Sunday, July 15, 2012

Hari Yang Indah. Alhamdulillah

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamua’laikum warahmatullahi wabarakatuh,

Segala puji hanya bagi Allah swt, Rabb Yang Maha Pengampun Lagi Maha Penerima Taubat, Raja Sekalian Alam. Dialah Rabb Yang Maha Pencipta dan Maha Mengatur setiap satu langkahan kehidupan hamba-hambaNya. Hanya kepadaNya hamba ini menyerah diri, hanya kepadaNya hamba ini meletakkan seluruh pengharapan dalam hidupnya. Selawat dan salam keatas Rasulullah saw, teladan terbaik sepanjang zaman, serta salam sejahtera buat ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda.

“Hasbi Rabbi Jallallah

Ma fi qalbi ghayrullah

My Lord is enough for me, Glory be to Allah

There is nothing in my heart except Allah”..

SUBHANALLAH

Alhamdulillah, segala puji hanya selayaknya bagi Allah swt, kerana sehingga saat ini, Dia Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang masih lagi menganugerahkan daku secebis nafas untuk menghirup segarnya udara pagi, menghayati keindahan sinaran mentari, dan sehingga saat ini, Dia dengan segala kemurahan rahmat dan kasih sayangNya, masih memberikan hamba hina ini dua nikmat terbesar iaitu Nikmat Iman dan Nikmat Islam. Kedua-dua nikmat inilah yang telah menjadi bekalan buatku dan buat kita semua untuk membezakan antara yang Haq dan yang Bathil. Kedua-dua nikmat ini jugalah yang menghalang kita daripada melakukan perkara-perkara nahi dan mungkar serta mendidik kita melaksanakan perkara amar maaruf. Insha’Allah.

Panjang muqaddimahnya hari ini, kerana hamba ini sedang sedaya upaya meneutralkan jiwanya dari pelbagai bisikan yang sedang mengganggu ibadahnya terhadap Rabbnya. Astagfirullahal azim. Moga-moga kita selalu diberi kekuatan dan peringatan untuk sentiasa berada di dalam suasana tarbawi, iaitu suasana yang sentiasa terdidik jiwanya, walaupun kadangkala suasana itu tidak dapat membantu kita untuk menjaga keimanan diri, itulah ujian buat kita sebenarnya. Dengan itu iman kita akan memberi tindakbalas supaya bersegera membina suasana tarbawi dengan bersegera dalam beribadah. Segala input yang kita pernah perolehi harus kita ulang-ulang semula supaya iman kita tidak melemah dalam suasana itu, dan kita tidak hanyut dalam arus jahilliah yang sangat kejam berusaha membunuh Iman kita. Pesanku pada hati ini, janganlah berputus asa, janganlah terus menyerah diri kepada suasana, sedarilah matlamat utama dalam hidup ini iaitu Mencari MARDHATILLAH, dan ia menuntut pelbagai usaha dan pengorbanan diri, harta, masa, dan segala kesenangan. Jika ditanya mengapa ujian itu begitu pahit? Jawablah kerana syurga itu begitu manis dan sangat mahal. Ammaba’du.


Mesti semua terkejut melihat gambar di atas bukan? Jangan risau, cincin ini bukan milik saya, tetapi insan yang sangat istimewa dalam hidup saya iaitu kakak saya. ^_^

Semalam kami dan keluarga bakal pendamping kehidupan kakak saya telah mencari sebentuk cincin untuk majlis mereka. Insha’Allah, bila itu tidak dapat saya pastikan, namun, sentiasa kami doakan semoga majlisnya akan berlansung seperti yang telah dirancang. Insha’Allah, berdoa dan terus berdoa semoga semuanya dalam pemeliharaan Allah swt. Melihat kakak dan bakal abang ipar saya gembira dan tersenyum, hati saya lebih bahagia dan berbunga-bunga, dan kiranya mereka hampir di ambang majlis pernikahan. Alhamdulillah. Saya di situ sebagai jurukamera, jurubicara, juru kritik. ^_^. Akhirnya kami menjumpai sebentuk cincin yang disukai oleh kakak. Alhamdulillah.

Mengapa saya rasa bahagia?

Pertamanya disebabkan saya telah melihat pelbagai suka duka sepanjang penantian mereka untuk menjadi sebuah pasangan yang halal. Ada ketika mereka kuat, ada ketika mereka lemah, ada ketika menangis, ada masanya tersenyum. Tetapi itulah ujian untuk menguji tahap kesabaran dan keikhlasan hati mereka. Sehingga kini, saya juga tidak dapat untuk mengulas apa-apa kerana saya juga merasa gementar akan kebenaran takdir buat mereka selagi belum mencapai akadnya. Kedua-dua keluarga juga turut gementar apatah lagi yang sedang melaluinya. Namun begitu, peristiwa semalam itu merupakan satu detik yang membahagiakan buat hati saya, kerana mereka sedang melalui jalan-jalan untuk menghalalkan perhubungan di antara dua insan yang mungkin selama ini agak kabur. Alhamdulillah.

