Tuesday, July 10, 2012

MERAIH TAQWA

Penyampai : Tn Hj Norazman Mohd Samsuddin

Tajuk : Pesanan Murobbi-Meraih Taqwa

Bismillahirrahmanirrahim

Dengan nama Allah, yang nyawaku dalam genggamanNya, sesungguhnya hamba yang lemah ini mengembalikan segala takdir dan ketentuan hidupnya hanya kepada Allah, Yang Maha Mengatur setiap aktiviti kehidupan hambaNya dengan sangat indah dan teliti. Sesungguhnya kamilah Ya Allah, yang menzalimi diri kami sendiri, dan Allah tidak pernah sedikitpun menzalimi setiap ciptaanNya.

Sidang pembaca yang dirahmati Allah sekalian,

Sesungguhnya dunia ini adalah medan ujian, untuk membersihkan keikhlasan jiwa para hamba ciptaan Allah swt, untuk kembali menghadap Allah swt suatu hari nanti. Firman Allah swt:

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.” (Al-Ankabut: 2-3)

Sesungguhnya Allah swt akan menguji kita pada bahagian yang kita lemah, dan bukan pada yang kita kuat. Oleh yang demikian, ujian ini dinyatakan sebagai Fitnah, dan itu adalah merupakan kelemahan kita. Contohnya : Jika kita lemah pada bahagian rijal dan nisa’ (wanita dan lelaki), Allah akan uji pada bahagian itu, dan jika kita lemah pada bahagian ukhuwah, kita juga akan diuji pada bahagian itu . Allah swt akan menguji, terus menguji dan terus menguji kita dengan ujian yang SAMA, sehingga suatu masa, kita berjaya melepasi ujian itu dengan benar-benar merasai manisnya keimanan dan merasai kedekatan Hubungan Dengan Allah swt, hidup menjadi begitu tenang, bahagia dan lapang.

Ujian Allah swt ini adalah mengikut kemampuan kita. Pada pengakhiran setiap ujian yang Allah berikan, secara fitrahnya, kita akan merasai kedekatan Hubungan Dengan Allah swt. Tetapi, semua ini hanya akan kita perolehi, apabila kita melaluinya dalam keadaan bersedia. Setiap manusia itu pasti akan diuji, dalam dalam melalui ujian itu, ada yang LULUS dan ada yang GAGAL.

GAGAL. Kenapa gagal?

Hal ini disebabkan kita tidak meningkat pada ujian sebelumnya. Perkara yang paling penting dalam setiap ujian yang kita lalui adalah Kita harus meningkat pada setiap ujian Allah ke atas diri kita. Mari kita semak, apabila kita diuji, bagaimana Hubungan Hati kita dengan Allah swt, adakah ia semakin menjauh ataupun semakin mendekat? Itulah kayu ukur kepada Lulus dan Gagal kita pada setiap ujian.

Ujian itu satu proses tarbiyah iaitu satu didikan Allah swt ke atas diri kita, dan tarbiyah itu harus sentiasa berjalan. Contohnya, apabila kita diuji Allah dengan sesuatu masalah, dan kita sedari ia adalah satu bentuk ujian untuk meningkatkan tahap Iman kita, kemudian, dalam proses untuk kita menyelesaikan masalah itu, kita meletakkan sepenuh doa+usaha+tawakkal kita kepada Allah swt. Proses itulah satu Tarbiyah sebenarnya.

“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang dan penuh pengharapan. Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang berbuat baik.” (Surah al-A’raaf, ayat 55-56)

Perkara yang paling penting dalam Tarbiyah bukan program tarbawi, tetapi persoalan yang paling penting adalah adakah berlaku peningkatan Iman atau tidak pada diri kita dengan menghadiri program tarbawi tersebut. Itu yang perlu kita semak sebenarnya. Peningkatan itu merupakan sumber kekuatan rohani. Apakah peningkatan itu?


3 peningkatan yang harus kita muhasabah

1- Tasawwur

Tasawwur bermakna kafahaman, gambaran dan kefasihan tentang Islam. Cuba kita semak, setiap kali kita menghadiri majlis Ilmu, bagaimana tahap kefahaman dan kefasihan kita mengenai Islam, Dakwah, Akhirat, Keimanan dan sebagainya. Cuba kita tanya apa yang kita dapat?

Contohnya kita mengetahui Islam itu adalah sesuatu yang syumul (menyeluruh), atau merangkumi keseluruhan hidup kita. Semakin lama apabila kita menghadiri program tarbawi, kita mengetahui pula, ia bukan sahaja sesuatu yang syumul, tetapi sesuatu yang perlu dipraktiskan.Mereka yang tidak melaksanakan cara hidup Islam merupakan jahilliah (kebodohan). Islam tidak akan sempurna sehingga kita berjihad untuk menegakkan Islam. Sehingga kita tidak nampak Islam itu hanya sekadar menunaikan solat, tetapi solat itu adalah untuk mempersiapkan diri kita untuk berjihad di jalan Allah. Itulah peningkatan tahap kefahaman kita tentang Islam.

