Sunday, September 2, 2012

-Allah Sebaik-Baik Pemberi Rezeki-


Bismillahirrahmanirrahim

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

" Dialah jua yang menguasai urusan dan perbendaharaan langit dan bumi; Dia memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dia juga yang menyempitkannya (menurut peraturan itu); sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." Surah As-Syura: 12


Alhamdulillah, Allah adalah sebaik-baik pemberi Rezeki. Alhamdulillah, Allah swt yang Maha Pemurah dan Maha Mengasihani, telah memberiku satu berita gembira, yang tidak aku sangkakan, hanya kepadaNya aku menundukkan diri, hanya kepadaNya aku bersujud, hanya bersamaNya aku kongsikan segala perit manisku, hanya kepadaNya, aku letakkan sepenuh pengharapan dan impianku, hanya kepadaNya aku ingin menyerahkan seluruh diriku. Hanya kepadaNya aku mohon rahmat & keampunan, moga-moga aku sentiasa dalam prasangkaan baik terhadapNya dalam setiap nikmat & musibah yang aku lalui sepanjang hidupku.


Sketsa hari ini :

Di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM


Saya : Dr, saya hajat nak sambung master lepas ni, sebab saya tidak terikat pada KPM, dan boleh sambung terus, rancangnya tidak bersedia untuk posting lagi.


Dr N: Ok, boleh sangat, saya sokong kamu sambung terus. Kamu jaga pointer kamu, kemudian, dan nak habis sem nanti, bagitahu saya, dan saya akan suggest pada mana2 lecturer. Pengkhususan kamu Biologi, jadi, saya akan offer pada lecturer yang berkaitan.


Saya : Tapi Dr, saya perlu dapatkan biasiswa untuk sambung.


Dr N: Takpe, sekarang ni, kalau kamu nak sambung, kamu akan terus jadi RA dengan lecturer tu, itu, akan cover yuran kamu. Tapi boleh insha'Allah, kamu boleh syafiyah!


Subhanallah, Penasihat Akademik yang saya amat sayangi Lillahitaala, telah meletakkan keyakinan yang begitu tinggi, sentiasa meniupkan semangat untuk saya terus berusaha. Sesungguhnya rezeki itu milik Allah, insha'Allah.


Mungkin hari ini, hari yang membahagiakan, namun, haruslah saya tuntuni dengan syukur. Dalam hidup ini, kita akan selalu mendengar berita sedih dan gembira. Asam garam hidup namanya. Kita selalu mengharapkan setiap yang kita rancangkan terlaksana dengan baik, kita pun memanjatkan doa, semoga Allah makbulkan dan permudahkan serta membiarkan ia terlaksana dengan baik. Namun begitu, Allah swt adalah Rabb Yang Maha Mengetahui apakah segala yang kita hajatkan itu baik untuk dilaksanakan ataupun tidak. Dia Maha Mengetahui Segala yang nyata mahupun yang tersembunyi. Sebagai seorang hambaNya yang begitu jahil, haruslah saya bergantung kepadaNya Yang Maha Kuat serta bersedia untuk segala kemungkinan.


" Allah swt akan memberi apa yang kita perlukan, bukan apa yang kita hendakkan, kerana tidak semestinya apa yang kita kehendaki, adalah yang terbaik untuk kita, lalu, mohonlah segala yang terbaik, buat iman & akhirat kita"


Saya menyedari dan meyakini keberadaan saya di bumi USM ini, merupakan satu amanah Allah yang amat besar yang harus saya galasi, dan tidak boleh saya lalui sambil lewa. Seandainya amanah ini, dapat menghapuskan dosa-dosa saya yang lalu, ingin saya pikulnya sebaik mungkin. Jalan ini masih terlalu panjang, perjalanan saya masih jauh, walau seringkali tersungkur di tengah jalan, mengharapkan 'tangan-tangan Allah' akan selalu dihulurkan, serta membangunkan saya semula, walaupun kejatuhan demi kejatuhan telah dilalui, mengharapkan saya tidak akn berputus asa dan berputus harapan dari rahmat & keampunanNya, kerana ingin sekali saya hembuskan nafas yang terakhir, dalam keadaan mulia di sisiNya.


Saya mengerti jalan ke syurga itu tidaklah semudah hamparan permaidani merah, namun, dihampari pelbagai onak dan duri, tangisan demi tangisan, untuk membersihkan jiwa hamba yang penuh dosa dan noda, serta kembali kepadaNya dengan hati yang sejahtera.


" Jika ditanya mengapa dugaan itu begitu pahit, hal ini kerana syurga itu begitu manis".


"Barsabarlah wahai hati, teruskan melangkah dengan penuh pasrah & redha, dengan penuh penyerahan diri kepada Allah, dengan penuh tawakkal dan pergantungan hanya kepadaNya"


Moga-moga kehidupan saya selepas ini, adalah lebih baik daripada kehidupan saya yang lalu. Hidup ini adalah proses, proses mencapai tahap Hamba Allah Yang Rabbani.


SUNNAH BERJUANG


Berjuang menempah susah

Menanggung derita menongkah fitnah

Itulah gelombang hidup samudera duka

Seorang mujahid memburu syahid

Dibuang dia berkelana

Dipenjara dia uzlah dibunuh syahid

Namun jiwa tetap mara menuju cita

Membara demi Allah dan Rasulnya

Berjuang tak pernah senang

Ombak derita tiada henti

Tenang tegang silih berganti

Inilah sunnah, orang berjuang

Malamnya bagai rahib merintih sayu

Dihiris dosa airmata

Siangnya bagaikan singa dirimba

Memerah keringat, meluah tenaga

Berjuang memang pahit

Kerana syurga itu manis

Bukan sedikit mahar yang perlu dibayar

Bukan sedikit pedih yang ditagih

Berjuang ertinya terkorban

Rela terhina kerna kebenaran

Antara dua pasti terjadi

tunggulah syahid

Atau menang...

