Thursday, February 14, 2013

Andai Keinginanmu Masih Tertahan



Bismillahirrahmanirrahim,

Dengan nama Allah yang Maha Pencipta dan Maha Pencinta,


Saya mendoakan semoga limpahan rahmat, keampunan dan kasih sayang ALLAH sentiasa membanjiri dan mengiringi kehidupan saya, kedua ibu bapa saya, kedua ibu bapa angkat saya, adik beradik, sanak saudara, sahabat-sahabat seperjuangan, bakal pemilik cintaku setelah Allah dan Rasul yang berada di dalam simpanan dan jagaan Allah swt selalu, anak-anak murid penyejuk mataku, serta sesiapa sahaja yang saya temui setiap hari dan setiap waktu. Moga-moga kita semua sentiasa berada di dalam iklim kesejukan syukur dan qanaah iaitu merasa cukup dengan pemberianNya.


Baju ini, sentiasa mengingatkan saya akan peristiwa besar yang sepatutnya dirancang berlaku dalam kehidupan saya, pada March 2013. Tetapi, takdir Allah itu lebih baik dari apa yang telah dirancang. Alhamdulillah, sentuh dada di sebelah kiri atas, rasakanlah degupan jantungmu, maka berdoalah dengan setulus hati.


" Ya Allah, sesungguhnya aku meyakini bahawa semua ini merupakan ketetapan dan susunanMu yang terbaik buat Iman dan Akhiratku, maka kurniakanlah kebaikan kepada setiap yang telah ditakdirkan buatku"


Alhamdulillah, Allah belum izinkan ia digunakan, maka saya akan terus menyimpannya dengan baik, sehingga suatu saat yang belum pasti tetapi meyakini bahawa ia berada di dalam rancangan Allah. Ada peristiwa besar juga March ini, perkahwinan kakak saya. Alhamdulillah.


Sidang pembaca sekalian,



Iman kepada Allah itu, apabila telah menetap di dalam hati seseorang mukmin, maka tentulah ia akan menimbulkan pelbagai keajaiban. Sebab ia akan menukar keadaan lemah menjadi kuat, dan keadaan yang kecut menjadi berani, yang bakhil menjadi murah hati, dan putus asa dan kecewa menjadi sabar dan tenang hati. Lalu, kembalilah menghayati dan bermuhasabah akan nilai keimanan dalam kesedihan. Jika kita melihat semula, ramai orang boleh berbicara mengenai Iman, boleh menghayati erti syukur apabila dikurniakan sesuatu nikmat, namun begitu wahai diriku dan sahabatku, tidak ramai yang boleh merasainya ketika ditimpa sesuatu musibah, oleh yang demikian, dalam apa sahaja keadaan, kita sama-sama harus kembali menghayati nilai seorang mukmin, siapa itu mukmin, dan bagaimana ciri-ciri seorang mukmin.


“Menakjubkan sungguh urusan orang mukmin. Segala perkaranya adalah kebaikan. Dan itu tidak terjadi, melainkan hanya kepada orang-orang mukmin. Jika mendapat nikmat dia bersyukur, dan menjadilah syukur itu baik baginya. Dan jika ditimpa musibah, dia bersabar, dan menjadilah sabar itu baik baginya ” (HR Abu Dawud dan Tirmidzi)


Firman Allah swt yang bermaksud :

“Allah-lah yang menciptakanmu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan kamu setelah keadaan lemah itu menjadi kuat.Dia menjadikan kamu setelah kuat itu lemah kembali dan beruban. Dia menciptakan apa yang dia kehendaki. Dan Dia Maha Mengetahui Mahakuasa. ” Surah Ar-Rum - 54.


Sidang pembaca yang dirahmati Allah sekalian,


Saya menyedari bahawa, perkahwinan itu bukan hanya pada persediaan fizikal sahaja, pada persediaan pakaian, wang ringgit, rumah, dan kereta. Semua itu satu keperluan yang harus ada, tidak dinafikan, tetapi, bukan yang paling aula (utama). Untuk membina sebuah perkahwinan itu harus juga ada persediaan rohani, dan emosi. Perkahwinan itu boleh menjadi syurga bagi sesetengah orang dan boleh juga menjadi neraka bagi sesetengah yang lainnya. Hal ini berbalik kepada bagaimana pasangan tersebut mengendalikan bahtera di dasar lautan sebuah kehidupan yang bernama "Perkahwinan". Adapun ia akan menjadi syurga bagi mereka yang benar-benar menjaga pintu masuknya. Apakah ia ingin masuk hanya untuk memenuhi keperluan syahwatnya, atau hanya sekadar ikut-ikutan, atau juga hanya untuk bercinta? ataupun ia melihat perkahwinan itu merupakan satu amanah besar dari Allah, satu sunnah Rasulullah, dan merupakan satu peluang untuk dipergunakan ke arah mencari keredhaan Allah. Maka, dalam perkahwinan itu, dia dan pasangannya akan berlumba-lumba (fastabiqul khairat) untuk membuat kebaikan, saling memberi yang terbaik, saling lengkap melengkapi, tolong menolong dalam kebaikan, dan bantu membantu dalam meninggalkan keburukan. Maka, perkahwinan itu akan menjadi syurga bagi seorang mukmin. Maka, akan lahirlah mawaddah dan sakinah.


