Monday, July 2, 2012

Insan Teristimewa

Bismillahirrahmanirrahim

Dengan Nama Allah, Yang Maha Mengasihani dan Maha Memelihara, setiap yang ada di langit dan di bumi, Rabb yang setiap hela nafas hamba2Nya berada dalam genggamanNya, hatta sehelai daun yang berguguran, semuanya dalam pengetahuanNya, dan nasihat buat hatiku,tetaplah dalam keyakinan bahawa dan tidaklah Allah mentakdirkan sesuatu dalam hidupmu, sama ada ianya berbentuk nikmat atau musibah untuk sesaat yang sia-sia, tetapi, terselit bersamanya hikmah buat mereka yang sentiasa berfikir sambil berzikir.

“Hasbi Rabbi Jallallah

Ma fi qalbi ghayrullah

My Lord is enough for me, Glory be to Allah

There is nothing in my heart except Allah”..

SUBHANALLAH

Siapakah gerangan dua insan ini? Mereka adalah ibu dan bapa angkat saya, Makcik Azizah dan Pakcik Ghusran, antara insan teristimewa dalam kehidupan saya. Melalui perkenalan dengan mereka 4 tahun yang lalu, saya mula belajar erti kehidupan, erti menghargai setiap nikmat pemberian Illahi, mereka menjadi cerminan kehidupanku serta mencorakkan kehidupanku dengan kesederhanaan. Jauh di sudut hatiku, amat merindui mereka. Semoga rahmat dan pertolongan Allah swt sentiasa mengiringi hari-hari dalam kehidupan mereka.

Allah lebih sayangkan mereka. Allah lebih mengasihi mereka. Walaupun setiap manusia itu punya rasa kasih dan sayang, tetapi Allah itu Rabb Yang Maha Penyayang. Bermakna, tidak ada makhluk yang bisa melebihi sifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang Allah. Lalu, Allah swt memberi mereka sedikit ujian kehidupan bagi membersihkan keimanan mereka untuk kembali kepadaNya. Sesungguhnya Allah swt menguji hamba-hambaNya sesuai dengan kemampuannya, dan pastilah bukan untuk disia-siakan. Makcik Azizah telah dipercayai menghadapi penyakit ‘Complex Parkinson’, 100% memerlukan sokongan,’totally paralyse. Penyakit makcik merupakan penyakit pertama di Malaysia, kerana ia berbentuk complex, dan menyerang ke seluruh saraf, lama kelamaan saraf akan meregang, dan serangan berpunca di bahagian Cerebrum otak, seperti yang kita ketahui, cerebrum otak merupakan pusat koordinasi badan yang penting untuk mengawal aktiviti badan. Sample air tulang belakang makcik telah diambil sebagai bahan kajian pakar perubatan. Pakcik Ghusran, merupakan seorang suami yang subhanallah, sangat setia dan taat melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang hamba Allah dan seorang suami, walaupun dalam keadaan isteri yang sakit, serta tidak dapat menjalankan tanggungjawabnya seperti para isteri normal yang lain, beliau tetap tabah menjaga kebajikan isterinya daripada bangun tidur sehingga ke tiduran semula. Pengorbanan pakcik tidak dapat saya gambarkan betapa besarnya, saya tidak pernah menjumpai lelaki mulia seperti itu sepanjang kehidupan saya sebelum mengenali pakcik, pakcik sanggup bersara di awal usia persaraannya semata-mata untuk menjaga makcik. Beliau hanya melakukan kerja-kerja kampung yang kecil2, kerana makcik tidak boleh ditinggalkan walaupun hanya untuk sebentar. Pernah pakcik ditanya,

“ Seandainya makcik dipanggil pulang ke hadrat Illahi, apakah pakcik akan walimah lagi? “

Kata pakcik bersahaja, “ kena cari macam makcikla” Sudah.. Mana nak cari insan seperti makcik.

Pernah makcik cerita ketika berbicara dengan pakcik, kata pakcik,

“Saya takut kalau Allah ambil saya dulu, sebab saya takut takde orang jaga awak”…