Berjuang tak pernah senang

Ombak derita tiada henti

Tenang tegang silih berganti

Inilah sunnah, orang berjuang

Malamnya bagai rahib merintih sayu

Dihiris dosa airmata

Siangnya bagaikan singa dirimba

Memerah keringat, meluah tenaga

Berjuang ertinya terkorban

Rela terhina kerna kebenaran

Antara dua pasti terjadi

tunggulah syahid

Atau menang...


*Ok, sambung kerja. jangan malas.^_^

Hamba Yang Mengharapkan Rahmat & Maghfirah,

Penawarhati90

2.16 pm

16 Syawal 1433H bersamaan 3September 2012

PPSF, USM

Sunday, August 26, 2012

J.E.J.A.K

Bismillahirrahmanirrahim

Bismillah adalah mujahadah. Bersungguh-sungguh tanpa mengeluh, pantang berkesah, dan senang berjuang.


" Barangsiapa yang bersungguh-sungguh di jalan Kami, sungguh benar akan Kami tunjukkan jalan-jalan Kami"- Surah Al-'Ankabuut:69-


Dengan menyebut namaMu Ya Allah, aku mulai langkahku, menapaki hari-hari dalam hidupku dalam permusafiran bertemu Mu, mengharapkan setiap langkahanku dalam pengawasanMu, dalam penglihatanMu, dalam pemeliharaanMu, dalam perlindunganMu, dalam rahmat & keampunanMu, sepenuh hati aku meletakkan tawakkal, pasrah & redha, agar jalanku ini, akan sentiasa berada di atas landasan yang lurus.

Beberapa hari lagi.....


Saya akan meninggalkan tempat ini, tanah airku, akan meninggalkan insan-insan yang saya sayang dan kasih kerana Allah, ibu bapa, adik beradikku, sanak saudaraku, anak saudaraku yang comel, Umar mukhriz, ibu bapa angkatku, Makcik Raziah & Pakcik Mawardi sekeluarga, Makcik Desmiati & Pakcik Mohd Fisol sekeluarga, Siti & K Mariam, juga setiap insan yang saya temui di sini. Terasa percutian ini sebenarnya sangat singkat, tetapi terlalu padat.

Bilik terbaikku..Medan ibadahku...

Percutian saya bermula dengan menjelajahi Putrajaya, kemudian pulang ke rumah, bekerja di Bazar Ramadhan, masih teringat pelanggan setia. Di situlah bermulanya perkenalan mendalam mengenai keluarga makcik Raziah, siti dan k mariam, di situlah bermulanya ukhuwah saya bersama Faizah, Hidayah & Balqis, 3 insan istimewa. Baru sahaja berkenalan tetapi seperti sudah lama kenal. Pertemuan yang pertama ini telah membawa kepada pertemuan seterusnya lagi dan lagi, kami berbuka puasa sekali, jalan-jalan di Dataran Helang, dan menemani mereka membeli keperluan raya. Alhamdulillah. Sesuatu yang saya tidak pernah sangkakan. Semoga Allah swt menjaga mereka di sana, dan mempertemukan kami lagi jika tidak di dunia, akhirat sana paling hakiki. Semoga Allah merahmati waktu kami.


Hari raya yang dilalui penuh dengan kesederhanaan, tiada apa yang lebih, tiada apa yang kurang. Semuanya sederhana sahaja, namun, Alhamdulillah, terasa keberkatannya apabila dapat berkunjung ke rumah saudara mara dan sahabat handal. Rasa bersyukur dan gembira rumah yang penuh dengan kesederhanaan dan kekurangan ini dikunjungi oleh ramai tetamu, kegembiraan bagi saya adalah menerima tetamu, kerana selalu saya tanamkan dalam diri tetamu itu pembawa rahmat, tidak kira siapapun mereka, mereka adalah tetamu yang harus dilayan sehabis baik . Ya, saya benar-benar merasai keberkatannya, kesunyian rumah ini terasa hilang, kegelapannya terasa bercahaya, hati yang sedih terasa bahagia, bahagia dengan Rahmat Allah swt. Alhamdulillah, Segala Puji Hanya untuk Allah. Jazakumullahukhairan kathira untuk segala-galanya, jazakumullahukhairan kathira sanak saudaraku, sahabat handalku. Saya sangat bersyukur melihat perubahannya. Juga rasa gembira dapat mencuba beberapa masakan baru, walaupun bersedih kerana ada yang tidak menjadi, tetapi itu adalah proses dalam kehidupan, proses untuk meningkatkan tahap kematangan seseorang insan.


Pasti akan merindui Umar Mukhriz, anak saudara tercintaku. Besar benar ilmu dan pengajaran yang dapat saya ambil dari melihat perkembangan si kecil. Banyak perkara mengenai kanak-kanak apabila menjaganya. Salah satu yang saya amati, kanak-kanak ini tidak suka kita menengking atau memarahi mereka. Saya menggunakan kedua-dua cara untuk mengujinya. Ada masa saya menjadi segarang 'K Ros upin dan ipin', dan ada masa saya menjadi selembut 'perempuan melayu terakhir', tetapi apa yang saya lihat, menggunakan kelembutan itu adalah pendidikan terbaik untuk anak-anak. Lembut tetapi tegas. Apabila saya mengatakan " Jangan" dalam nada yang keras, mesti dia akan buat apa yang saya larang, tetapi apabila saya mengatakan " Jangan" dalam nada yang lembut, selalunya dia akan ikut. Itulah kanak-kanak, mereka sukakan belaian dan kasih sayang serta perhatian daripada ibu bapa. (ibu saudara termasukla!). Cara hidup ibu bapa akan membentuk keperibadian anak-anak. Mereka tidak tahu apa-apa, dan terdedah kepada banyak bahaya. Sebab itu, amat penting bagi seorang ibu menjaga anak-anak dengan penuh perhatian, kerana terlalai seketika akan membawa penyesalan untuk selama-lamanya. Uniknya Umar, dia sangat suka makan, ada sesetengah kanak-kanak yang tidak suka makan. Tetapi, umar sanggup tinggalkan barang mainannya bila nampak makanan. Sememangnya gelagatnya sungguh melucukan. Setiap apa yang diajar, mudah diikutnya. Saya selalu jadi barang mainannya, dia sangat pantang dengan saya, kadang-kadang kena jadi kuda tunggangan, kadang-kadang sengaja menangis manja minta didukung. Penat tapi bahagia. ^^. Alhamdulillah.