Maka......

Saya menyedari bahawa, mungkin dengan takdir Allah ini, menunjukkan bahawa, saya masih belum bersedia, belum cukup persediaan untuk melangkah ke alam perkahwinan. Maka, saya harus terus maju membuat persediaan ke arahnya, dalam masa yang sama berusaha menjadi seorang mukminah yang baik daripada aspek yang lain. In sha Allah.


Penawarhati90
10.49 am
15 Februari 2013
Langkawi, Kedah

Wednesday, February 13, 2013

SMK Bijak Gemilang di Hatiku


Bismillahirrahmanirrahim

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang,

“ Ya Allah, perbaikilah agama kami yang merupakan penyelesaian segala masalah kami. Perbaikilah dunia kami yang menjadi penegak kehidupan kami dan perbaikilah akhirat kami yang akan menentukan akhir kesudahan kami. Ya Allah, anugerahkanlah kepada kami rezeki taqwa yang memperbaiki amalan serta akhlak kami. Kami memohon rasa takut terhadap murkaMu, mengharap keredhaanMu, dan selalu bergantung kepada limpah rahmatMu. Anugerahkanlah kepada kami rezeki taqwa  dalam sembunyi sebelum terang-terangan.  Jangan hinakan kami dengan bermaksiat kepadaMu. Jadikan kami cenderung dalam melaksanakan kebaikan serta membawa kebaikan kepada seluruh insan. Kabulkanlah wahai Dzat Yang Paling Rahim.”


Buat sidang pembaca yang dirahmati Allah swt sekalian,


Semoga Allah mengampuni segala dosa dan kesilapan hamba yang begitu dhaif dan dipenuhi dosa ini, dan insan-insan yang di sekelilingku.


Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada ahli keluarga SMK Bukit Gambir, SMK Bijak Gemerlang, selama kira-kira 14 minggu, dan kiranya termasuk minggu ini, telah 2 minggu saya menjadi sebahagian daripada tenaga pengajar di sana, walaupun hanya sementara, dan hanya bergelar guru pelatih, saya sedikitpun tidak pernah merasakan kesementaraan saya di situ ataupun hadir sebagai seorang asing. Mengapa?


1.       Hal ini disebabkan, kami tidak pernah mendapat layanan sebagai seorang guru pelatih, tetapi di awal kehadiran kami ke situ, kami bukan sahaja diraikan, malah diterima baik oleh semua warga SMK Bukit Gambir, daripada pelajarnya, guru-gurunya, staf-staf, pembantu makmal, dan sesiapa sahaja di situ.


2.      Satu budaya yang saya perhatikan di sana ialah hampir kesemua lapisan masyarakat di sana sentiasa saling hormat menghormati antara satu sama lain, saling meraikan, sentiasa murah dengan senyuman, dan teguran walau di mana sahaja berada tidak kira dalam kalangan guru, staf mahupun pelajar. Mereka sentiasa saling bantu membantu, tidak kira bangsa dan budaya. Di mana sahaja kita temui pelajar mahupun guru, secara tidak lansung, kita akan memberi salam, ataupun diberi salam.


3.      Panggilan. Semua staf, guru mahupun pelajar di situ tidak memanggil kami dengan panggilan nama tetapi mesti dimulakan dengan “cikgu”. Ya, mungkin bagi sesetengah orang, merasa biasa dengan perkataan itu, tetapi pada saya, panggilan itu merupakan satu panggilan yang menandakan satu penghormatan kita kepada seseorang. Alhamdulillah, sepanjang saya berada di sana, saya sentiasa dipanggil sebagai “cikgu Syafiyah”, dan pada saya juga, panggilan itu merupakan satu doa dan kekuatan untuk saya melakukan yang terbaik dalam usaha mendidik pelajar-pelajar saya menjadi “somebody”. Sesiapa yang tidak mengenali saya, akan memanggil saya dengan panggilan “ustazah”, agak melucukan sebenarnya, tetapi, raikan sahaja sebagai sebuah doa.




4.      Setelah saya melalui Mesyuarat Guru Kali Pertama bersama Tn Guru Besar, Dr Tn Hj Nazari, saya melihat ada satu harapan besar yang beliau letakkan di bahu kami, dalam melahirkan pelajar yang cemerlang sahsiah dan akademiknya, tetapi, beliau acapkali menyebutkan soal Pembentukan Keperibadian Seorang Pendidik itu sangat penting sebelum membentuk anak muridnya. Beliau membawakan satu analogi yang sangat mudah untuk difahami mengenai kisah “Arnab & Kura-Kura”.

-         Konklusi pada ceritanya, apa yang saya lihat ialah, beliau berharap para guru ini saling bekerjasama, dan lengkap melengkapi dalam melakukan sesuatu kerja.
-         Team work is very important, and war is not the answered.
-         “ Learn to complete not to compete”
-         Identify core competency and change the playing field to suit your core competency.

