Wednesday, July 11, 2012

Segala puji hanya selayaknya bagi Allah swt, Rabbul Jalil, Yang Maha Pengampun lagi Maha Memberi Balasan, Dialah Rabb Yang Maha Mengetahui segala sesuatu sama ada yang nyata mahupun yang tersembunyi, hatta sehelai daun yang gugur ke bumi juga dalam pengetahuanNya. Maha suci Allah swt. Selawat dan salam untuk nabi akhir zaman, Rasulullah saw, idaman orang beriman dan insan teladan serta ahli keluarga dan para sahabat baginda.


Sidang pembaca yang disayangi Allah swt lagi dikasihi Rasulullah saw,

Saya mendoakan semoga ketika ini, saya dan anda berada di dalam halawatul Iman, di mana jasad, jiwa dan pemikiran yang celik dan sedang menghayati keindahan Nur Kasih Illahi di dalam setiap helaan nafas, mengucapkan Alhamdulillah, masih diberi kesempatan untuk hidup. Allah izin, pada hari ini, saya sedikit mengalami gangguan kesihatan, moga-moga ianya menjadi satu asbab keampunan Allah swt ke atas diri saya, insan pendosa yang penuh dengan dosa dan noda. Namun begitu, sedang saya menelaah buku yang baru sahaja dibeli iaitu “69 Jam di Neraka Zionis” karangan Tn Hj Noorazman Mohd Samsuddin, ketua Misi Flotila Gaza, batin ini meronta-ronta kesakitan kerana tidak tertahan dengan kekejaman musuh Allah iaitu rejim Zionis Laknatullah ke atas para sukarelawan flotilla bantuan kemanusiaan yang membawa misi suara kemanusiaan dan keamanan seluruh dunia. Saya tidak mampu melelapkan mata selagi tidak menyuarakan pandangan saya terhadap 1 isu yang kita seringkali lalaikan, iaitu memboikot segala barangan yang menyumbang kepada Zionis Laknatullah untuk mencipta senjata, menyebabkan saudara-saudara kita umumnya di Gaza, dan khususnya para sukarelawan yang membawa misi ini cedera, terbunuh dan dibunuh dengan kejamnya, seperti binatang. Tanpa ada belas kasihan, mereka membunuh, memijak, dan mencederakan para sukarelawan tidak mengira kanak-kanak, orang tua atau sesiapa sahaja yang menentang mereka. Kisah yang diceritakan ini benar-benar meruntun emosiku, mengelojak rasa kebencianku terhadap musuh-musuh Allah yang dilaknat Allah ini!!

‘Peluru tidak bermata terus menerus datang mencari sasaran mautnya. Komando-komando pula menembak kami tanpa memberikan amaran. Beberapa orang sukarelawan mengangkat tangan dan kain putih, mengisyaratkan “kami menyerah diri dan jangan tembak”. Tetapi para komando terus sahaja menembak dan membunuh beberapa orang sukarelawan.’

Di manakah kita pada waktu itu sahabat-sahabatku? Apakah yang kita sedang lakukan pada waktu tengkuk saudara-saudara kita berada di hujung senjata rejim zionis laknatullah? Pada waktu itu, kita sedang nyenyak dibuai mimpi indah, mimpi meyakini bahawa kita akan hidup lagi pada esok hari, merancang untuk pergi meraikan hari lahir di Mc Donald, Pizza Hut, dan membeli keperluan harian di TESCO, Carefore, dan lain-lain. Kita tidak menghiraukan langsung berita yang mengatakan bahawa setiap sen yang kita keluarkan untuk membeli barangan itu, makan di tempat itu, akan menyumbang kepada penciptaan senjata untuk membunuh saudara-saudara kita di Palestin. Apa yang penting, kita hidup selesa. Bahkan menjadi satu kesedihanku kerana sehingga berakhirnya misi LL4G, masih ada saudara-saudaraku di sini yang tidak mengetahui sedikitpun akan maklumat ini. Di manakah nilai kemanusiaan yang menjadi satu kebanggaan buat Umat Islam? Di manakah sifat persaudaraan dan kasih sayang yang sepatutnya menjadi nilai di dalam diri kita? Tepuklah dada masing-masing, tanyalah Iman kita yang paling dalam, apakah ia masih bernyawa, atau sedang berada dalam kesesakan nafas, ataupun telah mati. Nauzubillahimin zalik.