Alhamdulillah.Alhamdulillah. Alhamdulillah. Percutian yang indah dan panjang, tetapi padat. Percutian yang sangat istimewa, melalui hari-hari yang sangat istimewa, menemui insan-insan yang sangat istimewa, walau kadangkala ianya disulami suka dan duka, tetapi, jiwa ini harus faham bahawa hakikat kehidupan ini sememangnya satu ujian. Nikmat dan musibah, kedua-duanya ujian. Namun, perbezaannya, bagaimana cara kita menerima ujian, menyebabkan kita semakin mendekat atau menjauh dari Pencipta Sekalian Alam. Raja sekalian alam.

Kadang kala kita merancang begini, kita sudah merancang dengan begitu rapi, namun begitu, perkara yang berlaku mungkin sebaliknya, sebenarnya, Allah menentukan sama ada apakah rancangan kita itu adalah baik untuk dilaksanakan atau tidak, serta Allah punya perancangan yang lebih baik buat kita. Yang paling penting, kita sudah sedaya upaya melakukan yang terbaik.

" Sesungguhnya manusia itu merancang, Allah juga merancang, dan sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik perancang".

Kini....Bermulalah detik perjuanganku, tidak akan kutoleh lagi segala yang telah berlaku. Apa yang akan terjadi, aku pasrahkan segalanya kepada Maha Penentu. Bermula saat ini, tumpuan pertama dan utamaku hanya untuk Mencari Keredhaan Allah dengan bermujahadah di mata pena. Aku pejamkan mata serapat-rapatnya supaya bisa kembali ke tujuan asalku, dan apabila aku bukakan mata, aku harapkan bahawa aku sudah berada di atas landasanku semula.

"Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam".


Walaupun mungkin dalam perjalananku ini, aku akan terluka dan melukakan, tetapi demi kebaikan, aku tetap akan berjalan, menuju ke matlamatku yang satu. Harus aku lalui dengan penuh ketabahan, harus aku melangkah dengan keyakinan seandainya aku yakini bahawa Allah sedang menemani dan mengiringi langkahku. Sesungguhnya perjalananku masih panjang. Allah akan menjaga hakku selagi aku menjaga hakNya. Semoga aku tidak akan risau mengenai rezekiku hingga ke hembusan nafas yang terakhir.


"Open your heart. Bukalah hatimu. Berdakwah bukan sekadar memindahkan ilmu. Demikian juga tarbiyah tak cukup hanya sebatas hubungan murid dan guru. Hubungan tarbiyah adalah komunikasi hati, ta'liiful quluub. Kerana apa yang keluar dari hati akan sampai ke hati, apa yang keluar dari lisan hanya akan bercokol di telinga. Bukalah hatimu untuk menerima orang lain dengan segala kelebihan dan kekurangannya. Ikatlah ia dengan iman, tuntunlah dengan ilmu, berilah cahaya dengan ma'rifah, gerakkan dengan nasihat, arahkan dengan taujihat, dan tumbuhkan dengan cinta. Siapkan hatimu untuk menerima hal-hal yang baharu. Mungkin berbeza dengan apa yang engkau punyai dan ketahui selama ini. Lapangkan dada dengan salamatush shadr, jadilah peribadi arhabuhum shadran, yang paling lapang dadanya."- New Quantum Tarbiyah


" Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati-hati akan menjadi tenang"


Bismillahirrahmanirrahim..Cukuplah Allah bagiku, ke atasnya aku bertawakkal, sesungguhnya Dialah Pemilik Arsy Yang Agung.


" Cemerlang Dakwah & Tarbiyah, Akademik & Kerjaya, Alimah Mujahiddah"


Orang yang ikhlas pasti akan selalu menang. Mari kembali ke medan Ilmu dengan hati yang sejahtera dan lapang. ^_^



JEJAK-Izzatul Islam

menapaki langkah-langkah berduri

menyusuri rawa, lembah dan hutan

berjalan diantara tebing jurang

smua dilalui demi perjuangan

letih tubuh di dalam perjalanan

saat hujan dan badai merasuki badan

namun jiwa harus terus bertahan

karna perjalanan masih panjang

kami adalah tentara Allah, siap melangkah menuju ke medan juang

walau tertatih kaki ini berjalan

jiwa perindu syahid tak akan tergoyahkan

wahai tentara Allah bertahanlah,,

jangan menangis walau jasadmu terluka

sebelum engkau bergelar syuhada

tetaplah bertahan dan bersiap siagalah

* The Poems

gunung tinggi menjulang

samudra luas membentang

adalah lahan peneguhan

hutan rimba

padang gersang

jadi ajang pembuktian

hujan badai

terik panas kerontang

pasti kan hiasi perjalanan

saat langkah tlah diayunkan

pantang surut ke belakang hingga sampai ke tujuan

bertahanlah dan bersiap siagalah




Hamba yang mengharapkan Rahmat & Maghfirah

Penawarhati90
6.42 p.m
7 Syawal 1433H bersamaan 26 Ogos 2012
Langkawi, Kedah

Saturday, August 25, 2012

Hari ini dalam Sejarah


Bismillahirrahmanirrahim

Bismillah adalah Doa. Doa adalah cita-cita. Doa adalah harapan. Doa adalah kekuatan. Doa adalah pengarah langkah. Doa adalah keyakinan yang menggerakkan.Doa adalah kepasrahan atas ketidakberdayaan. Doa adalah pengakuan kelemahan di depan Allah Pemilik Segala Kesempurnaan. Bismillah adalah doa bukan sekadar doa. Bismillah adalah kekuatan. Bertumpu atas keyakinan, at-tsiqoh billah. Keyakinan ini membuat jiwa orang beriman selalu optimis menapaki kehidupan, istiqamah. Laa yukallifullahu nafsan illaa wus'ahaa.


