Tuesday, August 21, 2012

Masak-masak

Dengan menyebut namaMu Ya Allah, aku mulai langkahku pada hari ini. Mengharapkan kehidupanku pada hari ini lebih baik dari hariku yang lalu. Semoga aura eidulfitri yang diraikan tidak melalaikan kita dari tujuan sebenar kehidupan iaitu mencari Mardhatillah. Jika tidak, maka sia-sialah perjuangan dan mujahadah kita sepanjang Ramadhan yang lalu. Moga setiap amal yang kita lakukan tidak menjadi debu-debu yang berterbangan. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:


" Sesiapa yang hari ini lebih baik dari kelmarin, dia seorang yang hebat. Sesiapa yang kelmarinnya lebih baik dari hari ini, dia seorang yang tercela" (Riwayat Naim bin Abdur Rahman dan yahya bin Jabir)


Hanya ingin berkongsi pengalaman beberapa hari masuk ke dapur. Sepanjang Ramadhan yang lalu, saya kurang memasak kerana biasanya saya bekerja pada waktu petang dan pulang ke rumah selepas berbuka. Kemudian, bersiap-siap untuk ke masjid. Pendek kata, memang jarang sangat memasak. Sahur pun hanya panaskan makanan yang sedia ada kerana biasanya makanan berbuka tidak akan habis. Kebetulan, biasa saya ke bazar dengan tangan kosong, dan pulang mesti dipenuhi makanan tanpa mengeluarkan sebarang kewangan. Alhamdulillah, rezeki bulan Ramadhan yang penuh keberkatan. Bermula hari Jumaat, 17 Ogos 2012, saya mula berjinak dengan dapur. Menu pertama dan utama: Tomyam. Kata mak saya :


" OK, hari ni hang kena tunaikan janji, mak nak tidur ja, petang mak nak pi bejalan. Jangan bakaq rumah sudah la". Hehe, akhirnya, mak saya tak pegi mana pun, dok pantau kot2 rumah terbakar. ^^


Sebelum mula memasak, saya jadi gementar sebab saya sememangnya masih belajar untuk masak lauk pauk. Saya mencari pada laman web yang saya gemari, Dapurku Sayang (http://dayangjack.blogspot.com). Kemudian, bertanya kepada Tauke saya Makcik Raziah. Kemahiran saya agak kurang pada menu-menu begini, saya lebih mesra dengan menu kuih, biskut dan kek. Oh ya, saya suka merujuk kepada website tersebut kerana saya dapat merasai aura kasih sayang daripada beliau, dapat rasa bagaimana keikhlasan beliau ingin berkongsi resepinya. Satu persatu cara membuat diceritakan secara terperinci. Bila saya sendiri mencuba, Alhamdulillah, dengan izin Allah, banyak yang menjadi dengan baik. Ada sesetengah orang mungkin suka menyembunyikan ilmunya, tetapi pada saya, semakin kita berkongsi, semakin banyak Allah akan kurniakan kepada kita. Allah Pemilik segala yang ada di bumi ini, Allah memberi rezeki kepada siapa yang Dia suka dan menariknya dari sesiapa yang Dia mahu. Allah itu Maha Kaya. Apabila kita berkongsi Ilmu, dan ilmu itu diamalkan oleh orang lain, keberkatannya akan mengalir sehingga kita di alam barzakh selagi ilmu itu digunakan. Bayangkanlah, tingginya darjat seorang pendidik, sentiasa mendapat kemuliaan dari Allah selagimana ia IKHLAS dalam berkongsi ilmunya. ^^. Pada website ini juga, foto-fotonya sangat menarik, dan bila saya mencuba, hasilnya hampir sama dengan gambar-gambar yang dikongsikan oleh penulis. Alhamdulillah, semoga Allah swt sentiasa merahmati beliau dan melimpahkan keberkatan ke atas beliau sepanjang hidupnya dan keluarganya yang tercinta.


Saya cuba memasak tomyam Ayam & Daging, tanpa menggunakan perencah, kerana kata makcik Raziah, bahan-bahan pengawet ini tidak berapa elok untuk kecantikan, dan membawa banyak penyakit. Jadi, makcik mengajar saya cara untuk membuat tomyam sendiri. Cuma ibu saya suruh masukkan pes tomyam sedikit.


Bahan A (dikisar)

3 biji Tomato
3 ulas bawang putih (kalau nak pekat masukkan banyak)
5 biji Cabai Besar
Cabai melaka (kalau nak pedas)


Bahan B

Langkuas (ketuk)
Halia (hiris dan ketuk)
Serai (ketuk)
Tomato dibelah 4
Cabai melaka (hiris & ketuk)
Garam secukup rasa.
Jagung kecil (saya panggil anak jagung/ baby corn.hehe)
Pes tomyam
Daun Limau Purut
Asam limau

Caranya: Kisar bahan A, kemudian masukkan ke dalam periuk, masukkan air dan masak. Dalam masa beberapa saat, masukkan daging dan ayam. Tidak perlu gunakan minyak. Kemudian, masukkan Lengkuas, Halia, Serai, Cabai melaka (kalau yang tak suka pedas, tak payah letak dah..), daun limau purut, untuk naikkan bau. Tunggu hingga mendidih. Masukkan garam sekukup rasa, dan pes tomyam. Kemudian, masukkan Jagung kecil, Tomato. Akhir sekali, baru perah asam limau. Senang je, selamat mencuba. Insha'Allah.^^


Semasa memasak, semua adik beradik lelaki masuk ke dapur, pantau, apalah yang saya tengah main. Sorang demi sorang, macam-macam dikritiknya, ada yang kata bau macam asam pedas, ada yang kata, "eh, macam ni ka nak menikah". Macam-macam. Bila berbuka, diorang yang habiskan dulu. Gembira masak bersama keluarga, ada yang masak sayur, ada yang masak tomyam, ada yang bakar ikan, dan semua. Hari esoknya, giliran adik lelaki saya yang masak, "Masak lemak cili api". Bolehlah tahan. Hehe.


