungguh yang demikian itu mudah bagi Allah swt” (Surah Fatir: 11)


Setiap yang berlaku adalah di dalam pengetahuan Allah swt. Sesungguhnya apabila telah tiba masanya untuk kita kembali kepadaNya, maka tidak akan dilewatkan atau diawalkan walau sesaat. Maka, setiap kematian yang berlaku sebenarnya memberi peringatan kepada kita yang masih hidup, agar kembali bertaubat dan bermunajat kepada Allah serta memperbaiki diri kearah memperoleh kemuliaan di sisi Allah.


Ketika tiba di hospital Kangar pada malam itu, hati saya berdegup kencang. Entah mengapa, mungkin kerana sudah lama tidak ke Hospital. Kemudian, saya terpandang unit foreksik di belakang saya. Saya dapati, ada keluarga sedang menunggu ahli keluarganya yang telah meninggal dunia untuk dibedah siasat. Saya sempat melihat keranda yang berisi mayat itu ditolak ke dalam van jenazah. Walaupun hati terasa sedikit ketakutan, namun saya gagahi juga melihat dari kejauhan. Lalu, hati saya berkata,


“ suatu hari, saya juga akan ditolak seperti itu, apakah saya sudah bersedia mengadapi saat itu???”


Allahuakbar…Sesungguhnya kematian itu benar-benar merupakan satu peringatan.


“Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan). Dan orang-orang yang beriman serta beramal salih, Kami akan tempatkan mereka dalam mahligai- mahligai di Syurga yang mengalir dibawahnya beberapa sungai mereka kekal di dalamnya. Demikianlah balasan yang sebaik-baiknya bagi orang-orang yang beramal salih”

(Surah Al-Ankabut :57 & 58)

Pagi itu saya menerima satu lagi berita kematian, iaitu kematian ayah kepada ayah angkat saya, pakcik Khosran merangkap bapa mertua kepada ibu angkat saya Makcik Hazizah. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat serta limpahan kasih sayang Allah swt.

Saya pernah bertemu pakcik, sememangnya seorang yang soleh, dan sentiasa menjaga tutur katanya, walaupun umurnya sudah lanjut. Seorang yang suka bertanya. Allahuakbar, Sesungguhnya Allah swt lebih menyayanginya.

Semoga keluarga allahyarham ibu kak amilia dan keluarga allahyarham ayah pakcik Khosran bersabar menghadapi dugaan ini. Semoga ujian ini akan lebih mematangkan jiwa kita, memperkuatkan iman kita setelah berlalunya musim ujian itu. Sesungguhnya Allah swt telah menentukan kadar masa bagi berlakunya setiap sesuatu.

Buat insan lain, semoga setiap peristiwa yang berlaku di sekeliling kita menambahkan keimanan, keyakinan serta pergantungan kita kepada Allah swt. Mari kita mendoakan mereka yang berada di dalam musibah, terutamanya kak Arrauzah. Semoga Allah swt menyembuhkan mereka dan memelihara mereka sentiasa, sesungguhnya Dialah Pemilik Segala Penawar. Satu lagi, hargailah mereka yang masih hidup terutamanya ibu bapa kita. Selagi mereka maih hidup marilah sama-sama kita menyayangi dan memenuhi hak mereka kerana kita tidak tahu bilakah salam perpisahan itu akan menyapa. Hargailah sesiapa sahaja di sekeliling kita, jangan kita mulakan hari dengan dendam mendendami, dan pergaduhan sesama sendiri. Inilah sunnah Rasulullah saw, berkasih sayanglah sesama manusia, dan tolong menolong dalam tujuan kebaikan.

"Sesal dahulu pandapatan, sesal kemudian tiada berguna"

Peringatan buat diri sendiri.

Akhir sekali, doa saya:

“ Semoga kita akan terus kuat dan terus menerus berada di atas landasan fisabilillah, sehingga ke hembusan nafas yang terakhir. Inilah harapan terbesar dalam kehidupan seorang mukmin. Amin.”




10.26 p.m
31 Oktober 2011
Desasiswa Saujana
Universiti Sains Malaysia



Wednesday, October 26, 2011

MASA AMAT MENCEMBURUIKU!!!

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamua’laikum wbrt,

Sidang pembaca yang dirahmati Allah swt lagi dikasihi Rasulullah saw,

Segala puji hanya bagi Allah swt, Rabb Pemilik Sekalian Alam. Selawat dan salam utusan jiwa buat Rasulullah saw, suri tauladan terbaik sepanjang zaman serta para sahabatnya yang unggul.