2- Syuur

Syuur atau rasa hati. Adakah kita semakin rasa sayang dengan Allah, dekat dengan Allah sepanjang hari. Contohnya, apabila kita pulang dari HAK, apa yang kita rasa? Adakah rasa semakin bersemangat, semakin dekat dengan Allah dan semakin kuat atau rasa biasa je? Kalau biasa, syuur tidak meningkat.

Syuur ini bukan dalam bentuk perkataan, tetapi juga dalam bentuk perjumpaan, atau perbualan. Seperti berjumpa dengan sahabat yang soleh, kita semakin merasa dekat dengan Allah swt.

3- Masuliah

Rasa kemampuan untuk kita melaksanakan tanggungjawab. Mula-mula nak mengamalkan Islam pada diri sendiri, kemudian, ajak sahabat pula, kemudian kemampuan untuk membina keluarga Islam, masyarakat Islam, dan Negara Islam.

‘Sabda Rasulullah saw: Jika hari ini dengan semalam SAMA bermakna orang itu RUGI, Jika hari ini lebih BAIK dari semalam, dia adalah BAIK, jika hari ini lebih BURUK dari semalam, dia adalah CELAKA”

Sejauh mana solat itu memberi peningkatan kepada diri, ia menjadi bekalan. Kamu cari bekal, dan bekalan itu adalah TAQWA. TAQWA itu adalah peningkatan ketiga-tiga elemen tersebut.

Bagaimana untuk melakukan peningkatan Tasawwur, Syu’ur, dan Masuliah?

Tasawwur : Mesti ada Pembacaan & Perbincangan

Syu’ur : Mesti ada Pembersihan Jiwa dan Peningkatan Ilmu

Masuliah : Mesti ada Medan Dakwah.

Kalau tak dapat meningkatkan diri, Allah akan uji dia.


Bagaimana untuk ISTIQAMAH di atas jalan Dakwah & Tarbiyah?

Menurut Almarhum UDMZ

Sibukkan diri dengan urusan Dakwah

Firman Allah swt: “ Sesiapa yang membantu deen Allah, Allah akan membantumu”

Menurut Syeikh Abdul Wahab Abu Muaz:

Allah akan sentiasa uji kita, dan ujian itu adalah fitnah kepada kita dan fitnah adalah sesuatu yang mencabar buat kita. Untuk menghadapi ujian ini:

1- Sentiasa minta supaya Allah jauhkan kita daripada Fitnah/ Ujian:

Rasulullah saw telah mengajarkan kita sebuah doa “ Ya Allah, jauhkanlah diri kita daripada ujian yang berat, ujian lelaki dan wanita, dan ujian dajjal”.

Allah sahaja yang tahu sama ada kita mampu atau tidak mampu.

Apabila kita berjaya, kita perlu bersyukur. Bila Rasulullah saw telah berjaya dalam “Pembukaan Kota Mekah”, bermakna Islam telah berjaya menguasai Jazirah Arab, Runtuh semua berhala2. Tetapi perkara pertama yang dianjurkan oleh Rasulullah saw adalah tunduk dan bersyukur kepada Allah. Bila kita berjaya, yang bagi kejayaan kepada kita adalah Allah, pada satu marhalah (tahapan), dan kita akan meningkat ke marhalah yang lain yang lebih besar dari sebelumnya. Minta tolong pada Allah semoga Allah jauhkan dari fitnah yang boleh merosakkan kita. Dapat shcroll dengan tanggungjawab.

2- Sentiasa berada dalam keadaan mengutamakan Dakwah dalam Kehidupan kamu. Menjadi moto dalam kehidupan kamu. Hidup ini tidak aka nada makna tanpa sumbangan kepada dakwah, dan jihad fisabilillah, dan Allah akan tolong. Perlu hidup dalam suasana Jemaah Islamiyah, Jemaah Ukhuwah.

3- Sentiasa berada dan bersama dalam Jamaah.

Perumpamaannya seperti Sang Kancil, apabila ia hanya berjalan seekor, ia mudah dibaham harimau, daripada berada di dalam kumpulan, begitulah keadaannya apabila seseorang manusia itu hanya ingin hidup keseorangan dan tidak suka bergaul. Mereka lebih mudah dan terdedah kepada perbuatan dosa dan maksiat daripada berada di dalam kumpulan yang disebut sebagai Jamaah. Kelebihan berada dalam Jamaah :

-Kita saling lengkap melengkapi (takmil walistikmal) akan kelemahan dan kelebihan.

-Bersama-sama berkongsi suka duka bersama.

-Mencerminkan keperibadian mukmin sejati. Kadangkala, apabila kita memandang sahaja sahabat kita yang soleh/ah, timbul perasaan ‘cemburu’ yang positif, dan kita sama-sama seolah-olah berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan, dan tinggalkan kemungkaran. Itulah maknanya sahabat itu cermin peribadi mukmin.

