Tuesday, August 7, 2012

Tarbiyah Ramadhan

Assalamua'laikum warahmatullahi wabarakatuh,

“Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang gaib; tak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lohmahfuz).” (6:59)


Peristiwa semalam benar-benar menguji kesabaranku dan meruntun emosi kewanitaanku.


Peristiwa Pertama

Sedang saya dan rakan sekerja sedang duduk di dalam kereta sementara menunggu panggilan bos, kami melihat dari cermin pandang belakang kelibat dua orang hamba Allah sedang berjalan menuju ke arah kereta kami dan berhenti di sebalik kereta. Pada mulanya kami tidak perasan apa yang mereka sedang lakukan, saya cuba memandang menggunakan cermin sisi. Ya Allah, Astagfirullahal azim, rupa-rupanya sedang menjamu selera sambil bersembang, tanpa rasa bersalah sedikitpun, tanpa rasa malu diperhatikan. Saya sedikit terkejut kerana ini kali pertama saya melihat dengan mata saya sendiri, rupa-rupanya ada manusia yang tidak lansung menghormati bulan yang mulia ini, apatah lagi tidak merasa bersalah dengan makhluk apabila terang-terang mempersendakan deen Allah swt, di hadapan Allah, apatah lagi. Hati saya beristigfar panjang untuk cuba mendapatkan kekuatan menegur perbuatan itu. Tiba-tiba darah muslimah menyala,kerana merasa amat bersalah di hadapan Allah jika hanya menutup mulut dan melihat sahaja. Walaupun saya sedar, saya bukanlah sesiapa dan saya juga insan pendosa yang penuh, penuh dengan dosa, tetapi saya tidak mampu melihat anak muda ini juga bermandi dengan dosa, dan berusaha semampu mungkin untuk berbicara. Satu kejutan lagi saya terima apabila antara mereka adalah insan yang saya kenali. Rasa sedih yang amat, dan saya meyakini, dia juga tidak pernah menyangka saya berada di situ. Walaupun begitu, walaupun saya sangat mengenalinya dan mungkin pernah membantu saya, saya harus berusaha menegur, kerana saya tidak dapat membantunya dari kepanasan api neraka di akhirat kelak . Jika tidak solat tarawih, boleh bertahan lagi, tetapi, tidak berpuasa merupakan satu rukun Islam yang wajib, bolehkah kita bayangkan insan-insan seperti inilah yang akan menjadi pemimpin keluarga pada suatu hari nanti?


"Ala, nanti lepas nikah , berubahlah"-Alasan tanpa rasa bersalah.

Inilah sketsa masyarakat hari ini, tidakkah kita melihat betapa gersangnya nilai Iman dan Islam dalam dunia akhir zaman ini? Saya berkongsi bukanlah untuk membuka aib sesiapa, namun menjadi persoalan dalam diri saya, jika hari ini, manusia sudah hilang nilai Imannya, sudah hilang rasa izzah dan bangga terhadap Islam dan aturan hidupnya, bagaimanakah nasib syahsiah dan akhlak generasi akan datang?


Saya tegur diri saya sendiri terlebih dahulu, dan ingin saya cuba perbaiki dari masa ke masa, marilah kita sama-sama perbaiki keislaman dan keimanan kita dari masa ke masa. Marilah kita hidupkan hari-hari kita dengan berpaksikan petunjukAl-Quran dan Assunnah, di mana itulah sebenar-benar petunjuk yang akan menyampaikan kita ke Destinasi Abadi, Syurga Firdausi. Dengan petunjuk itulah kita akan memperolehi sebenar-benar kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Percayalah wahai diriku dan sahabat-sahabatku, tidak ada sedikitpun rasa tenang, dan pastinya penuh dengan kecelaruan dan keserabutan apabila kita melibatkan diri dengan kemaksiatan dan dosa kerana kita tahu itu adalah dosa dan itu adalah salah. Salah di sisi Allah, dan melanggar hak makhluk. Inilah fitrah insani, iaitu kembali kepada Allah swt dan menyembahNya dengan sepenuh hati.


Jika sekiranya kita mendapati diri kita sudah terlanjur ke dalam kancah dosa, dan kita sedar dan insaf, jika kita melihat dan dalam lembaran-lembaran kalimah Al-Quran, banyak sekali perkataan, sesungguhnya Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penerima Taubat. Firman Allah swt Yang Maha Penyayang di dalam surah An-Nisa' : 16, 17 dan 18.


Dan (mana-mana) dua orang di antara kamu yang melakukan perbuatan yang keji itu, (setelah sabit kesalahannya) maka hendaklah kamu menyakiti keduanya kemudian jika mereka bertaubat dan memperbaiki keadaan diri mereka (yang buruk itu), maka biarkanlah mereka kerana sesungguhnya Allah adalah sentiasa Menerima taubat, lagi Maha Luas rahmatNya.(16)

Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah hanya bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.(17)

Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia: "Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini, "(sedang taubatnya itu sudah terlambat), dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang-orang yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (18)


Marilah kita sama-sama kembali ke Jalan Allah, menjadi insan yang baik dan lebih baik, dan janganlah kita mengakhiri kehidupan ini dengan penuh berlumuran dosa, sedangkan Allah swt memberi kita peluang setiap hari dan waktu untuk bertaubat, mengapa kita menunggu nafas yang pengakhiran untuk bertaubat? Satu tembakan hebat ke dasar hatiku dengan penyampaian seorang ulama'?

Pernahkah kita terfikir, pada suatu hari nanti, apabila kita pulang kepada Allah, lalu Allah bertanya:

" Apakah yang telah kamu lakukan untuk Aku, setelah pelbagai nikmat yang Aku berikan, setelah pelbagai keperluan kamu Aku penuhi, apakah yang telah kamu lakukan untuk Aku?"


Segala perlakuan hidup kita akan menjawab persoalan itu apabila lidah sudah tidak bisa berbicara, apabila kaki, tangan dan seluruh anggota badan lain yang menjadi saksi terhadap segala perbuatan kita. Bersiap sedialah untuk menjawab, dan jawapan itu akan menjadi penentu Syurga atau Neraka.

----------------------------------------------------------------------------------------------

Peristiwa Kedua

Ada seorang pelanggan bertanya (pelancong ), speaking

" Ada jual P tak?"

Mula-mula saya kurang percaya apa yang saya dengar, saya pun mendekati beliau,

" Ada jual P tak?"

MasyaAllah, astagfirullahal azim, tak sangka, masih ada orang yang tak tahu muslim tidak menyediakan makanan itu.

" I'm sorry, we are muslim and we do not sell that food, maybe you can get it at chinese restaurant"


Ujian..Ujian...

---------------------------------------------------------------------------------------------

Peristiwa Ketiga

Benarkah apa yang makcik ceritakan? Siapakah mereka itu. Saya pun memandu pulang dengan laju. ^_^. Misteri Ramadhan.


Ya Allah, jadikanlah waktu terbaikku adalah waktu yang terakhirku, dan amalan terbaikku adalah amalan yang penghabisanku, serta hari terbaikku, adalah hari di mana aku bertemu denganMu"- Saidina Abu Bakar As-Siddiq



Penawarhati90
2.44 p.m
19 Ramadhan 1433H bersamaan 8 Ogos 2012
Langkawi, Kedah














No comments:

Post a Comment