Wednesday, July 25, 2012

Diari Edisi Ramadhan (3,4,5 & 6)

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamua'laikum warahmatullahi wabarakatuh,

Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah swt semata-mata, Rabb yang nyawaku dalam genggamanNya. Selawat dan salam kuutuskan buat Rasul Junjungan Umat, Rasulullah saw, suri teladan terbaik sepanjang zaman.


Pada kesempatan yang sedikit ini, ingin daku coretkan sedikit diari harianku, untuk tatapan dan bacaan diriku sendiri dan mungkin juga saudara-saudaraku yang kukasihi dan kusayangi di luar sana, sebagai satu muhasabah diri terhadap apa yang kulakukan sehari-hari dalam hidupku, apa yang harus daku tinggalkan dan apa yang harus ku perbaiki dalam pendakianku di sebuah gunung harapan, membawa impian dan harapan yang cukup tinggi agar bisa melihat wajah Penciptaku suatu hari nanti, di kemuncak gunung ini yang tidak dapat aku pastikan bilakah pendakian ini akan berakhir, lalu akan masuk ke alam kehidupan yang sebenar iaitu Alam Akhirat. Sesungguhnya dalam pendakian ini, pelbagai onak dan duri yang sedang menghalangi langkahku, sedang cuba menuntut keputusasaanku, dan sedang merayu agar aku berhenti. Ya, kadangkala aku hampir dan selalu tersungkur di tengah perjalanan ini, kadangkala aku merasa letih dan haus, kerana rohaniku ketandusan curahan zikrullah. Namun begitu, harus aku berusaha mengingatkan diriku bahawasanya amanahku adalah untuk bermusafir bertemu Rabbku, Rabb yang menciptakan setiap satu sel, tisu, organ dan sistem satu demi satu peringkat yang menyebabkan anggota badanku dapat berfungsi dengan baik dan soleh. Alhamdulillah. Kata saudaraku Bro Hamzah:

Jika, jatuh.

Bangun semula.

Jika jatuh lagi

Bangun lagi. Berkali-kali pun tidak mengapa!

Andai Gagal, kita bangkit

Gagal kali kedua, kita bangkit semula.

Gagal berkali-kali, kita bangkit lagi berulang kali.

Atur strategi, susun kehidupan dan terus sahaja membina diri.

Kita adalah kita di masa hadapan.

Kita adalah apa yang kita “laksana”kan di masa ini.

Kita adalah apa yang kita percaya dan yakini!


Daku mulai dengan Ramadhan ke-3:

Pada hari ini, bermulalah pekerjaanku sebagai seorang peniaga di Bazar Ramadhan. pada malam sebelumnya, daku dihubungi oleh seorang adik yang merupakan temanku yang sangat baik, Jamilin. Beliau memaklumkan bahawa ibunya memerlukan seorang pekerja untuk membantu perniagaan mereka. Kebetulan pada waktu itu, daku juga sedang mencari pekerjaan, untuk mencari dana sebagai satu usaha untuk memenuhi sesuatu hajat. Subhanallah, Allah swt itu Maha Mengetahui akan kemampuan hamba-hambaNya, Dia mentakdirkan sesuatu itu sesuai dengan doa hamba-hambaNya. Daku sentiasa mendoakan agar dapat mengisi percutian ini dengan sesuatu yang bermanfaat,jika diberi pekerjaan, besar harapanku agar pekerjaan itu tidak mengganggu gugat ibadahku kepada Rabbku di bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini. Alhamdulillah, demikian Maha Pemurahnya Allah swt, Dia memberi rezeki buat hamba-hambaNya dari jalan yang tidak pernah kita sangkakan, kadangkala kita terlupa untuk bersyukur! kita juga selalu menyangkakan rezeki itu hanya dalam bentuk harta, wang dsb. Tetapi maksud rezeki itu sebanarnya sangat luas, kebahagiaan di dalam hati juga satu rezeki. Bagiku, inilah satu jalan yang Allah tunjukkan kepadaku, sungguh jauh di sudut hatiku mengharapkan agar dibukakan satu jalan untuk sampai ke matlamat dekatku. Moga-moga aku akan sampai kepadanya suatu saat nanti. Alhamdulillah. Segala puji hanya bagi Allah swt.


