Wednesday, February 1, 2012

"TARBIYAH SEBUAH PEPERIKSAAN"

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang,

Segala puji dan syukur hanya layak bagi Allah swt, Rabb Pemilik Arsy Yang Agung. Sesungguhnya segala nikmat yang kita kecapi pada hari ini, tiadalah satupun daripada usaha dan titik peluh kita, tetapi, semua itu adalah anugerah Allah swt, untuk kita syukuri, dan gunakan kearah kebaikan diri sendiri dan umat manusia seluruhnya. Acapkali kita ulang-ulangkan di dalam zikir harian kita, salah satu doa dipetik dari Al-Matsurat:

“ Ya Allah, apa sahaja nikmat yang aku kecapi atau perolehi oleh mana-mana makhlukMu pada waktu pagi / petang hari ini, semuanya adalah daripadaMu jua; Yang Maha Esa dan Tidak mempunyai sekutu. BagiMu segala puji dan syukur.”

Selawat dan salam utusan rindu buat kekasih pilihan Allah swt, Rasulullah saw, ahli keluarga, serta para sahabat baginda.

Sahabat-sahabat yang dikasihi Lillahitaala,

Saya mendoakan semoga kalian senantiasa berada di dalam kesejahteraan fizikal dan rohani, serta dilimpahi keberkatan dalam melalui hari-hari dalam kehidupan. Semoga kita semua diberi petunjuk dan kemudahan dalam melakukan ketaatan kepada Illahi sentiasa dan sentiasa. Inilah tanda-tanda kecintaan Allah swt kepada hamba-hambaNya.

“ Barangsiapa yang dicintai oleh Allah swt, maka Allah swt akan melimpahkan rezeki kepadanya berupa perasaan cinta, taat, zikir dan khidmat kepadaNya

Sungguh indah saat apabila kita mencintai dan dicintai oleh Allah swt, kerana di situ terletak sebuah kebahagiaan jiwa yang tidak terungkap. Hati sentiasa berbicara denganNya, segala kegembiraan dan kedukaan diadukan kepadaNya, lisan pula tidak kering dalam menyebut asma’ & sifatnya, serta kalimah tayyibah (kata-kata yang baik), dan anggota badan pula sentiasa tergerak untuk melaksanakan tuntutan Ibadah kepada Allah swt dan bersegera dalam meninggalkan laranganNya. “Dimana ada Iman, di situ ada Cinta”

“Segala yang diinginkan oleh manusia ada pada Allah. Rasa cinta adalah hadiah dari Allah swt. Dengan hadiah itulah terciptanya hubungan sesama manusia. Apa yang kita rasai dan dapati adalah kerana cintanya Allah swt kepada kita. Orang yang mengenali Allah akan beradab dan penuh malu kepada Allah swt. Cintanya akan tertumpu kepada cinta Allah swt. Bila cinta kepada Allah penuh di hati, tiada tempat lagi untuk cinta selain itu. Sungguh, hati yang mencintai Allah adalah hati yang beruntung kerana semua yang dilakukan atas nama cinta itu akan mendatangkan kebaikan baik di dunia mahupun di akhirat. Dengan cinta itulah, hati akan tenang dan damai dalam menghadapi kehidupan ini.”-petikan dari buku Inikah Ertinya Cinta

Namun, ada masanya, Iman ini menjadi lemah, tatkala kurangnya pengisian rohani, serta suasana yang tidak membantu dalam peningkatan Iman…

Maafkan saya jika muqaddimah coretan saya kali ini sedikit panjang. Hal ini disebabkan, saya sedang sedaya upaya mencuba untuk meneutralkan semula hati ini, dan membiasakan semula jari-jemari untuk menulis setelah sekian lama tidak mencoretkan apa-apa diatas tuntutan yang lebih aula. Sebenarnya, untuk menulis dan berkongsi ilmu adalah tidak mudah. Ia memerlukan banyak persediaan, hati, jasad dan emosi. Seandainya salah satu daripadanya melemah, hatta untuk menggerakkan jari sekalipun kita tidak mampu. Namun, apabila ada himmah (semangat), iradah (kehendak), jiddiah( kesungguhan), dan tawakkal yang berterusan, insha’Allah, semua dugaan bisa diatasi. Semoga segala yang kita lakukan dibantu dan dipermudahkan oleh Allah swt.