Setelah melalui mesyuarat itu, saya merasa jiwa saya sangat terisi, mendapat satu semangat dan kekuatan untuk bersungguh-sungguh menggunakan peluang yang ada ini dengan sebaik-baiknya dalam usaha untuk belajar apa sahaja ilmu dan kemahiran seorang mendidik, serta mengajar iaitu seorang pendidik yang sukses kepada anak-anak didik saya, bukan sekadar memberi ilmu, malah menjadi ibu, kakak dan pendidik mereka. Masa saya tidak panjang di situ, dan saya merasakan kesuntukannya, dan saya ingin sekali menghargai setiap satu detik ini untuk belajar dan mengajar.

Ruangan kecil yang besar peranannya untuk mencurah bakti selama 14 minggu, 
In sha Allah.

5.      Pelajar-pelajar buah hati saya. Subhanallah, merekalah buah hati saya, merekalah penyejuk pandangan mata saya. Bersih wajah mereke, redup pandangan mereka seakan-akan meminta sesuatu daripada saya, iaitu limpahan ilmu dan kasih sayang. Pada kali pertama dan minggu pertama saya memasuki kelas mereka, saya meminta mereka menuliskan matlamat hidup mereka, dan teknik pengajaran yang bagaimana yang mereka ingin saya perbanyakkan dalam usaha memahami Fizik & Biologi, kerana saya inginkan mereka mula hadir ke sekolah dengan matlamat. Mereka belajar dengan matlamat, ada sesuatu yang mereka ingin kecapi. Dan akan selalu saya ulang matlamat mereka itu supaya mereka beringat dan bersungguh-sungguh dalam pengajaran mereka. Dengan segala tumpuan, dan kesungguhan mereka untuk belajar, jiwa saya terpanggil untuk turut membuat persediaan terbaik untuk memasuki kelas mereka. Subhanallah, saya benar-benar mula mencintai kerjaya pendidikan. Saya ingin bantu mereka sebaik mungkin. Saya mula merasakan bagaimana perasaan para guru dan murobbi saya, apabila mereka faham apa yang guru itu ajarkan. Tidak kira berapa kalipun saya ulang-ulang pengajaran yang sama, apabila mereka faham, saya terasa ingin sujud syukur. Subhanallah. Alhamdulillah, Allahuakbar.



Namun, mengingati kata-kata ustaz saya:

“ Penghalang ilmu antara murobbi dan mutarabbi adalah dosa. Maka, berhati-hatilah dengan dosa, kerana ilmu itu adalah cahaya, ia tidak dapat menembusi hati-hati yang dipenuhi dosa”

Maka, dalam usaha kita membuat persediaan fizikal, dengan bacaan, rancangan pengajaran, dan segala persediaan fizikal, jangan lupa persediaan rohani, kerana di sana ada banyak duri-duri dan racun-racun yang bakal menghalang daripada mengalirnya ilmu itu ke hati sanubari pelajar.

Pada hari Jumaat, Alhamdulillah, sebagai mengeratkan sillaturrahim dan meraikan guru-guru berbangsa cina, satu “port luck” telah diadakan. Semua guru terlibat dalam majlis ini dan membawa apa sahaja jenis makanan. Alhamdulillah. Moga saya dapat belajar dan terus belajar di sini, dan membina hubungan baik dengan guru-guru yang lebih senior dalam usaha untuk mendapatkan ilmu dan pengalaman yang akan saya gunakan pada masa depan.

Dr Tn Hj Nazari - Guru Besar

Team Guru Pelatih Rakan seperjuangan

Guru-Guru yang lahir pada bulan Januari & Februari menerima hadiah. (angpau...^__^)

Makanan yang sangat sedap..^_^

Sekitar kawasan bilik guru.

Hidup ini adalah peluang bukan bebanan jika kita melihat dan menerima sesuatu dari sudut positif. Walaupun apa sahaja yang dipertanggungjawabkan, anggap ia sebagai peluang untuk mematangkan kita. Menulis RP setiap hari selangkap mungkin, walau kadangkala, tangan sudah terlalu lenguh, tetapi, RP itulah yang akan membantu para guru dalam proses PNP. In sha Allah.

Mungkin sekadar ini sahaja perkongsian saya, untuk mengisi masa rehat sebentar setelah tamat menulis RP fizik, dan menyambung semula ke Biologi dan Sains. Beberapa jam lagi akan bergerak pulang, jadi, korbankan sebentar tidur malammu, untuk tidur di dalam bas. Hehe.


Tidak sabar untuk pulang ke rumah… Diharapkan tidak membawa pulang segala kerja-kerja ini ke rumah, hanya membawa cerita-cerita indah-indah dan manis-manis untuk dikongsi bersama keluarga. ^__^.


Penawarhati90,
6.05am
14 Februari 2013
Universiti Sains Malaysia.

Monday, February 11, 2013

Resepi Oh Resepi



Kerja kami di klinik semalam kerana tidak ramai pesakit (cuti raya cinalah katakan)...^__^.. Mencari resepi2, dan merancang untuk memilih masakan yang sesuai dimasak di rumah...... Walaupun jasad di Penang, hati sudah di Langkawi. Sabar menanti hari itu.. Alhamdulillah, menemui seorang ibu yang sangat ceria melayani anaknya,  yang punya banyak kerenah ini, Dr Arbaei pengganti ibuku yang dicintai kerana Allah swt, pengubat rinduku kepada ibu dan ayahku..

