Monday, August 20, 2012

Salam Eidulfitri


Bismillahirrahmanirrahim, dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Dialah Pemegang Jiwaku, dengan Rahmat dan Kasih SayangNya, Dia masih lagi sudi menghidupkan hambaNya yang Maha Hina, lagi lemah ini, di pagi 1 syawal 1433H.

Semoga Allah swt sentiasa Merahmati dan Mengampuni dosa-dosaku yang lalu, dosa ibu bapaku, ibu bapa angkatku, sanak saudaraku, muallim-muallim dan murobbi-murobbiku sama ada yang masih hidup atau yang telah kembali ke rahmatullah, sahabat-sahabatku seluruhnya, sesiapa sahaja yang ku temui sentiap hari dan setiap waktu, sesiapa sahaja yang mendoakanku dalam doanya, sesiapa sahaja yang mencintaiku keranaNya, bakal pemilik cintaku setelah Allah dan Rasul yang berada di dalam simpanan, jagaan dan pemeliharaan Allah, serta saudara-saudaraku di Palestin, Somalia, Syria, Myanmar dan di seluruh pelosok dunia ini. Semoga Allah swt sentiasa menjadikan kita semua insan yang beriman, berilmu, beramal soleh serta bertaqwa di sisiNya.


Buat hamba Ramadhani, Syawal yang dinanti-nanti telah tiba tanpa meninggalkan apa-apa kesan kepada jiwanya, lalu dia menjadi insan yang sangat-sangat rugi, nauzubillahi minzali'. Buat hamba Rabbani, Tarbiyah dari Madrasah Ramadhan terus berbekas di hati, menghidupkan sanubari insani, malamnya disusuli dengan tangisan syahdu, saat di mana, tetamu Ramadhan Kareem telah mengucapkan salam akhir, tidak diketahui adakah bisa bertemu lagi, manakala tatkala fajar menyinsing megah di pagi hari, disambutnya dengan Takbir penuh kesyukuran tanda kemenangan mendidik hawa nafsunya, sepanjang mengikuti tarbiyah dari Madrasah Ramadhan. Lalu, eidulfitri disambutnya dengan penuh kesederhanaan, tanda ketaqwaanNya ke hadrat Illahi. Tanda kebimbangannya terhadap murkaNya, tanda cintanya kepada Kekasihnya, dan tanda pengharapannya yang begitu tulus dan kudus, kepada Yang Maha Mengkabulkan segala Permintaan.


Dari Munabah r.a katanya; “Iblis sangat sedih apabila tiba hari raya, mereka berkumpul lalu berkata:’Wahai pemimpin kami, mengapa engkau marah?’ Pemimpin iblis berkata: ‘Sesungguhnya Allah telah mengumpulkan umat Muhammad pada hari ini. Kamu semua mesti berkerja keras dengan menyibukkan mereka dengan kelazatan dan syahwat!”
Justify Full

Telah diceritakan juga, pada pagi Aidilfitri, Allah mengutuskan para malaikat turun ke bumi untuk berseru dengan suara yang didengari seluruh makhluk kecuali manusia dan jin; “Wahai umat Muhammad keluarlah kepada Tuhan-Mu yang mulia. Dia akan memberikan pemberian yang agung dan mengampuni dosa yang besar.” Ketika mereka telah pergi ke masjid, Allah berkata kepada para malaikat: “Apakah balasan untuk pekerja setelah selesai kerja?” Para malaikat berkata: “Upahnya sesuai pekerjaannya.” Allah berkata kepada para malaikat: “Saksikanlah, bahawa sesungguhnya Aku telah menjadikan keredhaan dan keampunan-Ku sebagai pahala mereka.”

.................................................................................................................................................................

1 Syawal buatku..

Alhamdulillah, pagi yang barakah ini disambut dengan Takbir membesarkan Illahi. Terasa langit begitu cerah, pohon-pohonan melambai indah, meraikan Hari Kemenangan buat hamba rabbani. Seusai menunaikan solat raya, terus ke rumah Tok dan menziarahi kubur tokwan. Suasana di kubur begitu syahdu, daku bermonolog sendirian,


" suatu hari nanti, aku juga akan dibawa ke sini. Apakah hari ini benar-benar hari kemenangan buatku? Adakah aku benar-benar telah menjadi insan yang menang dalam mendidik kemahuan nafsuku? Adakah aku benar-benar insan yang cemerlang dalam menamatkan sesi pendidikan dari madrasah Ramadhan? cemerlang dari sudut keimanan, keilmuan dan amalan. Adakah ia benar-benar telah melahirkan TAQWA? Adakah aku telah benar-benar bersedia untuk kembali bertemu Raja Sekalian Alam"-Tepuk dada, tanya iman.