Pada hari ini, saya berhajat untuk mencoretkan sedikit mengenai perjalanan kehidupan saya sepanjang menghadapi peperiksaan. Banyak perkara yang berlaku sepanjang tempoh itu, tidak terkecuali perkara suka dan duka. Sungguh,manusia itu merancang begitu dan begini, namun, Allah swt itu sebaik-baik Perancang. Ada perkara yang dirancang, menjadi dengan baik, dan ada juga tidak dapat dilakukan dengan baik, dan ada juga perkara yang tidak pernah kita duga, tetapi berlaku. Ya, setiap sesuatu yang berlaku dalam kehidupan ini, semuanya telah tertulis di Loh Mahfuz, dan tidak ada suatupun yang berlaku, tanpa diketahui oleh Allah swt. Seandainya kita mengambil sesuatu ujian itu secara positif, insha’Allah, segala yang pahit itu akan bertukar menjadi manis, dan segala yang buruk itu bertukar menjadi cantik.

“ Kadangkala Allah swt menghilangkan mentari yang bersinar, lalu diganti dengan mendung, hujan dan guruh. Kita tertanya, kemanakah mentari itu menghilang? Lalu, Allah menjawabnya dengan pergantian pelangi indah yang berwarna-warni menyinari perjalanan hari ”

Oleh itu, seharusnya kita sama-sama memperbanyakkan muhasabah diri, dan kembali kepada Allah swt dalam setiap yang berlaku, sama ada ianya pahit atau manis.

Bermula dari musim peperiksaan lalu (3 Januari 2012 – 16 Januari 2012), saya telah melalui pelbagai pengalaman yang begitu mendidik sama ada jiwa, fizikal dan emosi. “Tarbiyah sebuah Peperiksaan” , itulah yang dapat saya gambarkan pada peperiksaan kali ini. Saya dapat merasakan suasananya sangat berbeza dari sebelum ini. Secara ringkasnya, saya rumuskan bahawa, Allah swt telah membuka banyak keajaibanNya sepanjang saya melalui tempoh ini seperti firmanNya yang bermaksud:

“..Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. –Surah At- Thalaq: 2-3 -


Ya, janji Allah swt itu benar secara teori dan praktikalnya, bukan sahaja di dunia, malah di akhirat sana. Namun begitu, ingin saya tegaskan kepada diri saya sendiri dan sahabat-sahabat sekalian, bahawa, mendekatkan diri kepada Allah swt ini, bukanlah bermusim dan hanya dijalankan pada musim-musim peperiksaan , atau ketika kita berada dalam kesusahan sahaja, namun, sepanjang masa sehingga ke hembusan nyawa yang terakhir. Sungguh kita manusia yang lemah, dan sangat perlu kepada Allah swt setiap masa dan setiap waktu. Mendekatkan diri kepada Allah adalah perkara yang paling membahagiakan kehidupan seorang hamba, menjauhi Allah swt adalah kesengsaraan kehidupan seseorang hamba. Namun begitu, tidak dinafikan, sebagai manusia yang pelupa, seringkali kita tersasar dari landasan fisabilillah, lantaran terpedaya dengan dunia yang fana’. Oleh itu, sentiasalah kita memohon agar setiap kali kita jatuh, setiap kali Iman kita melemah, Allah swt akan membangunkan kita dengan sesuatu yang lebih baik. Allah swt menyelamatkan kita dari kecantikan dunia yang menipu ini. Justeru, saya menyeru diri saya terutamanya dan sidang pembaca sekalian, sama-samalah kita jadikan, peperiksaan ini merupakan satu titik permulaan untuk kita memperbaiki diri ke arah yang lebih baik, dan terus konsisten dalam memperbaiki diri. Moga-moga sentiasa dilimpahi rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka.

