Tuesday, January 22, 2013

RESS'13 Membawa Seribu Satu Makna Tersirat



Dengan nama Allah yang Maha Pengampun Lagi Maha Penerima Taubat, Maha Pencipta Lagi Maha Pencinta. Rabb yang sentiasa dekat dengan jiwa para hamba. Rabb yang memegang nyawa dan jiwa para hamba. Rabb yang telah mengatur segala-gala takdir yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku dalam kehidupan para hamba. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah, Subhanallah, Allahuakbar. Segala puji-pujian hamba panjatkan buat Rabb yang menciptakan hamba. KepadaNyalah hamba yang penuh dengan kekerdilan, kelemahan, kejahilan, kemiskinan, dan kehinaan ini kembali.


Daku menyentuh dada kiriku, dimana kurasai degupan jantungku begitu kencang, lalu kutenangkan ia dengan sentiasa mengulangi sebuah doa:


“ Hasbunallah wani’mal wakeel, ni’mal maula wa ni’mal nasir”
(Cukuplah Allah menjadi Penolong kami, dan Allah sebaik-baik Pelindung)


Semoga rahmat, keampunan dan kasih sayang Allah swt sentiasa mengiringi hidupku, kedua ibu bapaku, kedua ibu bapa angkatku, adik beradikku, sanak saudaraku, murobbi-murobbiku, muallim-muallimku, sahabat-sahabatku, bakal pemilik cintaku setelah Allah & Rasul yang berada di dalam simpanan Allah menjadi rahsia buatku, dan seluruh sanak saudaraku yang berada di seluruh pelosok dunia. Moga-moga kita semua berada di dalam kebaikan, kesejahteraan, dan sakinah imaniyah. In sya Allah.


Setelah beberapa lama, coretan ini terhenti, alhamdulillah, dengan izin Allah, dengan sedikit kelapangan waktu yang diberikan olehNya, hamba ini ingin meneruskan langkahnya berjuang di medan penulisan hanya sekadar berkongsi rasa, berkongsi sedikit ilmu & pengalaman dalam kelemahan & kekurangan dirinya. Seandainya ada sesuatu yang bermanfaat dalam coretannya, maka, ambillah ia sebagai ilmu yang boleh diamalkan bersama, tinggalkanlah segala yang buruk itu di laman sesawang ini.


Baru-baru ini, Alhamdulillah, dengan penyusunan Allah, Allah hadirkan hamba ini ke sebuah Perkhemahan yang diberi nama Kem Rekreasi Haluansiswi 2013, RESS’13. Subhanallah, satu susunan Allah yang begitu cantik, di mana saya menjumpai hikmahnya pada hari ini. Dengan menghadiri kem ini, rupa-rupanya Allah swt telah menyediakan jiwa saya untuk sebuah berita. Alhamdulillah. Menghadiri kem ini juga telah mengembalikan jiwa saya kepada suatu syuur (perasaan) berada di dalam biah solehah yang pernah saya lalui dulu bersama sahabat-sahabat saya yang saya cinta dan rindu kerana Allah swt. Di sinilah saya belajar mengenal erti kehidupan.


Alhamdulillah, saya berpeluang berjejak kasih, bertaut hati bersama sahabat-sahabat karib yang telah lama tidak ketemu, dan bertemu serta bertaaruf dengan sahabat-sahabat yang baru. Alhamdulillah, demikianlah dijadikan manusia itu, untuk saling berkenal kenalan, saling menyambung roh. Sahabat yang solehah selalu menjadi cerminan kendiri, maka, apabila bertemu mereka, merupakan satu tarbiyah ruhiyah bagi saya. Firman Allah swt,


“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).” (al-Hujurat: 13)


Alhamdulillah, dengan izin Allah, kami juga berpeluang bermukholatoh bersama murobbi-murobbi yang pernah dulu mendidik kami akan nilai keinsanan. Mendengar tazkirah pendek dari setiap mereka, menyentap jiwa umpama dicurahkan air ke tanah yang tandus dan gersang, menghembuskan nafas semangat ke dasar hati yang hampir jatuh tersungkur. Alhamdulillah, moga-moga setiap ungkapan yang meniti di bibir mereka bersama tembakan doa sebagai senjata utuh, akan terus dan terus menjadi pemangkin rohani untuk terus melonjak kearah menjadi insan yang berkualiti dalam sudut Ilmu, Iman dan Amal Soleh. In sya Allah.