“ Demi masa! (1) Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian (2) Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati kepada kebenaran dan mereka yang menasihati kepada kesabaran. (3)” (Surah Al-Asr)

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah swt, kerana sehingga pada saat ini, Dia dengan segala limpahan kasih sayangNya masih sudi menghadiahkan daku nikmat bernafas buat sehari lagi. Hadirnya detik ini juga membawa suatu amanah besar yang perlu digalasi oleh bahuku yang tidak bermaya ini, iaitu amanah seorang hamba kepada Rabbnya, amanah seorang umat kepada Rasulnya, amanah seorang anak kepada ibu bapanya, amanah seorang penuntut terhadap ilmunya, amanah sebagai seorang muslim terhadap muslim yang lain dan sebagainya.

Sesungguhnya sahabat-sahabatku, setiap helaan nafas ini merupakan satu peluang dan anugerah untuk kita terus berusaha memperbaiki diri dan kehidupan kearah mencapai satu matlamat besar yang menjadi impian setiap insan bernama mukmin iaitu Mardhatillah (keredhaan Allah). Namun, semua ini tidak mengkin disedari oleh mereka yang punya keraguan di hatinya. Ia hanya disedari oleh mereka yang benar-benar serius terhadap urusan akhiratnya dan mereka yang benar-benar yakin akan pertemuan dengan Rabbnya sertaberusaha dengan bersungguh-sungguh untuk keluar dari lamunan yang tidak berpenghujung lalu bangun dan melangkah menjadikan mimpi satu realiti. Moga-moga Allah swt sentiasa memelihara setiap langkahan kaki hamba-hambaNya, dan tidak menjadikan kehidupan kita sesuatu yang rugi dan sia-sia serta mengurniakan ganjaran yang besar terhadap golongan hamba yang sentiasa berusaha dan berusaha memperbaiki dirinya dari segenap aspek kehidupannya. Amin.

Inilah perancangan pengurusan kerja saya pada percutian kali ini (Deepavali) dan akan datang (Raya Haji). Bila meneliti satu demi satu tugasan yang perlu dilakukan, barulah saya sedari betapa bernilainya masa itu. Sesungguhnya dalam kehidupan , kita mempunyai terlalu banyak tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Kata seorang ulama’:

“Sesungguhnya tanggungjawab yang kita miliki lebih banyak dari masa yang kita punyai”

Sebuah kata-kata hikmah berbahasa arab juga ada menyebut,

“ Masa itu ibarat pedang, seandainya kamu tidak memotongnya, ia akan memotong kamu”

Oleh yang demikian, saya cuba sedaya upaya menjaga waktu dan pengurusan kerja agar ia tidak dibazirkan dengan sesuatu yang sia-sia. Namun, baru-baru ini, semasa perjalanan ke KL, hampir 3 jam masa saya telah dibazirkan dengan sesuatu yang tidak berfaedah. Saya begitu menyesal kerana kesilapan melakukan keputusan dan akibatnya saya telah kehilangan 3 jam (180 minit,10800 saat).

Setiap saat itu sangat bernilai, dan saya rasa ingin menangis melihat 3 jam berlalu begitu sahaja. Barulah saya berfikir dan bermuhasabah semula, patutlah masa lalu itu merupakan perkara yang paling jauh bagi kita, kerana, apabila ia sudah berlalu, kita tidak mungkin memperolehnya semula. Begitu juga dengan umur kita. Contohnya, saya tidak mungkin mendapat semula umur 20 tahun saya yang lalu, dan kini, saya harus menghargai masa 21 tahun saya dengan sebaik-baiknya, agar ia tidak dipersiakan begitu sahaja.

Pernah saya berbicara dengan seorang kawan, dan beliau mengatakan, “ Saya tidak sabar untuk habis belajar”, dan saya bertanya, “mengapa mengatakan sedemikian?”. Jawabnya, beliau tidak sabar untuk memakai baju konvokesyen, bekerja, dan banyak lagi. Namun, pada saya, kita haruslah menghargai nikmat masa yang kita sedang lalui. Seandainya diizinkan Allah swt, kita pasti akan melalui semua itu. Namun, jika kita tidak menghargai masa yang kita sedang lalui, maka , kita akan menyesalinya suatu hari nanti. Seandainya ditanya kepada ibu bapa kita, mereka pasti ingin kembali ke masa mudanya. Oleh itu, saya merasa bahagia dengan nikmat masa yang sedang berada, saya masih ingin menghayati hidup sebagai seorang mahasiswa USM yang sangat menarik ini, saya sudah jatuh hati dengan USM, dalam masa yang sama, saya masih mempunyai terlalu banyak dan besar amanah di sini kerana kehadiran saya di sini merupakan satu amanah Illahi, dan harus saya tunaikan dengan sebaik-baiknya. Lalu, hari-hari dalam kehidupanku di sini merasa begitu bernilai, dan ingin sekali kusimpan kemas kenangan ini di dalam lembaran kamus hidupku agar ia menjadi sebuah kenangan yang tidak mungkin dilupakan, sehingga ke penghujung hidupku agar ia tidak menjadi satu sesalan di dunia dan di akhirat. Amin.