Saban hari di klinik terasa begitu indah dan hilang segala duka, suasana hiba menjadi ceria mendengar suara mereka. Terlupa sebentar segala tesis, kertas kerja dan projek. ^^. Dr Arbaei selalu berkongsi pelbagai ilmu baru, subhanallah, sembang-sembang tarbawi yang cukup bermanfaat untuk melangkah ke hari-hari baru. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah, segala yang kita lalui, segala yang dipinjamkan ke atas kita, apa sahaja aktiviti yang kita lakukan, semuanya berada di dalam aturan Allah, semuanya berada di tangan Allah. Kita sentiasa harus mendoakan Allah selalu memimpin jalan kita ke jalan yang lurus, jalan orang-orang soleh, jalan orang-orang bertaqwa. Moga-moga kita selalu merasa nikmatnya menjadi hamba Allah. ^__^.

" Ya Allah, kurniakanlah kepada kami lidah yang lembut basah mengingati dan menyebut namaMu, hati yang penuh segar mensyukuri nikmatMu dan tubuh badan yang ringan menyempurnakan ketaatan kepada perintahMu. "


Ibu, bagaimana memilih pasangan hidup yang baik itu?



Picture from : DIDIK

Suatu hari, seorang anak gadis berkata kepada ibunya, "Ibu, bagaimana memilih pasangan hidup yang baik itu?"

Si ibu dengan bijak menjawab, "Anakku, jangan kau menikahi seorang lelaki hanya karena ketampanannya, kelak akan kau akan kecewa, karena ia pasti akan tua. Jangan pula memilihnya hanya karena dia dikagumi banyak wanita, karena kau belum tahu apa kekurangannya. Tidak pula karena kekayaannya, karena kekayaan tidak pernah kekal. Tapi pilihlah dia karena akhlaknya yang mulia. Pilihlah dia karena imannya."

"Lalu bagaimana ingin tahu dirinya akan membuatku bahagia, padahal belum tentu dia kaya, tampan atau terkenal?" tanya sang anak.

"Nak, ketampanan dan kecantikan ada pada hati yang merasa. Kaya ada pada hati yang Qonaah. Terkenal di hadapan manusia belum tentu mulia di hadapan-Nya." jawab sang ibu.

Si anak gadis itu dengan serius mendengarkan penjelasan dari ibunya, sementara sang ibu melanjutkan untaian kata-kata nasehat, "Perbaikilah akhlakmu, perbaharuilah niatmu, kuatkan imanmu, perbanyak amalmu. Lalu jika hari itu tiba, terimalah pemuda yang berani melamarmu. Setidak-tidaknya dia berniat baik kepadamu, bukan menggodamu. Namun karena keinginannya menjaga kesucian cinta. Kau tentu boleh memilih, namun ingatlah, jika kau alihkan cintamu pada harta, ketampanan, juga keturunannya, maka kamu pasti akan kecewa. Karena boleh jadi itu hanya topeng darinya."

"Istikharahlah. .. Dan jika pilihanmu mantap padanya, menikahlah karena itu adalah sebaik-baik penawar fitnah. Kau akan rasakan kebahagiaan karena memenangkan Allah dalam pilihanmu."

"Rasakanlah cinta bersamanya, kelebihannya membuatmu tersenyum bahagia, kekurangannya akan menjadi bibit-bibit cinta diantara kalian. Karena kalian tercipta untuk saling mengisi, saling memperbaiki akhlak."

"Semangatilah langkahnya, kukuhkan semangat juangnya. Arungi bahtera rumah tangga dengan senyum CERIA. Kelak, didiklah anak-anakmu untuk menjadi pejuang yang setia pada cinta yang mulia. Lahirkan keturunan yang kuat tauhidnya, mulia akhlaknya, kukuh imannya. Dan kelak, ibumu ini akan bahagia menimang cucu seorang pejuang sejati.. Insya Allah.." ujar si ibu menutup untaian kata-kata nasehatnya.
________________________________________________________________________________

"Tutupilah kelemahannya dengan kekuatanmu, dan tutupilah kelemahanmu dengan kekuatannya"

Konklusinya : Pasangan yang kita hajati itu berbalik kepada diri kita sendiri. Sekiranya kita mahukan yang soleh, kita terlebih dahulu perlu mengislahkan diri, sekiranya kita mahukan yang baik, kita perlu berusaha menjadi yang baik dahulu. Dalam usaha untuk menjadi yang terbaik itu, kita juga berhadapan dengan halangan demi halangan, kesilapan demi kesilapan, kerana kita adalah manusia. Tetapi, yang penting kita ada usaha untuk menjadi yang lebih baik, kerana dalam setiap perubahan yang ingin kita lakukan, kita tidak ingin melakukannya untuk diperlihatkan kepada manusia, dan untuk memuaskan hati manusia, tetapi kita ingin menjadi yang lebih baik untuk Allah, dan meyakini bahawa syurga ALLAH itu hanya untuk orang yang baik. Jika kita baik pada pandangan Allah, nescaya kita juga adalah baik pada pandangan manusia, kerana kita memandang sesuatu dari kaca mata Rabbani. Cuma, kadangkala kita tidak nampak di mana kekurangan kita, kerana itu Allah hadirkan insan lain untuk melengkapkan kehidupan, saling ingat memperingati. Berlapang dadalah .. ^__^..