Teringat sebuah kata-kata murobbiku tempoh hari :


“Dalam melalui kehidupan ini, ujian itu akan datang silih berganti. Jika dalam kehidupan kita ini tiada masalah, semuanya baik, maka, Allah telah mungkir pada janjiNya, kerana Allah telah mengatakan bahawa, “Tidak beriman seseorang dari kamu, selagi kamu tidak diuji”, dan  kita sedia maklum bahawa, janji Allah itu benar dan pasti. Namun, masalah itu bukan sesuatu yang besar, tetapi tindak balas kita terhadap masalah itu yang akan menjadikan kita insan yang lebih baik atau lebih kurang baik”.




Alhamdulillah, dengan izin Allah, hari ini, saya telah berjumpa hikmahnya. Ibu kupeluk seerat mungkin, sehingga hati ini sedikit tenang. Walaupun berat hati menerimanya, saya sedang cuba belajar erti mengakui kesilapan diri dan menerima sesuatu takdir itu dengan pasrah & redha. Dengan takdir yang telah Allah susun untuk saya ini,

1.      Saya bersyukur kerana telah melepaskan seseorang untuk memilih jalan kebahagiaannya sendiri. Saya merasakan dan sentiasa mendoakan semoga beliau selalu dan selalu bahagia dengan pilihannya, lepas segala penderitaan dan kesusahan yang dilaluinya selama ini. Maka, beliau akan selalu tersenyum bahagia. Allah swt akan selalu menjaganya dan melindunginya. Jika dengan jalan ini bisa membahagiakan hatinya, bisa mengembalikan senyuman dan kegembiraan hatinya, maka saya sepenuh hati redha dengannya. In sya Allah.


2.      Ini adalah peluang untuk saya koreksi diri sendiri, tidak menyalahkan orang lain melainkan melihat sedalam dalamnya ke dasar diri sendiri. Saya mengerti bahawa setiap sesuatu yang kita punyai di dunia ini, adalah satu pinjaman. Peminjamnya telah mengambilnya semula dari yang dipinjamkan kerna mungkin orang yang dipinjamkan itu tidak pernah menghargai pinjaman itu, tidak menjaganya dengan baik, tidak bersyukur dengan keberadaannya, maka Peminjamnya telah mengambilnya semula untuk diserahkan kepada orang yang jauh dan jauh lebih baik dari sebelumnya.


Setiap yang kita punyai di dunia ini adalah fana’, begitu juga diri kita. Sama ada cepat atau lambat, kita tetap akan kehilangannya, kita juga tetap akan kembali ke rahmatNya. Untuk itu, kita harus mencintai sesuatu itu seadanya dan sekadarnya, dan dalam kesedaran bahawa ia bukan milik kita. Yang harus kita cintai dan berterima kasih adalah kepada Peminjam atas pinjamannya itu. Jika saya mula menyedarinya hari ini, maka, saya mengharapkan saya akan terus menghargai apa sahaja nikmat yang berada di hadapan mata saya. Terus membahagiakan mereka . Nikmat Iman & Nikmat Islam, nikmat menjadi hamba Allah, nikmat menjadi umat Rasulullah, Nikmat mempunyai Ibu bapa , sahabat-sahabat , saudara-saudara seIslam, pesakit-pesakit, bakal anak murid, muallim-muallim, dan murobbi-murobbi, serta sesiapa sahaja yang ditemui setiap hari, akademik & kerjaya, Dakwah & Tarbiyah, semua itu adalah nikmat yang harus ditumpukan dan diberikan haknya sebaik mungkin. Maka, saya akan bersyukur dan terus bersyukur dengan keberadaan nikmat ini, dan terus berdoa untuk nikmat yang telah hilang, moga-moga itu semua menjadi satu kebahagiaan buat saya, sebelum mengakhiri kehidupan yang begitu singkat ini. In sya Allah.


3.      Untuk kehidupan yang baru, saya meyakini bahawa, Allah tahu, saya tidak bersedia untuk itu, maka Allah telah menyusun kehidupan saya dengan tanggungjawab dan tanggungjawab yang lain, yang berada di hadapan mata saya, harus saya tumpu, bina strategi. rancang dan menggerakkannya dengan lebih baik. Dengan satu demi satu kehilangan yang saya terima, maka, saya harus teguh dan utuh untuk berada di bumi Illahi ini, menjalankan misi yang telah diamanahkan tanpa ada pergantungan dan pengharapan kepada yang lain selainNya. Allah tahu, pergantungan saya kepadaNya tidak cukup kuat, kerana itu Allah mengambil apa-apa yang boleh menjadi pengantungan saya selainNya. Ujian Allah itu tanda kasih dan sayangnya Allah kepada kita, bukan kerana Allah marah, tetapi Allah tidak mahu kita terus lalai dengan kesementaraan dunia. Di situ saya akan belajar erti tawakkal. In sya Allah.