Hari pertama bekerja sangat gembira dan bersyukur, kerana Allah mengizinkan saya bekerja dengan majikan yang subhanallah, cukup-cukup menyenangkan hati saya, mempermudahkan urusan ibadah saya, dan sentiasa murah dengan sedekah. Subhanallah, subhanallah, subhanallah. Makcik Raziah, Pakcik Mawardi, Jamilin, Ti, dan K Mariam. Mereka adalah sebuah keluarga yang sangat-sangat pemurah, tidak dapat saya ungkapkan bagaimana baiknya mereka. Gembira bekerja bersama teman yang disayangi kerana Allah, Jamilin. Seorang wanta solehah, Allah swt menganugerahkan paras rupa yang begitu cantik, lembut, berakhlak mulia dengan sesiapapun yang ditemuinya, mentaati ibu bapa, rajin. Subhanallah, beruntung ibu bapanya, Makcik Raziah dan Pakcik Mawardi, saya meyakini, inilah hadiah Allah swt yang begitu bernilai buat ibu bapa yang melaksanakan prinsip Islam dalam hidupnya. Kami menjual Murtabak, Daging Bakar dan Mee Goreng. Alhamdulillah, sambutannya sangat menggalakkan.


Sebelum tiba waktu solat Asar, makcik melihat saya bertanya jam. Makcik terus menyuruh saya pergi membuat persediaan solat, walaupun ada pelanggan. Tidak tergambar rasa syukur di hati saya, sangat terharu, Ya Allah, mereka memahami pendirian saya, dan memahami apa yang dituntut oleh Islam. Kebaikan mereka sehingga saya tidak reti atau tidak tahu bagaimana untuk curi tulang atau membalas sms, atau menjawab panggilan semasa bekerja kerana saya ingin menggunakan sepenuh tenaga saya dalam pekerjaan ini, sepertimana saya cuba sedaya upaya untuk menjaga keadaan ibadah saya, walaupun seringkali terganggu kerana lemahnya iman ini. Sedang berusaha untuk menjaga keberkatan waktu, teringat saya ketika membaca buku 'Diari Seorang Lelaki', kata penulisnya, kita selalu lupa menjaga keberkatan waktu. Pada gaji yang kita terima, adakah ia berkat? Bagaimana ketika kita bekerja, kita melewat-lewatkan masuk ke tempat kerja, dan kita minum pagi dan bersembang dengan lama. Sebenarnya kita banyak 'mencuri masa'. Ayatnya lebih kurang begitu menyebabkan saya tersentak seraya berfikir, "ya, memang banyak masa yang aku curi!!" . Astagfirullahalazim. Moga ramadhan kali ini benar-benar mengubah diriku menjadi seorang Muttaqin, iaitu seorang yang sentiasa berwaspada dengan amalnya agar tidak tersasar dari landasan Rabbani. Astagfirullahal azim.


Saya sangat gembira dan bersyukur diberi peluang untuk bekerja di situ. Bertemu pelanggan yang sangat peramah, dan sangat bersabar menunggu giliran untuk dilayan. Bersama majikan yang sungguh baik dan ikhlas, bersama rakan-rakan yang sangat baik dan mudah bekerjasama antara satu sama lain. Kami bagaikan sebuah keluarga. Moga sentiasa dalam keberkatan dan bisa ketemu di syurgaNya. Satu kelebihan yang terdapat di gerai kami adalah semuanya perempuan, dan seorang pakcik. Hehe. Alhamdulillah.


Ketika hendak menunaikan solat, saya tertanya-tanya, ke manakah peniaga-peniaga di bazar Ramadhan? Bukankah telah tiba waktu solat asar. Ya, memang satu ujian, ketikamana ramai benar pelanggan yang mengunjungi bazar pada waktu tersebut, dan kita tetap harus menunaikan kewajiban kita sebagai seorang hamba. Jika tidak, apa gunanya kita berpuasa, apa gunanya kita mencari rezeki, jika Hak Pemberi Rezeki tidak kita tunaikan dengan baik. Bak kata orang "hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih'. Jika kita tak hendak, memanglah pelbagai alasan akan kita putar belitkan. Tetapi tidakkah kita bertanya diri kita, Dari manakah kita datang? Untuk apakah kita dijadikan? dan di manakah pengakhiran kita? Jika kita memberi banyak alasan untuk TIDAK menunaikan hak Allah, Allah swt juga punya banyak alasan untuk TIDAK menunaikan hak kita. Kerana itulah yang Allah firmankan, "Sesungguhnya manusialah yang menzalimi diri mereka sendiri dan Allah tidak menzalimi seorangpun daripada hamba-hambaNya".