Sabar itu Indah. Semoga perkongsian ini bermanfaat buatku, dan sesiapa sahaja yang diizinkan Allah membacanya. In sha Allah

Hamba Yang Mengharapkan Rahmat & Maghfirah,

Penawarhati90
9.02 am,
1 Rabiul Akhir 1434 H bersamaan 12 Februari 2013
Universiti Sains Malaysia,
Pulau Pinang.

  

Saturday, February 9, 2013

Panduan Mendidik Anak



1) Jangan pukul anak dari lutut keatas


2) Jangan gunakan tangan/anggota tubuh kita utk memukul anak dengan tangan dan jangan sesekali menampar anak pakai tangan kita. nanti anak jadi bertambah degil dan nakal dan tak boleh control


3) Rotan/pukul anak di telapak kakinya . Secara saintifiknya ada kaitan dengan refleksologi dan merangsang ke bahagian otak

Sabda Rasulullah s.a.w.

“Berguraulah dengan anak kamu kala usianya satu hingga tujuh tahun. Berseronok dengan mereka, bergurau hingga naik atas belakang pun tak apa. Jika suka geletek, kejar atau usik anak asalkan hubungan rapat. Lepas tujuh hingga 14 tahun kita didik dan ajar, kalau salah pukullah dia (sebagai pengajaran)”


4). Mulakanlah hidup anak anda dengan nama panggilan yang baik. Nama panggilan yang kurang baik akan menyebabkan anak anda malu dan merasa rendah diri. (Dalam Islam sendiri nama panggilan yang baik adalah digalakkan).


5). Berikan anak anda pelukkan setiap hari (Kajian menunjukkan anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan IQ yg lebih kuat daripada anak yang jarang dipeluk)


6). Pandanglah anak anda dengan pandangan kasih sayang (Pandangan ini akan membuatkan anak anda lebih yakin diri apabila berhadapan dengan persekitaran)


7). Berikan peneguhan setiap kali anak anda berbuat kebaikan (Berilah pujian, pelukkan, ciuman, hadiah ataupun sekurang-kurangnya senyuman untuk setiap kebaikan yang dilakukannya).


8). Janganlah mengharapkan anak anda yang belum matang itu melakukan sesuatu perbuatan baik secara berterusan, mereka hanya kanak-kanak yang sedang berkembang. Perkembangan mereka buatkan mereka ingin mengalami setiap perkaratermasuklah berbuat silap.


9). Apabila anda berhadapan dengan masalah kerja dan keluarga,pilihlah keluarga (Seorang penulis menyatakan anak-anak terus membesar. Masa itu terus berlalu dan tak akan kembali).


10). Di dalam membesarkan dan mendidik anak-anak, janganlah tuan/puan mengeluh. Keluhan akan membuatkan anak-anak merasakan diri mereka beban.


11). Dengarlah cerita anak anda, cerita itu tak akan dapat anda dengari lagi pada masa akan datang. Tunggu giliran anda untuk bercakap (Ini akan mengajar anak anda tentang giliran untuk bercakap)


12). Tenangkan anak anda setiap kali mereka memerlukannya.


13). Tunjukkan kepada anak anda bagaimana cara untuk menenangkan diri. Mereka akan menirunya.


14). Buatkan sedikit persediaan untuk anak-anak menyambut harijadinya. Sediakanlah hadiah harijadi yang unik walaupun harganya murah. Keunikan akan membuatkan anak anda belajar menghargai. (Anak2 yg dtg daripada persekitaran yang menghargai akan belajar menghargai orang lain).


15). Kemungkinan anak kita menerima pengajaran bukan pada kali pertama belajar. Mereka mungkin memerlukan kita mengajar mereka lebih daripada sekali.


16). Luangkanlah masa bersama anak anda diluar rumah, peganglah tangan anak-anak apabila anda berjalan dengan mereka. Mereka tentu akan merasa kepentingan kehadiran mereka dalam kehidupan anda suami isteri.


17). Dengarlah mimpi ngeri anak-anak anda. Mimpi ngeri mereka adalah begitu real dalam dunia mereka.


18). Hargailah permainan kesayangan anak anda. Mereka juga dalam masa yang sama akan menghargai barang-barang kesayangan anda. Elakkan daripada membuang barang kesayangan mereka walaupun sudah rosak. Mintalah kebenaran mereka sebelum berbuat demikian.


19). Janganlah membiarkan anak-anak anda tidur tanpa ciuman selamat malam,


20). Terimalah yang kadangkala anda bukanlah ibubapa yang sempurna. Ini akan mengurangkan stress menjadi ibu bapa.


21). Jangan selalu membawa bebanan kerja pejabat ke rumah. Anak-anak akan belajar bahawa kerja pejabat selalunya lebih penting daripada keluarga.


22). Anak menangis untuk melegakan keresahan mereka tetapi kadangkala cuma untuk sound effect sahaja. Bagaimanapun dengarilah mereka, dua puluh tahun dari sekarang anda pula yang akan menangis apabila rumah mula terasa sunyi. Anak-anak anda mula sibuk mendengar tangisan anak mereka sendiri.