Semakin lama, saya semakin suka memasak, dan mencuba masakan baru. Saya suka memasak, walaupun tidak sedap pada mulanya, kerana saya seorang pelajar yang tinggal di asrama, sudah tentu menjadi keterbatasan saya untuk masuk ke dapur, juga memiliki kemahiran masak. Tetapi, bila saya memasak, saya rasa cukup-cukup bahagia, dan gembira, rasa seperti hilang semua yang memberatkan kepala. Itulah seorang wanita, walau setinggi manapun pangkatnya, dia tetap seorang suri rumahtangga, dia tetap perlu masuk ke dapur, dia tetap perlu memasak untuk keluarganya, kerana bagi saya, itu adalah fitrah seorang wanita, itulah salah satu pintu kebahagiaan buat mereka, dan itulah kebahagiaan buat saya. Bila mendapat pujian, walaupun tidak sedap, bagi dia, rasa bersyukur dan dihargai. Wanita suka dihargai, penghargaan yang dia inginkan, bukanlah pada taburan wang dan kekayaan oleh si suami, seperti status seorang pelacur, tetapi penghargaan bagi seorang wanita, adalah kasih sayang, dan didikan dengan penuh kelembutan tetapi dalam ketegasan oleh suaminya, didiklah mereka dengan Tarbiyah Islamiyah Kamilah, dengan cara yang betul, insha'Allah, mereka akan selalu rasa dihargai.


" Jadilah seorang yang pandai menghargai orang lain, kerana apabila kita menghargai orang lain, kita akan sentiasa dihargai dan didoakan walaupun jasad sudah tidak bernyawa, walaupun bukan dalam pengetahuan kita".


Sebuah buku yang bertajuk " Nota Hati Seorang Lelaki", ada mengatakan,

"Anak perempuan mesti dibiasakan dengan sukakan rumah. Bukan bermakna dia tidak boleh keluar rumah, tetapi biasakan dia sukakan rumah. Rumah adalah gelanggang wanita. Ruang itu kecil, tetapi besar peranannya. Ketika suami keluar, isterilah pemimpin anak-anak dan pelindung hartanya" -m/s107
-Bagi saya, anak perempuan perlu dibiasakan dengan dapur. ^^.

Sempena hari Raya, saya cuba membuat beberapa jenis kek, kek span, kek coklat lembab dan kek buah. Alhamdulillah, dengan izin Allah, menjadi dengan baik, terutama kek coklat lembab. Semalam, 3 Syawal, ibu dan ayah saya mengadakan sedikit jamuan keluarga, menjemput ahli keluarga terdekat, menu utama kami adalah bihun sup, kemudian, kek coklat lembab, kek buah, kuih raya dan Air Koktel buah-buahan. Seronoknya masak.^^. Alhamdulillah. Lebih bersyukur lagi, hampir kesemuanya habis. Saya suka masak, tapi saya kurang makan, saya lebih suka jika ada orang yang sudi makan apa yang dimasak. Rasa bahagia, walaupun tak tahu bagaimana rasanya. Sekarang saya semakin faham perasaan seorang ibu dan seorang suri rumah, jika orang lain makan apa yang dimasaknya. ^^. Maafkan jika tidak enak, bersyukurlah dengan apa yang ada. ^^.

Menu hari ini: belum tentu lagi, 4 Syawal. hehe. Rasa nak pegi berkelah. ^^

Akhir kalam, semoga urusan dunia tidak melalaikan kita dari tujuan sebenar kita iaitu mencari keredhaan Allah. Jadikan urusan dunia itu sebagai ibadah yang ingin kita bawa sehingga ke akhirat sana. Bukan persembahan ini yang akan kita persembahkan di hadapan Allah, bukan kemahiran, pangkat, kecantikan, kemewahan, keturunan yang akan kita bawa menghadap Allah. Allah itu Maha Kaya, Allah sudah memiliki segala-galanya. Allah yang memberi nikmat atau ujian ke dalam hidup kita. Tetapi, apa yang ingin kita persembahkan kepada Allah, adalah Hati Yang Sejahtera, Qolbun Saleem.

Firman Allah dalam surah as-Syura, ayat 88-89 yang bermaksud: "Pada hari kiamat, sudah tidak berguna lagi harta benda, anak-pinak kecuali orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera."


Hati salim ialah hati yang bersih dari kekafiran, maksiat, pengkhianatan, nifaq. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

" Dan tidak ada satu perbuatan yang lebih menghampirkan diri seorang hamba kepadaKu daripada apa yang aku fardhukan ke atasnya, dan ia terus mendekatkan dirinya kepadaKu dengan melakukan amalan sunat sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku mencintainya, Akulah pendengaran yang ia mendengar dengannya, Akulah penglihatan yang ia lihat dengannya, Akulah tangan yang ia memukul dengannya, Akulah kaki yang ia berjalan dengannya. Sekiranya ia meminta perlindunganKu, nescaya Aku akan melindunginya. "

p/s: saya perlu berusaha mengurangkan pemakanan yang menjadi kebiasaan kurang baik pada bulan Ramadhan lalu, iaitu minum air ais dan makan ayam. Sepanjang bekerja ramadhan lalu, kami selalu dihidangkan ayam golek dan air kelapa ais, pada hari biasa, saya amat jarang menikmati makanan seperti itu. Harus berusaha mengurangkan dari sekarang. Chayyok2. ^^

Wallahutaala a'lam.

No comments:

Post a Comment