Sunday, March 25, 2012

Rehlah Tarbawi

Bismillahirrahmanirrahim,

Segala puji hanya bagi Allah, Rabb yang nyawaku dalam genggamanNya, Dialah ALLAH, Pemilik Arsy Yang Agung. Selawat dan salam utusan jiwa buat kekasih pilihan Allah, Rasulullah saw, suri tauladan terbaik sepanjang zaman, serta salam sejahtera buat ahli keluarga dan para sahabatnya yang unggul.

Alhamdulillah, saya mengucapkan sepenuh kesyukuran kepada Allah swt, Rabb Yang Maha Pencipta & Maha Pencinta, yang kasih sayangNya mendahului kemurkaanNya, kerana sehingga pada saat ini, Dia masih sudi memberi daku peluang untuk bernafas buat sehari lagi, memberiku kesempatan untuk merasai kesejukan embun pagi, menatap keindahan ciptaanNya bermula saat fajar menyinsing sehingga melabuhkan tirainya di senja hari, Alhamdulillah, sehingga di malam yang dingin ini, tidak putus-putus Dia mengurniakan pelbagai nikmat agar bibirku tetap bertasbih memujiNya, hatiku tetap padu dalam pencarian cintaNya, serta setiap nikmat pemberianNya ini, seolah-olah memujuk hamba berdosa ini agar sentiasa kembali kepadaNya dengan taubat yang penuh ikhlas. Subhanallah, baiknya Allah, kerana tidak pernah membiarkanku berputus asa dari rahmatNya, sentiasa memberi daku peluang untuk kembali kepadaNya selagi waktu masih ada, ada kalanya Dia mentaqdirkan cubaan keatasku, supaya daku sedar akan perhambaanku kepadaNya, agar daku melepaskan diri ini dari ikatan dunia yang begitu dusta ini, kepada perhambaan kepadaNya Yang Maha Kekal.


Hari ini mencipta suatu memori indah untuk disimpan kemas di dalam kamus hidupku lagi . Saat bersamamu sahibah-sahibahku, tidak akan daku lupakan hingga ke akhir waktu. Pada mulanya, hati ini sedikit berat untuk melangkah ke Pusat Sukan Air Teluk Kumbar, kerana sedikit trauma dengan peristiwa lalu, dan beberapa hal yang sebenarnya mengekang langkahku. Namun, ada suatu daya tolakan yang begitu kuat memujuk hati untuk tetap melangkah adalah rehlah ini akan dihadiri oleh sahibah-sahibah yang daku sayangi kerana Allah swt. Antaranya, Makcik Nor Izzah, Makcik Awatif, Makcik Khairil, K Sakinah, K Shazwani, K Aisyah, K Zaleha, K Faruqi, Raidah, K Zulaikha, K Huda, K Faezah, adik-adik seperjuanganku, Zainab, Ikin dan ramai lagi, Alhamdulillah. Menatap wajah setiap seorang daripada mereka membuatkan hatiku begitu tenang dan nyaman, tidak tahu mengapa, rasa begitu tenteram, seolah-olah hilang segala masalah yang memberatkan fikiranku, dan dibuang jauh-jauh ke dalam laut. Allah, begitulah panahan ukhuwah Islamiyah, ia tidak berhajat kepada sesuatu yang lain melainkan sama-sama berkasih sayang kerana Allah, dan saling lengkap-melengkapi dalam ketaatan kepada Allah swt. Saat bersama mereka merupakan detik yang begitu indah dalam hidupku, kerana hari esok merupakan sesuatu yang tidak pasti.


Pada saya, rehlah kali ini benar-benar satu rehlah tarbawi, rehlah yang terdidik dan tersusun, disusun kemas oleh Allah swt. Bermula saat tiba di pusat sukan air, kami bertaaruf dan berkenalan antara satu sama lain, walaupun kali pertama bertemu, umpama sudah lama mengenali satu sama lain. Kemudian, kami disajikan dengan beberapa makanan rohani oleh beberapa orang murobbi yang disegani, sebelum menjamah makanan fizikal. Sementara menunggu giliran berkayak, kami berjalan-jalan di persisiran pantai, dan tidak sangka, di situ kami secara tidak formal, membentuk bulatan, bertaaruf secara mendalam lagi antara satu sama lain, dan sedikit tazkirah rohani lagi diberi oleh makcik Nor Izzah sebagai memperingatkan kami agar sentiasa meluruskan niat dan mengikhlaskan hati dalam memberi masa untuk mengikuti program seperti ini. Kata makcik, jihad itu bukanlah hanya di medan perang, tetapi juga dalam menguatkan ukhuwah sesame muslim, juga merupakan satu jihad.


Pada mulanya saya benar-benar tidak berhajat untuk bermain kayak, lalu tidak membawa sebarang pakaian salinan. Tetapi, ajakan sahibah-sahibah cukup menyentuh hati saya yang paling dalam. Langkahan terasa seperti mudah, dan saya rasa begitu bahagia kerana inilah kali pertama saya merasa begitu selamat bermain kayak kerana dalam suasana yang agak terjaga, dan bersama para murobbi yang saya kasihi kerana Allah.


Secara konklusinya di sini, saya hanya dapat simpulkan bahawa, rehlah pada kali ini merupakan satu rehlah yang benar-benar tarbawi, dan ia mencapai maknanya tersendiri. Alhamdulillah, bersyukur pada Allah swt.


Akhir kata, semoga setiap hari yang dilalui merupakan hari-hari yang meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepadaNya. Sama ada bahagia atau tidak pada zahirnya, asalkan roh ini mendapat hak yang sepatutnya ia miliki, iaitu kecintaan yang begitu mendalam terhadap Allah dan Rasul. Sehingga saat ini hamba lemah ini masih bertatih. Walaupun susah, walaupun payah, perjalanan harus diteruskan, doaku setiap kali melalui hari yang baru, semoga hariku ini lebih baik dari hariku yang lalu. Semoga senyuman keikhlasan dan keimananku kembali lagi pada suatu saat yang tidak pasti.


“ Ya Allah, Wahai Rabb Yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas DeenMu. Ya Allah, Cukuplah Engkau bagiku, keatasMu daku bertawakkal, sesungguhnya Engkaulah Rabb Pemilik Arsy Yang Agung. Ya Allah, peliharalah imanku, iman ahli keluargaku yang dicintai, dan iman saudara-saudaraku di Palestin, Syria, Somalia dan di seluruh pelosok dunia, juga para sahabatku walau di mana sahaja mereka berada. Ya Allah, sampaikanlah salam rinduku pada mereka, sampaikanlah suara kerinduanku yang paling dalam hatiku ini, bahawa daku sangat merindui dan mengasihi mereka hanya keranaMu, pertemukanlah kami lagi seandainya ia dalam keizinanMu, dan pertemukanlah kami di akhirat, andaikata inilah pertemuan terakhir buat kami, sesungguhnya pertemuan di sanalah pertemuan yang abadi, semoga kami semua tergolong dalam kalangan mereka yang selalu bersyukur dan bertaubat” .

Amin.


p/s: merindui keluarga yang sudah lama tidak ketemu. Semoga pembedahan anak saudara yang dikasihi, Umar Mukhriz, berjaya pada esok hari.

Penawarhati90,

1.19 a.m

26 Mac 2012

Desasiswa Saujana, USM.

No comments:

Post a Comment