“Anak- Anak ibarat kain putih. Ibu bapa lah yang mencorakkannya menjadi yahudi, nasrani atau majusi”

petikan dari : http://myibrah.com/panduan-mendidik-anak

*Mencari teknik untuk mendidik "anak-anak didik" terutama form 1, form 4 ada caranya tersendiri. 

Penawarhati90

Jodoh Itu Rahsia ALLAH




Lagu ini mengingatkan saya kisah permulaan kisah Kakak & Abang Ipar saya. ^_^. Setelah pelbagai ujian yang mereka lalui, satu demi satu, saya melihat debaran demi debaran, cabaran demi cabaran, akhirnya, mereka berjaya melabuhkan tirai keremajaan dalam sebuah bantera perkahwinan. Alhamdulillah. 

Hudzaifah Nordin & Sumaiyah Adzahar

Pengajaran yang saya perolehi dari kisah mereka ,

Apabila kita telah meyakini bahawasanya seseorang itu jodoh kita, berdasarkan sandaran-sandaran yang betul, dan kita juga sedang bergerak untuk menjadikannya sebuah ikatan yang diredhai, walau apa juga ujian yang melanda, selagimana perbezaan yang berlaku tidak melanggar syariat, masih boleh diperbaiki, masih boleh dibawa berbincang, masih boleh diselesaikan dengan cara yang baik, tidak perlulah kita memilih jalan untuk memutuskan perhubungan. Jika sekiranya kita menyedari bahawasanya ini adalah ujian, dan seandainya perkahwinan itu adalah jalan yang terbaik, maka mohonlah kemudahan daripada Allah.  Perbezaan, perselisihan faham, itu adalah perkara biasa, kerana masing-masing dari planet yang berbeza, hidup dalam dunia yang berbeza. Maka, perkahwinan adalah untuk menyatukan dua planet, supaya ia bisa hidup di dalam sebuah dunia yang harmoni dan saling lengkap melengkapi untuk membawa keamanan sejagat. (keluar dah bahasa ahli fizik !!).Hehe.


Walau apa juga keputusan yang ingin dilakukan, sememangnya harus difikirkan semasak-masaknya apatah lagi jika ia melibatkan individu lain. Harus benar-benar memohon petunjuk Allah, dan bersih dari segala perasaan terlalu suka, marah dan sebagainya, dan juga sentiasa bermusyawwarah. Pernah saya mendengar seorang murobbi berkata:


"Apabila kita ingin melakukan sesuatu keputusan, dan kita merasa ragu-ragu terhadapnya, maka tinggalkanlah yang ragu-ragu, dan ambillah yang paling meyakinkan".

Apabila saya cuba melihat semula ke dalam diri, saya meyakini bahawa, keyakinan pertama saya adalah benar, walaupun setelah itu pelbagai ujian yang melanda menyebabkan ia menjadi begitu ragu-ragu, tetapi, jauh di dalam sudut hati, keyakinan itu tetap ada, perasaan yakin itu tetap memenangi segala yang ragu-ragu. 
Kerana itu, saya masih belum menerima hakikat sepenuhnya, saya masih belum mempercayai kenyataan ini, dan saya menganggap semua ini satu ujian, mungkin saya sangat lalai, lalu Allah uji supaya saya beringat, kembali semula kepadaNya, kembali bergantung dan berharap hanya kepadaNya. Keyakinan kepada Allah, membuatkan saya menjadi tenang, setiap kali berhadapan dengan perasaan hiba. Walau apa pun yang berlaku, berdoa dan teruskan berdoa, berdoa dengan bersungguh-sungguh, laksanakan perintahNya, tinggalkan laranganNya. Doa yang ikhlas itu ibarat anak panah yang tajam meluncur ke langit bumi. In sha Allah.


JODOH ITU RAHSIA ALLAH

Selama mana kita menunggu,
Sejauh mana kita pergi,
Sekuat mana kita setia,
Sehebat mana kita merancang,
Seteguh mana kita bersabar,
Sejujur mana kita menerima ketentuan dari-Nya

Jika Allah telah menulis jodoh kita adalah dia,  kita tetap akan bersama dengannya, tetapi, jika takdir Allah menentukan, kita tidak akan berjodoh dengannya, maka kita tetap tidak akan bersama dengannya kerana ajal maut, jodoh pertemuan itu adalah rahsia Allah buat para hamba. Tulang rusuk dan pemiliknya tidak akan pernah tertukar dan akan bertemu pada saat yang tepat menurut ilmu-Nya.

Tiada yang "kebetulan" melainkan semuanya telah dirancang dan sebaik-baiknya rancangan adalah daripada Allah.


Sekian.

Mengharapkan rahmat di sebalik ujian,

Penawarhati90,
8.35 am, 
29 Rabiul Awwal 1434H bersamaan 10 Februari 2013,
Universiti Sains Malaysia, 
Pulau Pinang.



Didiklah Anak-Anak Dengan Cinta & Kasih Sayang


Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Buat sidang pembaca yang disayangi Allah swt dan dikasihi Rasulullah saw sekalian,

Saya mendoakan semoga sehingga saat ini, setiap daripada jiwa-jiwa yang mendambakan kasih Illahi berada di dalam ketenangan Iman dan kesihatan rohani, jasmani dan akhli. In sha Allah.