Apabila kita menyelami kehidupan insan yang berjaya dan cemerlang, pasti akan kita temui, mereka ini merupakan insan yang begitu menjaga waktunya dan seringkali tepat dalam membuat keputusan antara perkara yang lebih utama dengan yang kurang utama. Akhirnya mereka berjaya dalam kehidupannya. Namun, saya lebih suka melihat contoh-contoh mereka yang berjaya mengimbangkan urusan Dunia dan Akhiratnya. Alhamdulillah, setiap kali berjalan, saya pasti temui mereka ini, mereka sentiasa memiliki keperibadian muslim, tegas terhadap penggunaan waktunya, dan sememangnya mereka bukanlah orang sebarangan, tetapi orang yang berjaya dengan cemerlangnya di dalam setiap aspek kehidupannya. Jika kita sedari, menjaga waktu dan pengurusan kehidupan yang teratur adalah antara sifat-sifat mereka yang beramal. (10 sifat amilin). Inilah prinsip Islam yang harus kita pegangi untuk benar-benar menjadi hamba Allah yang berjaya.

“Ya Allah, rahmatilah waktuku”

Kadang-kala saya merasakan kita perlu juga menjadi orang kedekut. Kedekut terhadap tuntutan urusan yang tidak berfedah, dan pemurah terhadap urusan bermanfaat.

Seseorang pernah menegur saya dengan status ymnya:

“ Kamu perlu membuat pertimbangan yang bijaksana, sebelum membuat keputusan”

Pada mulanya saya rasa seperti tegurannya satu kesilapan (mungkin juga kerana keegoan dan tidak faham), kerana beliau tidak memahami situasi saya pada waktu itu. Namun pada hari ini, setelah saya benar-benar telah tersilap membuat keputusan, barulah saya faham akan maksudnya. Hal ini kerana, kesan membazirkan waktu itu amat dahsyat. Banyak perkara yang kita tidak dapat kecapi seandainya kita tidak merancang waktu dengan sebaik-baiknya. Wallahua’lam.

Kepada rakan-rakan yang pulang bercuti, semoga dapat menggunakan masa lapang ini dengan sebaik-baiknya untuk urusan yang bermanfaat di dunia dan di akhirat.semoga Allah merahmati waktu kalian dan kita semua. Setiap malam merupakan malam-malam yang membimbangkan bagi saya, kerana setiap hari saya akan bertanya kepada diri:

“ masih adakah hari esok untukku???”

Wassalam.

27 Oktober 2011

3.00p.m

Desasiwa Saujana

USM



Monday, October 17, 2011


SATU CINTA

Ku memohon dalam sujudku pada-Mu

Ampunkanlah segala dosa dalam diri

Ku percaya Engkau bisa meneguhkan

Pendirianku....... Keimananku.......

Ku memohon dalam sujudku pada-Mu

Ampunkanlah segala dosa dalam diri

Ku percaya Engkau bisa meneguhkan

Pendirianku....... Keimananku.......

Engkau satu cinta

Yang selamanya aku cari

Tiada waktu ku tinggalkan

Demi cintaku kepada-Mu

Walau seribu rintangan

Kan menghadang salam diri

Ku teguhkan hati ini

Hanya pada-Mu

Ku pasrahkan.......

Oh Tuhan .... selamatkanlah hamba ini

Dari segala fatamorgana dunia

Oh Tuhan .... jauhkanlah hamba ini

Dari hidup yang sia-sia

Pengirim : Khashtury_kind

4.58 a.m

18 Oktober 2011

Desasiswa Saujana,

USM

17 Oktober Hari Bermakna Buatku...



Assalamua'laikum wbt,

Sidang pembaca yang dirahmati Allah swt sekalian,

Semoga sentiasa berada di dalam Sakinah Imaniyah.

17 Oktober merupakan detik yang sangat bermakna dalam kehidupan saya. Pada tarikh ini bermulalah episod baru dalam kehidupan saya yang akan saya ingati sepanjang kehidupan saya. Pada hari ini, ada hati-hati yang bahagia, dan ada pula hati-hati yang berduka. Pelbagai perkara telah berlaku setelah berlalunya tarikh ini, lalu saya dapati, saya berada di tengah-tengah antara kegembiraan dan kedukaan. Semoga kedukaan itu akan hilang apabila hari berganti hari. Semoga kegembiraan itu akan kekal sehingga menuju ke gerbang syurgawi.

