Saturday, August 11, 2012

-Muhasabah Sebelum Melelapkan Mata-

Bismillahirrahmanirrahim. Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Bismillah adalah Muraqabah, merasakan kehadiran Allah begitu dekat, mengawasi , mengiringi, mendampingi, menunjuki dan meneguhkan pijakan kaki.

"Andainya Allah menolong kamu (tentu sekali) tiada sesiapa dapat mengalahkan kamu dan andainya Dia (Allah) membiarkan kamu, maka siapakah lagi yang mampu menolong kamu sesudah itu? (Oleh yang demikian) orang yang beriman hendaklah bertawakal kepada Allah semata-mata."-Surah Ali-Imran: 160


Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah, segala puji hanya untuk Allah, Pencipta Teragungku, segala puji hanya untuknya kerana dengan keluasan rahmatNya, Dia masih sudi memberiku peluang untuk bernafas di fasa 10 akhir Ramadhan, dan fasa pengakhiran Ramadhan. Fasa inilah merupakan fasa terpenting dalam melalui madrasah tarbiyah, Ramadhan Kareem, di mana pada fasa ini, terdapat 1 malam yang begitu barakah yang digambarkan oleh Allah, lebih baik dari seribu bulan, serta fasa dijauhkan Allah dari azab api nerakaNya. Marilah kita sama-sama mengintai akan kehadiran malam ini dengan persediaan Rohani, Jasmani dan Akhli, semoga kita dapat menghidupkan malam ini dan juga malam-malam yang lain juga dengan penuh kesedaran dan keinsafan hati berubudiah kepadaNya, bertaubat di atas segala dosa-dosa lalu, dan seandainya inilah pengakhiran Ramadhan buat kita, moga-moga Allah menamatkan riwayat kehidupan kita di dunia ini dengan sebaik-baik kematian, Husnul Khotimah pada waktu yang barakah, apatah lagi. Marilah sama-sama kita memohon agar Allah swt selalu menemani kehidupan kita, dalam setiap apa sahaja yang ingin kita lakukan, agar setiap langkahan kaki kita menghidupkan hari-hari dalam hidup kita, sentiasa merasai Kehadiran ALLAH. Ini salah satu yang dimaksudkan dengan Taqwa. Insha'Allah.


Alhamdulillah, pada hari ini, fizikal sedikit teruji. Pada siangnya, saya dan ibu menyiapkan beberapa jenis Kuih Raya sebagai persediaan Hari Raya. Pada mulanya, hati ini merasa kekok, terasa seperti berat kerana dibimbangi aura hari raya akan menenggelamkan fokus utama Ramadhan. Namun begitu, sedaya upaya mewujudkan tamayyuz di dalam hati, di mana, jiwa kita harus ada pemisahan walaupun dalam urusan dunia. Saya juga terbaca sebuah coretan, jadikanlah apa sahaja yang kamu lakukan itu satu ibadah, walaupun dalam urusan dunia, agar semua yang kita lakukan sentiasa berada di dalam daerah pahala. Niatkan semoga segala yang kita lakukan hanya kerana Allah, membantu ibu hanya kerana Allah, menyiapkan juadah hari raya hanya kerana Allah, dan persiapan-persiapan lain, dalam masa yang sama, makanan rohani yang merupakan aktiviti utama juga harus dijaga. Moga-moga sentiasa dalam keberkatan. Jika kita hanya menumpukan ibadah rohani semata-mata, tentu ibu bapa kita sedih, kerana asyik berkurung di dalam bilik, tidak membantu. Jadi, sebagai meraikan mereka, apa salahnya kita membantu bersungguh-sungguh, insha'Allah, Allah akan pelihara hati kita.