“ Cukuplah Allah bagiku, ke atasnya aku bertawakkal, sesungguhnya Dialah (Allah) Rabb, pemilik Arsy Yang Agung”


4.      Saya bersyukur kerana kehidupan saya kini ditemani oleh air mata dan didoakan semoga air mata keinsafan itu terus mengalir membanjiri hati dan tubuh saya, moga-moga ia menjadi pembenteng dari azab api neraka. Menangis itu adalah satu nikmat, namun, sebaik-baik tangisan itu adalah menangis kerana Allah, menangis kerana begitu cinta & rindu kepada Allah & Rasul, menangis kerana takut dan sedar akan dosa-dosa lalu, menangis kerana mengharap akan dapat melihat wajah Allah, mendapat syafaat Rasulullah swt, di akhirat nanti. Tangisan supaya Allah beri dan kurniakan perasaan Redha & Pasrah atas segala takdirnya. Moga-moga saya selalu ditemani air mata yang baik, dan tidak sia-sia.


5.      Saya masih mempunyai waktu yang panjang untuk merawat segala luka, untuk memulihkan segala kerosakan, untuk belajar ilmu-ilmu baru dan teknik-teknik baru menjadi seorang Alimah Mujahiddah di bidang saya. Masih punya waktu yang panjang untuk bersama sahabat-sahabat yang saya cintai, kroni-kroni HOM, mengambil ibrah dari mereka yang dipenuhi jiwa hamba. Belajar dan berkongsi ilmu dan pengalaman yang selama ini saya bimbang, kalau-kalau tidak punya waktu panjang untuk belajar daripada mereka. Alhamdulillah, inilah waktunya. Saya tidak perlu bimbang lagi jika kelemahan saya mempengaruhi kehidupan insan lain. Saya tidak perlu menyusahkan kehidupan sesiapa lagi, dan meneruskan langkah sendirian bersama Peneman Setia yang lebih dekat berbanding urat leher sendiri. In sya Allah. Alhamdulillah.


Subhanallah, indahnya lukisan alam, dalam setiap ciptaanNya, Dia memperkenalkan diriNya- Berjoging di Taman Lagenda



Alhamdulillah, dengan demikian, berakhirlah coretan saya kali ini. Mengharapkan redha Allah pada setiap gerakan jari jemari.


Buat para pembacaku yang dicintai kerana Allah,


Doakanlah dan terus mendoakanku. Tiada apa yang lebih saya harapkan melainkan sebuah doa, agar saya terus kuat menghadapi “Hari-Hari Dalam Hidupku”. Nasihatku buat diri sendiri, jadikanlah ujian itu sebagai satu pemangkin untuk kamu menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Belajar untuk berfikir dan menerima dengan positif.  In sya Allah, segala yang baik itu datangnya daripada Allah, segala yang lemah itu datangnya daripada saya sendiri. Hakikatnya kedua-duanya datang daripada Allah swt. Ambillah segala yang baik untuk diamalkan, dan tinggalkanlah segala yang buruk itu di sini sahaja. Hamba ini masih bertatih dalam mengenal kehidupan sebenar. Sentuhlah dada kiri dan berkatalah:


“ Wahai Allah, takdir ini bukan pilihanku, tetapi ini adalah suatu penyusunanMu yang indah dan cantik, lalu, kurniakanlah kebaikan pada ujian ini, moga-moga aku lebih mendekat denganMu sentiasa dan sentiasa ”.



p/s : esok hari kelahiran Kekasih Allah swt, Penghulu Sekalian Alam, kekasih orang-orang mukmin, apakah tindakan yang harus kita lakukan untuk membuktikan kecintaan kita kapadanya?

Marilah perbanyakkan selawat, membaca dan menghayati sirahnya, dan mencontohi Baginda dalam melalui kehidupan. Tidak ada contoh yang lebih baik daripadanya. Wallahutaala a’lam.  


Hamba yang mengharapkan Rahmat & Maghfirah,

Penawarhati90,
10.00 am
11 Rabiulawal 1434H bersamaan 23 Januari 2013





No comments:

Post a Comment