Tuesday, November 8, 2011


NOVEL ‘ISABELLA ‘-ANTARA KEBENARAN DAN KEBATHILAN

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang,

Sidang pembaca yang dirahmati Allah swt Lagi disayangi Rasulullah saw,

Segala puji hanya bagi Allah swt, Rabb Yang Maha Pemilik dan Pemelihara Deen Islam yang Sempurna lagi Mulia ini. Selawat dan salam diutuskan buat Rasul Junjungan Umat, Rasulullah saw serta ahli keluarga dan para sahabatnya yang unggul.

Baru-baru ini, saya telah menghabiskan pembacaan sebuah novel bertajuk “ISABELLA” yang dianjurkan oleh seorang guru saya untuk membacanya. Alhamdulillah. Novel ini sememangnya telah membongkarkan Kebenaran Islam dan Al-Quran serta kepalsuan Kitab Injil kini. Novel ini juga membongkarkan situasi sebenar yang berlaku dalam agama Kristian yang dianggap mulia oleh penganutnya, siapakah sebenarnya paderi (father & sister) yang bertindak sebagai pengampun dosa dan bagaimana cara hidup mereka yang sebenarnya, dan apakah yang akan dikenakan bagi mereka yang ‘murtad’ dari agama tersebut.

Novel ini mengisarkan kisah benar seorang gadis kristian bernama Isabella, seorang anak perempuan kepada seorang paderi terkenal di Cordova, Sepanyol. Pada mulanya, Isabella sentiasa cuba untuk mencari kebenaran tentang agamanya, Kristian dan berusaha menghayati prinsip-prinsip agama yang dianuti oleh keluarganya itu. Hinggalah datangnya sebuah cahaya kebenaran di mana satu keraguan telah menyusupi hidupnya tentang kejanggalan agama Kristian yang dianutinya. Ketika kebenaran mula terbentang dihadapannya, beliau mula meraih Islam sebagai agama baru. Beliau dengan berani menentang kehendak bapanya walaupun disiksa di sebuah tempat penyiksaan bagi mereka yang ‘murtad’ dari agama itu dipanggil INKUISISI.

Sedikit dari pembacaan penting yang saya rasakan perlu dikongsi bersama sidang pembaca sekalian,

Antara kata-kata Isabella , seorang wanita Muslim yang begitu berani membongkarkan kebenaran Islam berdasarkan pengkajian yang mendalam, dan bukti-bukti yang jelas bersumberkan Kitab Al-Quran yang Mulia dan Kitab Injil sendiri, apabila berhadapan dengan penyiksaan INKUISISI

“Setelah menjadi Islam, tiap-tiap orang telah menjadi hamba Tuhan yang dirahmati dan tidak ada yang lebih beruntung daripada mereka yang telah diberi peluang untuk menerima Islam kerana hanya inilah sahaja agama yang diredhai Allah swt.”

Kata paderi:

“ Jangan memuji-muji agama terkutuk seperti Islam di hadapan kami. Kami cuma mahu mendengar 2 perkataan saja, apakah kau mahu mati atau hidup di dalam agama Kristian?”

Isabella menjawab:

“ Betapa perit penderitaan dan siksaan yang telah dialami oleh martir-martir kristian pada zaman permulaan dahulu, tetapi mereka tidak membuang agamanya. Mereka telah dibakar hidup-hidup, dicampak ke kandang harimau dan singa dan dipotong dua, tetapi mereka tetap berpegang teguh pada kepercayaannya. Andai kata kerana KEIMANAN seseorang itu mesti menghadapi kematian maka itu bermakna dia telah mendapat keredhaan Tuhan dan mendapat kepuasan batinnya sendiri. Saya sekarang telah berada di jalan yang benar dan tidak ada satupun di dunia bahkan kematian juga dapat memesongkan pendirian saya. Kitab suci Al-Quran telah mengajar saya bahawa SOLAT saya, PENGORBANAN saya, HIDUP dan MATI saya HANYA untuk ALLAH yang tidak ada sekutu bagi-NYA. Saya sudah bertekad untuk tetap MEMPERTAHANkannya dan saya termasuk orang-orang yang bertaqwa”

Doa Isabella ketika benar-benar dalam kebuntuan begitu menyentuh hati kecil saya:

“ Ya Allah. Berikanlah kepadaku kasihMu dan juga kepada orang-orang yang mendapat rahmatMu. Ya Allah. Limpahkanlah cahaya Islam dan tauhid ke dalam hatiku dan jadikanlah ketaatanku kepada Rasul-Mu sebagai jalan hidupku. Ya Allah. Aku bersyukur kepadaMu kerana telah menjadikan aku salah seorang pengikut rahmat dunia. Ya Allah. Cucurilah hidayah kepada ibu bapaku, keluargaku dan semua orang-orang Kristian dan mereka yang sesat dari rahmat Islam. Berilah kami semua, hidup dan mati dalam agama Islam. Ya Allah. Makhbulkanlah doa hambaMu yang tertekan ini kerana Engkau Maha Mengetahui dan Maha Melihat. ”


Setelah membaca novel ini, saya merasakan begitu bersyukur kerana dilahirkan dalam keadaan muslim. Barulah saya faham mengapa acapkali perkataan bersyukur kepada Allah kerana dilahirkan dalam nikmat islam dan nikmat Iman meniti di bibir-bibir setiap penceramah yang ingin memulakan perbicaraannya. Hal ini disebabkan tidak semua orang mendapat dan merasai nikmat menjadi seorang muslim dan mukmin. Mereka harus bersusah payah mencari, mengkaji dan mendalami ajaran Islam sebelum membuat keputusan memilih untuk memeluk Deen yang telah nyata kebenarannya ini. Oleh yang demikian, sebagai seorang yang dilahirkan sebagai seorang muslim, haruslah kita benar-benar bersyukur atas nikmatNya ini, lalu menghayati kehidupan sebagai seorang Islam dengan mengambil ajaran Islam secara sempurna dan menyeluruh serta tidak ada ragu-ragu dengan ajaran Mulia ini.


Segeralah mendapatkan novel ini, lalu ikuti kisah perdebatan menarik di dalamnya. Cukup berkesan buat mereka yang masih meragui dan mencari Kebenaran Islam dan apakah asas agama Islam & kristian yang sebenarnya.


walahua'lam.


No comments:

Post a Comment