Sesungguhnya kehidupan ini merupakan sebuah ujian. Allah menciptakan pada setiap manusia itu pelbagai jenis ujian yang berbeza-beza. Hal ini disebabkan Allah swt Maha Mengetahui di mana kelemahan hamba-hambaNya, lalu Dia menciptakan ujian yang terbaik buat setiap hamba-hambaNya supaya mereka sentiasa kembali mengingatiNya seandainya mereka telah jauh dalam kelalaian dan kealpaan. Teringat saya akan sebuah hadis qudsi:

"Sesungguhnya ,diantara hamba-hambaKu,ada yang imannya tidak menjadi baik kecuali dengan kefakiran.Jika aku lapangkan rezekinya,maka imannya akan rosak.Diantara hamba-hambaKu ada yang imannya tidak menjadi baik melainkan dengan kondisi kaya.Jika aku membuatnya fakir,pasti imannya rosak. Diantara hamba-hambaku,ada yang imannya tidak menjadi baik,melainkan dengan kondisi sakit,seandainya aku sihatkannya,imannya pasti rosak.Aku mengatur hamba-hambaKu dengan pengetahuanKu terhadap apa yang ada dalam HATI mereka.Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Lembut."

Hadith Qudsi


Inilah yang dikatakan warna-warna kehidupan. Apabila Allah menciptakan ujian yang berbeza-beza, barulah ada jalan penyelesaian yang juga berbeza-beza. Seandainya dunia ini hanya terbentuk di antara 2 warna, putih dan hitam, maka, ia akan menjadi pudar dan suram. Begitu jugalah hari-hari dalam kehidupan kita. Pasti ada ketikanya kita gembira, ada kalanya kita rasa marah, dan ada juga masanya kita berduka. Inilah sifat manusia yang punya naluri tetapi alangkah indahnya seandainya kesemua sifat itu kita dorongkan di tempat yang betul. Barulah ia tidak menjadi sia-sia umpama debu-debu yang beterbangan.


Saya sentiasa berdoa agar Allah swt mentakdirkan sesuatu yang terbaik setelah berlalunya hari ini. Terbaik untuk kemaslahatan semua. Kadangkala di hati ini ada suatu perasaan bimbang, perasaan yang tidak mampu diceritakan, namun, hanya kepada Allah diri ini bertawakkal.


" Cukuplah Allah bagiku, ke atasNya daku bertawakkal, sesungguhnya Dialah Rabb Pemilik Arsy Yang Agung"


Hari ini merupakan hari Lahir seorang sahabat saya, kak Raja Umir Yasha yang dikasihi Lillahitaala, 17 oktober 2011, genap usianya, 22 Tahun. Saya turut rasa bahagia meraikan hari kematangan usianya. Semoga beliau sentiasa rasa bahagia dan mencapai kebahagiaan yang beliau inginkan di dunia dan di akhirat. Doa saya sentiasa mengiringi perjalanan kehidupan beliau. Indahnya sebuah persahabatan kerana Allah, kerana kita akan sentiasa memiliki rasa kasih dan sayang kepada saudara kita, walaupun mereka tidak ada pertalian darah dengan kita. Persahabatan kerana Allah menuntut pelbagai pengorbanan dan setiasa rasa bahagia apabila ia dapat berkorban dan memberi sesuatu yang menjadi keperluan sahabatnya itu.

Semoga ikatan ukhuwah Islamiyah di antara kami kekal hingga ke syurga Illahi kerana itulah tujuan sebuah persahabatan. Ingin bertemu di syurga Firdausi. Amin.

Hari ini sungguh bermakna bagi saya...sungguh bermakna...^_^


Wassalam..

7.00 p.m
17 Okbober 2011
Perpustakaan Usm.



Sunday, October 16, 2011

-Bagaimana Warna Mempengaruhi Personaliti Kehidupan ?-

Assalamua'laikum wbt,

Sidang pembaca yang dikasihi Lillahitaala,

Semoga kita semua sentiasa berada di dalam limpahan rahmat serta kasih sayang Allah swt yang begitu luas, yang begitu besar, mengatasi segala kasih sayang yang ada di langit dan di bumi. Allahuakbar!!! Allah Maha Besar. Semoga sehari-hari dalam kehidupan ini, Allah swt sentiasa membuka peluang kepada kita untuk merasai keberadaanNya. Inilah sebuah nikmat yang terindah dalam kehidupan ini, iaitu nikmat merasai Muraqabatullah.


Pada kesempatan ini, suka saya kongsikan bersama sidang pembaca sekalian, sedikit pembacaan saya mengenai sebuah anugerah Allah yang begitu Agung, namun jarang-jarang sekali diperhati oleh kita sebagai manusia iaitu "Kepelbagaian Warna Yang Mencorak Sebuah Kehidupan".