" Allah tidak membebani seseorang melainkan dengan kesanggupannya"


Saya mendoakan semoga Allah swt sentiasa Merahmati, Mengampuni, dan Mengasihi diriku, kedua ibu bapaku, ibu bapa angkatku, adik beradikku, sanak saudaraku, muallim dan murabbiku, sahabat-sahabatku seluruhnya, bakal pemilik cintaku setelah Allah dan Rasul yang berada di dalam simpanan, jagaan, serta pemeliharaan Allah, juga saudara-saudara seaqidahku yang berada di Palestin, Myanmar, Syria, Mesir, Somalia dan di seluruh pelosok dunia ini. Moga-moga kita semua berada di dalam kalangan orang-orang yang menghayati Islam dalam segenap amalan kehidupan, serta insan-insan yang akan dikembalikan kepada Allah dalam keadaan sebaik-baik kematian, Husnul Khotimah.


Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar!

Hari ini dalam sejarah.

Hari yang indah lagi barokah,

Hari yang tercatat di dalamnya,

Kisah suka dan duka,

Kisah sedih dan gembira,

Kisah tenang dan serabut,

Kisah senyuman dan tangisan,

Kisah kesabaran dan kebimbangan,

Kisah kekuatan dan kelemahan,

Kisah keletihan dan kecergasan.

Hari ini dalam sejarah,

Sejarah yang tidak mungkin menjadi kelupaan,

Kisah pembuka kepada kisah-kisah yang lain,

Kisah penutup kepada cerita-cerita yang lain.

Hari ini dalam sejarah.


Sentiasa saya doakan, ada rahmat di sebalik segala ujian, ada pengajaran di sebalik segala dugaan. Sehingga detik ini, tidak dapat saya lelapkan mata. Fikiran ini terus ligat dan giat berfikir dan berfikir. Saya ingin berhenti memikirkannya, berhenti berbicara tentangnya, harus saya rawat jiwa ini, harus saya pujuk perasaan ini, harus saya didik pemikiran ini dengan petunjuk AQ dan Sunnah, supaya ia kembali kepada Penciptanya dalam segenap urusan hidupnya sentiasa dan sentiasa.


Semoga rahmat Allah swt serta redhaNya sentiasa mengiringi langkahan hari-hari dalam hidupku. Masih banyak keutamaan yang menuntut masaku, masih ada banyak tanggungjawab yang menjadi amanahku, yang ingin dan harus ku laksanakannya dengan sepenuh jiwa ragaku. Hanya kepada Allah aku sandarkan impian dan harapan yang menggunung.


Selama saya mempelajari pengertian sebuah doa, baru kini saya bisa menghayati makna sebuah doa. Berdoa dengan penuh resah gelisah, penuh ikhlas, penuh mengharap,doa yang kudus di mana sepenuh jiwa ini hanya meletakkan sepenuh harapan kepada Allah, berputus asa dari bantuan selainNya. Berdoa dengan bercucuran air mata, mengharapkan mentari akan muncul lagi di sebalik awan mendung yang melindungi.


Hanya kepadaNya, aku sandarkan dengan sepenuhnya harapan dan impian. Kemenangan adalah milik mereka yang ikhlas.


detik waktu terus berjalan

berhias gelap dan terang

suka dan duka tangis dan tawa

tergores bagai lukisan

seribu mimpi berjuta sepi

hadir bagai teman sejati

di antara lelahnya jiwa

dalam resah dan air mata

kupersembahkan kepadaMu

yang terindah dalam hidup

meski ku rapuh dalam langkah

kadang tak setia kepadaMu

namun cinta dalam jiwa

hanyalah padaMu

maafkanlah bila hati

tak sempurna mencintaiMu

dalam dadaku harap hanya

diriMu yang bertahta

detik waktu terus berlalu

semua berakhir padaMu


" Cukuplah Allah bagiku, ke atasNya aku bertawakkal, Dialah Pemilik Arsy Yang Agung"


Hamba yang sangat mengharapkan Rahmat & Maghfirah,

Penawarhati90

12.45 a.m

7 Syawal 1433H bersamaan 26 Ogos 2012

Langkawi, Kedah.

Friday, August 24, 2012

Tafakur

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Ya Allah Ya Allah

Ya Allah Ya Allah

Ya Allah Ya Allah

Ya Allah Ya Allah

Di keheningan malam

Tafakur di kesyahduan

Merindui janji-Mu Tuhan

Bantuan di perjuangan

Kutitiskan air mata

Taubat segala dosa

Moga terangkat penghijab kalbu

Antara kau dan aku

Ya Allah ya Tuhanku

Kusujud pada kudrat-Mu

Kuserahkan jiwa ragaku

Pada takdir iradat-Mu

Pimpinlah daku dalam redha-Mu

Kasihi daku dalam rahmat-Mu

Hanya pada-Mu aku mengadu

Ya Allah ya Tuhanku


Dini malam yang begitu hening ini, kesejukannya menyelinap ke segenap tubuhku, sehingga dapat kurasakan hingga ke hati sanubariku. Semoga lambaian Iman tidak akan pernah berputus asa mengajak hamba hina ini bertafakur mencari kemuliaan dari sisiNya sehingga sampai saatnya bertemu Rabb Yang Esa.


Bersediakan aku ?


Semoga hari ini lebih baik dari sebelumnya. Benar-benar mengharapkan cahaya di atas cahaya, benar-benar mengharapkan ada rahmat di sebalik setiap ujian. Dunia ini tidak pernah asing dari ujian Tuhan kerana demikianlah ia diciptakan.


