Tuesday, March 6, 2012

Allah Sentiasa Dekat Dengan Hamba-hambaNya


Alhamdulillah, Segala Puji Hanya Bagi Allah, Rabb Yang Maha Pengasih Lagi Maha Pencinta. Yang sentiasa mencintai hamba-hambaNya, sentiasa bersama dalam setiap keadaan hambaNya walaupun ia sedang bergembira ataupun berduka, selagimana, hamba itu sentiasa menjadikan Dia harapan dan tempat bergantung dalam semua urusan.

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu(Muhammad) mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka) Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. (Surah Al-Baqarah : 186)

" Dan sungguh, Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya" (Surah Qaf : 16)

Pada usrah yang lalu, teringat saya sebuah ungkapan seorang sahibah yang dikasihi kerana Allah, yang menusuk jiwa ini, " Sesungguhnya Allah swt akan mentakdirkan sesuatu keatas hamba-hambaNya dengan sesuatu yang mereka perlukan, bukan yang mereka hendakkan". Ya, benar, Allah swt Maha Mengetahui Segala yang terbaik buat hamba-hambaNya, masakan Dia menzalimi hamba-hambaNya sedangkan Dia menciptakan mereka dengan sepenuh kasih sayangNya.


"Bukanlah Allah tidak mengetahui dan memahami akan retaknya hatimu, deritanya hidupmu, hal ini kerana Dia Maha Mengetahui bahawa hati-hati inilah yang akan sentiasa dekat dan akrab denganNya."


Benar, dalam setiap kesedihan yang kita alami, tidak mampu kita sebut nama-nama yang lain melainkan Nama Allah Yang Maha Agung Lagi Maha Mulia.. Setiap tadahan doa, nikmatnya tidak seperti hari-hari yang biasa, kerana pada waktu itu, kita berdoa dengan penuh Pasrah, dan menyerah sungguh, kerana tidak ada yang bisa mententeramkan hati melainkan Dia. Suara azan yang memanggil seolah-olah mengeluarkan jiwa yang dalam keserabutan menuju ke subuah lambaian sakinah (ketenangan). Ya Allah, terima kasih kerana mengurniakan kami Nikmat Islam dan Nikmat Iman, kerana di situ kami bisa merasai KehadiranMu, melihat cahaya RabbaniMu.


" Cukuplah Allah bagiku, ke atasNya aku bertawakkal, sesungguhnya Dia pemilik Arsy Yang Agung".


Subhanallah, cahaya mentari pagi hari yang menyinari alam ini, bisa kulihat lagi. Moga- moga hari ini lebih baik dari hari hari yang lalu, dalam usaha mengejar keredhaanNya.

No comments:

Post a Comment