Monday, April 2, 2012

Mencari Mentari Yang Hilang

Assalamua’alaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Sidang pembaca yang disayangi Allah swt lagi dikasihi Rasulullah saw,

Sobanannur… Semoga hari ini lebih baik dari hari-hari yang lalu. Alhamdulillah, pada hari ini, sekali lagi kita dianugerahkan peluang dan kesempatan untuk bernafas buat sehari lagi. Semoga dapat memaknakan hari ini dengan perkara-perkara yang bermanfaat dan perkara-perkara yang bisa mendekatkan Hubungan Hati Seorang Hamba kepada Rabbnya. Walaupun diri ini masih belum dapat membiasakan diri dalam keadaan ini, walaupun jauh di sudut hati, terasa sukar untuk meneruskan perjalanan hari, namun, hari ini adalah peluang, peluang untuk memperbaiki diri kearah Cinta yang Hakiki dan Abadi. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Tiada kata seindah pujian hanya kepadaNya.

Pada usrah beberapa minggu yang lalu, saya dan beberapa orang sahabat saya berbincang mengenai ‘Hubungan Dengan Allah swt’, namun, tidak banyak yang dapat saya bicarakan, kerana jiwa ini belum benar-benar tulus hubungannya dengan Rabbnya, namun, mendengarkan perkongsian yang cukup bermanfaat dari sahabat-sahabat saya yang solehah, telah mengubat sedikit sebanyak luka dan duka di dalam hati sanubari.

Seorang sahabat saya bertanya mengenai ”Hidup ini umpama roda, kadangkala kita di atas, dan kadangkala kita di bawah, kadangkala hubungan kita dengan Allah terasa kuat, dan kadangkala ia melemah, apakah semua ini adalah takdir? Tidak bolehkah jika kita ingin sentiasa merasai hubungan dengan Allah?

Lalu, jawab sahabat saya seorang lagi: “ Sesungguhnya takdir itu boleh berubah berdasarkan usaha”. Sememangnya ajal dan maut itu tidak bisa diubah waktunya, tetapi, dalam kehidupan seharian, kita bisa mengubah takdir kehidupan ini dengan berdoa+berusaha+bertawakkal. Oleh yang demikian, kita tidak boleh berputus harapan dan harus terus berusaha untuk memperoleh sesuatu yang kita inginkan. Namun, harapan itu haruslah diletakkan hanya kepadaNya, dan jalan-jalannya haruslah benar. Sebagai contoh, kita inginkan hati yang sentiasa ada kedekatan dengan Allah swt, dan kita juga sedia maklum, apakah racun dan penawar untuk mendekatkan diri kepada Allah, lalu, seandainya kita terus berusaha (berdoa+berusaha+bertawakkal), insha’Allah, Allah swt akan menghindarkan kita dari berjauhan denganNya. Mungkin hari itu kita ditakdirkan untuk kehilangan barang yang berharga, namun, seandainya kita berwaspada untuk menjaga barang itu, ia tidak akan dicuri. Wallahua’lam. Saya harus mendalami lagi ilmu mengenai ‘beriman kepada Qada’ & Qadar’

Semasa saya di matrikulasi , saya pernah kehilangan barang yang sangat berharga dalam hidup saya, iaitu MP4. MP4 itu sangat berharga bagi saya kerana dari sekolah menengah, saya menggunakan MP4 itu untuk merakam segala mutiara hikmah (majlis ilmu) yang terdapat di sekolah.

Suatu hari, semasa waktu solat jumaat, tanpa disedari, MP4 itu telah dicuri, satu set, semuanya telah dicuri. Semasa saya diberitahu MP4 itu telah dicuri, saya hanya terdiam, dan terkelu, sebab saya merasakan satu kehilangan yang besar. Semasa saya belajar pada lewat malam, MP4 itulah yang menemani saya pada waktu pagi, mendengar radio ikim, di hening pagi, tanpa saya sedari air mata saya mengalir, bukan bermakna saya menyalahkan pencuri itu, tetapi saya merasa seperti satu kehilangan.

