Wednesday, October 26, 2011

MASA AMAT MENCEMBURUIKU!!!

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamua’laikum wbrt,

Sidang pembaca yang dirahmati Allah swt lagi dikasihi Rasulullah saw,

Segala puji hanya bagi Allah swt, Rabb Pemilik Sekalian Alam. Selawat dan salam utusan jiwa buat Rasulullah saw, suri tauladan terbaik sepanjang zaman serta para sahabatnya yang unggul.

“ Demi masa! (1) Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian (2) Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati kepada kebenaran dan mereka yang menasihati kepada kesabaran. (3)” (Surah Al-Asr)

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah swt, kerana sehingga pada saat ini, Dia dengan segala limpahan kasih sayangNya masih sudi menghadiahkan daku nikmat bernafas buat sehari lagi. Hadirnya detik ini juga membawa suatu amanah besar yang perlu digalasi oleh bahuku yang tidak bermaya ini, iaitu amanah seorang hamba kepada Rabbnya, amanah seorang umat kepada Rasulnya, amanah seorang anak kepada ibu bapanya, amanah seorang penuntut terhadap ilmunya, amanah sebagai seorang muslim terhadap muslim yang lain dan sebagainya.

Sesungguhnya sahabat-sahabatku, setiap helaan nafas ini merupakan satu peluang dan anugerah untuk kita terus berusaha memperbaiki diri dan kehidupan kearah mencapai satu matlamat besar yang menjadi impian setiap insan bernama mukmin iaitu Mardhatillah (keredhaan Allah). Namun, semua ini tidak mengkin disedari oleh mereka yang punya keraguan di hatinya. Ia hanya disedari oleh mereka yang benar-benar serius terhadap urusan akhiratnya dan mereka yang benar-benar yakin akan pertemuan dengan Rabbnya sertaberusaha dengan bersungguh-sungguh untuk keluar dari lamunan yang tidak berpenghujung lalu bangun dan melangkah menjadikan mimpi satu realiti. Moga-moga Allah swt sentiasa memelihara setiap langkahan kaki hamba-hambaNya, dan tidak menjadikan kehidupan kita sesuatu yang rugi dan sia-sia serta mengurniakan ganjaran yang besar terhadap golongan hamba yang sentiasa berusaha dan berusaha memperbaiki dirinya dari segenap aspek kehidupannya. Amin.

Inilah perancangan pengurusan kerja saya pada percutian kali ini (Deepavali) dan akan datang (Raya Haji). Bila meneliti satu demi satu tugasan yang perlu dilakukan, barulah saya sedari betapa bernilainya masa itu. Sesungguhnya dalam kehidupan , kita mempunyai terlalu banyak tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Kata seorang ulama’:

“Sesungguhnya tanggungjawab yang kita miliki lebih banyak dari masa yang kita punyai”

Sebuah kata-kata hikmah berbahasa arab juga ada menyebut,

“ Masa itu ibarat pedang, seandainya kamu tidak memotongnya, ia akan memotong kamu”

Oleh yang demikian, saya cuba sedaya upaya menjaga waktu dan pengurusan kerja agar ia tidak dibazirkan dengan sesuatu yang sia-sia. Namun, baru-baru ini, semasa perjalanan ke KL, hampir 3 jam masa saya telah dibazirkan dengan sesuatu yang tidak berfaedah. Saya begitu menyesal kerana kesilapan melakukan keputusan dan akibatnya saya telah kehilangan 3 jam (180 minit,10800 saat).

Setiap saat itu sangat bernilai, dan saya rasa ingin menangis melihat 3 jam berlalu begitu sahaja. Barulah saya berfikir dan bermuhasabah semula, patutlah masa lalu itu merupakan perkara yang paling jauh bagi kita, kerana, apabila ia sudah berlalu, kita tidak mungkin memperolehnya semula. Begitu juga dengan umur kita. Contohnya, saya tidak mungkin mendapat semula umur 20 tahun saya yang lalu, dan kini, saya harus menghargai masa 21 tahun saya dengan sebaik-baiknya, agar ia tidak dipersiakan begitu sahaja.

