Thursday, June 14, 2012

"Yesterday was history,Tomorrow is a mistery,Today is a gift"


Bismillahirrahmanirrahim,

Dengan nama Allah Yang Maha Pelindung dan Pemelihara, dengan keizinan dariNya –lah berlakunya setiap satu perkara dalam kehidupan hamba-hambaNya, dan Segala Puji hanya bagiNya, kerana tidaklah Dia menghadirkan nikmat atau musibah dalam kehidupan hamba-hambaNya dengan sia-sia melainkan untuk membersihkan keikhlasan cinta hambaNya terhadapNya, memantapkan keimanan dan pergantungan mereka hanya kepadaNya, melatih mereka erti sabar, syukur dan taubat, serta yang paling penting pada setiap ujian dan dugaan yang diberi pasti menandakan bahawa Allah swt, Rabb yang Maha Pencipta itu tidak membiarkan kita terus dalam kelalaian dan kealpaan. Semua yang dilalui sebenarnya merupakan proses didikan Ilahiyah untuk menggapai matlamat tertinggi dalam kehidupan hamba Rabbani iaitu MARDHATILLAH (Keredhaan Allah). Dan apabila kita memandang sesuatu dari kaca mata Illahi, sudah tentu kita akan dapati pada setiap ujian dan dugaan yang diberi, ada sesuatu yang Allah swt hendak kita pelajari dan mengambil iktibar daripadanya untuk melalui kehidupan mendatang. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.


Tidak dilupakan selawat dan salam buat Rasullullah saw, Qudwah Hasanah sepanjang zaman.

“Sesiapa yang memulakan satu sunnah yang baik, maka baginya pahala orang yang mengikuti sunnah (jalan tersebut tanpa mengurangkan sedikitpun pahala mereka yang terkemudian). (HR Ahmad)

“ Syafiyah, pagi tadi ada sesuatu berlaku, ada orang masuk rumah, dan K A bergelut dengan dia, waktu bergelut tu, ada sedikit kecederaan di bahagian mata, Alhamdulillah, semuanya sudah baik, dah pegi hospital dan buat report. Syafiyah, tenang saja, Alhamdulillah, semua sudah baik. Cuma tinggal, laptop K Z hilang.”

Tenang sahabatku, K A bercerita mengenai kejadian kecurian yang berlaku di rumah mereka awal pagi Selasa yang lalu. Namun, mendengar cerita beliau, jantung saya bagai nak luluh, satu persatu gambaran dugaan yang diterima oleh sahabat saya yang solehah itu, hadir ke dalam pemikiran saya. Apabila beliau menceritakan perihal kehilangan Laptop K Z, terbayang pula di pemikiran saya, bagaimana tekunnya K Z menulis thesis PHDnya, kadangkala tidur sudah hampir pagi, saya melihat bagaimana berusahanya beliau mencari maklumat, menulis. Semua ini saya kumpulkan dalam satu kata-kata: “INNALILLAHI WAINNA ILAIHIRAJIUN” (Daripada Allah kita datang, dan kepadaNya kita kembali). Tanpa disedari air mata mengalir , kerana tidak tertahan kesedihan mengenangkan apa yang berlaku. Namun, hati saya masih belum tenang, melihat sahabat-sahabat saya dalam bahaya dan kesakitan. Setelah melihat wajah tabah K Z dan K A di depan pintu bilik, hati saya sedikit tenang, dan bersyukur kerana kedua-dua mereka selamat walaupun K A mendapat kecederaan. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan pada waktu. Kami mula berbicara dan bermuhasabah diri dengan apa yang berlaku.

Setelah berbicara, kami mula mencari hikmah daripada perkara yang berlaku, walaupun saya merasa kesal, kerana tidak berada di situ ketika sahabat saya sedang bertarung dengan kematian, namun, Allah swt telah menyusun semuanya, Allah mengetahui bahawa saya tidak mampu menghadapi dugaan itu, saya tidak sekuat dan setabah sahabat saya ini. Walau apapun, saya amat bersyukur, amat bersyukur, dan amat bersyukur, kerana Allah swt menyelamatkan nyawa sahabat saya, menyelamatkan matanya dari senjata tajam pencuri itu, ALHAMDULILLAH. Akibat kejadian itu, sahabat saya menerima beberapa jahitan di bahagian bawah matanya. Semoga Allah swt menyembuhkan K A, dan menyelesaikan masalah kedua iaitu kehilangan laptop K Z. Sesungguhnya Allah swt menguji seseorang mengikut tahap kemampuan mereka, Allah pasti tahu, mereka mampu untuk menghadapi ujian ini. Melihat ketabahan mereka, saya juga harus kuat dan tabah untuk terus berusaha menghabiskan satu persatu subjek. Insha’Allah, selepas ini kita akan bersama.