Entah mengapa, hadis yang dibacakan oleh Ustaz Muhtad, seorang murobbiku suatu masa dahulu sentiasa tersemat kuat di dalam hatiku, menyebabkan aku begitu risau, bimbang dan takut untuk mendekati barangan boikot yang diketahui. Hadis Rasulullah saw:

“ Barangsiapa yang membantu untuk membunuh Umat Islam walau hanya dengan SATU KALIMAT, di akhirat nanti akan tertulis di antara kedua matanya, orang yang DIHARAMKAN dari mendapat RAHMAT Allah swt”.

Setelah mendengar hadis ini, jiwaku menjadi begitu sensitif terhadap usaha memboikot barangan yang membantu ke arah pembunuhan Umat Islam. Daku sedaya upaya memboikot barangan itu semampu mungkin, walau mengetahui bahawa masih banyak lagi syarikat-syarikat yang membantu ke arah itu yang tiada dalam kotak maklumatku, tetapi usaha memboikot ini akan terus menjadi ketegasan buat diri ini, kerana meyakini bahawa usaha ini pasti ada manfaatnya walaupun ia begitu kecil, sekecil zarah sekalipun. Sungguh Allah tidak memandang kepada hasil, tetapi apa yang Allah pandang adalah usaha kita untuk memboikot barangan dan tempat-tempat itu yang kita lakukan seikhlas mungkin.

Sedutan dari Buku “69 Jam Di Neraka Zionis” ,pada m/s 110:


Hujan peluru datang dari semua arah. Angin kencang dari kipas helicopter bagaikan ribut terus menerbangkan habuk memasuki mata kami. Kami tidak dapat berbuat apa-apa seketika, hanya mampu berlindung diri di balik tembok dan siling yang ada. Ketika itulah terdetik di hatiku, tentang kempen boikot syarikat yang membantu kerajaan rejim Zionis Israel itu.

Hatiku berasa marah dan geram memikirkan masih ramai yang tidak memboikot produk Israel atau syarikat yang membantu rejim Zionis itu.

“ Kamu tidak akan mati kelaparan sebab tidak makan makanan segera itu, tetapi kami boleh mati dengan makanan yang kamu beli, keuntungannya akan disumbangkan kepada pembelian peluru yang digunakan untuk menembak kami”, hatiku berdengus marah.

“Sedarlah wahai saudaraku! Kamu bersekongkol dengan syarikat Zionis itu! Pulaukan dan JANGAN Ragu-Ragu lagi”

Baru-baru ini, sedikit ujian Allah hadir untuk menilai keyakinanku, menyebabkan daku sedikit goyah dengan prinsipku ini. Lemah benar imanku ini. Astagfirullahal azim. Seseorang bertanya kepadaku mengapa aku memboikot pasaraya TESCO. Ya, memang pasaraya itu diketahui penyumbang terhadap Kerajaan Zionis Laknatullah. Namun begitu, mereka menggunakan strategi, menyediakan banyak barangan berkhasiat, dari serata dunia, dan kita tidak akan temui produk-produk ini di tempat lain, tetapi ianya berkhasiat. Bagi saudaraku ini, khasiat menjadi satu kepentingannya dalam usaha membeli makanan. Mula-mula aku berfikir..Hmm, ada betulnya juga. Tetapi Alhamdulillah, aku tidak benar-benar terus yakin. Aku cuba mengajak beberapa orang sahabatku berbincang mengenai soal ini, dan mereka juga sependapat sepertiku, goyah. Tetapi, aku katakan kepada mereka, tak apa, hal ini kita boleh bawa berbincang dengan para ulama’. Belum sempat daku bertanya, Allah swt telah menjawab melalui pembacaan buku ini, Alhamdulillah, terjawab segala persoalanku.