Setiap yang bermula, pasti akan berakhir. Namun, perkara yang membezakan antara manusia adalah bentuk-bentuk ujian yang dikenakan di atas mereka, dan bagaimana mereka menerima dan menyelesaikan sesuatu ujian.




Wednesday, August 22, 2012

Bismillahirrahmanirrahim

Bismillah adalah muraqabah, merasakan kehadiran Allah begitu dekat, mengawasi, mengiringi, mendampingi, menunjuki dan meneguhkan pijakan kaki.


Semoga Allah Merahmati, Mengampuni dan Menyayangiku, kedua ibu bapaku, ibu bapa angkatku, Makcik Zah & Pakcik Ghusran, Makcik Desmiati & Pakcik Mohd Fisol, Makcik Raziah dan Pakcik Mawardi, muallim-muallimku, sahabat-sahabatku, sesiapa sahaja yang aku temui setiap hari dan setiap waktu.




Alhamdulillah, dengan izin Allah, keadaan makcik semakin baik hari demi hari, namun, masih perlukan banyak sokongan dari sudut fizikal, rohani dan akhli. Semoga rahmat dan pertolongan Allah selalu bersama pakcik, makcik dan tok. Sangat merindui mereka.


Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Al-Israa’ 17: 24)

Nota Hatiku

Memikirkan apa yang akan terjadi, mengharapkan satu anugerah. Teruskan berdoa, berdoa, dan berdoa dengan penuh ikhlas dan penuh harapan. Moga-moga di sana ada satu jawapan yang pasti, mungkin hari ini, mungkin esok, mungkin dan mungkin. Moga Allah permudahkan segala-galanya. Yang ikhlas pasti beroleh kemenangan, kerana itu adalah hakikat. Ya Allah, ikhlaskanlah jiwaku menelusuri hari-hari dalam hidupku dan meredah ranjau kehidupan yang penuh duri ini. Moga segala- galaNya dalam keredhaanMu. Terus tersenyum dengan seikhlas hati. ^^. Moga hidup kita pada hari ini lebih baik dari semalam, dan seandainya masih ada hari esok buat kita, moga ia jauh, dan jauh lebih baik dari hari ini. Mulai hari ini, harus membangkitkan keghairahan menuntut Ilmu kembali kerana sudah beberapa hari menjadi liat seperti daging rendang dan ketupat. Ia telah berlalu. Puasa 6 pula. Hamba yang terus menanti pasti. Wassalam.

Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikutinya dengan berpuasa 6 hari dibulan Syawwal maka seolah-oleh disudah berpuasa sepanjang tahun". [hadith Sahih Riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud dan Tirmidzi]

Yang Mengharapkan Rahmat & Maghfirah,

Penawarhati90
12.25 am
5 Syawal 1433H bersamaan 23 Ogos 2012
Llangkawi, Kedah.

Koleksi Umar Mukhriz

Bismillahirrahmanirrahim...Ini adalah koleksi gambar anak saudaraku yang dicintai Lillahitaala, Umar Mukhriz.

Kelahiran seorang anak disambut dengan penuh kegembiraan dan syukur.Senyum si ibu melepaskan kelelahan yang selama ini menyelubungi diri.Purata tempoh mengandung adalah selama 280 hari atau bersamaan 40 minggu –ia bukanlah suatu tempoh yang singkat.Di dalam gembira dan terharu,bibir ibu tidak putus-putus melafazkan tasbih,tahmid dan takbir ke hadrat Allah Yang Maha Agung.Dia Yang Maha Berkuasa menjadikan makhluk daripada tiada kepada ada..Subhanallah..


Comelnya...




Nakalnya....lama kelamaan makin aktif..

Anak sapa pakai bedak lagu ni??" comel tak saya"

Tengok apa tue?? "biliung!!!"



Macam-macam aksi la ni...

Percutian yang best dengan gelagat Umar Mukhriz, penat melayan, tapi seronok. Saya cuba menggunakan beberapa teknik untuk mendidiknya. Pada mulanya, saya tak berapa reti bagaimana untuk menjaga budak kerana rumah kami sudah lama tidak ada suara kanak-kanak kecil. Lama-kelamaan, saya cuba membiasakan diri. Kanak-kanak sebenarnya sangat cepat menerima sesuatu ilmu kerana fitrah mereka adalah bersih dari dosa.

“Setiap anak yang dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci bersih). Maka ibu bapanyalah yang akan membentuknya menjadi Yahudi atau Nasrani atau Majusi..”(Hadith Rasulullah SAW).

Umar seperti kanak-kanak lain seorang yang sangat pintar dan cepat menangkap apa yang diajar. Oleh itu, kita perlu menyerapkan kata-kata yang baik supaya dia juga boleh mengikuti apa yang diajar. Saya cuba ulang-ulang setiap satu perkataan, memang cepat diikutnya.

Selama beberapa lama saya bersamanya, dan melihat perkembangannya, baru saya faham apa yang dimaksudkan oleh sahabat saya, iaitu, jika kita ingin mengenalkan kanak-kanak kepada Allah dan Rasul, kita harus ulang-ulang perkataan itu. Bukan sahaja berkata, tetapi, kita harus tunjukkan perkataan Allah dan Rasul itu setiap hari, walaupun mereka masih kecil. Baru saya faham, mengapa di rumah Murabbi kesayangan saya, pada dinding-dinding rumahnya, peti sejuk, pintu, semuanya tertulis perkataan-perkataan yang mempunyai unsur-unsur Ilahiyah. Ini adalah satu teknik didikan yang baik, di mana kita menyerapkan Unsur Tauhid ke dalam jiwa anak-anak sedari kecil, bukan sahaja dari kecil, malah dari mereka masih di dalam kandungan. Oleh yang demikian, cara hidup para ibu bapa sangat-sangat perlu dan penting dalam membina keperibadian anak-anak yang soleh dan solehah. Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama memperelokkan akhlak dan keperibadian diri kita sendiri, insha'Allah, kelak akan lahir zuriat dari darah daging kita adalah mereka yang beriman, berilmu, beramal soleh, serta yang paling penting adalah bertaqwa.

p/s: Umar kena ingat maklang..maklang.hehe.^^

Sebuah perkongsian dari insan jahil. Wallahutaa'a'lam.