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar… Puji-pujian hanya bagi Allah, di saat manusia pada hari ini lebih mementingkan diri sendiri, tatapi masih ada insan yang sanggup mengorbankan dirinya, yang betul2 merasai akad sebuah pernikahan iaitu isteri sebagai amanah yang akan dipersoalkan oleh Allah di akhirat nanti. Pakcik TIDAK PERNAH meminta-minta kepada orang lain ataupun menagih simpati dengan keadaan mereka. Pakcik tidak pernah menerima sedekah. Satu perkara yang buat saya teruja adalah pakcik dan makcik, adalah merupakan dua insan yang sentiasa menjaga ibadah mereka, walaupun dalam keadaan tidak sempurna, makcik tetap melakukan solat 5 waktu dengan menggunakan isyarat mata. Saya terharu melihat suami mithali seperti pakcik, di mana setiap kali solat, pakcik akan ambilkan wudhu’ untuk makcik, dan memakaikan stokin, menutup aurat makcik sebaik mungkin. Pakcik sentiasa menjaga aurat makcik, sentiasa apatah lagi ketika kehadiran tetamu. Suatu hari, pernah saya melihat pakcik mengerang kesakitan yang dahsyat, pada jam 3 pagi, semasa itu tugas saya menjaga makcik, dan sememangnya kami telah bersedia jika apa2 berlaku, kerana penyakit pakcik akan menyerang setiap jam 3 pagi,cuma mungkin itu satu kejutan buat saya kerana sebelum itu saya tidak pernah melihat pakcik sakit seperti itu. Pada waktu itu, pakcik dipercayai mengalami kesakitan di bahagian tulang kerana terlalu banyak mengangkat benda berat, hampir lumpuh, tetapi, manusia punya jangkaan, Allah Maha Pengatur. Jika Allah tidak izinkan, tidak akan berlaku. Alhamdulillah, kini pakcik kembali normal.

Hati kecil saya tiba-tiba tersentuh dengan satu ayat Al-Quran yang dilekat di bahagian dinding ruang tamu makcik, iaitu ayat seribu dinar. Surah Al-Thalaq :2-3

“..Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu". –Surah At- Thalaq: 2-3 -

Bila saya memandang ayat itu dan menghayati ayat itu sedalam-dalamnya, saya terjumpa satu jawapan yang sentiasa menambahkan keyakinan saya, apabila kita bertaqwa kepada Allah swt dengan sebenar-benar TAQWA, kita meletakkan rasa cinta, takut dan harap kita hanyasanya kepada Allah dan tidak ada sedikitpun percampuran makhluk dalam harapan kita, maka Allah swt akan menganugerahi kita 3 perkara:

1. Allah swt akan mengampuni dosa-dosa kita.

2. Allah swt akan menyelesaikan segala permasalahan yang membelenggu jiwa kita.

3. Allah swt akan memberi kita rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka.

Melihatkan keadaan makcik yang mempunyai satu penyakit yang UNIK, kerana jika kita tahu, Parkinson akan menyebabkan seseorang pesakit itu lupa akan kisah hidupnya, tetapi tidak makcik, beliau dapat mengingati setiap peristiwa dalam hidupnya, beliau boleh bercerita bagaimana gambaran penyakitnya, beliau ingat jalan, bahkan ingatan makcik lebih kuat dari orang normal. Subhanallah. (patutlah pakcik tak nak pengganti…). Latar belakang makcik sebelum ditimpa penyakit, makcik seorang Guru Biologi di sebuah sekolah convent di mana makcik merupakan seorang guru melayu, beragama Islam yang pertama diberi amanah menjaga bahagian peperiksaan, kerana sebelum ini jawatan itu tidak pernah diberi kepada orang Malayu. Sikap makcik adalah seorang yang lembut, tegas, amanah, jujur dalam kerjanya, cintakan kebersihan dan kekemasan, konsisten dalam kerja-kerja Dakwah dan Tarbiyah, dan merupakan isteri dan anak yang solehah. Kata makcik “ masa makcik sihat dulu, baju tidur pakcik pun makcik gosok”. Semasa makcik sakit, makcik tetap dengan sikapnya menepati waktu, dilihat, waktu solat, waktu makan ubat, waktu mandi, adalah tetap. Jika kita mengikat sebarang janji dengan makcik, makcik akan pastikan kita menepati janji, sekiranya kita tidak menepati janji, makcik akan mengalami kesakitan di bahagian otak, kerana apabila kita berjanji, otak makcik akan set, jika kita mungkiri, ia akan sakit. Itulah satu penyakit yang unik. Pakcik juga sebelum ini merupakan seorang pegawai kerajaan. Setiap tetamu yang hadir menziarahi pakcik, makcik dan tok, hanya satu harapan dan hajat yang makcik tuntut, iaitu memberi peringatan kepada pakcik dan makcik. “ Berbicaralah tentang Allah, walaupun satu ayat”. Hajat mereka ini haruslah ditunaikan, kerana ini adalah hajat orang sakit. Kadangkala, saat hati saya kelu dan membisu, saya tetap memberi sedikit, untuk tunaikan hajat mereka. Tetapi sebenarnya, mereka lebih arif dari saya. Mereka lebih kenal saya berbanding diri saya sendiri. Pernah saya ceritakan saya tidak boleh tidak makan nasi dalam sehari, kerana , jika tidak saya akan mengalami kesakitan yang teruk. Saya hanya berbicara secara bersahaja. Tetapi, makcik ingat setiap keperluan saya. Bila saya dalam kesedihan, tetapi saya cuba bersikap ceria, naluri keibuan makcik sentiasa dapat meneka, lalu makcik berkata, “ Dalam mata syafiyah, seperti ada kesedihan yang dirahsiakan”. Saya sangat terkejut, kerana pada waktu itu, saya hanya ceria. Tetapi mungkin insan seperti makcik, ada naluri istimewa yang Allah letakkan.


