Sunday, April 15, 2012

-ALHAMDULILLAH-

Assalamua'laikum warahmatullahi wabarokatuh,

Sidang pembaca yang dicintai Allah swt lagi dikasihi Rasulullah saw,

Segala puji hanya selayaknya bagi Allah swt, Rabb yang nyawaku dalam genggamanNya, Yang Maha Penyembuh Lagi Maha Pemelihara. Selawat dan salam buat Rasul Junjungan Umat, Rasulullah saw, serta para sahabat dan ahli keluarganya yang unggul.

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah swt, kerana sehingga pada saat ini, Dia dengan Segala Kemurahan Kasih SayangNya masih lagi menganugerahkan daku nikmat udara untuk bernafas buat sehari lagi. Sesungguhnya hari-hari adalah peluang untuk memperbaiki diri kearah yang lebih baik dalam perjuangan mencapai kemuliaan di sisi Illahi.

" Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu adalah orang yang paling bertaqwa"

Alhamdulillah, walaupun menghadapi sedikit gangguan kesihatan pada hari ini, dengan izin Allah, saya berjaya menamatkan seisi pengajaran pada hari ini. Bersyukur kepada Allah swt kerana telah menambah jumlah pelajar pada hari ini, apa yang paling membuat saya begitu bersyukur kerana mereka adalah pelajar perempuan dan daripada sekolah menengah Al-Masyur. Sangat sopan dan menghormati guru. Sebelum ini pelajar saya adalah lelaki, bila ada pertambahan pelajar terutama perempuan dan melihat kesungguhan mereka belajar, seolah-olah ada satu tolakan dalam diri saya untuk sentiasa berkongsi ilmu bersungguh-sungguh dengan mereka walaupun terpaksa bersengkang mata untuk melakukan persediaan mengajar. Alhamdulillah, jauh di sudut hati saya merasa begitu gembira dan tenang melihat raut wajah setiap pelajar saya. Hati sentiasa berdoa moga-moga mereka ini sentiasa berjaya dengan cemerlang di dunia dan di akhirat. Menjadi satu kebimbangan pada diri saya jika tidak menunaikan hak mereka dengan baik sedangkan mereka datang belajar dengan penuh harapan. Moga-moga segala ilmu yang diajar dengan ITQAN, mengalir ke dalam hati dan pemikiran setiap seorang daripada mereka. Sesungguhnya ilmu itu milik Allah, kita hanya menyampaikan, tetapi Allah lah yang akan memeliharanya.


Baiklah, berbalik kepada topik asal, beberapa minggu yang lalu, dengan keizinan dan rezeki dari Allah, saya telah membeli sebuah Printer daripada seorang sahabat yang saya begitu hormati kerana Allah swt. Saya cukup bersyukur dan berterima kasih kepada Allah swt kerana di saat saya sangat memerlukan bantuan, Allah swt menghadirkan hamba-hambaNya yang ikhlas dan jujur untuk menghulurkan tangan membantu meringankan beban. Inilah bantuan Allah yang tidak pernah terlintas dalam sangkaan saya. Segala puji hanya bagi Allah swt. Pada kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada sahabat saya ini di atas kesanggupannya mengorbankan barang kesayangannya demi mengutamakan keperluan sahabatnya yang lain kerana saya tahu, sahabat saya ini seorang yang sangat teliti dan sangat sayang pada apa sahaja barangan yang dipinjamkan Allah kepadanya, dan beliau akan menjaga setiap satu dengan baik. Namun begitu, dalam dirinya ada satu sifat yang jarang sekali dipunyai oleh orang kebanyakan iaitu sifat suka membantu dalam apa sahaja tidak kira dalam aspek keilmuan, kerohanian dan juga fizikal. Jika tidak dengan perkataan, pasti dengan perbuatan. Semoga Allah merahmatinya dan sentiasa memurahkan rezekinya. Beliau sanggup menjual printer kepunyaannya dengan harga yang sangat rendah berbanding harga asal kerana memahami keadaan kewangan saya. Subhanallah.

"Saya letakkan di tempat yang baik, insha'Allah, semoga Allah menjaganya"

Di saat manusia pada hari ini ramai sekali yang lebih mementingkan diri, masih ada insan-insan yang sentiasa melebarkan tangannya untuk sebarang bantuan. Tidak hairanlah mengapa Allah swt menjadikan beliau seorang yang cemerlang dalam hidupnya. Semoga beliau sentiasa mendapat pertolongan Allah dengan sifat murah hatinya untuk membantu insan lain, namun semoga Allah swt juga sentiasa menjaganya dengan sifat murah hati yang dimilikinya. Walaupun beliau tidak banyak berbicara, tetapi dalam setiap bicaranya ada makna. Beliau seorang yang punya pendirian sendiri iaitu seorang yang berpegang kepada prinsip "mengotakan apa yang dikata". Saya amat menghormati pendiriannya.


Setiap sahabat saya mempunyai sifat dan keistimewaan mereka tersendiri. Saya sangat mengasihi dan menghormati sesiapa sahaja yang sudi menjadi sebahagian dari kehidupan saya iaitu seorang sahabat kerana pada diri mereka ada keistimewaan tersendiri yang sentiasa dimanfaatkan untuk tujuan mencari keredhaan Allah, dan keperibadian mereka adalah cerminan kehidupan saya dan selalu menjadi motivasi dalam kehidupan saya. Cuma saya masih merasa sedih kerana saya tidak dapat menunaikan hak saya sebagai seorang sahabat dengan baik, tidak tahu apakah yang boleh disumbangkan kepada mereka. Semoga Allah swt sentiasa mengasihi keluarga dan sahabat-sahabat saya dengan sentiasa membukakan hikmah kepada kami untuk mendekati cintaNya.

Sentiasa saya doakan agar dapat menggunakan printer ini hanya untuk tujuan yang baik. Jika ada sedikit ganjaran pahala dari Allah apabila saya menggunakan printer ini ke arah kebaikan, tidak akan saya lupa untuk mendoakan sahabat saya juga memperoleh kebaikan yang sama. Saya amat risau jika printer ini bermasalah, bimbang jika ia rosak. Namun, insha'Allah, janji saya pada diri sendiri akan cuba menggunakan dan menjaganya dengan baik sepertimana tuannya. Insha'Allah, dengan izin Allah. Mohon ampun kepada Allah dan minta maaf di atas segala khilaf.



Wallahutaala a'lam.

Penawarhati90
9.19 p.m
15 April 2012
Desasiswa Saujana





No comments:

Post a Comment