Mengharapkan Rahmat & Maghfirah,

Penawarhati90
6.56 p.m
4 Syawal 1433H bersamaan 22 Ogos 2012
Langkawi, Kedah.

Tuesday, August 21, 2012

Berdepan Dengan Bakal Isteri & Ibu

Tips Bagaimana mendidik Anak Perempuan

Coretan ini saya petik dari sebuah buku " Nota Hati Seorang Lelaki". m/s : 105-108

" Perlu banyak meraikan"

Meraikan bagaimana?

" Raikan mereka dengan kata-kata, belaian dan pemberian. Itu caranya".

"Maksudnya?"

" Hargai pandangan, kegembiraan, kesedihan, kejayaan, dan kegagalannya. Selalu ucapkan tah-ni-ah, takziah, pujian dan pujukan. Pada ketika yang sesuai, berilah hadiah"

"Kenapa tokwan?"

"Umumnya perempuan makhluk perasaan berbanding lelaki makhluk akal. Pendekatan meraikan lebih berkesan bila berdepan dengan perasaan. Pendekatan ini lebih menyentuh dan berkesan. "

" Itu pendekatan, bagaimana pula dengan prinsip asasnya ?"

" Itu kena bayangkan...bakal isteri. Kemudian bakal ibu !"

" Anak perempuan kita bakal menjadi seorang isteri. Jadi, bayangkan bagaimana sifat seorang isteri sejati. Itulah 'end in mind' yang perlu sewaktu kita mendidik anak perempuan. " Jelas tokwan.

Belum sempat saya mencelah , soalan tokwan mula menerjah, "Apa yang kau inginkan daripada seorang isteri?"

"Ketaatan", balas saya cepat.

" Lalu didiklah anak perempuanmu tentang ketaatan. Latih agar dia patuh pada perintah yang baik. Apa lagi?"

" Malu"

" Didik agar dia mengekalkan rasa malu pada tempat dan ketikanya. Latih dia sentiasa menjaga aurat, tidak meninggikan suara dan tidak lasak pada gerak fizikalnya. Ajar erti maruah dan harga diri. Lagi?

" Cantik"

" Wah, tak lupa ya... Latih dia supaya menjaga kecantikan tingkah laku, wajah, pakaian, tempat tinggal, bilik dan lain-lain. Biar dia pandai menjaga kekemasan, kecantikan dan keindahan. Biar dia peka dengan nilai estetika. Lagi?.

Saya diam. Dalam ruang fikiran tergambar isteri saya-ibu anak perempuan saya.

" Kau lupa agaknya.."usik tokwan.

" Tokwan laju sangat..."

Anak perempuan mesti dibiasakan dengan suka berada di rumah. Bukan bermakna dia tidak boleh keluar, tetapi biasakan dia suka di rumah. Rumah adalah gelanggang wanita. Ruang itu kecil, tetapi besar peranannya. Ketika suami keluar, isterilah pemimpin anak-anak dan pelindung hartanya.

" Ini payah sikit tokwan, sekarang ni perempuan dah luas gelanggangnya!"

" Ah, kadangkala yang luas hanya gelanggang, tetapi kecil peranannya. Sedangkan di rumah, walaupun kecil gelanggangnya tetapi amat besar peranannya. Pernah mendengar madah, tangan yang mengayun buaian boleh menggoncang dunia."

" Tadi tokwan kata kena bayangkan juga bakal ibu."

" Apa yang paling kau hargai daripada seorang ibu?"

" Kasih sayangnya."

" Didiklah agar anak perempuan agar bersifat pengasih. Pengasih dengan adiknya, abang, kakak, binatang peliharaan dan sebagainya. Sebab tu anak perempuan digalakkan bermain dengan anak patung. Itu menyuburkan rasa kasih sayang kepada bayi. Lagi?"

" Sabar"

" Seorang ibu perlu sabar; sabar menanggung perit kehamilan, sakit melahirkan, menjaga sakit demam, ragam dan kerenah anak. Tanamkan sifat sabar anak perempuan dalam menanggung kesakitan, keletihan, kekecewaan dan sebagainya."


" Mana lebih payah, didik anak perempuan atau anak lelaki?"

" Soalan tu tak betul! sepatutnya soalannya begini, ada beza tak mendidik anak lelaki dan anak perempuan? Senang dan susah ini terlalu relatif dan subjektif sifatnya".

" Beza tak?" pintas saya penuh akur.

" Tentulah, sebab lelaki dan perempuan memang berbeza. Tuhan jadikan darjat kedua-duanya sama, tetapi peranannya berbeza. Bukan sahaja ciri-ciri fizikal yang berbeza tetapi ciri-ciri rohaniah juga berbeza"

" Kata orang, bela lembu 10 ekor lebih mudah daripada seorang anak perempuan"

" Perbandingan yang tidak relevan. Manusia berbeza dengan lembu. Kita ada hati, akal dan perasaan"

" Tapi, tidak ada yang berkata membela 10 ekor lembu lebih mudah daripada seorang anak lelaki"

Terpulang pada "Gembalanya". Kena gaya dan caranya, 10 orang anak perempuan pun boleh dijaga.


" Apa tips tokwan untuk sang gembala?"


" Bila berdepan dengan anak perempuan, bayangkan kita berdepan dengan bakal isteri. Adakah menantu lelaki kita nanti akan mendapat isteri yang solehah? Bayangkan kita berdepan dengan bakal ibu, adakah bakal cucu kita kelak bekal mendapat ibu yang mithali? "


" Lagi tokwan? "


" Untuk menjadi seorang ayah yang baik kepada anak perempuannya, Sang Gembala mesti menjadi seorang anak yang baik kepada ibunya dan suami yang baik kepada isterinya."