Setelah berziarah ke kuburan, daku panjangkan dengan sesi bermaaf-maafan di rumah tok. Menjamu pelbagai menu yang menyelerakan di sana, bersama saudara mara. Setelah tamat sesi makan, kami berehat sebentar dan menziarahi saudara-saudara terdekat.

seronok tengok budak-budak ni makan.

rombongan keluarga toklah

Pada waktu malamnya, menerima jemputan ziarah ke rumah Makcik Raziah. Makcik masakkan menu yang sangat istimewa buat kami. Alhamdulillah.

Eidulfitri ini pada diriku sendiri adalah sesuatu yang menggembirakan dan menyedihkan. Yang menggembirakan itu harus diawasi dengan syukur, dan yang menyedihkan itu harus dipelihara dengan sabar agar tarbiyah Ramadhan harus sentiasa membekas di hati, agar hidup sentiasa berada di bawah daerah pahala. Apa yang berlaku, tidak pernah sekali-kali saya sesali, kerana saya meyakini bahawa setiap satu qada' & qadar Illahi itu, sebenarnya membawa hikmah yang begitu halus, yang tidak mungkin dapat saya lihat dengan mata yang kasar, tetapi, apabila saya memandang dengan mata hati, saya akan temuinya. Insha'Allah. Setiap masa, saya cuba berlaku positif, kerana apabila kita memandang satu masalah itu adalah satu masalah, ia akan menjadi semakin besar, namun, apabila kita memandang masalah itu, sebagai sesuatu perkara yang harus diselesaikan, kita akan sentiasa cuba dan cuba, walaupun sangat letih dan terlalu letih, harap-harapnya kita tidak berputus asa dari rahmat Illahi. Nasihat seorang sahabat. Mungkin saya belum benar-benar ikhlas dalam berdoa, mungkin saya belum benar-benar mengikis karat-karat jahilliah yang penuh membekas di hati ini. Apabila saya memandang keluarga lain, saya merasa begitu cemburu melihat kebahagiaan mereka, cemburu yang saya rasakan, ingin sekali saya bina di dalam rumahtangga saya sendiri pada suatu hari nanti. Keluarga yang dipenuhi kasih sayang, sakinah, mawaddah dan rahmah. Inilah impian saya suatu hari nanti. Impian yang tidak pasti sama ada akan terpenuhi ataupun tidak. namun, merancang itu tidak salah bukan?. Namun, saya tidak pernah menyalahkan segala yang ditakdirkan buat saya, kerana, sejarah hidup banyak mengajar saya kepentingan mempunyai Tarbiyah Islamiyah. Saya tidak ingin mengulangi sejarah kehidupan saya, tetapi ingin memulakan sesuatu yang baru serta memperbaiki keadaan yang sedia ada. Namun, saya masih perlukan masa untuk menerima ujian ini, dan memperbaikinya dengan sepenuh doa + usaha + tawakkal, dan saya mengharapkan insan lain faham, bukanlah saya mengeluh, bukanlah saya ingin menjauhkan diri, tetapi saya sedang cuba untuk menerima dan memperbaiki. Insha'Allah, setiap ujian pasti akan berakhir, teruskan berdoa, dan berharap pada Illahi, moga diberi kebaikan, terus menunggu dan menunggu, bertahan dan bertahan, moga ada kebaikan di sebalik semua ini walaupun setelah saya menghembuskan nafas terakhir. Moga saya terus diberi kekuatan untuk menghadapinya.


Saya ingin terus kuat, walaupun saya tidak kuat, saya ingin terus bersabar, walau kadang kala kesabaran saya teruji, saya ingin menjadi hamba Rabbani, walaupun seringkali tersasar dari landasan Rabbani, apabila kehidupan kita selalu dalam kesempitan, barulah kita mengenali erti sabar dan syukur, barulah kita akan sentiasa tunduk, dan berdoa dengan penuh harapan di hadapan Allah, Yang Maha Kuat, Yang Maha Mengetahui dan Yang Maha Melihat, sambil menangis dan merayu, barulah kita merasai manisnya solat. Inilah Rahmat sebuah Ujian, apabila kita semakin merasai kedekatan dengan Tuhan, sehingga dunia yang menyerabutkan itu betul-betul kita tinggalkan di belakang saat kita bertakbiratul Ikram membesarkan Illahi di hadapan.

Semoga hari ini lebih baik dari semalam. Semoga kita melalui hari ini dengan hati yang bersih dan memaafkan. Insha'Allah. Tersenyumlah sentiasa. Sesungguhnya senyum itu sedekah.

Sabda Rasulullah saw:

" sungguh menakjubkan perilaku seorang mukmin. Semua keadaan baginya baik belaka. Jika dia beroleh kesenangan, dia bersyukur, maka itu lebih baik baginya, dan jika dia memperoleh kesusahan, dia bersabar, maka itu lebih baik baginya. Perilaku seperti itu, hanya terdapat pada orang-orang mukmin".

salam eidulfitri, maaf zahir & batin.

"Taqabbalallahu minna waminkum- semoga Allah menerima amal kami dan amal kamu"

Wallahua'lam.

Hamba yang mengharapkan Rahmat & Maghfirah,

Penawarhati90
Langkawi, Kedah

No comments:

Post a Comment