Setiap pagi Jumaat, saya akan membaca surah Yasin, dan berdoa kepada Allah:

“ Seandainya MP4 itu, masih lagi rezeki saya, semoga Allah melembutkan hati orang itu untuk mengembalikan MP4 itu kepada saya, seandainya sampai di situ sahaja rezeki saya, maka semoga Allah tenangkan hati saya dan memberi hidyah kepada pencuri itu, mungkin dia sedang terdesak. Setiap kali solat jumaat, saya akan pergi lihat tempat MP4 itu, namun, semuanya hambar belaka. Saya terus membaca surah Yasin sampai suatu hari, Allah izin, hati saya tenang dengan ketiadaan MP4 itu, dan saya mula berfikir, mungkin selama ini, saya terlalu bergantung kepada MP4 itu untuk menghilangkan kebosanan ketika belajar, dan saya terlupa bahawa, ia hanya pinjaman Allah dan Dialah sebenarnya pembantu dan penolong, jika setakat itu sahaja rezeki saya, mungkin ia lebih baik dalam jagaan orang lain. Alhamdulillah, dapat menamatkan alam Matrikulasi yang indah dan penuh hikmah. Cuma selepas itu saya lebih berhati-hati menjaga barang yang dipinjamkan Allah kepada saya. Alhamdulillah”

Dalam hidup ini, Allah swt mentarbiyah saya, apabila saya cuba meletakkan harapan kepada sesuatu di dunia ini, Allah swt akan mengambilnya semula, mungkin kerana Allah swt mahu saya meletakkan sepenuh pengharapan hanya kepadaNya. Saya menghadapi satu demi satu kehilangan, sehingga suatu saat, saya menjadi takut untuk berharap kepada makhluknya lagi. Saya menjadi takut untuk mencintai sesuatu lebih dari Allah dan Rasulnya, kerana merasa risau jika saya akan kehilangannya. Alhamdulillah, walau apapun, saya tetap bersyukur, dalam setiap ujianNya, Allah swt selalu mendidik erti sabar, pasrah, redha dan bergantung harap Hanya KepadaNya semata-mata.

Pada saat ini, saya menghadapi satu kehilangan besar dalam kehidupan saya. Ada kalanya, terasa hari-hari dalam hidup ini kosong. Namun, kehilangan ini ada kalanya memberi satu erti dalam kehidupan saya, kerana selama ini saya dapat tidur dengan lena, dan mungkin juga lalai dengan ibadah. Dan kehilangan ini, telah menjadikan saya tidak dapat berlama-lama dalam tiduran, kerana merasa risau, jika lalai dalam ibadah. Masa saya terisi dengan doa dan pengharapan kepada Allah, serta amanah dan tanggungjawab yang selama ini mungkin saya lalaikan. Sepanjang permusafiran saya ke Kelantan pada minggu lalu, berdoa itu tidak pernah putus, kerana kita sedia tahu bahawa, doa yang tidak akan ditolak oleh Allah, adalah doa ketika bermusafir dan doa mereka yang teraniaya. Setiap pagi, apabila terbangun, dada saya merasa sesak dan sebak, namun, tetap bertahan, agar tidak mengalir air mata kerana hanya kehilangan nikmat dunia. Pujuk saya pada hati ini, “Bertahanlah wahai hati, kerana semua ini tidak akan lama, di hadapan sana masih ada amanah dan tanggungjawab yang harus terlaksana dengan baik, tidak boleh berlama-lama dalam layanan perasaan”. Sekali sekala, air mata mengalir jua. Saya juga tidak pasti, apakah saya akan melupakan semua ini semudah melupakan MP4. Tetapi rasanya tidak mudah. Namun, insha’Allah, apabila kita meletakkan pengharapan kepada Allah, Allah tahu bagaimana untuk merubatnya. Dan berbicara denganNya membuatkan saya bisa bangun dan bertenaga, meyakini, harapan kepada Allah akan menghasilkan satu kesudahan yang baik.