" Lagi tokwan?"

" Last, but not least, Sang Gembala wajib baik kepada Tuhannya!"

Saya terdiam. Diam panjang, perlukah saya bertanya lagi?


Yang Mengharapkan Rahmat & Maghfirah,

Penawarhati90
4.18 pm
4 Syawal 1433H bersamaan 22 Ogos 2012
Langkawi, Kedah

Masak-masak

Dengan menyebut namaMu Ya Allah, aku mulai langkahku pada hari ini. Mengharapkan kehidupanku pada hari ini lebih baik dari hariku yang lalu. Semoga aura eidulfitri yang diraikan tidak melalaikan kita dari tujuan sebenar kehidupan iaitu mencari Mardhatillah. Jika tidak, maka sia-sialah perjuangan dan mujahadah kita sepanjang Ramadhan yang lalu. Moga setiap amal yang kita lakukan tidak menjadi debu-debu yang berterbangan. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:


" Sesiapa yang hari ini lebih baik dari kelmarin, dia seorang yang hebat. Sesiapa yang kelmarinnya lebih baik dari hari ini, dia seorang yang tercela" (Riwayat Naim bin Abdur Rahman dan yahya bin Jabir)


Hanya ingin berkongsi pengalaman beberapa hari masuk ke dapur. Sepanjang Ramadhan yang lalu, saya kurang memasak kerana biasanya saya bekerja pada waktu petang dan pulang ke rumah selepas berbuka. Kemudian, bersiap-siap untuk ke masjid. Pendek kata, memang jarang sangat memasak. Sahur pun hanya panaskan makanan yang sedia ada kerana biasanya makanan berbuka tidak akan habis. Kebetulan, biasa saya ke bazar dengan tangan kosong, dan pulang mesti dipenuhi makanan tanpa mengeluarkan sebarang kewangan. Alhamdulillah, rezeki bulan Ramadhan yang penuh keberkatan. Bermula hari Jumaat, 17 Ogos 2012, saya mula berjinak dengan dapur. Menu pertama dan utama: Tomyam. Kata mak saya :


" OK, hari ni hang kena tunaikan janji, mak nak tidur ja, petang mak nak pi bejalan. Jangan bakaq rumah sudah la". Hehe, akhirnya, mak saya tak pegi mana pun, dok pantau kot2 rumah terbakar. ^^


Sebelum mula memasak, saya jadi gementar sebab saya sememangnya masih belajar untuk masak lauk pauk. Saya mencari pada laman web yang saya gemari, Dapurku Sayang (http://dayangjack.blogspot.com). Kemudian, bertanya kepada Tauke saya Makcik Raziah. Kemahiran saya agak kurang pada menu-menu begini, saya lebih mesra dengan menu kuih, biskut dan kek. Oh ya, saya suka merujuk kepada website tersebut kerana saya dapat merasai aura kasih sayang daripada beliau, dapat rasa bagaimana keikhlasan beliau ingin berkongsi resepinya. Satu persatu cara membuat diceritakan secara terperinci. Bila saya sendiri mencuba, Alhamdulillah, dengan izin Allah, banyak yang menjadi dengan baik. Ada sesetengah orang mungkin suka menyembunyikan ilmunya, tetapi pada saya, semakin kita berkongsi, semakin banyak Allah akan kurniakan kepada kita. Allah Pemilik segala yang ada di bumi ini, Allah memberi rezeki kepada siapa yang Dia suka dan menariknya dari sesiapa yang Dia mahu. Allah itu Maha Kaya. Apabila kita berkongsi Ilmu, dan ilmu itu diamalkan oleh orang lain, keberkatannya akan mengalir sehingga kita di alam barzakh selagi ilmu itu digunakan. Bayangkanlah, tingginya darjat seorang pendidik, sentiasa mendapat kemuliaan dari Allah selagimana ia IKHLAS dalam berkongsi ilmunya. ^^. Pada website ini juga, foto-fotonya sangat menarik, dan bila saya mencuba, hasilnya hampir sama dengan gambar-gambar yang dikongsikan oleh penulis. Alhamdulillah, semoga Allah swt sentiasa merahmati beliau dan melimpahkan keberkatan ke atas beliau sepanjang hidupnya dan keluarganya yang tercinta.


Saya cuba memasak tomyam Ayam & Daging, tanpa menggunakan perencah, kerana kata makcik Raziah, bahan-bahan pengawet ini tidak berapa elok untuk kecantikan, dan membawa banyak penyakit. Jadi, makcik mengajar saya cara untuk membuat tomyam sendiri. Cuma ibu saya suruh masukkan pes tomyam sedikit.


Bahan A (dikisar)

3 biji Tomato
3 ulas bawang putih (kalau nak pekat masukkan banyak)
5 biji Cabai Besar
Cabai melaka (kalau nak pedas)


Bahan B

Langkuas (ketuk)
Halia (hiris dan ketuk)
Serai (ketuk)
Tomato dibelah 4
Cabai melaka (hiris & ketuk)
Garam secukup rasa.
Jagung kecil (saya panggil anak jagung/ baby corn.hehe)
Pes tomyam
Daun Limau Purut
Asam limau

Caranya: Kisar bahan A, kemudian masukkan ke dalam periuk, masukkan air dan masak. Dalam masa beberapa saat, masukkan daging dan ayam. Tidak perlu gunakan minyak. Kemudian, masukkan Lengkuas, Halia, Serai, Cabai melaka (kalau yang tak suka pedas, tak payah letak dah..), daun limau purut, untuk naikkan bau. Tunggu hingga mendidih. Masukkan garam sekukup rasa, dan pes tomyam. Kemudian, masukkan Jagung kecil, Tomato. Akhir sekali, baru perah asam limau. Senang je, selamat mencuba. Insha'Allah.^^


Semasa memasak, semua adik beradik lelaki masuk ke dapur, pantau, apalah yang saya tengah main. Sorang demi sorang, macam-macam dikritiknya, ada yang kata bau macam asam pedas, ada yang kata, "eh, macam ni ka nak menikah". Macam-macam. Bila berbuka, diorang yang habiskan dulu. Gembira masak bersama keluarga, ada yang masak sayur, ada yang masak tomyam, ada yang bakar ikan, dan semua. Hari esoknya, giliran adik lelaki saya yang masak, "Masak lemak cili api". Bolehlah tahan. Hehe.