Taman Lagenda


Segala puji hanya bagi Allah swt, Rabb Arsy Yang Agung, Rabb Yang Maha Mengetahui, Maha Memelihara, Maha Melindungi setiap jiwa hamba daripada sebarang anasir dan debu-debu penyakit yang bisa mambatalkan nilai-nilai hamba dalam dirinya. Dia-lah Allah, Yang Maha Mengetahui akan takdir kehidupan para hamba, segala yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku, semuanya telah tercatat di Loh Mahfuz, namun, sebagai seorang hamba yang Maha Jahil, mengharapkan semoga Rabbnya, selalu memimpinnya ke jalan yang benar, jalan orang-orang yang Muttaqin, jalan orang-orang yang Redha, Sabar dan Menyerah diri semata-mata kepada Allah swt secara total dalam kehidupannya sehari-hari, serta mengharapkan pada setiap takdir yang telah ditetapkan Allah untuknya, sama ada berbentuk nikmat atau musibah, sentiasa dalam kebaikan dan tidak dalam kemurkaanNya. Amin. In sha Allah.


Selawat dan salam buat kekasih Allah yang Agung, Nabi Muhammad SAW, Penghulu sekalian Alam, suri teladan terbaik sepanjang zaman, tidak ada contoh yang lebih hebat, lebih mulia untuk dicontohi, melainkan baginda, Murobbi Mithali yang paling baik untuk diteladani. Salam sejahtera buat ahli keluarga serta para sahabat baginda SAW.


Semoga Allah swt sentiasa mengasihi, mencintai, merahmati dan mengampuni diriku, kedua ibu bapaku, adik beradikku, sanak-saudaraku, murobbi-murobbiku, sahabat-sahabatku seluruhnya, bakal pemilik cintaku setelah Allah dan Rasul yang berada di dalam simpanan dan jagaan Allah, rahsia buatku, rakan-rakan sekerjaku, anak-anak didikku yang ku kasihi dan sayangi kerana Allah swt sentiasa dan sentiasa serta sesiapa sahaja yang daku temui setiap hari dan setiap waktu, tidak lupa juga buat saudara-saudaraku di Rohingya, Palestin, Somalia, Syria, Lubnan, Mesir, dan di seluruh pelosok dunia, moga-moga kita semua berada di dalam sakinah Imaniyah dalam keadaan apapun jua.


Sidang pembaca yang dirahmati Allah sekalian,


Pada petang yang hening ini, ingin sekali saya bawakan suatu isu yang acapkali saya terfikir setelah beberapa hari terjun ke medan persekolahan sebagai seorang pendidik kepada masyarakat, dan melalui Mesyuarat Guru tempoh hari mengenai Pembentukan Keperibadian Seorang Insan Bernama Manusia atau Mengenai Bagaimana Cara Untuk Memanusiakan Manusia. Hal ini disebabkan, seorang murobbi/guru/pendidik itu sebenarnya mempunyai amanah yang sangat berat dalam membentuk keperibadian seorang insan yang memenuhi 3 fakulti insan iaitu Cemerlang Rohani, Cemerlang Jasmani, Cemerlang Akhli.



Pada malam itu, saya telah menjamu selera di sebuah kedai makan. Sambil menunggu makanan tiba, mata saya tertumpu ke kaca tv yang memaparkan sketsa kehidupan sebuah keluarga. Kisah ini menceritakan bagaimana seorang kakak sanggup melupakan pengorbanan adiknya yang telah banyak berkorban untuknya memenuhi cita-citanya menjadi seorang Doktor, kemudian, turut melupakan segala jasa ibu, dan melukakan hati mereka demi memilih pasangan yang dicintainya, sedangkan ibu melarang kerana ada sebabnya, dan sebab untuk kebaikan wanita itu sendiri. Saya terpesona dengan cara ibunya menasihati, dengan penuh kelembutan, dengan penuh hikmah, tetapi, orang muda ini ada egonya, keras hatinya.  Semasa kecil, wanita ini merupakan seorang anak yang taat dan seorang kakak yang sangat baik. Beliau pernah didenda oleh ayahnya, diikat di sebatang pokok, kerana melakukan kesalahan. Ayahnya memukul beliau, dan adiknya merayu-rayu supaya dilepaskan kakaknya. Demikian sahaja cerita saya.