Alhamdulillah. Sebenarnya, saya telah memilih tajuk “ Bagaimana warna dapat mempengaruhi personaliti manusia?” dalam IOP (Individual Oral Presentation) dalam subjek yang saya sedang ambil untuk semester ini. Saya telah melakukan sedikit pembacaan mengenai warna yang sebenarnya memberi pengaruh besar terhadap kehidupan kita. Disebabkan saya suka mengkaji mengenai psikologi dan personaliti manusia dari pelbagai aspek, pada kesempatan ini, saya merasa amat bersyukur kerana diberi peluang untuk mengkaji mengenai bagaimana warna-warni ini begitu memberi kesan terhadap personaliti manusia. Saya sentiasa berdoa agar dapat meneruskan pengajian setelah tamat ijazah pertama dengan master mengenai “Psikologi Dalam Pendidikan”. Oleh itu , saya dapat mengkaji psikologi manusia terhadap segala kecenderungannya. Amin. Mohon didoakan..^_^

Mukadimah & Muhasabah

Cuba kita bayangkan kehidupan ini andai kata dibayangi hanya dengan 2 warna sahaja, iaitu hitam dan putih? Sudah tentu kehidupan menjadi suram dan pudar. Namun, Allah swt yang Maha Mengetahui akan fitrah kemanusiaan, maka Dia dengan segala kemurahanNya, menciptakan dunia ini dengan pelbagai jenis warna sebagai penyeri kehidupan manusia. Hal yang paling utama ialah, dalam setiap ciptaan dan kejadian alam ini, Allah swt, sentiasa memberi peluang kepada manusia untuk melihat dan berfikir akan kekuasaanNya, lalu menjadi hamba yang sentiasa bersyukur dan bertaubat. Seperti saya sering ulang-ulangkan terhadap diri sendiri, hari-harimu merupakan peluang untuk memilih arah tujuanmu, Syurga atau Neraka. Oleh itu, Allah swt sentiasa memberi peringatan kepada kita untuk sentiasa kembali kepadaNya, walaupun dalam kepelbagaian warna alam ini, supaya kita sentiasa melihat Allah swt di dalamnya.

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka." (Ali Imran/3:190-191)

Orang mukmin itu tidak memandang sesuatu dengan pandangan yang kosong. Mereka sentiasa melihat dengan hati, menatap dengan iman, lalu, sentiasa timbul kekaguman di hati mereka terhadap Pencipta Alam yang begitu cantik ini . Setiap kali mereka melihat, menghayati, dan mengkaji, maka bertambah mantaplah keimanan mereka sehari-hari, lalu, iman itu akan menggerakkan amal , untuk sentiasa melaksanakan ketaatan untuk membuktikan keikhlasan cinta kepada Allah swt dan RasulNya. Hal ini disebabkan orang mukmin itu sentiasa merindui saat bertemu Illahi. Andai kata alam ciptaan ini pun tidak dapat diceritakan betapa cantik dan indahnya, sudah tentu Penciptanya lebih-lebih cantik daripada kejadian ciptaanNya. Oleh itu, mereka akan berlumba-lumba untuk melaksanakan amal soleh, kerana mereka sentiasa berharap bisa menatap wajah Rabb yang dirinduinya. Seperti sebuah hadis:

" Sesungguhnya Allah itu Cantik dan suka akan Kecantikan"

Ada juga manusia yang terhenti jiwanya setakat mengkagumi keindahan alam namun tidak merasa ta'jub dengan Penciptanya. Betapa alam ini adalah lukisan kebesaran dan keagungan Allah SWT maka rugilah jiwa-jiwa yang sekadar mengkagumi lukisan tetapi tidak Pelukisnya.

Lihatlah pergantian siang dan malam, bayangkan jika kita melihatnya untuk kali yang pertama dalam hidup kita. Tidakkah kita menemui kehalusan, kesempurnaan, kehebatan dan keagungan. Bukankah Allah SWT tidak jadikan semua ini sia-sia. Bahkan mukmin yang melihat keindahan ini akan menghubungkan terus kejadian ini dengan hari kepulangannya kepada Allah SWT. Betapa segala keindahan ini akan sirna, betapa semua ini hanyalah sementara dan betapa semua kita akan kembali kepadanya sehingga akhirnya ia terus tersungkur sujud sambil berdoa "Ya Allah, selamatkanlah diriku dari Api Neraka"

Bagaimana terjadinya warna warni? :

Walaupun kadangkala dipandang ringan oleh manusia tetapi sebenarnya warna mempunyai bahasanya sendiri yang memberi kesan psikologi dan fisiologi kepada hidupan di muka bumi.

Warna terbina daripada gelombang cahaya yang berbeza-beza. Setiap gelombang pula bergetar pada kelajuan yang berlainan yang dipanggil frekuensi. Frekuensi pula membawa bersama tenaga. Dapat kita fahami di sini bahawa kepelbagaian warna membawa bersama tenaga yang mempengaruhi setiap tindakan kita.

Perbezaan waktu Siang & Malam

Siang membawa sinaran cahaya, warna-warna yang terang ,aksi, aktiviti dan peningkatan kadar metabolisma.