Pernah saya berbicara dengan seorang kawan, dan beliau mengatakan, “ Saya tidak sabar untuk habis belajar”, dan saya bertanya, “mengapa mengatakan sedemikian?”. Jawabnya, beliau tidak sabar untuk memakai baju konvokesyen, bekerja, dan banyak lagi. Namun, pada saya, kita haruslah menghargai nikmat masa yang kita sedang lalui. Seandainya diizinkan Allah swt, kita pasti akan melalui semua itu. Namun, jika kita tidak menghargai masa yang kita sedang lalui, maka , kita akan menyesalinya suatu hari nanti. Seandainya ditanya kepada ibu bapa kita, mereka pasti ingin kembali ke masa mudanya. Oleh itu, saya merasa bahagia dengan nikmat masa yang sedang berada, saya masih ingin menghayati hidup sebagai seorang mahasiswa USM yang sangat menarik ini, saya sudah jatuh hati dengan USM, dalam masa yang sama, saya masih mempunyai terlalu banyak dan besar amanah di sini kerana kehadiran saya di sini merupakan satu amanah Illahi, dan harus saya tunaikan dengan sebaik-baiknya. Lalu, hari-hari dalam kehidupanku di sini merasa begitu bernilai, dan ingin sekali kusimpan kemas kenangan ini di dalam lembaran kamus hidupku agar ia menjadi sebuah kenangan yang tidak mungkin dilupakan, sehingga ke penghujung hidupku agar ia tidak menjadi satu sesalan di dunia dan di akhirat. Amin.

Apabila kita menyelami kehidupan insan yang berjaya dan cemerlang, pasti akan kita temui, mereka ini merupakan insan yang begitu menjaga waktunya dan seringkali tepat dalam membuat keputusan antara perkara yang lebih utama dengan yang kurang utama. Akhirnya mereka berjaya dalam kehidupannya. Namun, saya lebih suka melihat contoh-contoh mereka yang berjaya mengimbangkan urusan Dunia dan Akhiratnya. Alhamdulillah, setiap kali berjalan, saya pasti temui mereka ini, mereka sentiasa memiliki keperibadian muslim, tegas terhadap penggunaan waktunya, dan sememangnya mereka bukanlah orang sebarangan, tetapi orang yang berjaya dengan cemerlangnya di dalam setiap aspek kehidupannya. Jika kita sedari, menjaga waktu dan pengurusan kehidupan yang teratur adalah antara sifat-sifat mereka yang beramal. (10 sifat amilin). Inilah prinsip Islam yang harus kita pegangi untuk benar-benar menjadi hamba Allah yang berjaya.

“Ya Allah, rahmatilah waktuku”

Kadang-kala saya merasakan kita perlu juga menjadi orang kedekut. Kedekut terhadap tuntutan urusan yang tidak berfedah, dan pemurah terhadap urusan bermanfaat.

Seseorang pernah menegur saya dengan status ymnya:

“ Kamu perlu membuat pertimbangan yang bijaksana, sebelum membuat keputusan”

Pada mulanya saya rasa seperti tegurannya satu kesilapan (mungkin juga kerana keegoan dan tidak faham), kerana beliau tidak memahami situasi saya pada waktu itu. Namun pada hari ini, setelah saya benar-benar telah tersilap membuat keputusan, barulah saya faham akan maksudnya. Hal ini kerana, kesan membazirkan waktu itu amat dahsyat. Banyak perkara yang kita tidak dapat kecapi seandainya kita tidak merancang waktu dengan sebaik-baiknya. Wallahua’lam.

Kepada rakan-rakan yang pulang bercuti, semoga dapat menggunakan masa lapang ini dengan sebaik-baiknya untuk urusan yang bermanfaat di dunia dan di akhirat.semoga Allah merahmati waktu kalian dan kita semua. Setiap malam merupakan malam-malam yang membimbangkan bagi saya, kerana setiap hari saya akan bertanya kepada diri:

“ masih adakah hari esok untukku???”

Wassalam.

27 Oktober 2011

3.00p.m

Desasiwa Saujana

USM



No comments:

Post a Comment