Saya bersyukur kerana Allah swt mengizinkan saya bekerja di situ, dan barulah saya kenal situasi Umat Islam hari ini. Jauh di sudut hati merasa sayang dan kasihan kepada mereka dan berharap agar Allah swt sentiasa melimpahkan sepenuh hidayah dan petunjukNya kepada kami semua. Baru saya fahami, seringkali diungkapkan oleh pengerusi majlis ketika di sekolah menengah dahulu, 'Bersyukurlah kita kerana dikurniakan nikmat Islam dan nikmat Iman'. Hal ini disebabkan diluar sana, masih ramai manusia tidak merasai nikmat Islam dan nikmat Iman, menyebabkan hari demi hari, manusia semakin hilang nilai kemanusiaannya. Nauzubillah. Tidak perlu menanyakan sesiapa, cuba tanya diri sendiri dulu, adakah saya benar-benar telah memahami dan menghayati nikmat Iman dan nikmat Islam dalam segenap waktu dalam kehidupanku?


Pulang ke rumah, berbuka puasa bersama keluarga, dan bersiap untuk berterawih. Di surau pula, saya melihat, perbezaan sedikit. Dahulu, saya dan sahabat-sahabat sering berebut-rebut berada di saf depan yang kita yakini, pahalanya lebih banyak. Namun, lain situasinya di sini, sulitnya untuk merapatkan saf. Masing-masing bimbang jika panas. Seringkali saf ini berlubang-lubang. Hendak ditegur, terasa sangat muda. Ya Allah, lemahnya imanku.


Ramadhan ke-4 & ke-5

Alhamdulillah, Allah swt menganugerahkan saya kekuatan untuk terus bekerja. Hari ke 4 itu, Allah izin hujan dengan lebatnya. Pada waktu itu, saya melihat satu situasi hujan yang sangat dahsyat, mungkin saya tidak pernah berada dalam situasi itu. Kami berusaha menyimpan murtabak dan daging di tempat yang kurang tempias. Pakaian saya basah kuyup. Tetapi, hati ini cukup bahagia dan gembira kerana bisa merasai situasi ini. Merasai kesusahan para pencari rezeki di Bazar. Mengapa saya memilih pekerjaan ini sedangkan banyak lagi pekerjaan yang boleh saya cari di tempat yang lebih selesa? Hal ini disebabkan, saya merupakan anak seorang bekas peniaga, saya suka akan perniagaan, saya ingin merasai susah senangnya kehidupan seorang peniaga mencari rezeki, saya ingin belajar erti susah, saya ingin menghayati kehidupan mereka yang tidak punya kemampuan, dan saya sangat gembira bertemu dengan pelanggan, kerana saya ingin mendoakan mereka. Apabila kita selalu berada di dalam zon selesa, kita kurang mengenal erti syukur. Saya ingin belajar erti sabar, syukur. Sentiasa tersenyum walaupun dalam keadaan penat, kerana para pelanggan kita adalah salah satu cara Allah swt menyampaikan rezekinya. Mereka juga mutarabbi. Siapa tahu, dengan sedikit akhlak islamiyah yang kita cuba tunjukkan akan meningkatkan syuur di hati mereka untuk mengenali akhlak Islamiyah. Subhanallah.