Keduanya, saya sebenarnya sedikit teruja dengan kesabaran bakal abang ipar saya kerana saya melihat penantiannya bukan sehari dua tetapi bertahun-tahun, pelbagai ujian yang dilalui beliau dan kakak juga, tetapi disebabkan matlamatnya jelas, kenapa beliau memilih kakak saya, dan di hadapannya ada ramai lagi wanita yang mungkin lebih baik dari kakak saya, tetapi, beliau tetap sabar dengan keputusannya. Ya, insha’Allah, semoga kesabaran beliau dalam redha Allah swt. Ya, mungkin ramai insan lain yang lebih baik dari kakak saya, tetapi, saya sangat bersyukur kerana memiliki seorang kakak yang dalam kelembutannya ada ketegasan. Beliau merupakan seorang yang banyak berkorban untuk keluarga, tegas untuk mencapai cita-citanya menjadi seorang Doktor, walaupun pada mulanya mendapat halangan, tetapi membuktikan beliau mampu menjadi Doktor dan menjadi pelajar Malaysia cemerlang di Universiti Hasanuddin, UNHAS. Beliau selalu memberi semangat kepada saya dan ahli keluarga yang lain untuk berusaha mencapai cita-cita kami. Inilah hadiah Allah buat saya, yang saya perlu syukuri, dan saya juga bersyukur kerana insan yang bakal mendampinginya, bakal keluarga barunya juga merupakan insan yang saya percayai dan yakini Imannya, dan insha’Allah mampu mendidik kakak saya ke jalan yang Allah swt redhai. Hidayah dan petunjuk itu milik Allah, kita tidak pernah tahu bila ia akan sampai ke hati para hambaNya, namun, sebagai manusia kita harus terus berdoa dan berdoa, berusaha dan berusaha, juga meletakkan tawakkal perkara yang pertama dan utama dalam hidup kita. Insha’Allah, suatu hari suara hidayah Allah itu akan sampai ke hati para hambaNya. Insha’Allah.

Ketiga, saya sangat mengagumi dan menghormati keluarga bakal abang ipar saya kerana Deen mereka. Subhanallah. Sebuah keluarga yang memahami dan menghayati keindahan Islam dalam kehidupan mereka. Sebuah keluarga sakinah yang juga menjadi salah satu inspirasi yang ingin saya hidupkan dalam keluarga saya pada suatu hari nanti. Insha’Allah, jika Allah swt izinkan. Semasa mereka hadir ke rumah kami yang serba kekurangan ini, kami agak ‘nervous’, kerana bagi kami mereka bukan insan biasa, punya status di mata masyarakat. Pelbagai persediaan dan persiapan yang kami lakukan untuk menerima kehadiran mereka. Namun begitu, setelah menerima kunjungan mereka, kami seperti tak percaya, kerana mereka sedikitpun tidak mementingkan status, merendah diri, bertaaruf dengan setiap seorang adik beradik saya, dan memulakan seisi perbincangan dengan tazkirah ringkas. Itulah seorang ayah, pemimpin keluarga yang tegas tetapi lembut hatinya, dan memegang teguh prinsip Islam dan Iman dalam dirinya dan keluarganya. Ibunya juga begitu, sentiasa ramah dan melihat mereka, hati kita merasa tenang, itulah sebuah keluarga yang soleh bagi saya. Kesimpulan pada apa yang ingin saya ceritakan adalah bagaimana seorang ayah itu berperanan mendidik keluarganya untuk sentiasa memegang teguh pada prinsip Islam. Ia menjadi contoh kepada anak-anaknya dan masyarakat dengan kerjaya dan status yang dimilikinya, menjadi contoh kepada anak-anaknya untuk berjaya di dalam pembelajaran mereka, dan sentiasa menitikberatkan usrah keluarga dalam membina sebuah keluarga sakinah, barakah, dakwah.

Selepas membeli cincin, kami menziarahi keluarga kakak bakal abang ipar saya. Di situ berkumpulnya beberapa orang ahli keluarga mereka, sangat meriah, sangat meriah, Alhamdulillah. Kakak beliau sangat sibuk seperti kakak saya juga kerana mereka berada di fasa HO sekarang, malah beliau lebih sibuk lagi dan letih, kerana semalaman ‘on call’, namun, mendengar kehadiran kami,beliau sanggup memasak makanan yang sangat enak, dan melayani tetamunya seolah-olah tidak letih lansung. Subhanallah, semoga Allah sentiasa memberkati mereka. Saya juga tidak lepas bertaaruf dengan ibu beliau, bertanya pelbagai soalan, berkongsi pengalaman hidup, konklusinya, saya sangat bersyukur dapat mengikat tali persaudaraan bersama mereka. Indah akhlak dan keperibadiannya.

