Sunday, April 22, 2012

-Hari Minggu Yang Indah Bersama Sahabat-

Bismillahirrahmanirrahim,

Segala puji hanya bagi Allah swt, Rabb Yang Maha Menciptakan Seluruh Alam Buana, Maha Memiliki setiap dari jiwa hamba-hambaNya, tidak ada suatupun yang terlepas dari pengetahuan Dia Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, hatta sehelai daun yang berguguran pun semuanya dapat pengetahuanNya.

" Ya Allah, kurniakanlah kepada jiwa kami rasa Cinta, Takut dan Harap, hanyalah kepadaMu"

Alhamdulillah, di hari yang indah lagi mempesonakan ini, Allah swt masih sudi menganugerahkan hamba pendosa ini peluang, dan ruang waktu untuk terus berusaha memenuhi ciri seorang hamba, walau acapkali hamba ini, tersasar dari landasannya, Dia masih sudi memberikan daku peluang demi peluang untuk menjadi hamba Rabbani. Hari ini juga merupakan satu amanah untuk dipergunakan semaksima mungkin untuk melaksanakan "amar maaruf, nahi mungkar", dan setiap satu saat yang dipergunakan terutamanya di alam keremajaan, semuanya akan menjadi satu dakwaan di sisi Allah, di hari yang tiada naungan melainkan naunganNya.  Sesungguhnya hari-hari yang daku lalui adalah kesempatan dariNya untuk daku memperbaiki semua kondisi hati ini, dan untuk menyemak semula bagaimana keadaannya,apakah ia sedang sihat, sakit ataupun mati. Nauzubillahimin zalik.

[1] Demi matahari dan cahayanya yang terang-benderang;[2] Dan bulan apabila ia mengiringinya;[3] Dan siang apabila ia memperlihatkannya dengan jelas nyata;[4] Dan malam apabila ia menyelubunginya (dengan gelap- gelita),[5] Demi langit dan Yang membinanya (dalam bentuk yang kuat kukuh yang melambangkan kekuasaanNya);[6] Serta bumi dan Yang menghamparkannya (untuk kemudahan makhluk-makhlukNya);[7] Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya);[8] Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa;[9] Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan),[10] Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). (Surah As-Syams :1-10)

Alhamdulillah, Allah swt telah melancarkan segala urusan saya sepanjang percutian hujung minggu pada kali ini. Diberi peluang oleh Allah swt untuk bermusafir bersama sahabat yang dikasihi Lillahitaala, semoga Allah merahmatinya atas pengorbanan waktu dan tenaganya untuk menemaniku sepanjangan permusafiran ini. Alhamdulillah, segala urusanku di sana juga berjalan dengan baik. Antaranya, bisa bertemu ibu dan bapa angkatku, makcik Azizah dan Pakcik Ghusran yang dirindui , guru-guru serta sahabat-sahabat yang disayangi kerana Allah. Pulang ke Ma'had At-tarbiyah Al-Islamiyah (MATRI), madrasah didikanku yang telah melahirkan ramai kader-kader penggerak Dakwah & Tarbiyah, menjadikan hatiku begitu berbunga, serta merasakan di situ umpama kampung halamanku di mana pergi sahaja ke sana, beberapa insan yang begitu peka dalam meraikan tetamu mengajak kami bermalam di rumah mereka. Subhanallah, indahnya ukhuwah Islamiyah. Melihat para pemuda pemudi harapan Islam, dan wajah mereka yang bersih menjadikan diri ini mengingati saat-saat manisku berada di MATRI. Semuanya telah berlalu, serta semua itu telah menjadi masa laluku, yang tidak mungkin akan daku dapatkan kembali. Tetapi, semoga masa laluku itu menjadi pedoman untukku melalui kehidupan mendatang, barulah ia akan bermakna, dan akan terus segar dan terpahat dalam kamus  kehidupanku sehingga ke akhir waktu. 

