Thursday, January 31, 2013

Mengutip Mutiara Hikmah & 'Ibrah Dari Mereka


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Buat para pembaca yang dikasihi Lillahitaala,

Semoga limpahan rahmat, kemuliaan, kasih sayang serta keampunan Allah swt sentiasa mengiringi perjalanan hari-hari dalam hidupku, kedua ibu bapaku, kedua ibu bapa angkatku, adik beradikku, sanak saudaraku, murobbi-murobbiku, sahabat-sahabatku seluruhnya, bakal pemilik cintaku setelah Allah dan Rasul yang berada di dalam jagaan dan perlindungan Allah, rahsia buatku, serta sesiapa sahaja yang daku temui setiap hari dan waktu. 


Alhamdulillah, dengan keizinan Allah swt, kita masih sudi diberi peluang dan kesempatan untuk bertaubat memohon keampunan Allah dengan penuh keinsafan diri sebagai seorang hamba yang begitu hina, jahil,  fakir, lemah dan bongkak di hadapan Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Bijaksana, Maha Kaya, Maka Kuat dan Maha Pengampun Lagi Maha Penerima Taubat. Subhanallah, Maha Suci Allah, yang masih sudi memberi peluang kepada kita untuk terus merasai nikmat Iman & nikmat Islam, di mana inilah nikmat yang paling besar bagi mereka mukmin dan mukminah. Alhamdulillah. Syukur pada Allah.


" Ya Allah, nikmat apa sahaja yang aku kecapi dan diperoleh daripada para hamba-Mu pada waktu pagi/petang hari ini, daripada para makhlukMu, semuanya adalah daripadaMu jua, Yang Maha Esa dan tidak mempunyai sekutu. BagiMu, segala puji dan syukur."


Saya mendoakan semoga, setiap langkahan kita pada hari ini sentiasa berada di dalam pengawasan dan jagaan Allah swt., saya mendoakan semoga setiap gerak geri yang dilakukan pada hari ini semuanya dilandasi oleh Iman, di mana, jauh dari bisikan hawa nafsu yang sia-sia, dalam setiap perasaan yang kita alami, moga-moga ia bersumberkan Iman. Tidak kira rasa sayang, rasa rindu, rasa kasih, rasa gembira, ataupun rasa benci, rasa sedih, biarlah ia berpunca dari cahaya Iman yang terpantul dari hati sanubari insani. In sya Allah.

Sidang pembaca yang dirahmati Allah swt sekalian,

Hanya sekadar perkongsian cerita yang indah yang telah dilalui, alhamdulillah, dengan izin Allah, Dia sudi memberi peluang kepadaku untuk melaluinya. 


Alhamdulillah, dengan izin Allah, hamba ini diberi peluang untuk bekerja di sebuah klinik, bersama insan-insan yang amat daku kagumi, segani, dan hormati kerana Allah. Subhanallah. Saya merasakan suatu nikmat yang amat besar, satu peluang yang amat besar yang Allah beri untuk mendidik saya erti kehidupan, dengan mempertemukan saya bersama insan-insan ini yang antaranya pernah saya hajat untuk berada dekat dengannya, kerana saya ingin belajar yang mengambil ibrah daripada sosok peribadinya yang amat saya kagumi. Beliau adalah majikan saya sendiri yang adakalanya dipanggil Dr dan ada juga yang memanggil dengan panggilan ustaz. Namun, saya lebih suka memilih untuk memanggil Dr, kerana lebih elok menggunakan bahasa standard seorang pekerja. Saya bersyukur kerana Allah mempertemukan saya bersama orang-orang yang bisa membantu, dan membimbing saya untuk mengenaliNya dengan lebih dekat. Alhamdulillah.


Sepanjang saya bekerja bersama mereka, saya merasai satu ketenangan yang luar biasa. Saya melihat mereka adalah insan-insan yang tidak pernah membuang masa, serius dalam pekerjaannya, menjaga kebajikan para pekerja dengan baik, ada kalanya mereka menegur apabila melakukan kesilapan, namun, teguran mereka itu cukup halus, sehingga kami sendiri merasa segan untuk melakukan kesilapan yang sama, dan sedaya upaya meminimakan kesilapan. Ya, kadang kala, kita memang perlu menegur, kerana ini adalah amanah yang besar, amanah menjaga nyawa manusia. Kesilapan dan kelalaian kita mungkin boleh membawa maut kepada seseorang. Dalam masa yang sama, mereka juga menjadi ibu dan ayah, ustaz dan ustazah. Ada masanya, Dr Arba'i (isteri kepada majikan saya) membawa makanan ke klinik, berkongsi suka duka kami, berkongsi kisah hidupnya, dan membawa saya meronda-ronda selepas tamat waktu klinik. Dan banyak kali juga mereka menjadi rujukan saya dalam mendalami Ilmu. Alhamdulillah, mereka sentiasa meraikan soalan demi soalan tanpa merasa jemu, walaupun dalam keadaan letih. Subhanallah. Moga Allah selalu melimpahkan rahmat dan kasih sayangNya buat mereka.