Sebagai satu pengajaran yang ingin saya ambil iktibar. Pernah suatu ketika saya, kakak saya dan sahabat-sahabat kakak saya berjalan di suatu tempat, dan kami berhenti makan seketika. Di situ terdapat dua kedai makan. Kami duduk di satu kedai makan dan kakak saya mengambil makanan dari kedai yang satu lagi, tetapi kami yang lain menempah makanan di kedai yang kami duduk. Apabila kakak saya menempah minuman di kedai yang kami duduk, tiba-tiba seorang wanita datang menghantar minuman itu dengan gelas besar(bermaksud kami pelu tambah duit untuk gelas besar itu). Kami bertanya kenapa besar sangat? Jawab wanita tersebut dengan berwajah masam, 'ini sebab tempah makanan di tempat lain'. MasyaAllah. Astagfirullahal azim, kesan cemburu dan persaingan yang 'tidak sihat' ini menyebabkan pelanggan yang tak tahu apa-apa menjadi mangsa. Saya tidak reti untuk menegur, cuma bila saya marah, saya tidak boleh menatap wajah orang itu. Sahabat2 yang lain seperti tak percaya situasi itu. Membimbangi kemarahan kami akan mempamerkan akhlak yang tidak baik. cuma sebagai satu pengajaran untuk diri saya dan kita semua, janganlah sekali-kali berlaku sombong dengan pelanggan, sentiasa melebarkan senyuman, dan bermanis muka. Bukan rugi sikitpun!!


saya menjumpai pelanggan yang sangat bersabar untuk mendapatkan makanan. Sememangnya bulan ini adalah sebuah madrasah yang mendidik kesabaran manusia. Apa yang saya pelajari, sebagai peniaga, kita haruslah sentiasa memaniskan wajah dengan senyuman yang ikhlas, kerana bersamanya kita membawa sebuah doa untuk pelanggan-pelanggan kita. Kemudian, apabila kita sedikit lambat memberi khidmat, cuba kita biasakan diri dengan perkataan 'maaf', Allah swt akan meletakkan di hati para pelanggan itu rasa untuk memaafkan dan turut membalas senyuman menandakan bahawa mereka memaafkan. Saya lalui situasi tersebut, saya mencuba dengan kudrat yang ada, alhamdulillah, saya temui kebenaran padanya. Laginya, kita perlu perbanyakkan sedekah, apabila makanan kita tidak habis, tidak perlu kita simpan sampai rosak, apa kata sedekahkan kepada jiran-jiran. Amalan berbalas-balas makanan dilakukan oleh para peniaga menyebabkan saya merasai satu ikatan sillaturrahim yang sungguh erat. Subhanallah, Alhamdulillah,Allahuakbar. Pada hari ini, saya berbuka puasa di kedai, kerana tidak sempat pulang ke rumah. Alhamdulillah, saya merasa bahagia melihat semua peniaga berbuka puasa di kedai, umpama sebuah keluarga. Tidak lupa doa di hati, moga-moga Allah swt mengumpulkan kami di syurgaNya. Amin.

*kesian semua ahli keluarga berbuka tanpa saya..T_T. Selepas berbuka sedikit, saya terus memandu pulang ke rumah. Alhamdulillah.


Ramadhan ke-6


Pada hari ini saya sedikit lemah, kerana Allah izin, terbangun sahur terlewat dan sedikit runsing. Pada malamnya, dalam jam 12 malam, khalifah kecil Umar Mukhriz, tiba-tiba berlari mencari ibu saya.

'Tok...tok...".hehe.

Saya pun terkejut kerana tiba-tiba pintu bilik saya ditolak.Rupa-rupanya di mamai, keluar dari bilik ibu dan ayahnya yang nyenyak tidur. Kami pun melayanlah, sampai jam hampir 2 pagi. Akibatnya, semua terbangun lewat. Tetapi, alhamdulillah, Allah bangunkan juga.


Sepanjang hari saya sedikit runsing memikirkan pelbagai urusan. Sedikit ujian hari ini, namun berharapkan saya tetap dapat bekerja dengan baik. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik. Alhamdulillah. selesai menulis diari edisi Ramadhan.


Segala yang baik itu datang dari Allah swt, dan segala yang buruk itu datang dari diri saya sendiri, hakikatnya kedua-duanya datang dari Allah swt. Tetaplah bersemangat melalui kehidupan sehari-hari. Bersaha menjadi yang terbaik di mata Allah dengan menunaikan haknya dan berusaha meninggalkan laranganNya, insha'Allah akan terbaik di mata manusia. Amin.

p/s: harap2 dapat berqiamullail, terlajak sikit malam ni. ^_^. Amin


Penawarhati90

1.19 am

7 Ramadhan 1433H bersamaan 27 Julai 2012

Langkawi









No comments:

Post a Comment