" Ya Allah, rahmatilah keluargaku, sahabat-sahabatku, dan murobbi-murobbiku sama ada yang masih hidup ataupun yang telah kembali ke hadiratMu"


Mengamati keindahan & kesegaran embun pagi di Tasik Melati, subhanallah, alhamdulillah masih dihidupkan, dan masih diberi kesihatan yang baik. Sangat merindui kehidupanku yang lalu 
- Sabtu (21 April 2012)


Alhamdulillah, pada hari ini juga diberi peluang bertemu sahabat-sahabatku yang menghadiri mini konvokesyen USM. Mabruk buat kalian. Saat indah bersama mereka walaupun untuk seketika, meninggalkan kesan yang mendalam dalam hatiku ini. Antara perkara yang menjadi satu kesedihan saya adalah apabila saya perlu berpisah dengan insan-insan yang telah tersemat di dalam hati saya, yang telah membina memori indah bersama saya, bersama-sama bekerja di atas jalan DNT dan bersama-sama berusaha di dalam akademik. Amat berat hati ini melepaskan mereka pergi. Namun begitu, sudah menjadi adat kehidupan, bertemu dan berpisah itu satu ketentuan dan sesuatu yang pasti. Disebabkan kita bukan makhluk yang kekal, maka, pertemuan dan perpisahan itu akan sentiasa bertandang dan pergi. Semua ini adalah untuk menyedarkan kita bahawa hanya ada satu sandaran sahaja yang tidak pernah dan tidak mungkin akan hilang, iaitu sandaran dan pergantungan kepadaNya, Allah swt yang Maha Kekal, Yang Maha Esa, Yang Mha Hidup. Walaupun berat sekali hati ini melihat sahabat-sahabat seperjuanganku melangkah pergi meninggalkan alam IPT, namun, hatiku tenteram melepaskan mereka, sesungguhnya mereka milik Allah, Allah swt telah menentukan takdir bagi kehidupan mereka di luar sana, yang harus mereka jalani dan perjuangkan. Semoga mereka berjaya di dunia dan di akhirat. Jauh di sudut hati berdoa, semoga akan dipertemukan lagi, jika bukan di dunia, di akhirat sana kekal dan abadi. Indahnya persahabatan dalam Islam.  Bertemu dan berpisah hanya kerana Allah dan meyakini akan ada pertemuan yang lebih kekal di sana nanti. Mari sama-sama berusaha menjadi hamba Rabbani, barulah akan bertemu dan tergolong bersama mereka yang berjaya melangkah ke syurga hakiki. Amin.


Hari Ahad  (22 April 2012), sejak pagi berusaha menyiapkan rancangan pengajaran Fizik. Merasa sedih kerana tidak dapat memberi komitmen yang baik di dalam pengajaran hari ini, hampir pitam kerana tidak bersarapan. Namun, melihat raut wajah harapan pelajar-pelajarku, umpama satu sokongan rohani buatku, menyebabkan aku mahu melakukan yang terbaik walau kaki rasanya sudah tidak berpijak tanah seusai tamatnya pengajaran. Alhamdulillah, mereka pelajar-pelajar yang pintar, baik dan soleh-solehah, sentiasa bersungguh-sungguh dan memberi tumpuan juga saling berkongsi ilmu. Gembira dan bersyukur kerana bisa menjadikan mereka sahabat, dan apabila cuba merendahkan pemikiran mengikut tahap pemikiran mereka. (Ice Breaking). Semoga Allah swt  sentiasa memelihara iman, ilmu dan amal mereka walau di mana sahaja mereka berada.


Kerja kami ketika ketiadaan K Za (Hehe...)

Jazakumullahukhairan kathira buat sahabat-sahabatku yang telah menyediakan makanan ini, sementara daku berusaha menyiapkan rancangan pengajaranku. Ya Allah, Terima kasih kerana mengurniakan daku sahabat-sahabat yang solehah dan sentiasa berkongsi ilmu bersama, duniawi dan ukhrawi. Saya amat suka berada di rumah sahabat saya ini dan bersama sahabat-sahabat yang lain. Mereka sentiasa menjaga kebersihan pemakanan dari sebarang perkara syubahah, ataupun boikot dan sentiasa memastikan rumah sentiasa berada dalam keadaan bersih dan kemas walau sesibuk manapun. Apabila bersama mereka di rumah ini, kami sentiasa diprogramkan dengan didikan secara tidak formal. Solat mesti berjemaah, matsurat pagi dan petang, masa lapang dihabiskan dengan membaca buku di mini library, perkongsian rohani, makan bersama, dan juga berhibur, tetapi hiburan itu sentiasa tarbawi. Semua ini, tidak dilakukan secara terpaksa, tetapi lahir dari kesedaran dan keinsafan dalam diri yang Allah swt beri. Itulah keberkatan bersama sahabat-sahabat yang soleh, apabila kita melihat wajahnya, kita sentiasa mengingati Allah, dan apabila kita mendengar kata-katanya, bertambah kecintaan kita kepada Allah swt, kerana setiap masa mereka sentiasa menghidupkan sunnah nabawiyah. 




