Friday, July 20, 2012

Jaulah Yang Penuh Barakah, Insha'Allah.^_^

Bismillahirrahmanirrahim

Segala puji hanya bagi Allah swt, Maha Pencipta Lagi Maha Pencinta, Maha Pemilik setiap hela nafasku. Selawat dan salam utusan rindu buat Nabi Muhammad saw, Kekasih pilihan Allah swt. Salam sejahtera buat ahli keluarga serta para sahabatnya yang unggul.

“Hasbi Rabbi Jallallah

Ma fi qalbi ghayrullah

My Lord is enough for me, Glory be to Allah

There is nothing in my heart except Allah”..

SUBHANALLAH


Alhamdulillah, tiada ungkapan seindah pujian ke atas asma’ dan sifatNya. Pada malam yang begitu syahdu ini, Dia masih sudi memberi peluang dan kelapangan untukku mencoretkan saat-saat manis selama berada di bumi Putrajaya sebagai catatan sebuah perjalanan kehidupan seorang hamba. Entah mengapa, hatiku merasa begitu sebak mengamati kedinginan malam ini . Titisan hujan di hening senja umpamamemahami kesedihan hatiku. Malam ini merupakan malam pengakhiran bagiku berada di sini sebelum melangkah ke Pulau Pinang bertemu sahabat tercinta untuk mengecas iman kembali, sempat bertarawih bersama, seterusnya memanfaatkan sepenuh percutianku di kampung halaman sementaraku, Pulau Langkawi.

Jauh di sudut hati terasa berat untuk meninggalkan bumi indah lagi sakinah ini. Walaupun musafir ini bukanlah atas dasar untuk menuntut ilmu (akademik), walaupun kelihatan seperti sungguh santai, apabila dihayati dan dimuhasabahi semula, di sini aku melakar pelbagai memori indah bersama insan istimewa dalam hidupku iaitu kakakku . Dalam kelapangan waktu ini juga merupakan satu didikan Illahi buatku, bagaimana harus ku pergunakan detik-detik ini ke arah peningkatan Ilmu, Iman dan juga amal yang dapat membuahkan taqwa.


Alhamdulillah, di sini, hamba pendosa ini diberi kesempatan merawat semula luka-luka dosa yang lalu, diberi peluang untuk bersujud dan beriktikaf di rumahNYA yang begitu indah lagi barokah, di Masjid Putra, Putrajaya untuk beberapa ketika. Berada di sana, aku sentiasa merasakan satu aura ketenangan yang tidak bisa digambarkan melalui lisan mahupun penulisan, kerana ia merupakan satu sentuhan Illahiyah, jauh ke dalam hati sanubariku. Subhanallah, indahnya sebuah masjid, indahnya sebuah Rumah Allah, indahnya detik-detik beriktikaf di sana, lidah sentiasa dibasahi bait-bait kalimah Al-Quranul Kareem, sebuah warkah cinta dari pencipta, sambil memerhati alam ciptaanNya yang begitu cantik. Dia sentiasa memperkenalkan siapa diriNya bagi mereka yang sentiasa memerhati dan berfikir, sambil berdiri, duduk, mahupun berbaring. Merekalah hamba yang selalu bersyukur dan bertaubat.

Di sini aku melakarkan sebuah impian dan harapan, agar suatu hari nanti, bisa bersatu hati dan dipertemukan bersama insan yang dekat jiwanya dan besar kecintaannya terhadap Masjid, Baitullah. Insan yang akan sentiasa mengajakku dan permata hati kami, mengimarahkan masjid. Beliaulah bakal pemilik cintaku selepas Allah dan Rasul, berada di dalam simpanan dan jagaan Allah swt, bakal imam kami yang akan memimpin setiap satu zuriat keturunannya menuju ke destinasi abadi, syurga Firdausi.Inilah salah seorang VIP yang bakal mendapat naungan Allah di hari yang tiada naungan selain naunganNya. Amin. Insha’Allah. Tiada suatu pun yang mustahil bagi Allah, namun, doa demi doa harus dan perlu sentiasa disematkan di pengakhiran sujudku agar impian bisa membuahkan kenyataan. Tiada yang mustahil bagi Allah. Pasti dan Pasti.