Sepanjang saya bekerja juga, saya diberi peluang untuk bersahabat dengan mereka yang lebih senior dari saya, sentiasa memantau gerak kerja saya yang masih baru, sentiasa mengajar saya bagaimana teknik untuk mengendalikan hal-hal di klinik, dari sebesar-besar perkara dan sekecil-kecil perkara, daripada bagaimana untuk mencari kad pesakit, sehingga jenis-jenis ubat, dan kegunaan ubat itu. Setiap satu aspek itu harus saya pelajari dengan betul, dan peka kerana setiap aspek adalah sangat penting untuk saya kendalikan dengan serius dan bersungguh-sungguh. Antara cabaran yang saya rasai adalah untuk membaca tulisan Dr. (hee). Alhamdulillah, mereka semua sentiasa meraikan pertanyaan saya, dan saya cukup merasai keikhlasan dan kelembutan mereka dalam mendidik, dalam masa yang sama mereka tegas, dan menegur saya jika saya melakukan kesilapan, kerana mereka tidak mahu saya mengulangi kesilapan yang sama, apatah lagi ketika ketiadaan mereka. Besar kesannya kepada klinik. Alhamdulillah. 


Saya melihat dan merasai satu kerjasama yang cukup padu dalam persekitaran itu. Segala yang saya lalui, merupakan satu nikmat yang begitu manis, tidak dapat saya ungkapkan, dan bukan sahaja berguna di bidang kerja saya sekarang ini, malah ia cukup-cukup bermanfaat untuk saya terjun ke bidang sebenar saya iaitu Pendidikan yang di dalamnya, saya akan berhubung  dan bermain dengan dengan Biologi, Sosiologi dan Psikologi.


Saya bersyukur kerana dengan melakukan pekerjaan ini, saya juga berhadapan dengan pelbagai kerenah para pesakit, berhadapan dengan pelbagai lapisan masyarakat, dan mengendalikan pelbagai situasi. Ada masanya yang kelam kabut, terutama semasa masih training, pada mulanya, saya begitu gementar untuk menghadapi pesakit. Namun, kata-kata kakak2 senior sedikit sebanyak menenangkan. Mereka sentiasa meniupkan aura positif ke dalam jiwa saya dan berkata bahawa semua itu belajar. Saya akan terbiasa sendiri dengan keadaan tersebut. Alhamdulillah, pada hari ini saya dapat melihat bukti kata-kata mereka. Suatu masa dulu, mereka sering berkata bahawa mereka amat merasa nikmat bekerja di klinik tersebut, dan pada hari ini, saya juga merasakan perkara yang sama. Alhamdulillah. Walaupun kadangkala, apabila suasana dalam keadaan tegang, walaupun bekerja sehingga wajah menjadi begitu pucat, namun, semua itu nikmat, keletihan itu begitu nikmat, subhanallah. Walau seletih manapun, saya cuba mengukir senyuman semanis mungkin, kerana saya melihat harapan yang besar dari setiap pesakit untuk diberikan hak mereka sebaik mungkin.


Kadangkala kita terdengar, seseorang itu merasa letih apabila melakukan pekerjaan yang tidak disukainya, namun, Alhamdulillah, keletihan yang saya rasai, bukanlah kerana tidak suka, tetapi, terlalu nikmat. Saya meyakini, semua ini bermula dari niat awal kita. Dalam setiap gerak geri kita, dalam setiap langkahan kita, seandainya kita sentiasa memulakannya dengan menyebut nama Allah swt, memohon pertolongan Allah swt, dan meletakkan sepenuh tawakkal kepada Allah swt, maka segala yang kita lalui walaupun kelihatan seperti sulit, Allah swt, Rabb Yang Maha Pengatur akan menjadikannya mudah.


Masih teringat kisah semalam, di mana seorang ibu yang datang untuk berjumpa Dr bersama anaknya semalam. Kata rakan kerja saya, beliau baru kematian suami kerana barah tulang. Saya melihat  kepada dua beranak ibu dan memandang mereka dengan penuh sayu. Tetapi sebenarnya mereka tabah menghadapi dugaan ini. Hati dalam saya bermonolog sendirian:


" Mereka ini telah kehilangan insan tersayang seumur hidup di dunia, tetapi mereka tabah, tetapi saya hanya kehilangan orang yang masih hidup, untuk itu, saya tidak harus terus bersedih, dan harus lebih tabah kerana masih ramai rakan-rakan  di luar sana yang ditimpa ujian yang jauh lebih berat dari saya."

Sedih itu fitrah kemanusiaan, manakala menangis itu lumrah. Tetapi, biarlah hanya sekadarnya, dan serahkan air mata itu buat-Nya, tukarkan air mata itu menjadi tinta untuk terus melakar impian hari esok yang lebih bermakna. Memilih untuk terus bersedih itu hanya akan membunuh potensi diri, mensia-siakan masa, sedangkan tanggungjawab yang menanti di hadapan, lebih besar dan menuntut kesabaran, ketabahan, dan pengorbanan yang tinggi. Teruslah menggali hikmah pada setiap takdir yang telah tertulis di lembaran kamus kehidupan, terus koreksi diri agar setiap hari yang dilalui merupakan hari-hari yang baru, hari-hari yang lebih indah, indah dalam tafakur, indah dalam munajat, indah dalam berjuang di medan jihad, indah dalam mendidik, dan indah dalam segala-galanya in sya Allah.  


Mungkin sampai di sini sahaja coretan saya pada hari ini, harus diberikan hak kepada fizikal, rohani dan emosi untuk melabuhkan tirai hari, mengumpul daya dan kekuatan, setelah bekerja seharian (9 am-9 pm). Alhamdulillah. Ku tutupi hari ini dengan mengucapkan syukur , segala puji hanya bagi Allah atas segala sesuatu yang dikurniakannya kepada kami.




Hamba yang mengharapkan rahmat & maghfirah,
12.42 am,
20 Rabiul Awwal 1434 H bersamaan 1 Februari 2013
Universiti Sains Malaysia,
Pulau Pinang.





No comments:

Post a Comment