Semasa saya di rumah makcik, saya pernah menjahit beberapa baju pakcik yang terkoyak. Tiba-tiba air mata mengalir, sebab saya tak mampu menahan kesedihan, saya sudah menganggap mereka seperti ibu dan ayah saya sendiri. Hajat makcik adalah saya boleh menulis kisah kehidupan makcik dan pakcik, sebagai satu iktibar buat insan-insan di luar sana, dan sehingga kini, saya masih mengumpulkan kekuatan dari segi masa, dan roh untuk menulis kisah kehidupan dua insan istimewa ini. Selagi makcik masih hidup, saya harus gunakan peluang ini sebaik mungkin untuk menunaikan hasratnya . Sebenarnya di rumah makcik masih ada seorang panjaga makcik iaitu Tok (Ibu Makcik). Tok merupakan seorang yang sangat suka bercerita, tetapi agak kurang sihat, beliau suka meraikan orang. Setiap tetamu yang hadir, mesti akan tok sediakan makanan. Kadangkala perasaan bersalah menyebabkan saya hampir menolak. Tetapi ditegur oleh makcik, kata makcik, tok hajat, dan itu sahaja cara yang tok boleh lakukan untuk meraikan orang. Selain saya, makcik mempunyai beberapa lagi anak angkat yang setia menjaga makcik, antaranya Ainal Mardhiyyah Azmi dan K Fatimah Ariffin. Nak dibandingkan saya dan mereka, jauhlah. Mereka adalah insan yang sentiasa bersama makcik, pakcik dan tok ketika senang dan susah, dan saya hanyalah insan yang datang dan pergi, astagfirullahal azim. Walaupun jauh di mata, hati saya tetap dekat dengan mereka, tidak lupa mendoakan mereka. Saya tidak tahu bagaimana untuk mengucapkan syukur kepada Allah yang amat, kerana dipertemukan dengan mereka, melihat keadaan mereka, saya menjadi semakin yakin bahawa, pertolongan Allah itu sangat dekat dengan mereka yang beriman, bartaqwa dan bersabar dan tetap melaksanakan ketaatan kepadaNya walaupun dalam keadaan tidak sempurna. Inilah satu tarbiyah Allah buat saya, buat kita semua, supaya kita lebih menghargai dan mensyukuri segala nikmat pemberian Allah swt, dan membuktikan kesyukuran kita dengan menggunakan sungguh-sungguh nikmat ini ke arah melakukan kebaikan dan beramal soleh. Walaupun pakcik dalam kesempitan, beliau tidak pernah lupa menadah tangan kepada Allah di waktu-waktu sepi, 1/3 malam. Saya pernah dikejutkan untuk menjaga makcik ditengah malam kerana pakcik hajat untuk menunaikan solat malam. Kadang-kala saya menjadi malu dengan pakcik, kerana ada waktunya saya tidak terbangun di malam hari, sedangkan saya Alhamdulillah, masih diberi nikmat kesempurnaan fizikal. Patutlah acapkali diulangi di dalam Al-Quran, sedikit sekali manusia yang bersyukur. Kata pakcik, semasa masih sihat dulu, pakcik selalu mengulangi satu ayat sebelum penyampaiannya iaitu “ingatlah 5 perkara sebelum 5 perkara.”