Semakin lama, saya semakin suka memasak, dan mencuba masakan baru. Saya suka memasak, walaupun tidak sedap pada mulanya, kerana saya seorang pelajar yang tinggal di asrama, sudah tentu menjadi keterbatasan saya untuk masuk ke dapur, juga memiliki kemahiran masak. Tetapi, bila saya memasak, saya rasa cukup-cukup bahagia, dan gembira, rasa seperti hilang semua yang memberatkan kepala. Itulah seorang wanita, walau setinggi manapun pangkatnya, dia tetap seorang suri rumahtangga, dia tetap perlu masuk ke dapur, dia tetap perlu memasak untuk keluarganya, kerana bagi saya, itu adalah fitrah seorang wanita, itulah salah satu pintu kebahagiaan buat mereka, dan itulah kebahagiaan buat saya. Bila mendapat pujian, walaupun tidak sedap, bagi dia, rasa bersyukur dan dihargai. Wanita suka dihargai, penghargaan yang dia inginkan, bukanlah pada taburan wang dan kekayaan oleh si suami, seperti status seorang pelacur, tetapi penghargaan bagi seorang wanita, adalah kasih sayang, dan didikan dengan penuh kelembutan tetapi dalam ketegasan oleh suaminya, didiklah mereka dengan Tarbiyah Islamiyah Kamilah, dengan cara yang betul, insha'Allah, mereka akan selalu rasa dihargai.


" Jadilah seorang yang pandai menghargai orang lain, kerana apabila kita menghargai orang lain, kita akan sentiasa dihargai dan didoakan walaupun jasad sudah tidak bernyawa, walaupun bukan dalam pengetahuan kita".


Sebuah buku yang bertajuk " Nota Hati Seorang Lelaki", ada mengatakan,

"Anak perempuan mesti dibiasakan dengan sukakan rumah. Bukan bermakna dia tidak boleh keluar rumah, tetapi biasakan dia sukakan rumah. Rumah adalah gelanggang wanita. Ruang itu kecil, tetapi besar peranannya. Ketika suami keluar, isterilah pemimpin anak-anak dan pelindung hartanya" -m/s107
-Bagi saya, anak perempuan perlu dibiasakan dengan dapur. ^^.

Sempena hari Raya, saya cuba membuat beberapa jenis kek, kek span, kek coklat lembab dan kek buah. Alhamdulillah, dengan izin Allah, menjadi dengan baik, terutama kek coklat lembab. Semalam, 3 Syawal, ibu dan ayah saya mengadakan sedikit jamuan keluarga, menjemput ahli keluarga terdekat, menu utama kami adalah bihun sup, kemudian, kek coklat lembab, kek buah, kuih raya dan Air Koktel buah-buahan. Seronoknya masak.^^. Alhamdulillah. Lebih bersyukur lagi, hampir kesemuanya habis. Saya suka masak, tapi saya kurang makan, saya lebih suka jika ada orang yang sudi makan apa yang dimasak. Rasa bahagia, walaupun tak tahu bagaimana rasanya. Sekarang saya semakin faham perasaan seorang ibu dan seorang suri rumah, jika orang lain makan apa yang dimasaknya. ^^. Maafkan jika tidak enak, bersyukurlah dengan apa yang ada. ^^.

Menu hari ini: belum tentu lagi, 4 Syawal. hehe. Rasa nak pegi berkelah. ^^

Akhir kalam, semoga urusan dunia tidak melalaikan kita dari tujuan sebenar kita iaitu mencari keredhaan Allah. Jadikan urusan dunia itu sebagai ibadah yang ingin kita bawa sehingga ke akhirat sana. Bukan persembahan ini yang akan kita persembahkan di hadapan Allah, bukan kemahiran, pangkat, kecantikan, kemewahan, keturunan yang akan kita bawa menghadap Allah. Allah itu Maha Kaya, Allah sudah memiliki segala-galanya. Allah yang memberi nikmat atau ujian ke dalam hidup kita. Tetapi, apa yang ingin kita persembahkan kepada Allah, adalah Hati Yang Sejahtera, Qolbun Saleem.

Firman Allah dalam surah as-Syura, ayat 88-89 yang bermaksud: "Pada hari kiamat, sudah tidak berguna lagi harta benda, anak-pinak kecuali orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera."


Hati salim ialah hati yang bersih dari kekafiran, maksiat, pengkhianatan, nifaq. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

" Dan tidak ada satu perbuatan yang lebih menghampirkan diri seorang hamba kepadaKu daripada apa yang aku fardhukan ke atasnya, dan ia terus mendekatkan dirinya kepadaKu dengan melakukan amalan sunat sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku mencintainya, Akulah pendengaran yang ia mendengar dengannya, Akulah penglihatan yang ia lihat dengannya, Akulah tangan yang ia memukul dengannya, Akulah kaki yang ia berjalan dengannya. Sekiranya ia meminta perlindunganKu, nescaya Aku akan melindunginya. "

p/s: saya perlu berusaha mengurangkan pemakanan yang menjadi kebiasaan kurang baik pada bulan Ramadhan lalu, iaitu minum air ais dan makan ayam. Sepanjang bekerja ramadhan lalu, kami selalu dihidangkan ayam golek dan air kelapa ais, pada hari biasa, saya amat jarang menikmati makanan seperti itu. Harus berusaha mengurangkan dari sekarang. Chayyok2. ^^

Wallahutaala a'lam.