Sunday, February 12, 2012

Benarkah Aku Tidak Mampu Hidup Tanpa Dia?

(ati, pinjam profil picture.hihi)

Assalamua’laikum warahmatullahi wabarakatuh

Dengan nama Allah Yang Maha Esa, dan tidak ada yang standing denganNya. Segala yang kita kecapi pada hari ini, semuanya di atas keizinan dan ketetapan dariNya. Sesungguhnya Dia, Maha Merancang dan Maha Mengatur setiap takdir yang berlaku ke atas kehidupan seseorang hamba, sama ada takdir itu berupa nikmat atau musibah, semuanya berlaku di atas keizinan dan kehendak Allah swt. Namun begitu, tidaklah Allah menjadikan sesuatu itu untuk sesaat yang sia-sia, tetapi ia hadirkan bersama hikmah yang tersembunyi, bagi mereka yang sentiasa memikirkan KeagunganNya setiap waktu dan setiap ketika, sambil berdiri, duduk mahupun berbaring, lalu mereka sentiasa mengambil ujian itu secara redha dan pasrah.

Sahabat-sahabat yang dikasihi kerana Allah swt,

Pernahkah kalian mendengar lagu ini?

Tuhan tolong lembutkan hati dia,

Untuk terimaku seadanya,

Kerna ku tak sanggup,Kerna ku tak mampu,

Hidup tanpa dia di sisiku.

Tuhan aku tahu banyak dosaku,

Hanya ingatkanMu kala dukaku, Namun hanya Kamu,

Yang mampu membuka pintu hatinya, Untuk cintaku.

Malam kau bawalah rinduku, Untuk dirinya yang jauh dariku,

Agar dia tidak kesepian, Selalu rasa ada cinta agung,

Hujan bawa air mataku, Yang mengalir membasuh lukaku,

Agar dia tahu ku tersiksa, Tanpa cinta dia dihatiku,

Hanya mampu berserah moga cahaya tiba nanti.

petikan dari lagu: Ombak Rindu


Pada mula saya mendengar lagu ini, saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada lirik lagu ini. Saya kemudiannya bertanya kepada diri, Benarkah kita tidak mampu hidup tanpa seseorang yang kita cintai? Jika sememangnya dia bukan ditakdirkan untuk menjadi teman dalam hidup kita, apakah kita akan mati sekiranya kita tidak mendapatkan dia? Di manakah kita meletakkan Allah swt, sebagai Kekasih Agung yang kerana rahmat dan kasih sayangNya kita bisa bernafas, di manakah kita meletakkan Allah swt sebagai Pemberi Rezeki yang keranaNya kita bisa mendapatkan sedikit jamahan fizikal? Lalu, apakah sebenarnya yang kita kejari? Cinta Allah swt atau Cinta Manusia? Dan lagu ini tidak lain dan tidak bukan banyak menggunakan unsur memuja Cinta Manusia. Antara lirik lagu ini, kita akui kita banyak melakukan dosa, dan kita ingat Allah ketikamana kita berduka, tetapi, ia tidak menunjukkan bahawa di mana keinsafan dirinya terhadap dosa-dosanya? Dan terus meminta, supaya Allah buka pintu hati kekasihnya dan seterusnya. Ketika saya mendengar lagu ini yang dikatakan sungguh diminati oleh golongan remaja, lalu, pelbagai persoalan timbul di benak fikiran. Lalu, saya membuat satu konklusi bahawa, lagu ini cukup berbahaya kepada hati para remaja, dan menyebabkan cinta manusia menjadi keutamaan dan mendahului cinta Allah. Jika kita perasan, banyak sekali lagu yang dikatakan ‘islamik’ pada hari ini, sebenarnya tidak lansung mencetuskan rasa cinta kepada Allah, tetapi, nama Allah atau Tuhan digunakan sebagai satu tiket untuk mempromosikan lagu-lagu yang melalaikan. Inilah satu-satunya perancangan Jahililliah untuk melalaikan kehidupan anak ramaja terutamanya muslim pada hari ini termasuklah diri saya. Sungguh media massa pada hari ini cukup berbahaya dalam memperkotak katikkan aqidah Umat Islam pada hari ini terutamanya remaja harapan Islam.

Apa akan terjadi apabila kita mendengar lagu seperti ini berulang kali dalam sehari? Ia akan membentuk hati manusia agar mengenepikan Cinta Allah, dan mendorong kepada memuja Cinta Manusia. Kerana itulah terjadinya kejadian seperti ini:

http://mynewshub.my/2012/01/25/lelaki-peluk-mayat-teman-wanita-terjatuh-bangunan/


Secara kebetulan, saya sedang membaca sebuah buku yang bertajuk “Di Atas Jalan Dakwah Aku Menikah”, dan dengan keizinan Allah swt, ketika saya sedang berfikir, saya temui satu bahagian yang tepat sekali untuk membahaskan kesilapan lirik lagu ini. Setelah membaca, saya lebih yakin bahawa lagu ini sememangnya tidak sepatutnya menjadi irama dalam kehidupan seorang hamba yang mendambakan kasih Illahi, kerana ia sedang mengagungkan cinta manusiawi, sehingga manusia lalai akan matlamat kehidupannya sendiri.