Antara hikmah yang dapat saya lihat pada peperiksaan kali ini, adalah keberkatan dalam “belajar secara berkumpulan”. Ya, seperti yang kita ketahui, banyak keberkatan dan kebaikan apabila kita melakukan sesuatu secara jama’e, dan sebenarnya, prinsip Islam ini telah diaplikasi oleh ramai Not Yet Muslim (NYM), dan kita melihat, pencapaian mereka yang belajar secara berkumpulan ini, lebih baik dari mereka yang belajar secara berseorangan. Pada kali ini, saya dan beberapa sahabat saya telah bersatu dan saling membantu dalam pembelajaran secara berkumpulan di dalam subjek “Zoologi Vertebrata”, suatu subjek yang begitu mencabar bagi kami. Tetapi, berkat pembelajaran secara berkumpulan, dimulai dengan doa dan pengharapan pada Illahi, bertanya pensyarah, pembahagian tajuk untuk membuat nota dan perbentangan, akhirnya, Alhamdulillah, segala puji kami panjatkan kepada Illahi, setiap tajuk yang dibentangkan, masuk ke dalam peperiksaan. Tetapi hikmah dari pembelajaran ini, kami bukan sahaja menghafal subjek untuk peperiksaan, tetapi, kami cuba mendalami alam haiwan yang bertulang belakang, sejak dari zaman primitif sehingga ke zaman moden. Allah membuka hikmahNya dengan memperlihatkan kepada kami, kesilapan-kesilapan yang berlaku pada fakta, yang menyebabkan kami berfikir apakah benar-benar wujud zaman ini dan itu, haiwan ini dan itu? Kemudian, ilmu ini menjadi bahan bualan kami, tidak kira semasa makan ataupun menaiki bas. Ketika itu, ungkapan-ungkapan Dr Azizan semasa Seminar Kecemerlangan Cinta & Akademik sentiasa bermain di fikiran saya. Dr pernah mengatakan,

“ Saya membuat Power Point ini dengan penuh ikhlas dan ITQAN (tekun)”

Pada kali ini, barulah saya memahami kata-kata Dr Azizan itu dan saya merasai keberkatan pengisiannya setahun yang lalu, masih segar dalam ingatan saya, sampai hari ini. Itulah berkat keikhlasan dalam menuntut dan memberi ilmu. Setiap hari dalam hidup saya, sentiasa saya bina impian, untuk mengkaji Ilmu bukan menghafal Ilmu. Barulah ia akan melekat kuat di dalam pemikiran, dan diaplikasikan dalam kehidupan. Namun begitu, ini hanyalah usaha kecil, dan tidaklah sehebat manapun jika dibandingkan dengan orang lain yang lebih berfikiran kritis, kreatif, saya ini hanyalah biasa-biasa sahaja. Saya lebih kagum kepada mereka yang menuntut Ilmu, mengkaji Ilmu secara mendalam, dan berjaya mencipta sesuatu yang boleh disumbangkan kepada masyarakat, kerana mereka bukan sahaja penuntut, tetapi juga penyumbang, dan ganjaran pahala yang mereka perolehi, sentiasa berterusan sehingga ke alam barzakh pun selagi mana ilmu mereka digunapakai dan selagi mana mereka sentiasa menuntun kelebihan yang mereka miliki di atas jalan Iman. Cemburu sungguh saya..(cemburu yang positif..^_^)

Kemudian, salah satu hikmah yang dapat saya lihat lagi, keberkatan meminta didoakan oleh insan-insan di sekeliling kita. Saya pasti bahawa, setiap pembaca pastinya pernah minta didoakan oleh ahli keluarga dan sahabat-sahabat sejagat. Begitu juga saya. Beberapa hari sebelum peperiksaan, cuba kita amalkan ucapan saling mendoakan antara satu sama lain, mungkin secara mesej, FB dan berhadapan sekalipun. Ini adalah salah satu usaha yang boleh kita lakukan iaitu mesej kepada ahli keluarga, guru-guru dan rakan-rakan, mendoakan mereka dan minta didoakan. Seandainya kita merasakan doa itu penting, dan doa dari setiap insan yang minta didoakan dan mendoakan itu penting, insha’Allah, Allah akan mempermudahkan jalan kita untuk mengambil peperiksaan. Apakah hikmah dari amalan ini?