Apabila hilangnya sesuatu nikmat itu, barulah kita tahu akan berharganya ia, barulah kita kenal erti menghargai, barulah kita belajar erti syukur, walaupun ada penyesalan, namun, carilah hikmah di sebalik takdir itu, nescaya kita akan temui ada kebaikan di dalamnya, ada sesuatu yang Allah ingin didik kita. Dunia ini bukan tempat pembalasan , tetapi ujian, dengan ujian barulah kita akan mengenali kelemahan kita. Alhamdulillah, bersyukur pada Allah. Walaupun kita kehilangan nikmat dunia ini, tidak bermakna kita telah kehilangan segala-galanya, harapan hati agar kita tidak kehilangan kehidupan akhirat yang lebih kekal dan abadi.

Saya selalu mendengar sebuah lagu yang bertajuk “Rapuh”. Setiap kali mendengar lagu ini, saya tidak dapat menahan air mata, kerana merasakan betapa tidak sempurnanya cinta saya kepada Dia yang Maha Esa. Sungguh rapuh benar imanku.

“ Kadangkala Allah swt menghilangkan mentari, dan menggantikannya dengan guruh dan kilat, kita tercari-cari, ke manakah ia pergi, namun, mungkin kita sebenarnya tidak kehilangan pun cahayanya, dan suatu saat Allah menggantikannya dengan gabungan sinar pelangi dan mentari yang sama tetapi lebih indah dan menyerikan mewarnai perjalanan hari”.

Pada saat ini, saya sungguh bersyukur, kerana Allah swt Yang Maha Mengetahui dan memahami akan keperluan hati hambaNya, Dia telah menganugerahkan saya ramai teman dan tetamu yang tidak putus-putus datang ke kamar kecil saya. Sebagaimana yang kita tahu, tetamu itu membawa jutaan rahmat. Setiap kali melayani mereka, hati rasa rasa begitu bahagia, walau hanya memandang wajah bercahaya mereka, terasa kedukaan ini sedikit menghilang. Allah swt juga menganugerahkan teman-teman yang selalu sahaja menemani saya kemana sahaja saya pergi, ada kalanya saya berseorangan, namun, hanya sedikit waktu. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Yang paling penting, jangan sekali-kali kita putus pengharapan dan pergantungan padaNya, kerana Dialah Pemilik Utama hati kita, di sisiNya punya Kunci Kebahagiaan kita. Dan Di sisiNya telah tertulis takdir dan ketetapan hidup kita. Siapa kita untuk berlaku sombong dan lalai dariNya? Ujian ini benar-benar mendidik daku erti kehidupan.

“Wahai nabi! Katakanlah kepada tawanan perang yang ada dalam tangan engkau itu: “Jika Allah mengetahui ada kebaikan dalam hati kamu, nescaya Dia (Allah) akan memberikan kepada kamu lebih baik daripada apa yang telah diambil daripada kamu, dan Dia (Allah) akan mengampunkan kamu.” Dan Allah adalah al-Ghafur (Maha Pengampun), lagi al-Rahim (Maha Mengasihani).”

La tahzan, innallaha maana.

Mutiara kata di pagi yang indah,

“ Sebaik-baik pengubat luka adalah iman kepada Qada’ & Qadar” (Muastafa Al-Sibaie)

Penawarhati90

5.47 am

3 April 2012

Desasiswa Saujana

2 comments:

  1. Allah sentiasa bersama orang orang yang bersabar.

    " apakah kamu mengira kamu beriman sedangkan kamu belum diuji ".

    ayat ni salu hadir dalam fikiran bila hati terasa rapuh dalam menghadapi ujianNya..

    semoga senantiasa dalam rahmatNya,
    jazakallahu khairan kathira :)

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah, jazakillahukhairan kathira atas perkongsianmu itu sahabatku, benar, apabila kita menghadapi ujian, barulah kita dapat bermuhasabah diri semula di mana tahap Iman kita berada. Jazakillahukhairan kathira atas doamu itu, sentiasa daku doakan moga kita sama-sama memperoleh rahmat dan redhaNya.

    " Jadikanlah sabar dan solah itu penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk".

    uhibbuki fillah...^_^

    ReplyDelete