1. Sihat sebelum sakit

2. Muda sebelum tua

3. Kaya sebelum miskin

4. Lapang sebelum sempit

5. Hidup sebelum mati

Ini hanyalah satu input, tetapi kini, ketika diuji, pakcik sentiasa ingat perkara ini, dan ujian itulah output yang sebenar. Inilah satu ujian Allah kepada hambaNya, untuk membersihkan keikhlasan mereka sebelum kembali menghadapNya. Semoga dengan kesabaran pakcik, makcik dan tok menahan ujian ini, Allah swt sentiasa mengganjari pahala yang besar buat mereka, dan meletakkan mereka bersama orang yang beriman dan berjihad di jalanNya. Mereka tidak pernah lalai dalam ibadah mereka walau dalam apa keadaan sekalipun, walaupun jasad mereka sakit, tetapi Allah swt sentiasa membahagiakan hati mereka, dan mereka selalu menjadi penghibur kepada orang lain dalam ketidaksempurnaan mereka, dan masih menghulurkan bantuan dan sedekah kepada insan lain. Mungkin kerana itu, Allah swt sentiasa menjaga mereka, memberi rezeki kepada mereka tidak putus-putus. Allah swt itu Maha Mengasihani, walau seluruh makhluk merasa kasihan melihat keadaan mereka, Allah swt itu lebih dan paling kasihan kepada mereka, namun begitu, Allah swt Maha Mengetahui, ujian inilah yang terbaik dan termampu untuk mereka tanggungi, mungkin ini hanya sementara. Pakcik juga seorang yang sangat menjaga akhlaknya, walaupun makcik selalu dikunjungi oleh para wanita, pakcik tidak pernah berbicara lebih dari yang sepatutnya. Walaupun saya bermalam di rumah makcik, pakcik tidak pernah berbicara dengan saya lebih dari batas seorang lelaki muslim. Kagum melihat pakcik, dan malu terhadap diri sendiri yang masih lagi tidak menjaga pergaulan dengan ajnabi dengan baik. Dan saya selalu merasa tenang di rumah makcik yang sentiasa bersih. Wallahua’lam.

Inilah kisah sebuah cinta yang cukup romantik bagi saya. Kisah cinta antara dua insan yang berjanji dalam sebuah akad yang halal, bahawa untuk bertemu dan berpisah kerana Allah. Jauh di sudut hati saya mempersoalkan, bagaimana peribadi pakcik dan makcik boleh semulia ini? Apakah yang mendorong pakcik tidak mahu berwalimah lagi dan sentiasa menjaga pandangannya terhadap wanita-wanita lain, dan tetap teguh bersama, terus menjaga dan setia cintanya terhadap makcik walaupun dalam keadaan yang tidak sempurna???? Dan akhirnya saya terjumpa satu jawapan melalui bicara saya dengan seorang ustazah yang saya kasihi Lillahitaala. Kata ustazah, titik awal perkahwinan bagi seseorang muslim yang mukmin, apabila ia didasari Lillahitaala, bukar sekadar lisan, tetapi dari niat awal di hati itu untuk berwalimah Lillahitaala, Allah akan menggerakkan tingkah laku seorang mukmin itu untuk mematuhi syariat Allah, sehingga ke akhir hayatnya. Kata ustazah lagi, suatu saat nanti, pasangan kita itu akan menjadi ujian bagi kita tidak kira siapapun mereka, satunya kerana kita dari dua planet yang berbeza (Man from Makkah, Women from Madinah), selepas beberapa tahun, kita akan melihat satu persatu kelemahan mereka, dan kadangkala kita mungkin merasa tidak serasi lagi, namun begitu, apa yang memujuk kita untuk terus bertahan adalah niat awal perkahwinan itu. Jika kita ingin bersatu kerana Allah, untuk mencari keredhaan Allah, dan menyebarkan cinta dan kasih sayang Allah di dalam sebuah baitul Muslim, baitul Rahmah & Sakinah dan baitul Dakwah, kita akan mampu bertahan dan memujuk diri menerima ketidaksempurnaan pasangan. Namun, jika di awal niat kita sudah salah, mungkin agak sukar bagi kita untuk mempertahankan mahligai. Realiti yang bisa saya lihat pada pakcik dan makcik, ya, saya dapati kebenaran kata-kata untazah di dalamnya, kerana saya terharu dengan kata-kata pakcik:

“ Bagaimana jika saya yang dipanggil pulang dulu, siapa akan jaga awak??”

Bermakna, kata-kata ini menunjukkan pakcik bukan seorang yang nak lari dari amanah dan tanggungjawabnya, sebaliknya risau jika makcik terabai. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.

Makcik pernah bertanya saya pada suatu hari :

1. Kalau syafiyah, syafiyah nak cari suami macam mana? (Soalan cipu emas nih…)

Saya berfikir sejenak lalu berkata: “ Suami macam pakcik…” ^_^ . Kalau tak seperti pakcik pun, sekurang-kurangnya dia ada usaha untuk menjadi seperti pakcik. Kemudian saya berfikir semula, hanya insan yang berkeperibadian seperti makcik, boleh dapat orang macam makcik, bermakna saya perlu berusaha jadi solehah seperti makcik, baru akan dapat yang soleh seperti pakcik. Solehah, Muslehah, Muallimah, Murobbiah….apa lagi ye??? Sukarnya nak lalui tahapan tu, tapi besar manfaatnya.


