Tuesday, August 21, 2012

Berdepan Dengan Bakal Isteri & Ibu

Tips Bagaimana mendidik Anak Perempuan

Coretan ini saya petik dari sebuah buku " Nota Hati Seorang Lelaki". m/s : 105-108

" Perlu banyak meraikan"

Meraikan bagaimana?

" Raikan mereka dengan kata-kata, belaian dan pemberian. Itu caranya".

"Maksudnya?"

" Hargai pandangan, kegembiraan, kesedihan, kejayaan, dan kegagalannya. Selalu ucapkan tah-ni-ah, takziah, pujian dan pujukan. Pada ketika yang sesuai, berilah hadiah"

"Kenapa tokwan?"

"Umumnya perempuan makhluk perasaan berbanding lelaki makhluk akal. Pendekatan meraikan lebih berkesan bila berdepan dengan perasaan. Pendekatan ini lebih menyentuh dan berkesan. "

" Itu pendekatan, bagaimana pula dengan prinsip asasnya ?"

" Itu kena bayangkan...bakal isteri. Kemudian bakal ibu !"

" Anak perempuan kita bakal menjadi seorang isteri. Jadi, bayangkan bagaimana sifat seorang isteri sejati. Itulah 'end in mind' yang perlu sewaktu kita mendidik anak perempuan. " Jelas tokwan.

Belum sempat saya mencelah , soalan tokwan mula menerjah, "Apa yang kau inginkan daripada seorang isteri?"

"Ketaatan", balas saya cepat.

" Lalu didiklah anak perempuanmu tentang ketaatan. Latih agar dia patuh pada perintah yang baik. Apa lagi?"

" Malu"

" Didik agar dia mengekalkan rasa malu pada tempat dan ketikanya. Latih dia sentiasa menjaga aurat, tidak meninggikan suara dan tidak lasak pada gerak fizikalnya. Ajar erti maruah dan harga diri. Lagi?

" Cantik"

" Wah, tak lupa ya... Latih dia supaya menjaga kecantikan tingkah laku, wajah, pakaian, tempat tinggal, bilik dan lain-lain. Biar dia pandai menjaga kekemasan, kecantikan dan keindahan. Biar dia peka dengan nilai estetika. Lagi?.

Saya diam. Dalam ruang fikiran tergambar isteri saya-ibu anak perempuan saya.

" Kau lupa agaknya.."usik tokwan.

" Tokwan laju sangat..."

Anak perempuan mesti dibiasakan dengan suka berada di rumah. Bukan bermakna dia tidak boleh keluar, tetapi biasakan dia suka di rumah. Rumah adalah gelanggang wanita. Ruang itu kecil, tetapi besar peranannya. Ketika suami keluar, isterilah pemimpin anak-anak dan pelindung hartanya.

" Ini payah sikit tokwan, sekarang ni perempuan dah luas gelanggangnya!"

" Ah, kadangkala yang luas hanya gelanggang, tetapi kecil peranannya. Sedangkan di rumah, walaupun kecil gelanggangnya tetapi amat besar peranannya. Pernah mendengar madah, tangan yang mengayun buaian boleh menggoncang dunia."

" Tadi tokwan kata kena bayangkan juga bakal ibu."

" Apa yang paling kau hargai daripada seorang ibu?"

" Kasih sayangnya."

" Didiklah agar anak perempuan agar bersifat pengasih. Pengasih dengan adiknya, abang, kakak, binatang peliharaan dan sebagainya. Sebab tu anak perempuan digalakkan bermain dengan anak patung. Itu menyuburkan rasa kasih sayang kepada bayi. Lagi?"

" Sabar"

" Seorang ibu perlu sabar; sabar menanggung perit kehamilan, sakit melahirkan, menjaga sakit demam, ragam dan kerenah anak. Tanamkan sifat sabar anak perempuan dalam menanggung kesakitan, keletihan, kekecewaan dan sebagainya."


" Mana lebih payah, didik anak perempuan atau anak lelaki?"

" Soalan tu tak betul! sepatutnya soalannya begini, ada beza tak mendidik anak lelaki dan anak perempuan? Senang dan susah ini terlalu relatif dan subjektif sifatnya".

" Beza tak?" pintas saya penuh akur.

" Tentulah, sebab lelaki dan perempuan memang berbeza. Tuhan jadikan darjat kedua-duanya sama, tetapi peranannya berbeza. Bukan sahaja ciri-ciri fizikal yang berbeza tetapi ciri-ciri rohaniah juga berbeza"

" Kata orang, bela lembu 10 ekor lebih mudah daripada seorang anak perempuan"

" Perbandingan yang tidak relevan. Manusia berbeza dengan lembu. Kita ada hati, akal dan perasaan"

" Tapi, tidak ada yang berkata membela 10 ekor lembu lebih mudah daripada seorang anak lelaki"

Terpulang pada "Gembalanya". Kena gaya dan caranya, 10 orang anak perempuan pun boleh dijaga.


" Apa tips tokwan untuk sang gembala?"


" Bila berdepan dengan anak perempuan, bayangkan kita berdepan dengan bakal isteri. Adakah menantu lelaki kita nanti akan mendapat isteri yang solehah? Bayangkan kita berdepan dengan bakal ibu, adakah bakal cucu kita kelak bekal mendapat ibu yang mithali? "


" Lagi tokwan? "


" Untuk menjadi seorang ayah yang baik kepada anak perempuannya, Sang Gembala mesti menjadi seorang anak yang baik kepada ibunya dan suami yang baik kepada isterinya."

" Lagi tokwan?"

" Last, but not least, Sang Gembala wajib baik kepada Tuhannya!"

Saya terdiam. Diam panjang, perlukah saya bertanya lagi?


Yang Mengharapkan Rahmat & Maghfirah,

Penawarhati90
4.18 pm
4 Syawal 1433H bersamaan 22 Ogos 2012
Langkawi, Kedah

No comments:

Post a Comment