1. Sillaturrahim – dengan ini akan terbinanya rasa kasih dan cinta kita sesama saudara seagama kerana menunjukkan kita sangat menghargai sebuah persahabatan dan persaudaraan, tidak kira dengan ahli keluarga, guru-guru dan rakan-rakan.

2. Zikrullah – seperti yang kita ketahui dan sedia maklum, di musim-musim peperiksaan ini, sudah tentu banyak berlakunya ketegangan emosi, dengan sedikit ucapan zikrullah yang dimesej, insha’Allah, dapat sama-sama kita saling memperingati ke arah kesabaran dan kebenaran.

3. Muhasabah diri – hal ini akan membantu kita menilai diri dan kembali kepada Illahi dalam setiap pencapaian yang kita perolehi. Kita akan merasakan, segala yang kita perolehi, semuanya bukan disebabkan usaha kita yang sedikit ini, tetapi disebabkan pemberian dan anugerah dari Allah swt di atas doa-doa insan di sekeliling kita.

4. Dan banyak lagi…Insha’Allah. Selamat mencuba.

Pada kesempatan ini, saya dengan sepenuh hati memanjatkan sebesar-besar kesyukuran kepada Allah swt, kerana telah memudahkan setiap langkahan saya dan sahabat-sahabat saya menghadapi peperiksaan. Sungguh saya merasa begitu bersyukur, Allah swt telah mendidik saya pada peperiksaan kali ini secara fizikal, roh dan jasad. Semoga kita sentiasa dan sentiasa menjadi hamba Allah yang bersyukur dan bertaubat.

Saya juga ingin berterima kasih kepada ahli keluarga, ibu dan ayah, adik beradik dan sanak saudara yang telah mendoakan saya dan memberi sokongan. Tidak saya lupakan, semua muallim dan murobbi yang telah mendoakan saya, dan memberi mesej yang cukup-cukup memberi kesan terhadap hati saya. Antara mesej tersebut yang ingin saya coretkan di dalam penulisan ini sebagai satu memori indah dan motivasi:

1. “ Semoga Allah menolongmu”-Ustazah KB

2. “Insha’Allah..ameen”-Dr A

3. “Insha’Allah, makcik doakan”- Makcik Wan

4. “ Waalaikumussalam wbt, Syafiyah yang dikasihi, makcik sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anak-anak semua. Semoga Allah permudahkan urusan peperiksaan” –Prof Dr R

5. “ Insha’Allah, Syafiyah serta sahabat/ah berjaya dengan cemerlang”- Dr Z

6. “Wlsm. Moga Allah kurnia kejayaan pada hamba-hambaNya yang memohon pertolonganNya”-Cikgu Mai

7. “ Wlsm. Maaf lambat respon. Ana akan mendoakan insha’Allah. Ya Allah, kurniakanlah kepada anakku ini, aqal yang sedar, hati yang suci, himmah yang tinggi dan iradah yang membara. Kurniakan dia kejayaan dan kecemerlangan hanyasanya untuk meninggikan DeenMu dan mengembirakan meraka yang mencintai Islam”- Pak Arbi (cukup menyentuh hati)

Jazakumullahukhairan kathira atas doanya, akan sentiasa saya kenangi dan abadikan doa dan kasih saya kepada kalian, sehingga ke penghujung nyawa.