2. Makcik bertanya lagi, syafiyah benarkan tak suami syafiyah berpoligami?

MasyaAllah, satu soalan yang sukar bagi semua perempuan…Kemudian saya berfikir panjang, menarik nafas panjang, dan bismillahirrahmanirahim, lalu berkata: “ Setelah saya jalankan tanggungjawab saya dengan sebaik mungkin, selagi saya mampu, tiba-tiba diuji sebegini, bermakna saya tidak baik untuknya, insha’Allah, jika Allah izinkan, saya tidak akan benarkan, jika saya benarkan ada syaratnya, dia harus melepaskan saya, harus.” Pertama, sebab saya taknak dia melalukan DOSA kerana tidak mampu adil.” Saya pernah membaca satu cerita, seorang isteri yang begitu baik dan sentiasa setia melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang hamba Allah, dan membenarkan suaminya berkahwin lain kerana terpikat dengan seorang rakan sekerja, apabila suaminya berkahwin lain, dia tetap melayani suaminya dengan baik sampai satu saat, dia melihat suaminya sudah tidak mampu berlaku adil, jarang pulang ke rumah dsb. Lalu suatu hari ketika suaminya balik dan dia melayani suaminya dengan baik seperti biasa. Ketika waktu makan, dia mula membuka bicara dengan penuh kelembutan. “ Abang, bolehkah abang melepaskan saya?” Suaminya agak terkejut lalu bertanya, “ Mengapa?”. Dia menjawab: “ saya melihat abang sudah tidak mampu berlaku adil, saya takut abang melakukan dosa dan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah. dsb…….., bolehkah abang lepaskan saya”, lalu anaknya menyambung,”ya, bolehkah ayah melepaskan ibu, lagipun selepas ini ibu merancang untuk menunaikan umrah”. Lalu suaminya berfikir ketika sendirian dan menangis sambil berdoa, “ ya Allah, mengapa aku sanggup mengabaikan isteriku ini, sedangkan dia tetap bersamaku, dan sentiasa bersabar dengan sikapku….”… Lalu berdasarkan kisah ini, saya merasa bimbang akan berlaku dosa di dalamnya.

Kedua, kesan poligami, biasanya yang berlaku dalam realiti masyarakat, anak-anak akan menjadi mangsa ibu bapa. Dan saya tidak mahu masa depan anak-anak saya terabai. Walauapapun mohon dijauhkan ujian seperti itu.Tanya ex-roomate saya menguji


“ Awak taknak ke payung emas?” saya ketawa kecil dan menjawab, “ Ati, payung emas tu kita akan dapat jika kita memberi dengan RELA dan REDHA, tetapi untuk mencapat tahap itu, ia bukanlah mudah”


p/s: konklusinya saya tak benarkan la…^_^



Penawarhati90
2.47 p.m
13 Syaaban 1433H bersamaa 3 Julai 2012
Putrajaya

2 comments:

  1. subhanallah.....hampir menitis air mata membaca kisah ni. jazzakillah syafiyah, terasa naik smgt dgn kisah mujahadah mcik dn pcik angkat syafiyah.
    benarlah, kita tak kan faham selagi kita tak rasa..maka beringat2lah sentiasa.

    i just knew that u have a blog, dear :)

    ReplyDelete
  2. to alhuda: subhanallah, tidak sangka, blog yang begitu biasa ini, dibaca oleh insan yang luar biasa, ya Dr Huda. Semoga coretan biasa ini bermanfaat buat kita bersama. Maafkan syafiyah jika terdapat sebarang kecatatan di dalamnya.

    Setiap manusia itu pasti diuji, cuma bentuk ujiannya berbeza-beza, mengikut tahapan iman kita. Namun begitu, adalah penting untuk kita selalu menziarahi mereka yang sedang diuji, ataupun tanah perkuburan, rumah anak yatim dan sebagainya, agar kita selalu merasa bersyukur dengan nikmat Allah, dan berhati-hati dengan amal kita. Moga hidup sentiasa dalam hidayah dan petunjuk Allah swt.

    Jazakillahukhairan kathira kembali, semoga Allah swt sentiasa mempermudahkan urusan kehidupanmu dan kita semua.Amin. Doakan syafiyah.

    ReplyDelete