Akhir sekali, satu kejutan buatku hari ini, mendapat cenderamata berharga dari mereka yang dicintai Lillahitaala. Buat sahabat-sahabatku yang memberi hadiah ini, jazakillahukhairan kathira, semoga Allah swt merahmati dan memurahkan rezekimu di atas segala pemberianmu ini. Salah seorang pemberi hadiah ini sedang diuji dengan kesakitan akibat kemalangan. Mendengar namanya yang memberi hadiah ini, daku menjadi sungguh sebak, kerana dalam kesakitannya, beliau masih tetap mengingati sahabatnya ini, walaupun kami tidak terlalu rapat kerana jarak yang memisahkan. Namun begitu, hati ini sentiasa merasa dekat dengannya. Semoga Allah swt memberi kesabaran kepadanya mengharungi ujian ini serta menyembuhkannya. Buat sahabatku yang menghadiahiku dengan tasbih, terima kasih, kerana memahami keperluan hatiku. Subhanallah, di saat daku menghajatinya, Allah swt telah menghantar jawapannya melalui sahabatku ini. Alhamdulillah, semoga rahmat, keberkatan dan kasih sayang Allah swt sentiasa menaungi kehidupan kalian. 


“ Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal salih).” 
(Surah Az-Zukhruf:67)



Tidak dilupakan buat ibu bapa dan ahli keluargaku yang dikasihi Lillahitaala, semoga Allah swt sentiasa menyampaikan salam rinduku buat kalian. Sentiasa daku syukuri nikmat mempunyai keluarga. Ibu bapaku adalah ibu bapa terbaik bagi hidupku. Walaupun punya ibu bapa angkat, sentiasa daku doakan, semoga kasih sayangku ini tidak dibahagi-bahagikan. Masing-masing mempunyai hak yang sama untuk mengasihi dan dikasihi Lillahitaala. Hargailah nikmat memiliki keluarga, walau sejauh manapun kesibukan terhadap urusan-urusan DNT ataupun akademik dan kerjaya, namun, tanggungjawab sebagai seorang ahli keluarga tidak boleh sama sekali dilalaikan. Jangan sampai nikmat itu hilang, barulah ingin sesali akan kehilangannya. Pada waktu itu, tidak bergunapun penyesalan. Marilah sama-sama kita melakukan yang terbaik dalam apa sahaja. Sebagai seorang hamba Allah, Umat Rasulullah, Anak Soleh/ah. Adik/Abang/ Kakak yang soleh/ah, Pelajar yang Soleh/ah, Pekerja yang soleh/ah, Penggerak DNT yang soleh/ah, ahli mesyarakat yang soleh/ah, isteri/suami yang  soleh/ah dan ibu/ayah yang soleh/ah dsb. Apabila kita menyenaraikan begitu banyak tanggungjawab kita yang harus dilaksanakan sebaik mungkin, sudah tentu timbul di dalam hati kita, "Aku tidak boleh berlengah lagi", lalu bergerak menjalankan tanggungjawab dengan penuh kesungguhan. Apabila kehidupan kita disibukkan dengan pembangunan rohani, jasmani dan akhli, sudah tentu kita tidak akan ada masa untuk kemalasan dan bertangguh.

" Aku akan duduk di sebuah tempat yang tidak kuberikan sedikit pun tempat untuk syaitan" 
(Umar Abdul Aziz)


Wallahua'taala a'lam.

p/s: mahu melabuhkan diri memberi hak kepada jasad setelah berjaya menyiapkan 90% rancangan pengajaran fizik. Walaupun rasa seperti ingin demam, terubat kembali melihat hasil kerja, subhanallah. alhamdulillah.


Penawarhati90,
2.05 a.m
23 April 2012
Desasiswa Saujana
















No comments:

Post a Comment