Thursday, May 3, 2012

Pergantungan Kepada ALLAH swt


Assalamua’laikum warahmatullahi wabarakatuh,

-Tanda-tanda kebesaran Allah buat hamba yang berfikir dan berzikir-

Bismillahirrahmanirrahim, ku mulai dengan asma’ Allah swt yang Maha Indah. Sesungguhnya hanya dengan mengingati dan berbicara serta bertaqarrub denganNya, jiwa-jiwa akan memperoleh ketenangan yang luar biasa serta tidak bisa diperolehi melalui wasilah-wasilah lain. Pasti dan Pasti.

Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah swt, Rabb Yang Maha Agung dan Maha Memelihara, dengan keizinan dan kesudian dariNya, Dia dengan segala kemurahan Kasih SayangNya, masih sudi memberi hamba pendosa ini peluang dan ruang, untuk bertaubat dan memperbaiki diri menjadi yang lebih baik dari sebelumnya, melalui kurniaan nafasNya. Sungguhlah, hari ini merupakan peluang untuk dimanfaatkan bagi menyediakan bekalan kembali kepada Allah swt. Sesungguhnya Allah swt mendefinisikan kesuksesan sebagai ‘terhindar dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga’ . Itulah kecemerlangan sebenar bagi seorang insan bergelar muslim dan mukmin. Tidak bermakna semua kejayaan, andai tidak dapat membantu kita menghindarkan diri dari azab Allah swt yang Maha dahsyat, serta berjaya melangkah memasuki syurga Allah swt, diraikan oleh Pencipta Yang Maha Agung dengan ucapan ‘Salam Sejahtera’.

“ Sesungguhnya penduduk syurga pada hari itu , bersenang-senang dalam kesibukan mereka (55) mereka dan pasangan-pasangan mereka bersuka ria di tempat yang teduh, sambil duduk berteleku di atas pelamin. (56) Mereka beroleh di dalam syurga itu pelbagai jenis buah-buahan, dan mereka beroleh apa sahaja yang mereka kehendaki.  (57) Mereka juga beoleh ucapan “Salam Sejahtera” dari Rabb Yang Maha Mengasihi” (58)

Alhamdulillah, kehidupan ini merupakan satu Tarbiyah Ilahiyah. Inilah yang dapat saya gambarkan dengan beberapa peristiwa yang berlaku beberapa hari yang lalu. Beberapa hari yang lalu, kehidupan saya disinggahi dengan pelbagai episod kesibukan yang dahsyat, keletihan, kesakitan, ketakutan dan pelbagai perasaan lagi. MasyaAllah, ketika itu, hanya Allah Yang Maha tahu, pelbagai macam bisikan yang menyinggah di hati ini, seperti kemarahan, kesedihan.  Namun, Alhamdulillah, dengan sedikit kefahaman dan kesedaran daripada Allah swt, Dia menyedarkan daku bahawa bisikan ini daripada syaitan, menyebabkan setiap kali perasaan itu hadir, Allah swt telah mentarbiyah diri ini sebelum ini akan erti sabar serta erti pergantungan hanya kepadaNya. Dengan didikan Allah swt ini, serta usaha-usaha untuk mendekatkan diri kepadaNya dengan melaksanakan tazkiyatun nafs, Allah swt memberi kesabaran kepada lidah ini dari mengeluarkan perkataan yang buruk walaupun terpaksa bertahan, dan menahan gerak-geri ini dari melangkah melakukan dosa. Subhanallah, indahnya kehidupan apabila berada dalam pemeliharaan Allah. Tidak dapat daku bayangkan bagaimana jika Allah swt tidak memberi nikmat Iman dan Islam, apakah yang akan daku lakukan apabila menerima ujianNya?

Sepanjang minggu yang lalu, saya mula belajar tentang satu hakikat yang selalu saya dengari dalam majlis-majlis ilmu, tetapi, mungkin baru minggu lepas Allah swt membukakan hikmahNya kepada saya,  tetapi sehingga ini saya masih lagi cuba menghayati, memahami dan mendalaminya, iaitu hakikat PERGANTUNGAN  KEPADA ALLAH. Sebelum ini hanya hanya tahu mendefinisikan erti pergantungan kepada Allah swt, tetapi saya sendiri juga tidak faham sehinggalah saya sendiri mengalami suatu peristiwa yang sedikit sebanyak memberi kefahaman kepada saya akan erti Pergantungan Kepada Allah.