Dalam masa yang sama, saya juga ingin berterima kasih dan penghargaan kepada sahabat-sahabat yang saya cintai dan kasihi kerana Allah, sejak dari MATRI, KMK, dan USM sendiri, yang telah banyak mendoakan, memberi sokongan, dorongan dan cerminan peribadi kepada saya, sepanjang proses menghadapi peperiksaan. Kepada roomate saya sendiri Nur Hayati, yang telah banyak bersabar mendengar celoteh dan leteran saya, selama satu semester tinggal sebilik, bermacam-macam kerenah saya sanggup ditelan dan bersabar (hak benda buruk tu takyahlah dok ikut..ngee) , subhanallah, bahagia dan bersyukur dikurniakan teman sepertinya, junior yang disayangi, Amira Zukee, classmates saya yang sentiasa membantu berkongsi bahan ilmu, aqilah, husnul, dan ramai lagi, ahli kumpulan saya (kak Raja Umir Yasha yang tekun, Emah Hassan yang murah hati, kak Nur Iman Kami yang kreatif), terima kasih kerana bersabar dengan kelemahan dan kekurangan saya sepanjang menjadi ahli kumpulan, sahibah-sahibah saya (K Amilia, K Zaleha, K Shazwani, K Ina, K Faruqi, K Aisyah Ruqayyah, Wan Nur Yasmin, Syuhada, Nisa’ Karimah, K Nazihah, Izzah Zaaba, K Aishah Hadi dan yang lain) yang sentiasa memberi sokongan dan nasihat, dan membenarkan saya bermalam di rumah mereka setiap hari Ahad kerana ketiadaan bas untuk pulang dari perpustakaan, menyediakan makanan yang sihat dan enak, menghantar ke Dewan Peperiksaan, subhanallah, indahnya persahabatan dalam Islam. Melihat wajah bersih, tenang dan ceria mereka merawat jiwa yang gundah gulana. Kepada sesiapa yang tidak saya sebutkan namanya, tetapi turut mendoakan saya dan memberi sokongan, turut saya ucapkan jutaan terima kasih. Jasa kalian, tidak dapat saya balas dengan nikmat-nikmat yang ada di dunia, tetapi saya sentiasa berharap dan mendoakan, segala jasa yang dicurahkan akan diganjari pahala yang besar disisi Illahi. Semoga setiap nikmat yang kita kecapi di dalam kehidupan ini, akan menambahkan ketundukan dan kepatuhan kita pada Illahi Rabbul Izzati, serta menjadikan kita hamba yang bersyukur, bertaubat dan taat sepanjang masa dan sepanjang waktu. Semoga kecemerlangan akan sentiasa mewarnai kehidupan kita baik didunia mahupun di akhirat sana. Wallahua’lam.

Tempat belajar saya sepanjang tempoh peperiksaan:

Bilik sendiri...Rindunya nak balik bilik..(T_T)

Perpustakaan baru..Udara di luar begitu nyaman dan menyejukkan..merindui tempat ini..

Bilik bacaan PP Sains Fizik..(Ada ke patut study biologi kat school fizik..hihi)

Suasana pembelajaran yang kondusif di PPS Fizik..

Tadabbur alam sambil membaca...


Peristiwa-peristiwa sampingan semasa gap peperiksaan:


Makan-makan bersama ahli kumpulan (me, emah, kak Masyitah, dan K Yasha) seusai tamatnya Zoologi Vertebrata (ceria nampak..ada pape ke?? *_*) (6 Januari 2012)


Jamuan di Rumah Bro Kamaruddin ( 7 Januari 2012)


Jamuan di rumah kak Amilia (15 Januari 2012)


Kenangan indah bersama emah hassan yang dikasihi Lillahitaala

Sedikit kesan sampingan yang saya terima sepanjang peperiksaan ini, iaitu, keadaan mata yang semakin rabun. Akhir-akhir ini, saya semakin merapati cermin mata yang sebenarnya kurang digemari, tetapi, saya mendapati mata semakin kabur, dan tidak dapat mengecam orang dengan jelas walaupun dari jarak yang agak dekat. Oleh itu, sesiapa yang terjumpa saya tetapi tidak diteguri ketika tidak memakai cermin mata, saya minta maaf yang amat, kerana benar-benar tidak dapat mengecam kalian. (Jangan terasa ye).. Saya juga mengalami kenaikan berat badan (oh tidak!!), harus mengamalkan cara hidup sihat semula.

Tamatlah sudah diari peperiksaanku...^_^

3.01 a.m
2 Februari 2012
Kampung Bayas, Langkawi, Kedah






No comments:

Post a Comment