Thursday, December 8, 2011

Sembang-Sembang Tarbawi

Assalamua'laikum warahmatullahi wabarakatuh,

Segala puji hanya bagi Allah swt, Rabbul Izzati Rabbul Jalil, hanya kepadaNya daku memuja dan memuji.

" Sesungguhnnya ibadahku, korbanku, hidupku dan matiku, hanya buat Illahi Rabbul Izzati"

Inilah doaku hampir setiap hari, inilah harapan hidupku sehari-hari, walau kadangkala payah untuk di implementasikan dalam realiti kehidupan ini, harus ku gagahi, harus ku harungi akan kepayahan ini dan harus kubertahan jua dalam pendakian ini. Sebuah perkongsian dari murobbiku yang mengetuk qolbu kecilku:

" Andai ditanya mengapa ranjau kehidupan ini begitu pahit, jawapannya adalah kerana syurga itu menjanjikan kemanisan bagi hamba yang pasrah dan redha dengan ketentuan"

Moga-moga setiap hari yang kita lalui lebih baik dari hari yang lalu. Andai hari yang lalu, jiwa merasa begitu kacau dengan keserabutan dosa, moga-moga hari ini ia bahagia dengan kelapangan Iman. Hal ini disebabkan, orang mukmin itu tidak akan jatuh pada lubang yang sama buat kedua kalinya. Kata-kata ini membuatku tertunduk malu di hadapan Rabbku, terasa ingin tersungkur, terasa ingin tidur dan tidak bangun lagi, kerana , seringkali mengulangi kesilapan yang sama, walau berkali-kali memohon keampunanNya. Walau berkali-kali air mata keinsafan membasahi pipi, namun, di manakah kesedaranku, mengapakah jiwaku begitu terikat dengan kepalsuan dunia yang begitu dusta ini. Siapakah daku di hadapan Rabbku??? Lalu kupejam mata sekuat kuatnya, kurendahkan hatiku tika dini hari lalu bersimpuh dengan penuh pasrah pengharapan, ketakutan memohon taubat . Berharap agar, hari-hari yang bakal ku tempuhi seterusnya, jiwaku akn menjadi begitu sulit untuk melakukan dosa, tanda kecintaan Yang Maha Esa, tanda bahagia dan tenang kan bersua semula.

Sesungguhnya terdapat beberapa tanda kecintaan Allah swt kepada hamba-hambaNya. Antaranya ialah:

1. Ia terjaga dari dunia. Bermakna, seseorang manusia itu sedar akan jeliknya dunia, lalu sentiasa bersegera bertindak melakukan persediaan menuju ke destinasi abadi, akhirat yang hakiki.

2. Allah menganugerahkan nikmat kesolehan kepadanya. Lalu ia menjadi hamba yang begitu Rabbani, begitu dekat dengan Rabbnya.

Sabda Rasulullah saw:
" Sesungguhnya Allah memberikan dunia ini kepada sesiapa yang disayangiNya , mahupun dibenci olehNya, namun, Dia menguniakan nikmat hidayah (lintasan untuk berubah) dan taufiq (petunjuk), kepada mereka yang Dia cintai"

3. Allah mengurniakan manusia kefahaman akan DeenNya.

4. Allah mengurniakan seseorang itu sifat kelembutan dan kesopanan @ akhlak yang mulia. (Khuluq Hasan)

5. Allah memudahkannya untuk melakukan ketaatan kepadaNya.

6. Allah menyulitkan seseorang manusia itu untuk melakukan kemaksiatan.

Contohnya : Allah memeliharanya daripada memakan makanan syubahah.

7. Husnul Khotimah. Allah mengurniakan manusia itu sebaik-baik kematian.

Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar!!!

Apabila meneliti kriteria-kriteria kecintaan Allah kepada hamba-hambanya ini, daku tertanya-tanya kepada diriku, apakah Allah mencintaiku??? untuk melafazkan cinta Allah itu, mudah. Namun, apakah Dia juga mencintaiku???

Lalu, ku temui sebuah jawapan dalam sabda Rasulullah saw,

"Jika Allah mencintai seseorang hamba, Dia akan memaniskannya". Para sahabat bertanya, "apakah maksudnya memaniskan itu Ya Rasulullah??" . Jawab Rasulullah saw: " Dia akan memberi petunjuk untuk beramal soleh, sehingga saat ajalnya menjelang tiba, sehingga tetangganya turut meredhainya"


Semoga Allah sentiasa mengurniakan kita semua, petunjuk untuk menjadi hamba Rabbani iaitu hamba yang begitu dekat dengan Rabbnya. Insha'Allah. Amin. Amin. Ya Robbal Alamin.

* Alhamdulilah, saat ini, kekuatan jiwa hampir kembali, sesudah beberapa lama, lidahku jadi kelu, bicaraku menjadi bisu, langkahku telah lesu. Moga-moga ia merupakan noktah bidayah untuk daku mendapatkan semula kekuatan jiwa, untuk terus dan terus melangkah di atas jalan ini, jalan yang dihampari onak dan duri, namun, menjanjikan kebahagiaan di penghujungnya.

Alhamdulillah, diberi kesempatan waktu untuk daku mencoretkan sedikit perkongsian buat pedoman diriku sendiri terutamanya serta sahabat-sahabat yang dirahmati Allah.

Jumaah Mubarak. Doakanlah kesejahteraan imanku dalam kesibukan ini. Sentiasa merasa bimbang, andai perjalananku ini dihalang oleh singgahan futur, sebuah fenomena lemah iman. Alhamdulillah,pada esok hari, Test 2 Algebra, pada minggu hadapan, terdapat 2 Test yang perlu diselesaikan, 3 tugasan yang perlu dihantar. Alhamdulillah, Allah ubati kesibukan ini, dengan Program rehlah tarbawi bersama IPSI, dan jemputan majlis walimatul urus. Moga-moga jiwa ini sentiasa peka dengan penjagaan hati , HDA (Hubungan dengan Allah) , walau pelbagai tugasan mewarnai perjalanan hari. Amin.

" Wahai Rabb yang membolak balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas DEEN-Mu"

8.45 p.m
PHS 1, USM
8 Disember 2011

No comments:

Post a Comment