Pergantungan kepada Allah swt adalah kita meletakkan sepenuh tawakkal dan takdir kehidupan kita hanya kepada ALLAH swt, dan kita meyakini bahawa, mudharat atau maslahat itu semuanya akan berlaku dengan keizinan Allah swt. Dalam masa yang sama, kita telah berputus asa dan putus harapan, dan tidak ada sedikitpun meletakkan harapan dan pergantungan kepada manusia, sedikitpun tidak ada harapan kepada makhluk. Dengan keyakinan sepenuhnya kepada ALLAH swt ini, Allah swt akan sentiasa membantu kita menyelesaikan dan mempermudahkan segala urusan kita, walau sebesar manapun urusan itu.

Apabila kita meletakkan walau sedikitpun kebahagiaan, atau berharap makhluk dapat membantu kita, walau sedikitpun, ia akan meninggalkan satu kekecewaan yang begitu mendalam, begitu mendalam dalam jiwa kita. Dan kekecewaan serta kegagalan akan sentiasa menjadi tetamu hati kita.

Cuba anda bayangkan, di saat kalian berada di antara hidup dan mati, dan tidak ada siapapun yang bisa membantu anda pada waktu itu? Sudah pasti dan pasti, kalimah pertama yang akan meniti di bibir kalian adalah “YA ALLAH” / Oh My God dan nama-nama lain, yang menuju kepada ALLAH swt. Namun begitu, sedikit ilmu yang baru sahaja saya cuba memahami adalah, pergantungan kepada Allah swt ini HARUS menjadi perkara PERTAMA dan UTAMA dalam memulakan sesuatu urusan, bukanlah apabila kita telah kecewa dengan pertolongan makhluk.

Apabila kita meletakkan pergantungan kepada ALLAH swt sebagai perkara pertama dalam melakukan apa sahaja urusan, sama ada perkara kecil atau besar, sambil kita mulainya dengan bacaan basmalah, insha’Allah, dengan keizinan dari Allah swt, segala urusan kita walaupun sukar menjadi mudah, seperti ada satu kekuatan di dalam diri kita yang menolak kita melaksanakan sesuatu urusan yang begitu sulit, kerana ada suatu suara yang kuat membisikkan ke dalam diri kita, iaitu suara Illahi, Rabb Yang Maha Kuat Lagi Maha Memelihara. Dengan itu jiwa kita akan sentiasa tenang, rasa selamat, dan meyakini bahawa walau apapun yang terjadi sama ada ia perkara baik ataupun buruk, semuanya dengan izin Allah. Jiwa kita juga akan dihampiri dengan perasaan “ Muraqabatullah” iaitu merasai kehadiran Allah swt dalam apa sahaja yang kita lakukan.

Jadi,  Apakah kita tidak boleh meminta tolong kepada makhluk?

Pertolongan  manusia itu hanyalah sebagai satu ikhtiar, setelah kita telah meminta kepada Allah swt terlebih dahulu, dengan penuh tawakkal. Jadi, kita akan sentiasa tahu bahawa, manusia  itu hanyalah satu bentuk pertolongan Allah swt untuk mempermudahkan urusan kita. Tetapi yang menyelesaikan itu adalah Allah swt. Dalam masa yang sama, apabila mereka membantu kita, mereka juga memperoleh ganjaran oleh Allah swt. Apabila kita memahami bahawa manusia itu hanyalah sebagai satu ikhtiar, apabila mereka tidak bisa membantu kita, bermakna, pertolongan Allah swt tidak hadir melalui mereka, dan Allah swt ingin mendidik kita erti Muraqabatullah, merasai keberadaan Allah swt, dan ia akan hadir dalam bentuk yang lain.

Bersyukur kerana Allah swt telah menyelamatkanku dari kesulitan yang membahayakan, serta mendidikku akan hakikat ini. Walaupun sehingga kini, masih merawat hati ini kerana kesilapan meletakkan harapan kepada manusia, tetapi, yang pasti, insha’Allah, ia tidak akan berulang lagi, kerana semua ini benar-benar satu didikan. Ini hanya ujian yang kecil-kecil, sedangkan Rasulullah dan para sahabat menerima ujian yang jauh lebih besar, namun, tidak sedikitpun ada suara keluhan dari mereka, kerana mereka meyakini konsep Pergantungan Kepada Allah. Sungguh kehidupan ini satu tarbiyah Ilahiyah, untuk menuju ke negeri abadi.  Wallahua’lam.

"Kenalilah Allah saat senang, nescaya Dia akan mengenalimu saat susah" 

Penawarhati90
7.32 p.m
3 Mei 2012
Desasiswa Saujana

1 comment: