Monday, July 9, 2012

Muqaddimah 'Hijrah Alam Kerjaya'

Bismillahirrahmanirrahim,

Segala puji hanya bagi Allah swt, Rabb Yang Maha Pencipta, Maha Pengatur setiap satu urusan kehidupan hamba2Nya. Dia dengan kemurahan kasih sayangNya, memahami akan kelemahan hamba-hambaNya, lalu telah menggariskan panduan iaitu Al-Quran dan Sunnah agar hambaNya tidak sesat dalam perjalanan mereka untuk kembali bertemu denganNya, dan untuk kembali ke destinasi asal mereka iaitu Syurga. Selawat dan salam utusan qolbu buat Rasulullah saw, kekasih pilihan Allah swt, serta para sahabat dan ahli keluarganya.

Sidang pembaca yang disayangi Allah swt dan dikasihi Rasulullah saw,

Pada kesempatan ini, saya berhajat untuk berkongsi bersama kalian mengenai catatan perjalanan saya sepanjang menghadiri Program “Hijrah Alam Kerjaya”, pada 7-8 Julai 2012 yang lalu. Bagi saya, program ini merupakan satu majlis ilmu yang merupakan gambaran taman-taman syurga, dimana sepanjang saya melaluinya, saya merasai suatu perasaan tenang dan bahagia di dalamnya, yang tidak dapat saya gambarkan bagaimanakah ia, namun, seolah –olah mengalir keberkatannya ke dasar hati ini, dan membuahkan rasa tenang dan bahagia.


Namun begitu, adalah menjadi satu hakikat bahawa, apabila kita berniat untuk menghadiri apa sahaja bentuk majlis ilmu, sama ada dalam soal akademik dan islamik dan kita hadir dengan menyerahkan sepenuh jiwa dan raga untuk dididik dengan didikan Illahi, dan dengan fizikal yang bersedia dan bersemangat, dengan pemikiran yang positif, insha’Allah, Allah swt pasti akan menyingkapkan kepada kita suatu hikmah yang benar-benar terkesan di hati sanubari kita, dan mengubah keadaan diri kita daripada jahil kepada tahu, kerana itulah ia diumpamakan seperti taman-taman syurga. Mungkin kita datang dengan membawa seribu satu masalah, dan siapa tahu, di sana kita temui jalan keluar kepada kesulitan yang sedang kita alami. Mungkin kita datang dengan tiada apa-apa masalah, siapa tahu, di sana kita akan temui satu ilmu yang tidak pernah kita dengari. Mungkin ada kalanya kita rasa kita dah tahu semua perkara, siapa tahu, di sana kita akan menemui apa yang kita tidak tahu. Sifat ilmu ini adalah semakin kita mendalaminya, barulah kita tahu akan kejahilan kita, kekerdilan kita di hadapan Allah swt yang Maha Bijaksana dan Maha Luas IlmuNya.

Semua ini akan kita perolehi apabila kita hadir dengan penuh kerendahan hati, menyedari kejahilan diri, penuh kehinaan di hadapan Allah, dan ingin sekali, ingin sekali diberi hidayah dan ditunjukkan jalan untuk mencapai matlamat asal dan terbesar kehidupan kita iaitu MARDHATILLAH. Dengan itu, halangan besar akan menjadi kecil, dan terasa mudah sahaja untuk menghadirinya. Lalu, sedikit demi sedikit Allah swt akan membuang sifat ego dan sombong yang menjadi racun dalam hati hamba-hambaNya, dan sedikit demi sedikit Allah swt juga akan menghadiahkan mereka sifat tawadhuk, merendah diri di hadapan Allah, merasa bahagia dan tenang sentiasa dan sentiasa, mengurniakan rezeki yang tidak putus-putus, dan mengangkat darjat mereka di sisiNya.

“ Hikmah itu adalah barangan yang tercicir (dari tangan) orang Mukmin. Di mana pun beliau menemuinya, maka dialah yang paling berhak terhadapnya”

Dan saya menjumpai suatu jawapan di dalamnya. Alhamdulillah, andai kata ada pujian yang lebih baik dari ungkapan syukur, ingin sekali hati dan lisan ini mengungkapkannya. Alhamdulillah. Ya, bagi saya seorang remaja yang akan melangkah ke alam yang begitu asing suatu hari nanti iaitu alam kerjaya dan mungkin berumah tangga, program ini telah menyediakan beberapa slot sebagai satu persediaan melangkah ke alam itu. Sebagai seorang remaja, menjadi satu kerisauan dan kebimbangan di hati saya, jika sekiranya suatu saat nanti, nikmat Islam dan Iman yang begitu manis ini diambil semula dari jiwa saya. Apabila kita sedang merasa bahagia dengan hidayah Allah swt, kita perlu menjaga perasaan ini agar ia terus menghiasai taman hati kita, dan perkara yang paling susah dalam hidup ini, adalah untuk memastikan hati kita sentiasa merasa dekat dan bahagia dengan Allah swt ataupun dalam bahasa mudahnya ISTIQAMAH. Iman dan nafsu itu saling berperang, dan tidak pernah mungkin ada titik pertemuan di antaranya. Mujahadah terbesar dan sebenar dalam hidup ini adalah Mujahadah untuk Memastikan Hati dan Jasad kita berada di atas landasan fisabilillah sehingga ke hembusan nafas yang terakhir.

Iman kita ini terlalu mudah untuk luntur, terlalu mudah, apabila kita lalai dalam melaksanakan tazkiyatun nafs (pembersihan jiwa), jiwa kita menjadi kosong dan lopong, iman kita akan tempang, lalu nafsu akan mengisi kekosongan dan kelopongan jiwa itu. Betapa liciknya syaitan jahannam. Itulah tipu daya dunia.

Pada mulanya saya meneliti tentatif program ini, ada slot mengenai Baitul Muslim. Mungkin ketika itu, hati saya sedikit nakal..ala…Baitul Muslim lagi, BM, BM, BM, tapi tak kawen2 pun….Hehe. Astagfirullahal azim.. Tetapi, subhanallah, masyaAllah, apabila saya menghadiri majlis ini, barulah saya tahu, rupa2nya masih ada banyak perkara mengenai Baitul Muslim yang saya tidak tahu, sebab itu belum sampai masanya untuk saya berumah tangga. Allah tahu, saya masih memerlukan banyak persediaan. Slot itu juga membuka satu hikmah baru dengan pembawakan/ penjelasan yang berbeza yang saya tidak pernah dengar sebelum ini, atau mungkin saya telah melupakannya, atau mungkin saya sedang menghadapi persoalan tentangnya, dan Allah swt menjawab persoalan itu yang saya rasakan satu tembakan tepat pada hati. Ibarat sebuah buku ilmiah, sekali sahaja tidak cukup untuk memahami keseluruhan buku itu,dan mesej yang ingin disampaikan melalui buku itu. Tetapi, apabila kita membacanya berulang kali, kita pasti akan mendapati perbezaan setiap kali pembacaannya. Itulah HIKMAH sebenarnya. Masih segar ceramah Dr Azizan Ahmad pada Seminar “Kecemerlangan Cinta dan Akademik” yang lalu.



Ada beberapa insan yang prihatin bertanya saya, “anti dah final year ke?”, hanya tersenyum sambil mencari jawapan.. “Ana akan masuk final year semester akan datang?” (selamat, ada jugak perkataan final year tu)..hehe.. Kebanyakan peserta yang hadir adalah merupakan mereka yang sudah tamat semester akhir dan bekerja, mungkin saya seorang sahaja yang akan melangkah ke semester akhir.. Nampaknya masih muda..Alhamdulillah..^_^.

Setiap slot ini, insha’Allah akan saya kongsikan bahannya di sini satu persatu. Hal ini adalah bagi saya, ia amat penting untuk menjadi rujukan saya sepanjang masa, supaya ia tidak lapuk ditelan zaman, dan akan sentiasa segar dalam ingatan dan menjadi satu panduan untuk perancangan hidup saya akan datang. Insha’Allah. Juga tidak saya lupakan, ilmu ini bukan untuk disimpan dalam buku, dan diletakkan kemas di rak selama bertahun-tahun, tetapi untuk diambil hikmahnya dan dikongsi bersama saudara-saudara lainnya. Semoga sedikit usaha ini dipelihara keikhlasan hati dan diterima di sisi Allah, juga mengalir keberkatannya apabila menjadi amalan kepada kita semua. Antara skop perbincangan di dalam program ini:

1-Kepentingan Dakwah & Tarbiyah di Alam Kerjaya- Dr Zamrin Dimon

2- Ilmu dan Kemahiran Yang Diperlukan di Alam Kerjaya.-Tn Hj Hasri Ahmad

3-Kuliah Maghrib-Pesanan Murobbi- Tn Hj Noorazman Mohd Samsuddin

4- Kuliah Subuh -Persediaan Menuju Ramadhan-Dr Abdullah Sudin

5-Pembentukan Baitul Muslim-Harapan & Cabaran.-Dr Siti Mariam & Dr Eng Solehuddin Shuib

6-Dialog Berkumpulan (Doktor, Usahawan, Peguam)-Dr Wan Mohaizan, Pn Ezura Nasuha, Dr Liyana, Pn Wan Marina.

Tidak lupa juga saya ungkapkan rasa syukur ke hadrat Allah swt kerana telah mempertemukan saya bersama beberapa sahabat saya yang sudah lama terpisah iaiatu Masitah Mahmad, Izzah Zaaba, Hidayah kamsani, Aisyah Mohd Hassan. Gembira mendengar khabar kalian, semoga sentiasa melayari kehidupan yang membahagiakan dalam peningkatan iman, ilmu, amal, dan Taqwa. Insha'Allah.

p/s: buat masa ini foto program tidak dapat saya masukkan atas beberapa masalah teknikal. Insha'Allah akan menyusul kemudian.

Coretan sebagai muqaddimah.Wallahutaalam a’lam.


Penawarhati90

6.03 p.m

19 Syaaban 1433H bersamaan 9 Julai 2012

Putrajaya





No comments:

Post a Comment