Malam membawa kesejukan, rasanyaman, warna suram, kerehatan, ketidakaktifan dan pergerakan yang lebih perlahan.


Mari kita melihat serba sedikit mengenai bagaimana setiap jenis warna mempunyai pengaruhnya yang tersendiri ? dan cuba kenali diri kita pada setiap warna-warna aura yang kita minati.















Semoga sedikit perkongsian ilmu ini , bermanfaat buat kita untuk mengenali diri sendiri. Semua ini merupakan satu kajian manusia yang terbatas had dan pemikirannya. Namun, segala yang baik itu boleh kita jadikan iktibar dan inspirasi untuk menjalani kehidupan seharian. Segala yang lemah itu, sama-sama kita perbaiki kearah menjadi seorang manusia yang berkualiti disisi Allah swt terutamanya dan bermanfaat buat insan lain. Insha'Allah.


Akhir kata, doakanlah saya untuk menjalankan IOP pada hari Jumaat ini, insha'Allah, sedang membuat persediaan. Semoga Allah membantu melancarkannya. Banyak lagi sebenarnya bahan yang perlu dibaca dan semuanya sangat menarik. Terima kasih kepada mereka-mereka yang membantu saya mencari bahan rujukan, Kak Izzati Ismail, Kak Atiqah Amran, Kak Herna dan sahabat-sahabat yang lain. Subhanallah. Indahnya ukhuwah Islamiyah.

rujukan:
1. Al-Quran & Hadis
3. Kenali Personaliti Melalui Psikologi warna , Bahagian Pembangunan Keluarga, LPPKN

Wassalam.

17 Oktober 2011
7.18 a.m
Desasiswa Saujana,
Universiti Sains Malaysia.


Friday, October 14, 2011

"KONVENSYEN WANITA KEBANGSAAN 2011"



AUDITORIUM MASJID PUTRA PUTRAJAYA
Tarikh: 29 OKTOBER 2011
Masa: 8.00 am- 5.30 pm


"WANITA PENCORAK GENERASI PEWARIS"

Konvesyen Wanita Kebangsaan 2011 merupakan wadah yang penting bagi meningkatkan ilmu, pengalaman melalui perbincangan secara ilmiah dan ber-struktur. Ia juga amat bermanfaat kerana menjadi jambatan penghubung antara wanita agar dapat bersama-sama memberi pandangan dan pendapat demi kebaikan masyarakat seluruhnya. Konvensyen juga merupakan wadah yang terbaik untuk memberi peluang kepada pembentang kertas kerja, ahli panel forum dan peserta mengemukakan idea-idea baru serta pendapat yang bernas kearah mengukuhkan organisasi sesebuah negara. Antara lain konvensyen ini juga akan dijadikan medan pertemuan dengan tokoh-tokoh Wanita dalam negara yang aktif dalam memberi sumbangan khidmat kepada masyarakat diperingkat Nasional mahupun antarabangsa.


Antara Pembentang Kertas Kerja ialah:-
1) Prof. Madya Dr Asmawati Desa (UKM)
2) Prof Dr Jawiah Dakir (Institut Islam Hadhari UKM)
3) Dr Abdullah Sudin Abdul Rahman (HALUAN MALAYSIA)

Forum:- Peranan Wanita Dalam Mencorak Masa Depan Generasi Pewaris
1) Prof. Dr Salasiah Hanun Hamjah (UKM)
2) Puan Ezura Nasuha Abdul Hadi (Haluanita)
3) Puan Hajjah Saimah Mokhtar (JAKIM)
4) Puan Norizan Mohamad Noh (Moderator)

Siapakah yang boleh hadir dalam konvensyen ini?
KAKITANGAN /PEGAWAI KEMENTERIAN
KAKITANGAN PEGAWAI MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI
PEGAWAI JABATAN MUFTI NEGERI
PENDIDIK/PENSYARAH IP-TA/IPTS
MAHASISWI IPTA/IPTS
PERTUBUHAN BUKAN KE-RAJAAN (NGO)
AKTIVIS MASYARAKAT
PARA PENDIDIK
ORANG RAMAI

Kehadiran/pendaftaran adalah PERCUMA
Daftar di sini. Klik sini

ANJURAN BERSAMA
BIRO HALUANITA (HALUAN)
DAN MASJID PUTRA PUTRAJAYA



Marilah kita bersama-sama berganding bahu dan memainkan peranan penting dalam mencorak generasi pewaris dalam menentukan halatuju mereka disamping merangka gerak kerja dan pelan tindakan untuk dilaksanakan bersama demi Agama, Bangsa dan Negara....


Ayuh Semua!!!


!