Apabila seseorang diantara kamu berkehendak melakukan sesuatu perkara hendaklah ia solat 2 rakaat di luar solat fardhu, kemudian bacalah doa ini:


“ Ya Allah, aku memohon kepadaMu dengan ilmuMu pilihan yang paling tepat, aku memohon kekuatan kepadaMu dengan kemahakuasaanMu, aku memohon kurniaMu yang besar. Sesungguhnya Engkau Mahakuasa, sedangkan aku tidak kuasa. Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui, dan Engkaulah Yang Maha Mengetahui Perkara Ghaib.”

“Ya Allah, apabila Engkau Mengetahui bahawa perkara ini baik bagiku, bagi agamaku, bagi hidupku, dan baik akibatnya bagi diriku (atau : baik bagiku di dunia dan di akhirat) maka tetapkanlah dan mudahkanlah. Sesungguhnya apabila Engkau Mengetahui akan perkara ini buruk bagiku, bagi agamaku, bagi hidupku, dan buruk akibatnya bagi diriku (ataupun : buruk bagiku di dunia dan di akhirat), maka jauhkanlah perkara ini dariku dan jauhkanlah diriku darinya. Tetapkanlah kebaikan untukku di manapun aku berada, dan jadikanlah aku redha untuk menerimanya.”

Kemudian, Rasul SAW bersabda:

“ Maka silakanlah ia menyebut keperluannya” (HR Bukhari, Abu Daud, Tirmidzi dan yang lainnya)


Setelah menunaikan solat Istiqarah, apabila salatnya dilaksanakan dengan kesungguhan dan keikhlasan, diharapkan akan memunculkan kecenderungan dan kemantapan hati. Dengan landasan itulah keputusan akhir ditetapkan, bahawa pilihan anda jatuh kepada si fulan atau si fulanah. Bismillah, mudah-mudahan itulah pilihan yang barokah, pilihan yang membawa anda dan keluarga anda nantinya ke jannah.


Sekali lagi cuba kita hayati doa istiqarah di atas:


Jangan anda mendikte apalagi mengancam Allah dalam doa anda. Allah lebih mengetahui segala sesuatu yang terbaik bagi anda, kerana ilmu manusia sangatlah terbatas. Tidak etis anda berdoa kepada Allah:

“ Ya Allah, jadikanlah Dewi ini sebagai isteriku, kerana ia terbaik untukku. Jika Engkau tidak menjodohkan aku dengan Dewi, aku akan berputus asa dan tidak mahu beribadah lagi”

Sungguh, anda tidak mengetahui dengan pasti, apakah Dewi itu akan membawa kebaikan kepada kehidupan anda di dunia apa lagi di akhirat.

Jangan anda berdoa kepada Allah, “ Ya Allah, jadikanlah Ahmad sebagai suamiku, sebab ialah satu-satunya lelaki yang terbaik untukku, jika aku tidak mendapatkan Ahmad, maka aku tidak akan menikah untuk selama-lamanya.”. Doa itu seperti mendikte Allah, dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala yang terbaik buat anda.

“ Ya Allah, aku memohon kepadaMu dengan ilmuMu pilihan yang paling tepat, aku memohon kekuatan kepadaMu dengan kemahakuasaanMu, aku memohon kurniaMu yang besar. Sesungguhnya Engkau Mahakuasa, sedangkan aku tidak kuasa. Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui, dan Engkaulah Yang Maha Mengetahui Perkara Ghaib.”

Itulah doa yang semestinya anda ungkapkan kepada Allah. Yakinlah anda bahawa Allah Maha Pengkabul Doa.

Petikan dari buku: “Di Atas Jalan Dakwah Aku Menikah”-Cahyadi Takriawan. (ms 75-76)

Segala yang saya kongsikan di sini, adalah pertamanya untuk diri saya sendiri, dan semoga ianya bermanfaat buat yang lain. Sungguh, kadangkala kita terlalu mahukan sesuatu sehingga kita lupa untuk bertanya Allah swt, apakah ia terbaik untukku, agamaku, duniaku dan akhiratku?. Walaupun tidak mendapatkan apa yang kita hajati itu satu kepahitan, namun, ia pasti akan bertukar menjadi sebuah kemanisan, suatu saat apabila Allah swt telah menunjukkan hikmah yang tersembunyi di sebaliknya. Wallahua’lam.

*p/s: silakan mendapatkan buku “Di Atas Jalan Dakwah Aku Menikah”, insha’Allah, akan menemui khazanah berharga di dalamnya. Percayalah!!!!


12.55 p.m

13 Februari 2012

Changlun, Kedah

2 comments:

  1. entry yang sgt menarik.
    jazakallahu khairan kathira :)

    ReplyDelete
  2. NS: semoga bermanfaat. ajmain. waiyyaki. barakallahufikh.

    ReplyDelete