Sememangnya penting memilih makanan berkhasiat untuk seisi keluarga, penting untuk pembentukan rohani, jasadi dan intelektual. Namun begitu, manakah yang lebih penting, khasiat atau nyawa saudara- saudara kita yang hilang akibat satu sen huluran wang produk yang kita beli, sedangkan kita TAHU, ia memang akan disalurkan untuk membunuh Umat Islam, saudara kita. Bayangkanlah sahabatku, jika mereka itu ibu ayah kita, adik-adik kita, anak kita, sanggupkan kita membantu untuk membunuh mereka? Sanggupkah kita melihat mereka mati dengan begitu kejam diperlakukan oleh RejimZionis, bangsa tidak bermaruah? Tentulah kita tidak sanggup. Pandanglah, lihatlah dengan mata hati, jangan melihat pada pandangan akal yang begitu terbatas.

Soal khasiat itu, boleh kita usahakan dengan alternatif yang lain. Jika kita memandang itu satu masalah besar, memanglah kita akan nampak besar, macam-macam alasan kita, alergik itu dan ini jika tidak memakai barangan mereka, tak sanggup nak tinggalkan apa yang menjadi keselesaan kita. Cuba kita ubah corak pemikiran kita kepada yang lebih POSITIF, dan kita memandang sesuatu dengan pandangan yang jauh. Wallahua’lam, mungkin dalam soal ini, Alhamdulillah, buat masa ini tidak menjadi masalah bagiku, kerana aku tidak terlalu memilih dalam soal makanan atau barangan. Cuma meletakkan garis panduan dalam setiap pembelian, ia harus halal dan bukan tempat atau barangan boikot. Daku juga mementingkan khasiat, dan aku dapati tidak ada masalah pun jika kita membeli di tempat lain selain TESCO, aku tidak pasti, mungkin ia menjadi masalah kepada orang lain. Pada hari ini, aku dengan sepenuh hati menyakini akan kebenaran prinsipku ini dan ia akan terus menjadi ketegasan dalam diriku selagi keredhaan dan pemeliharaan Allah bersama-sama dengan hamba hina ini.


Kesan Tidak Memboikot

Setiap kali memikirkan soal boikot ini, selalu sahaja terlintas di fikiran saya, jika kita makan produk boikot, kita sedang makan daging saudara kita sendiri, dan bila kita mandi, menggunakan sabun yang boikot, kita sedang melumurkan darah saudara-saudara kita, Ya Allah, saya menjadi begitu tidak sanggup untuk membelinya.

Pertama, kesan tidak memboikot adalah kita sedang menyumbang kepada pembunuhan sanak saudara kita di Gaza, bayangkanlah, sumbangan kita itu digunakan untuk membunuh saudara-saudara kita sedangkan kita tahu akan hal itu. Jangan ingat ia tidak akan memberi kesan kepada diri kita. Ingatkah hadis yang telah saya sebutkan?

“ Barangsiapa yang membantu untuk membunuh Umat Islam walau hanya dengan SATU KALIMAT, di akhirat nanti akan tertulis di antara kedua matanya, orang yang DIHARAMKAN dari mendapat RAHMAT Allah swt”.

Sahabat-sahabatku, kita hanya akan masuk ke syurga Allah swt dengan RAHMATnya, bukan dengan pahala kita. Hal ini disebabkan, jika kita hendak bandingkan pahala yang kita lakukan dengan satu sahaja nikmat Allah, iaitu sebiji mata kita pun, nescaya nikmat Allah itu jauh lebih berat dari amal soleh yang kita lakukan sepanjang hidup kita. Kemudian, amal yang kita lakukan tidak semua yang diterima, ia terhalang oleh banyak faktor. Itulah sebabnya RAHMAT Allah itu penting untuk kita cari dan kita dapatkan. Bayangkanlah, Allah campakkan semula amal soleh yang kita lakukan, disebabkan kita tidak menghiraukan keadaan saudara-saudara kita, malah membantu pula untuk membunuh mereka..Nauzubillahimin zali’.

