Thursday, January 24, 2013

Kalian Sentiasa Dalam Ingatan & Doaku




“Menakjubkan sungguh urusan orang mukmin. Segala perkaranya adalah kebaikan. Dan itu tidak terjadi, melainkan hanya kepada orang-orang mukmin. Jika mendapat nikmat dia bersyukur, dan menjadilah syukur itu baik baginya. Dan jika ditimpa musibah, dia bersabar, dan menjadilah sabar itu baik baginya ” (HR Abu Dawud dan Tirmidzi)


Ya Allah, nikmat apa sahaja yang aku kecapi dan diperoleh daripada para hamba-Mu pada waktu pagi/petang hari ini, daripada para makhlukMu, semuanya adalah daripadaMu jua, Yang Maha Esa dan tidak mempunyai sekutu. BagiMu, segala puji dan syukur.


Selawat & Salam diutuskan buat junjungan besar Rasulullah saw, Penghulu sekalian alam, suri teladan terbaik sepanjang zaman, dan salam sejahtera ke atas para ahli keluarga serta para sahabat baginda.


Semoga rahmat, keampunan dan limpahan kasih sayang Allah sentiasa mengalir dalam diriku, kedua ibu bapaku, ibu bapa angkatku, adik beradikku,murobbi-murobbiku, sahabat-sahabatku, bakal pemilik cintaku setelah Allah & Rasul yang berada di dalam simpanan dan jagaan Allah, dan seluruh Umat Nabi Muhammad saw.


Alhamdulillah, dengan keizinan Allah, ramai sahabat saya telah berjaya melangkahkan kaki sebagai graduan IPT masing-masing, dalam masa yang sama, tidak kurang juga ramai yang telah melangkah, sedang melangkah dan bakal melangkah melabuhkan tirai alam keremajaannya menuju ke gerbang perkahwinan. Alhamdulillah. Saya sentiasa berbahagia melihat kebahagiaan sahabat-sahabat saya, dan tidak lupa juga kepada kakak saya sendiri. Satu demi satu kad perkahwinan yang diterima.  Saya tampalkan semuanya di hadapan meja belajar sebagai peringatan. Ada yang dapat saya penuhi, Alhamdulillah, dan banyak juga yang tidak kesampaian, Innalillahi wainna ilaihirajiun. Namun, itulah hakikat, tidak semua jemputan yang dapat kita penuhi, kerna mungkin masa begitu mencemburui, lalu harus meraikan jemputan yang mampu sahaja.



Kepada sahabat-sahabat saya sama ada yang akan melangkah dan telah melangkah ke alam perkahwinan, doa saya sepertimana sebuah doa yang diajarkan oleh Rasul saw:

"Semoga Allah memberkatimu, dan memberi keberkatan atas (pernikahan)mu, dan mengumpulkan kalian berdua dalam kebaikan."

Melihatkan sahabat-sahabat seperjuangan saya, yang pernah bekerja di dalam medan yang sama, dalam usaha mengislahkan diri dan umat sejagat melabuhkan tirai keremajaan mereka, hati saya cukup sayu umpama tidak percaya pun ada, pelbagai suka duka yang dikongsikan bersama dalam perjalanan untuk mempersiapkan diri ke arah itu, saya melihat satu persatu ujian yang mereka lalui, dan akhirnya sampai juga waktu yang telah Allah tetapkan untuk mereka menamatkan ujian keremajaan mereka. Alhamdulillah, akhirnya saya juga tersenyum bahagia, hiba dalam gembira, walaupun hati sedikit merasa sedih kerana masing-masing sudah mempunyai peranan yang berbeza. Walaubagaimanapun, kami tetap akan terus maju, mendaki gunung harapan yang di puncaknya sedang menanti satu titik akhir iaitu Mardhatillah. Mereka akan terus berusaha di gelanggang mereka, dan saya juga harus berusaha di gelanggang yang telah disediakan untuk saya di medan Takwin Fardhi Muslim sehingga waktu menentukan. Kehilangan mereka, in sya Allah, tidak akan melemahkan kami, kerana kami meyakini, Deen Allah ini akan sentiasa akan ada pendokong-pendokongnya sehingga benar-benar tertegak di muka bumi ini, dan ini akan menjadi faktor untuk kami terus maju menggapai misi yang telah dipersetujui bersama walau dalam medan yang berbeza. Kata sahabat saya:

Detik bersama sahabat-sahabat merupakan detik yang amat indah dalam hidup saya-PROASISR 5

Mabruk K Shazwani Bakhari

Mabruk K Nazihah Nawawi

Mabruk K Nadiah Mutalib

Mabruk Kakak & Abang Iparku -lupe pulak ke kakak sendiri.hehe

“ Jodoh pertemuan itu merupakan sesuatu yang begitu rahsia buat para hamba, begitu juga demikiannya ajal maut. Bukan cepat ataupun lambat, tetapi telah ditentukan waktunya. Kita tidak dapat menjangkakan bagaimana, bilakah dan apakah ia akan terjadi, tetapi kita ada persediaan ke arahnya. Namun, ia adalah rahsia Allah, kita haruslah sentiasa berdoa dan berdoa, dan berusaha memperbaiki diri kita.”


Kata sahabat saya lagi,


“Mungkin Allah belum sampaikan kita kepadanya, kerana Allah tahu, kita belum cukup matang dan bersedia untuk itu. Kita berdoa untuk memiliki pasangan yang soleh, tetapi mungkin kita belum lagi sampai ke tahap solehah, oleh itu, persiapkan diri kita menjadi insan solehah, jika bukan di dunia pertemuan itu tiba, di akhirat sana menjanjikan pertemuan yang abadi bagi seorang soleh dan solehah.”


 Lukisan Fasa Pertama Baju Perkahwinan Impian yang pernah dilukis dan disimpan rapi dalam diari "Hari-Hari Dalam Hidupku". Mungkin saya tidak perlukannya lagi buat masa ini atau tidak akan memerlukannya lagi. Saya akan berikan kepada yang memerlukan. Walaupun tidak begitu cantik, tetapi "simple". 


Sabar dalam bersabar


Bersabarlah, sesungguhnya sabar itu indah. Dalam firman Allah swt yang bermaksud:


“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh, dimedan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).” (Surah Ali Imran : 200)


Sabar merupakan kekuatan jiwa yang mendorong seseorang untuk melakukan perlawanan terhadap kemalasan, kelemahan, kelesuan, dan penyerahan. Sabar menghantarkan kepada ketabahan dan ketegaran dalam menghadapi cubaan yang menimpa hingga Allah swt mendatangkan pertolonganNya atau Allah menjadikan syahid dalam keadaan redha atau diredhai.


Buat seorang insan soleh,


Saya meyakini bahawa sesungguhnya, beliau telah berfikir secara sedar dan matang, atas sebab musabab yang cukup bersih dari penilaian nafsu, mengharapkan keredhaan Allah di dalamnya, takut dan taat kepada Allah, maka, inilah jalan yang telah dicenderungkan hatinya untuk memilih. Alhamdulillah, syukur pada Allah. Semoga selalu dalam jagaan dan perlindungan Allah.  


 Jazakillahukhairan kathira sahibahku yang dicintai Lillahitaala

Sekian. Salam Maulidur Rasul. 

“Ya Allah! Bagimu segala puji seagung kemulian-Mu dan kebesaran kekuasaanMu. Aku telah rela dengan Allah sebagai Tuhan-ku dan dengan Islam sebagai agamaku, dan dengan Muhammad sebagai nabi dan rasulku."


Hamba yang mengharapkan rahmat & maghfirah, 

Penawarhati90,
5.04 pm,
12 Rabiul Awwal 1434H bersamaan 24 Januari 2013,
Langkawi, Kedah.

No comments:

Post a Comment