Sebagai seorang manusia, saya seorang yang suka belajar dari pengalaman, ia lebih mudah diserap ke dalam pemikiran saya berbanding teori dan pembacaan, walaupun itu penting. Tetapi, setiap manusia mempunyai cara belajar yang berlainan dan saya juga begitu. Oleh sebab itu, saya suka bertanya soalan, dan setiap pertanyaan saya, sentiasa saya doakan ia masuk terus ke dalam pemikiran dan hati saya jika itu ilmu yang baik.

…………………………………………………………………………………………………………………………………………………….

Saya dan perkahwinan, satu isu menarik. ^_^

Alhamdulillah, melihat kakak dan bakal abang ipar saya, juga keluarga gembira, saya tumpang gembira dan bahagia. Tetapi, untuk sebuah perkahwinan, ia merupakan sesuatu yang masih jauh untuk saya gapai, namun, saya tetap sedang bergerak menujunya dengan persediaan ilmu dan kemahiran. Setiap kali memikirkan tentang perkahwinan, saya sangat tertekan, mungkin itu adalah ujian buat saya kerana Allah swt mengetahui bahawa di situ adalah kelemahan saya dan saya amat rasainya. Buat masa ini, alam perkahwinan itu masih samar-samar bagi saya, ia merupakan sesuatu asing bagi saya, mungkin saya belum matang agaknya untuk memikirkan soal itu, dan saya berada di dalam biah di mana tidak ada penekanan dari keluarga mahupun murobbi saya. Harapan mereka adalah saya dapat menamatkan pengajian saya ke peringkat yang lebih tinggi, gapailah setinggi mungkin untuk Islam. Dan itulah hajat saya sebenarnya.

Saya punya impian yang sangat besar sebelum melangkah ke alam perkahwinan, impian yang sangat besar untuk pembinaan diri, keluarga, dan Umat Islam keseluruhannya . Itu matlamat terdekat saya, dan harapnya saya dapat memenuhinya. ^__^. So, bersabarlah dalam bersabar wahai hati. Kata kakak saya,

“ Hayatilah nikmat keremajaan ini bersungguh-sungguh, buat yang terbaik semasa remaja, dan nanti bila dan walimah, juga jadi yang terbaik. Insha’Allah.”

Nota buat diri

Saya mempercayai dan meyakini bahawa, di akhir perjalanan ini, pastinya ada sebuah jawapan, dan sebuah kepastian. Telah Allah janjikan setiap kesulitan itu pasti ada kemudahan. Cuma sementara untuk tiba ke pengakhiran itu, jalannya tidak mudah, ianya perlukan sepenuh kesabaran demi kesabaran, pengorbanan demi pengorbanan, usaha demi usaha. Mungkin ia belum selesai kerana kita belum meletakkan sepenuh Doa+Usaha+Tawakkal kita kepada Allah swt, kita belum tunduk dengan merendahkan sepenuh hati kita kepada Allah, kita belum meninggalkan semaksima mungkin karat-karat jahilliah yang menghalang doa kita dari diterima oleh Allah swt, menyebabkan ujian yang kita hadapi tidak juga berakhir. Inilah tarbiyah, inilah didikan yang Allah hendak kita pelajari sebenarnya. Inilah fasa kehidupan. Setiap insan akan diuji dengan ujian yang berlainan mengikut kemampuan mereka, dan mengikut apa yang mereka lemah.

“Wahai hati, teruskan bersangka baik kepada Allah, melaksanakan syariatNya dan meninggalkan laranganNya. Nescaya dikau akan temui sebuah pengakhiran yang begitu manis, sehingga apabila engkau mendapatkan apa yang engkau impikan selama ini setelah melalui fasa ujian yang begitu hebat itu, engkau akan sujud syukur dengan sepenuh kerendahan hati bersama tangisan syukur, serta betul-betul menghargai nikmat itu serta bersedia untuk meningkat ke fasa yang lebih tinggi dan lebih berat ujiannya”

Insha’Allah, hamba ini memohon sepenuh keampunan kepada Allah swt dan meminta sepenuh kemaafan seandainya ada kekasaran dalam bicara dan tingkahlaku yang melampau dan berlebih lebihan, semoga apa yang saya kongsikan sedikit sebanyak bermanfaat untuk kita ambil iktibar.

Wallahutaala a’lam

p/s: dalam perjalanan menjumpai Restoran kegemaran saya, di mana sahaja menemuinya, mesti hati terasa nak masuk kerana saya amat sukakan KEK. Dunia oh dunia…

Ini kerja saya sewaktu bercuti di Putrajaya:




Penawarhati90
9.54p.m
25 Syaaban 1433H bersamaan 15 Julai 2012
Putrajaya

No comments:

Post a Comment