Kedua, apabila kita membeli dan memakan makanan boikot terutamanya, ia pasti dan pasti akan mengalir menjadi DARAH DAGING kita, dan daripada itu akan akan membentuk zuriat keturunan kita. Kita sedia maklum bahawa bagaimana diri kita dan cara hidup kita akan memberi kesan kepada bagaimana corak pembentukan zuriat keturunan kita. Bagiku, aku bertanggungjawab terhadap zuriat keturunanku nanti. Jika aku tidak menjaga kebersihan diri luaran dan dalaman ketika remaja, aku akan bertanggungjawab terhadap masa depan keluarga dan masyarakat yang akan terbentuk dari darah dagingku sendiri. Sebab itu kita melihat hari ini, manusia sudah hilang nilai kemanusiaannya, anak-anak sudah tidak mengasihi ibu bapa mereka seperti orang dulu kala, golongan muda sudah tidak ada rasa hormat kepada golongan yang lebih tua, menularnya aktiviti sosial yang cukup meruncing, yang susah untuk dibendung lagi. Mengapa semua ini terjadi? Aku meyakini bahawa sudah tentu, ada kaitannya dengan soal pemakanan harian kita. Jadi sebab itu, kita perlu sedaya upaya menjaga diri kita dari membeli barangan boikot ini. Sama-samalah kita menjaga KUALITI ibadah kita, moga-moga Allah memelihara keinginan hati kita untuk membeli barangan yang boikot.

Ketiga, setiap dosa itu akan menjadi penghalang terhadap doa kita. Selalu tanamkan dalam diri kita ini, kita sangat perlu kepada Allah, kita sebagai hamba yang lemah, inginkan bermacam-macam hajat kepada Allah swt, dan setiap doa kita itu sangat penting untuk didengari oleh Allah swt, kerana kita tidak punya banyak masa. Oleh itu, kita sangat perlu menjaga kualiti setiap amal ibadah yang ingin kita lakukan. Tetapi, bagaimana jika kita memberi barangan boikot yang tentunya salah satu cabang dosa, adakah doa kita diterima atau dicampakkan semula ke muka kita? Astagfirullahal azim..

Selalu katakan pada diri kita, boleh, boleh, kita PASTI boleh. Senang, senang, insha’Allah, kita pasti senang. Allah swt PASTI akan membantu dan mempermudahkan urusan kita, jika kita sedaya upaya berusaha menjaga hakNYA. Saya ingin memohon keampunan kepada Allah swt dan meminta sepenuh kemaafan kepada sahabat sidang pembaca sekalian, seandainya ada yang tidak bersetuju dengan pendapat atau prinsip saya. Saya hanyalah menyampaikan apa yang menjadi prinsip saya yang saya yakini tidak bertentangan dengan syariat, saya melakukannya dengan sedikit kefahaman yang Allah swt berikan ini, dan insha’Allah, sungguh-sungguh saya harap dan doakan agar Allah swt selalu memelihara prinsip saya ini selagi syara’, dan terus istiqamah menjaganya sehingga ke hembusan nafas yang terakhir. Moga-moga usaha kecil ini diterima oleh Allah swt, menjadi asbab keampunan Allah swt ke atasku dan sahabat-sahabatku, dan menjadi satu asbab untuk diri ini menjadi salah seorang ahli syurgaNya serta akhir sekali menjadi satu pencetus untuk sahabat-sahabatku di luar sana untuk bersama-sama kita bersatu Menumpaskan Rejim Zionis Laknatullah, meruntuhkan segala bentuk jahilliah, dan berusaha bersungguh-sungguh untuk membangunkan daulah dengan pembinaan generasi yang beriman, berilmu, beramal soleh serta bertaqwa di sisi Allah swt.

Amin. Wallahutaala a’lam.

Bingkisan dari seorang pendosa yang sangat mengharapkan keampunanNya.

Penawarhati90

2.30 am

22 Syaaban 1433H bersamaan 12 Julai 2012

Putrajaya



No comments:

Post a Comment