Detik-detik manis bersama kakakku dan adikku akan sentiasa segar dalam ingatanku. Sungguh, kebersamaan itu satu keberkatan, ia merupakan satu pengikat kasih sayang sesama manusia. Setiap pagi aku menunggu kepulangan kakak dari hospital, menyelesaikan segala kerja rumah, dan memastikan rumah sentiasa berada dalam keadaan kemas dan selesa agar sedikit sebanyak dapat mengurangkan tekanannya di tempat kerja. Baru aku fahami, kerjaya sebagai seorang Doktor ini, tidak semudah yang disangka, ia memerlukan kekuatan rohani, jasadi dan emosi kerana ia berhadapan dengan nyawa manusia. Mungkin pada hari pertama aku di sini, ya, sedikit terkejut dengan cara hidupnya, kelihatan seperti tertekan. Setiap masa dan waktu sentiasa memikirkan hospital. Tetapi lama kelamaan, aku cuba selami dan fahami, realiti seorang Doktor, sememangnya begitu. Kami sentiasa bersama bergurau senda, berkongsi suka dan duka, dan berjalan ke sana sini. Aku suka meraikan kakakku, begitu juga adikku, terasa seperti sudah sekian lama kami tidak bersama. Jadi, setiap waktu yang ada kami pergunakan semaksimanya untuk bersama, kerana semakin meningkat usia, semakin pendek umurnya, serta semakin banyak tuntutan tanggungjawab sedang menanti di hadapan, jika tidak sekarang, belum tentu akan berpeluang untuk bersama seperti ini lagi. Daku juga menyedari, patutlah Allah swt tidak mengizinkan aku mengikuti jejak langkahnya, kerana aku tidak secekal beliau. Tetapi, aku harus bersyukur dengan posisi yang sedang aku galasi ini iaitu berusaha bersungguh-sungguh menjadi seorang pendidik kepada generasi akan datang, dan mendaki posisi yang lebih tinggi satu persatu menuju matlamat impianku iaitu seorang Kaunselor. Insha'Allah, insah'Allah, insha'Allah, tiada yang mustahil bagi Allah. ^_^

Setiap insan yang hadir ke dalam hidupku merupakan insan-insan yang amat berharga bagiku, kerana besar harapanku untuk bersama mereka di syurga. Walaupun aku sedari, aku bukan sesiapa, dan aku tidak punyai apa-apa untuk dimanfaatkan oleh mereka, tetapi bagiku mereka adalah pendidikku untuk mengenali serti kehidupan.

Oleh yang demikian, sangat penting bagiku untuk sentiasa menjaga nilai ibadahku, nilai keikhlasan cintaku, agar setiap doaku buat mereka akan sentiasa menjadi anak panah yang meluncur ke langit dunia, agar sentiasa didengari oleh Yang Maha Mendengar. Semoga kami semua sentiasa dibimbing dan ditunjuki jalan yang sebenar untuk menuju ke negeri akhirat yang abadi lagi hakiki, moga kami tidak dibiarkan menyimpang walaupun satu darjah dari jalan Rabbani.


Jazakumullahukhairan kathira kakakku atas segala jasa baikmu, dan adikku yang sanggup menghantarku pergi dan pulang ke program. Moga Allah selalu mencintai kalian dan menjaga kalian.

^_^

p/s: sepatutnya blog ini diupdate semalam, Khamis, 29 Syaaban 1433H, namun begitu, di atas beberapa masalah teknikal, ia tidak dapat di update.


......................................................................................................................................................................

30 Syaaban 1433H

Saat itu semakin hampir. Saat yang dinanti-nantikan oleh umat Islam seluruhnya. Saat yang penuh barakah dan kemuliaan. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar!

"Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dan mengharapkan pahala, nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu."(HR Bukhari dan Muslim).

Moga-moga ramadhanku, ibu bapaku, saudara-saudaraku, sahabat-sahabatku, bakal imamku yang berada di dalam pengetahuanNya, dan umat Islam seluruhnya kali ini adalah lebih baik dari ramadhan yang lalu. Marilah kita sama-sama mengisi setiap saat, setiap minit, setiap jam, setiap minggu bermula dari awal sehingga ke penghujung Ramadhan, dan untuk selama-lamanya dengan melaksanakan ibadah yang BERKUALITI, dengan penuh pengharapan dan kerendahan hati, dengan penuh rasa cinta, takut dan harap, berazam untuk menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya. Merekalah insan yang memperoleh anugerah MUTTAQIN, lalu, mereka keluar daripada bulan yang barokah ini dengan personaliti yang baru, baru di sisi Allah, membawa jiwa yang baru dan sentiasa berwaspada dengan duri-duri dosa.



Alhamdulillah, selamat tiba ke rumahku syurgaku, medan yang dilimpahi mutiara ilmu, dan untaian ukhuwah Fillah, Pulau Pinang. Bersama sahabat-sahabatku meraikan kehadiran Ramadhan Kareem dengan sedikit jamuan yang dipimpin oleh Master Chef tercinta, sahabatku k F, mempelajari sedikit ilmu dan teknik masakan yang baru (boleh try di rumah ni..^_^).


Jazakumullahukhairan kathira sahabat-sahabatku. Uhibbukunna fillah. Indahnya bertarawih bersama, walaupun mungkin tidak dapat memanfaatkan masa sepenuhnya di sini, keluarga tercinta sedang menunggu kepulanganku. Namun, untuk seketika bersama mereka, terasa benar sentuhan iman, dan iman yang dicas. Alhamdulillah. Kata seorang sahabatku:


" Mesti meluangkan masa bersama keluarga bersungguh-sungguh, menyebarkan kasih sayang dalam kalangan mereka dengan sepenuh hati dan sepenuh keikhlasan, sebarkanlah bahagia, dan sakinah Imaniyah walau di mana kamu berada" (sedikit penambahan)

Jumaah Mubarak dan salam menyambut tetamu mulia, Ramadhan Kareem!!!

Insan yang mengharapkan rahmah wal maghfirahNya,


Penawarhati 90
4.18 pm
30 Syaaban 1433H bersamaan 20 Julai 2012
Pulau Pinang
*bekas air baru setelah sekian lama tidak ada untuk kegunaan solat tarawih..^_^..


No comments:

Post a Comment