Ada yang berkata, untuk apa usrah semua ini? Kalau nak dengar tentang agama je, banyak medium lain yang boleh mengingatkan kita kepada Allah, tetapi pada saya yang pernah merasainya, medium tersebut tidak banyak membantu untuk kita menjadi manusia yang benar-benar memahami erti kemanusiaan. Kadangkala, kita rasa seperti kita sudah sempurna, tetapi rupa-rupanya, apabila kita sentuh hati kita, seperti tiada perasaan apa-apa, seolah-olah ia kelu dan membisu.

Jika ditakdirkan suatu hari nanti, kita perlu pergi ke suatu tempat yang dipenuhi dengan FITNAH, di mana tidak ada seorangpun yang bisa membantu dalam peningkatan iman kita, kita tidak boleh berdiam, dan harus membina suasana soleh itu bermula dari diri kita sendiri. Hidayah tidak datang dengan bergolek, ia perlu dicari dengan sepenuh hati.


Pesanan akhir

Untuk meningkat dan memastikan bekalan TAQWA itu sentiasa bertambah di dalam hari-hari dalam hidup kita, kita perlu memastikan setiap amalan kita itu BERKUALITI. Jangan lepaskan sesuatu amal tanpa kita tahu di mana kualiti amal kita. Bermula dengan amal yang wajib, sunat dan yang lain-lain.


Contohnya:

Solat : sebelum solat, cuba kita muhasabah apa kelemahan kita, dan masalah yang sedang kita hadapi yang kita hajat sangat Allah makbulkan. Kemudian, kita semak, dalam solat wajib kita, waktu bila yang paling berkualiti, bermakna, waktu bila yang kita benar-benar merasai kedekatan HDA, dan rasa khusyuk. Mungkin ketika sujud, rukuk, takbiratul ikhram dsb. Jadi, pada setiap waktu tersebut, kita cuba betul2 fokus, pastikan jangan lalai dan minta sungguh-sungguh pada Allah apa yang kita benar-benar hajatkan. Setiap kali solat, mesti konsisten lakukannya. Pada waktu tersebut, kita lepaskan segala keegoan kita, sifat riya’, doa sungguh-sungguh pada Allah swt, pastikan amalan itu ada kualiti sedikit demi sedikit.


Apabila kita mula khusyuk dalam satu bahagian solat, Allah akan letakkan rasa malu dalam hati untuk lalai pada amalan-amalan lain. Apabila kita sudah mula mendapat khusyuk, maka barulah akan rasa lazat dan manisnya solat itu.Kebahagiaan pertama yang kita perolehi adalah kusyuk dalam solat.


Puasa: Untuk merasai kelazatan puasa itu, cuba kita teliti waktu yang rasa hati dekat dengan Allah swt, dan berdoa sungguh-sungguh pada Allah swt. Inilah yang akan tumbuhkan zat/ kekuatan Iman.


Sebagai konklusi yang saya fahami adalah Jangan Lepaskan satu amal yang kita ingin lakukan, tanpa kita pastikan ianya benar-benar berkualiti, bermakna juga, kita melakukan dengan penuh ikhlas,tawadhuk, penyerahan hati bersungguh2 dan penuh harap, dalam keadaan sedar dan insaf. Zat yang kita perolehi itu akan menjadi bekal untuk menghadapi masalah hidup.


Mengapa penting bekalan TAQWA ini? Kadangkala kita tahu, sesuatu perkara itu salah, tetapi kita tetap buat, sebab amalan yang kita lakukan itu, tidak berkualiti dan tidak menjadi bekal/pengawal dari melakukan perkara yang mungkar.


Taqwa itu akan dirasai oleh Roh, jika ia tidak meningkat, kita akan RUGI, kerana kita akan melalui ujian demi ujian, bagaimana jika kita tidak ada kekuatan untuk menghadapinya? Sudah tentu kita akan sentiasa jatuh, jatuh dan terus jatuh, sehingga kita tidak lagi dapat membezakan dosa dan pahala. Nauzubillahimin zalik.


Kaedah: Pastikan ikhlas, ikhsan, jika tidak seluruh, mula dengan sebahagian pun takpa, untuk khusyuk, lama kelamaan seluruh amal akan sentiasa merasa kedekatan dengan Allah swt.


*Bagi saya ini adalah pesanan yang paling penting, dan paling menyentuh lubuk hati yang paling dalam, dan inilah jawapan yang saya temui dalam kebelengguan saya selama ini iaitu Memastikan setiap satu amal yang dilakukan itu BERKUALITI. Jawapan ini seolah-olah mengetuk ruang hati saya yang paling dalam, seperti satu teguran, tembakan Allah terhadap diri saya selama ini. Ada masanya kita tertanya-tanya apakah yang tidak kena kepada diri kita, mengapa amal kita rasa kosong, dan bila kita terjumpa jawapannya, Ya Allah, nak menangis rasa, maksudnya Allah tidak biarkan kita selagi kita sentiasa mencari jawapan atau cara untuk mendekatkan diri kepadaNYA.

Wallahutaala a’lam.


Penawarhati90

9.40 am

21 Syaaban 1433H bersamaan 11 Julai 2012

Putrajaya


No comments:

Post a Comment