Thursday, October 6, 2011

Ujian Itu Hadiah Cinta dari Pencipta


Assalamua'laikum wbt,

Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah swt, kerana dengan limpahan keizinanNya, daku masih lagi diberi peluang untuk menatap sinar mentari di pagi Khamis yang indah lagi mendamaikan hati. Di saat satu persatu nyawa telah bercerai dari tubuhnya, Allah swt dengan segala kemurahan kasihNya, masih lagi sudi memberi peluang kepadaku untuk meneruskan perjalanan hari yang penuh ranjau dan duri ini. Sesungguhnya hari-hari yang ku tempuhi merupakan peluang-peluang yang diberi oleh Allah swt untuk terus, terus dan terus menjalankan amanah sebagai hambaNya di dunia ini. Terus berusaha memperbaiki diri dalam rangka untuk mencapai tahapan sebaik-baik manusia di sisiNya iaitu insan TAQWA.

Namun begitu, telah tertulis bahawa hidup ini tidak akan semudah yang kita sangka. Apabila kita telah bersyahadah kepada Allah bahawa, kita meyakini bahawa Allah swt sebagai Illah, dan Nabi Muhammad sebagai Rasul Allah, kita perlu bersedia menyahut segala seruan ujian. Ujian perhambaan, ujian untuk membuktikan kita benar-benar hamba yang ikhlas. Dan keikhlasanku pada hari ini benar-benar teruji.

Semalam, saya telah berkongsi sebuah kata-kata ulama' bersama sahabat-sahabat saya melalui penghantaran sms.


"Kesulitan dalam misi dakwah itu merupakan hadiah dari Allah yang dikhaskan hanya bagi hamba-hambaNya yang layak untuk menjadi pendukung agamaNya. Hadiah kesulitan inilah yang menjadi pintu untuk memasuki ke kota iman yang suci. bersyukurlah dengan ujian kesusahan berbanding ujian kesenangan. "Aku tidak pernah kekal sihat melainkan hanya beberapa ketika sahaja. Aku gembira kerana Tuhan suka menguji hambaNya yang beriman. Aku gembira kerana aku tergolong di dalam golongan tersebut", -Imam Syafie-


Sebuah kata-kata Imam Syafi'e ini benar-benar menyentuh sudut kecil hatiku, kerana rupa-rupanya kesulitan yang dirasai ketika menjalankan amanah Dakwah dan Tarbiyah ini, merupakan sebuah hadiah, merupakan sebuah kemanisan. Di mana, dengan hadirnya kesulitan ini, ia akan meresapkan Iman ke dalam hati-hati mereka yang teguh kesabarannya dan tetap meyakini janji Tuhannya.


Lalu, pada pagi ini, Allah swt telah menghadiahkan saya ujian ini secara praktikalnya. Sepanjang cuti yang lalu, saya sedaya upaya menyenaraikan segala kelemahan yang perlu saya perbaiki, supaya kelemahan itu tidak berulang lagi. Namun begitu, hanya Allah swt sahaja yang tahu, betapa sedihnya hati ini,apabila melihat kelemahan itu diulang lagi. Saya cuba melakukan yang terbaik, namun ....

Saya tidak merasa marah dengan sesiapa, namun, memandang ke dalam diri sedalam-dalamnya, lalu saya bertanya diri, "kenapa hatiku merasa begitu sakit??? kenapa masih mengulangi kesilapan ini?? benarkah kesilapan ini dari diriku???" Lalu, daku panjangkan istigfar dan zikirku, agar syaitan tidak terus membelenggu diriku dengan api kemarahan. Perlahan-lahan ku ukirkan senyuman walaupun sungguh perit hati ini untuk tersenyum. Akhirnya sedikit demi sedikit curahan air kesabaran melimpahi ruangan hati.

Teringat kata-kata seorang sahabat saya, keperitan itu merupakan kekuatan jiwa seandainya kita menghayati indahnya sebuah kesabaran. Kita bersabar apabila dimarahi, dan tidak membalas dengan kekasaran, kita bersabar dengan kelemahan orang lain, dan tidak menghamburkan kata-kata yang tidak sopan, maka, ia akan menjadi makanan bagi roh, sumber ketenangan bagi hati.


Saya sentiasa berharap, agar setiap kelemahan diri ini, tidak akan mempengaruhi insan lain. Saya ingin melihat insan di sekeliling merasa bahagia dan mereka mendapat hak mereka ke atas diri saya sebagai sahabat dan sebagai seorang manusia dengan sebaik-baiknya. Namun begitu, saya harus akur bahawa, saya hanyalah seorang manusia, dan saya adalah tidak sempurna. Saya harus lakukan yang terbaik dalam setiap perkara dalam hidup ini, walaupun mungkin di dalam perjalanan itu, kesakitan dan keperitan menghiasi perjalanan hari....


p/s: tak sabar untuk pulang pada esok hari...namun, sebelum itu perlu terus berusaha untuk menjawab test 1 Aljabar dan menyiapkan Asignment Aljabar & LSP 402....^_^.. Senyumlah dengan Ilmu.......