Setelah menyiapkan kerja rumah, menyiapkan diri dan terus bekerja. Allah izinkan, kesakitan tulang belakang menyerang semula. Lenguh yang begitu dahsyat. Saya merasakan kaki tidak mampu berpijak ke tanah, alhamdulillah, cuba memujuk hati agar terus bertahan bekerja dan sehingga berbuka. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah, saya fikir sudah tidak mampu memandu pulang, namun, Allah itu Maha Membantu, dan Maha Menguatkan. Dia memberi kekuatan kepada hamba yang lemah ini untuk terus bertahan, dan menunaikan solat tarawih di Masjid. Umpama satu suntikan kekuatan rohani, fizikal dan emosi. Allahuakbar. Moga kesakitan ini mendidik jiwaku agar tidak menjadi hamba yang berserah kepada bisikan perasaan.


Sedikit sedih melihat sungguh ramai insan yang masih tidak berpuasa, inilah rupa masyarakat hari ini yang tidak pernah terfikir oleh pemikiran saya. Tergamaknya mereka melanggar hukum Allah tanpa rasa bersalah dan malu kepada manusia, apatah lagi kepada Allah. Apabila ditegur, didendam pula. MasyaAllah. Lama kelamaan, saya terfikir, Ya, sememangnya kita yang memilih untuk ke syurga ataupun neraka. Orang lain hanya mampu memberitahu kita, bagaimana gambaran syurga dan bagaimana gambaran neraka. Orang lain hanya mampu mendidik kita apa yang salah dan apa yang betul. Tetapi, kitalah yang membuat pilihan sama ada untuk berjalan di atas landasan yang salah ataupun betul serta kitalah sebenarnya memilih untuk tiba ke syurga ataupun neraka. Moga-moga kita akan selalu ditunjukkan oleh Allah swt jalan yang paling benar untuk sampai kepadaNya. Sentiasalah bersyukur dengan nikmat Islam dan Iman kurniaan Allah, kerana tidak semua manusia mendapatnya. Namun, jangan pula nikmat ini dibanggakan dan disombongkan, kerana ia boleh ditarik bila-bila masa, jika kita terleka dan terlalai walaupun hanya seketika cuma.


Bukalah hatimu. hati punya kunci : ketulusan. Seperti brangkas yang keras namun cukup dibuka dengan anak kunci yang kecil.

" ya Rabb kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman terlebih dahulu daripada kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman: ya Rabb kami, Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun Lagi Maha Penyayang" (Surah Al-Harsr :10)

Tersentuh hati dengan sebuah nasyid yang bertajuk " Debu-Debu Dosa" dendangan kumpulan Hijjaz, moga-moga ia memberi sentuhan rohani kepada kita:

Ke arah mana halanya
Bagi insan yang terleka
Mengejar nikmat dunia
Bagaikan hidup selamanya
Tak peduli dosa noda
Seksa azab neraka
Hidup jauh dari rahmatNya

Terpedaya pada dunia
Pentas ciptaan manusia
Terlupa pada segala
Mengikut nafsu semata
Membiar syaitan beraja
Di hati dan juga jiwa
Mengejar dunia penuh debu dosa
[ Debu-Debu Dosa lyrics found on http://lyrics.my ]

Teguhkanlah iman dalam diri
Moga dikau akan merasai
Betapa indah nikmat Ilahi
Dan yakin kau akan dirahmati

Harus kau percaya dengan pasti
Dunia tidak kekal abadi
Hanya menguji cekalnya hati
Sebagai khalifah yang sejati

Tak perlu kau meragui
Andai teguh keimananmu
Pasti bahagia menanti
Di akhirat yang abadi

" Dengan menyebut namaMu Ya Allah, aku membaringkan tubuhku, dan dengan menyebut namaMu Ya Allah, aku mengangkat tubuhku, jika nyawaku Engkau ambil dari tubuhku, maka kasihanilah ia wahai Rabbku, dan jika nyawa ini engkau kembalikan kepada tubuhku, maka jagalah ia sepertimana Engkau menjaga diri orang-orang yang soleh"-Doa yang diajar oleh Rasulullah saw.

Wallahutaala a'lam

Salam Ramadhan

Penawarhati90

12.19 am

23 Ramadhan 1433H bersamaan 12 Ogos 2012

Langkawi, Kedah.

No comments:

Post a Comment