Ada pepatah mengatakan “malang itu tidak berbau”, tetapi bagi saya ia bukanlah sesuatu yang malang, tetapi, kita sememangnya tidak tahu, apakah yang akan berlaku dalam setiap hari dalam kehidupan kita. Apakah yang akan berlaku selepas ini? Walaupun seminit yang akan datang, adalah jahil dalam pengetahuan kita. Walaupun kita sudah sedaya upaya berhati-hati, tetapi mungkin Allah swt ingin mendidik kita erti tawakkal, dan berserah sepenuhnya hanya kepada Allah. Sahabat-sahabat saya ini, adalah merupakan orang yang sangat peka, prihatin dan ‘detail’ dalam apa sahaja urusan, namun, dalam hal ini, sememangnya, kami tidak pernah menyangka, masih ada bahagian yang terdedah kepada bahaya, dan Allah tunjukkan dalam kejadian ini, supaya kami lebih berhati-hati. Alhamdulillah, usaha pemasangan grill tingkap dan pintu di sekeliling rumah sedang dijalankan. Walau apapun, tetap harus berwaspada dan sentiasa bersenjatakan doa, sesungguhnya kita insan yang lemah dan sentiasa bersandar kepadaNya Yang Maha Kuat.


Dalam hidup ini, sememangnya kita tidak tahu apakah yang sedang dirancangkan oleh Allah swt untuk kita. Hari-hari merupakan satu debaran, kerana kita tidak pasti apakah ujian yang sedang menanti di hadapan. Apabila kita melihat insan lain dalam kesulitan, marilah kita sama-sama sedaya upaya hulurkan tangan, ringankan bebanan yang mereka tanggungi, walaupun hanya dengan mendoakan seandainya itu sahaja yang termampu, teruskanlah niat yang murni itu.

Diriwayatkan dari Abu Darda’, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

“ Doa seorang muslim kepada saudaranya secara rahsia dan bukan di hadapannya sangat dimakbulkan. Di sisi Allah ada malaikat yang ditunjuk Allah. Setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan kebaikan, maka malaikat tersebut berkata kepadanya: “Ya Allah, makbulkanlah ia dan (semoga) bagimu juga (mendapat balasan) seumpama itu.” (HR Muslim)

Amalan seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Abu Darda’ ialah: “ Aku sentiasa mendoakan 70 orang sahabatku ketika aku sujud kepada Allah, dan aku sebutkan satu persatu”. Inilah punca utama tersebarnya kasih sayang dan kecintaan antara kaum muslimin.

-Solusi Isu 44 bertajuk “ Doakan Kebaikan Orang Lain”.

Sahabat-sahabatku,

Dalam perjalanan kita menuju ke negeri akhirat, pastilah akan ada ujian-ujian untuk membersihkan keikhlasan tauhid kita kepada Allah, namun begitu, cara penerimaan kita terhadap ujian itu akan menghasilkan natijah yang berbeza. Sebagai contoh, seperti kejadian pecah rumah ini,sememangnya kita rasa marah terhadap pencuri itu, dan jika tiada kawalan iman, sudah tentu lidah kita akan sentiasa mendoakan keburukan untuknya. Saya kemudiannya terbaca lagi majalah solusi ini, dalam tajuk yang sama:

Apabila kita membenci seseorang, kadangkala terlintas di hati kita untuk meminta kepada Allah agar orang itu ditimpa bala sebagai balasan perbuatannya kapada kita. Hal ini tidak dibolehkan oleh agama seperti hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

“ Janganlah kalian mendoakan keburukan menimpamu, anak-anakmu, pembantu-pembantumu atau hartamu, agar doa kalian tidak sama dengan waktu dikabulkan doa daripada Allah swt sehingga doa itu dimakbulkan” (Riwayat Abu Daud)

Tenaga yang terhasil dari dalam diri manusia yang memikirkan sesuatu yang buruk itu adalah tenaga negatif. Orang yang berfikiran negatif akan mengalami stress dan penyakit dengan mudah. Oleh sebab itu kita perlu berfikiran positif untuk mendoakan orang lain dengan kebaikan sebagai tanda bersihnya hati dan jiwa kita. Natijahnya akan wujud suasana kasih sayang sesama orang Islam. Semoga Allah swt sentiasa melimpahkan kesabaran dan ketabahan di hati sahabat-sahabat saya.

Iktibar yang dapat saya ambil dari kejadian ini juga adalah berwaspadalah di mana sahaja kita berada. Jangan terlalu yakin dan jangan terlalu takut, semuanya harus bersederhana. Bagi mereka yang bernama puteri harapan Islam, sama-samalah kita menjaga diri kita dari terdedah ke persekitaran apabila berseorangan, walaupun kadang kala kita menganggap orang di sekeliling kita adalah baik, tetapi sikap waspada itu harus ada. Tiada siapa yang tahu, kita sedang diperhatikan oleh orang lain. Jadi, berdua itu lebih baik ataupun dalam jumlah yang lebih ramai. Ujian ini sedikit sebanyak terkena pada diri saya, dan sungguh saya harus bijak menguruskan diri. Insha’Allah.

Segala yang baik itu dari Allah swt, dan segala yang lemah itu adalah dari diri saya sendiri, kepada Allah swt saya mohon sepenuh keampunan dan meminta maaf atas segala kesilapan yang mengguris hati tanpa disedari. Wassalam.


p/s: kepada si pencuri, ingatlah, walaupun kamu lepas di dunia, tak akan lepas di akhirat sana!. bertaubatlah. Sesungguhnya doa sahabat2 saya yang teraniaya akan termakbul, insha'Allah.

9.05 pm,
24 rejab bersamaan 14 Jun 2012,
Desasiswa Saujana, USM.

No comments:

Post a Comment