7.02 p.m
6 Oktober 2011
Usm



Tuesday, October 4, 2011

Tanggal 1 Oktober 2011 Yang Bermakna....


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi,




Segala puji bagi Allah swt, Rabb Yang Maha Pencinta Lagi Maha Pencipta. Sesungguhnya hanya dengan limpahan dan keizinan dariNya, Dia dengan segala kemurahan kasih sayangNya membenarkan daku mencelikkan mata lagi di pagi yang penuh barakah ini. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.

Pada tanggal 1 Oktober 2011 yang lalu, genap usiaku memasuki 21 Tahun. Alhamdulillah, syukur ku panjatkan kepadaNya, kerana sehingga ke saat ini, Dia masih memberi daku peluang untuk terus memanjang, mempertingkatkan amal ibadahku, agar kehidupanku dan umurku ini tidak menjadi sesuatu yang sia-sia di dunia dan di akhirat. Namun, jauh di sudut hatiku, terdapat satu getaran, di situ ada keresahan dan kebimbangan. Teringat daku akan sebuah ucapan peringatan dari temanku mengenai sebuah kata-kata ulama', Ibnu Mas'ud ra:

" Perkara yang paling sedih bila tibanya tahun baru adalah umurku bertambah
tetapi amalanku tidak bertambah"

Mungkin inilah salah satu keresahan yang sedang bermain di benak fikiranku. Apakah kematangan amalku sedang bertambah seiring dengan kematangan usiaku. Lalu, daku bersimpuh di atas sejadah cintaku semoga pada usia ini, hari-hari yang ku tempuhi pada usiaku ini, membawa manfaat buat kebaha
giaan akhiratku.

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang telah diperbuat untuk hari esok (akhirat). Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” Surah Al-Harsy :18


Seiring dengan pertambahan usia ini juga, apa yang kulihat setelah ku kaji satu persatu hanyalah amanah yang besar sebagai seorang khalifah Allah di muka bumi ini. Usiaku ini merupakan satu amanah besar Rabbku yang harus daku pergunakan untuk kemaslahatan DeenNya. Walaupun, jauh di sudut hati, daku punyai keinginan-keinginan manusiawi, harus ku sabar mendidik nafsuku, agar hubunganku dengan Pencipta tidak layu dan terus mekar dan segar menghiasi kehidupanku.




Buat teman-temanku yang memberi ucapan dan doa tanda peringatan, hadiah-hadiah yang begitu bermakna, jazakumullahukhairan kathira daku ucapkan. Sungguh terharu hati ini apabila saban hari dipenuhi sms dan ucapan-ucapan di ruangan FB, subhanallah, rabithah Allah telah mengikat hati-hati kami dengan ikatan Rabbani. Betapa daku bersyukur dikurniakan teman-teman seindah pelangi. Setiap ucapan begitu bermakna buatku, kerana ia merupakan satu doa yang ikhlas dari seorang sahabat kepada sahabatnya. Moga para malaikah mengerbangkan sayapnya, mendoakan para khalifah ini. Lalu, ku doakan semoga mereka juga berbahagia dan sentiasa bersabar dan teguh meniti hari-hari dalam hidup mereka. Semoga ikatan ukhuwwah mahabbah antara kami akan menjadi saksi yang melayakkan kami melangkah ke syurga Illahi.

Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda; "ALLAH berfirman: Pasti mendapat cinta-KU orang-orang yang saling cinta kerana-KU, orang-orang yang duduk bersama kerana-KU, orang-orang yang saling mengunjungi kerana-KU dan orang-orang yang saling memberi kerana-KU."

[Hadith Riwayat: Malik, Imam Ahmad, Ibnu Hibban, Hakim]


Hari ini juga merupakan satu kejutan buatku apabila melihat penurunan beratku secara mendadak (40 --> 3+ ) kg. Harap-harap ianya cuma kesan sampingan disebabkan masih belum dapat sesuaikan diri dengan makanan di sini.


Hari-hari dalam hidupku terasa semakin sibuk dengan tuntutan-tuntutan amanah sebagai seorang khalifah. Semoga kesibukanku ini tidak menjauhkan diriku daripada amanah perhambaanku kepada Illahi. Amin.


1 Oktober yang bermakna, mendapat jemputan kenduri kahwin kakak dari teman sebilikku, jazakillahukhairan kathira Ati (Nur Hayati) atas layanan yang terbaik. Alhamdulillah, sangat bersyukur dipertemukan denganmu. Hadiah bermakna buatku...(ambil berkat..hehe)


Terima kasih untuk segala-galanya.May Allah blessing be with all of u.......^_^