Sebenarnya, apa yang ingin saya kaitkan dengan isu saya pada hari ini adalah saya melihat ayahnya terlalu garang, memukul, mendenda anaknya. Pada pandangan saya, seorang ayah walaupun sebenarnya perlu ada ketegasan dalam mendidik, tetapi ketegasan itu harus bersama kelembutan bukan kegarangan. Hal ini disebabkan, sebagai seorang ibu bapa, kita adalah pendidik, kita adalah pembentuk, kita ingin mendidik anak-anak dengan cinta dan kasih sayang yang pertama dan utama dahulu, mencintai Allah, Rasulullah, Ibu Bapa, Alam Ciptaan Allah, sahabat-sahabat, adik beradik, kita ingin menerapkan perasaan Tauhidullah, dengan menggunakan pendekatan cinta & kasih sayang. Kemudian, membentuk anak-anak menjadi manusia yang memiliki nilai-nilai kemanusiaan, akhlak seorang manusia, dan membentuk mereka melakukan sesuatu atas dasar Cinta, Faham, Sedar, Iklas, Jujur, dan gembira, bukan atas dasar keterpaksaan. Kita ingin anak-anak kita menyayangi, menghormati, dan mentaati ibu bapa kerana faham dan sedar, bukan kerana takut dan tidak tahu apa-apa. Semua itu harus bermula daripada ibu bapa, ibu bapa harus sentiasa merendah diri untuk menuntut Ilmu Keibu bapaan, sebelum, semasa dan selepas menjadi ibu dan bapa, kerana sifat ilmu itu tidak akan habis, tidak ada penghujungnya, semakin kita mendalami, semakin kita merasa jahil, semakin kita merasa begitu kerdil kerana luasnya cabang ilmu Allah yang diibaratkan sebagai setitis air laut itu. Seperti kata hadis :


Sabda Rasulullah SAW, maksudnya:  “Setiap bayi yang dilahirkan adalah suci fitrahnya.  Ibu
bapalah yang menjadikan mereka Yahudi, Nasrani mahupun Majusi.” (HR Bukhari dan Muslim).

Saya meyakini, media massa benar-benar telah memainkan fungsinya untuk menjauhkan para ibu bapa muslim pada hari ini yang sedang mencari-cari identiti ibu bapa muslim, daripada cara didikan Islam yang sebenarnya. Mereka telah berjaya menerapkan satu persepsi ke dalam keperibadian ibu bapa dan guru bahawasanya, untuk mendisiplinkan anak-anak, mestilah menggunakan cara kekerasan, kegarangan, pukulan. Tetapi, benarkah cara ini dalam Islam?


Berdasarkan pembacaan saya di dalam buku Pendidikan Anak-Anak dalam Islam, Dr Abdullah Nasih Ulwan, ada menceritakan:


“ Selagi anak-anak itu masih kecil, wajarlah dia berada di sisi ibu bapanya. Dan selama dia masih dalam usia belajar dan berdidik, maka wajarlah bagi kedua ibu bapa dan para pendidik tiada membiarkan mana-mana satupun dari cara pembaikan, melainkan dicubainya (maksudnya, gunakan segala cara kelembutan dalam mendidik dahulu) dan tiada satu jalan yang boleh meluruskan bengkoknya, dan memperbaiki akhlak dan perilakunya, melainkan di atas kelakukan Islam yang sempurna, dan moralitas kesosialan yang tinggi.”
“Islam mempunyai cara-caranya yang tersendiri dalam hal memperbaiki anak-anak dan mendidiknya. Kiranya berguna sifat lemah lembut dalam menasihati anak-anak itu, maka tiadalah patut bagi para pendidik untuk mengambil sikap menjauhkan diri, ataupun kekerasan, tiadalah patut mereka menggunakan cara pukulan. Apabila mereka gagal dengan cara-cara pembaikan ini, dan tiada berguna lagi cara lemah lembut dan nasihat, ketika itu barulah boleh ia menggunakan cara memukul yang tidak mencederakan. Moga-moga para pendidik akan mendapat kebaikan dengan cara ini untuk memperbetulkan diri anak-anak itu, dan meluruskan bengkoknya dalam kelakuan.”

______________________________________________________________________________


Apabila memandang pelajar-pelajar saya, subhanallah, timbul perasaan sayang yang cukup kuat dalam hati ini, saya merasa cukup sayang dengan mereka, sayang kerana Allah swt. Mereka adalah insan-insan yang masih punya harapan untuk dibentuk, dan ingin sekali diri mereka dibentuk menjadi insan berguna untuk masa hadapan. Mereka ingin dibantu, dan itulah yang saya sedang lihat.


Sebagai seorang pendidik, saya harus cuba melakukan yang terbaik untuk menjalankan masuliyah ini. Semoga saya terus bersabar, gembira dan terus menghayati dan menikmati sepenuhnya detik-detik bersama mereka untuk beberapa bulan ini. Mereka saya anggapkan seperti adik saya, dan anak-anak saya sendiri. Walaupun saya belum mempunyai cahaya mata, saya sentiasa membayangkan wajah anak-anak saya di hadapan mata saya, dan merekalah anak-anak saya hari ini, yang bakal menjadi pendidik anak-anak saya nanti, oleh itu saya perlu sedaya upaya, menyediakan diri saya untuk menyediakan mereka menjadi insan yang cemerlang dalam akademiknya, dan dalam masa yang sama menerapkan nilai-nilai keinsanan ke dalam diri mereka. Mereka akan menjadi inspirasi saya untuk mendidik anak-anak saya pada suatu hari nanti. In sha Allah.
………………………………………………………………………………………………………….......................


Walaupun si dia masih menjadi rahsia buat saya, tetapi saya meyakini bahawa, Allah sedang menyediakan si dia untuk menjadi pendidik dan pemimpin yang terbaik untuk saya dan anak-anak saya. Terbaik bukan bermaksud paling baik dan paling sempurna, tetapi terbaik buat saya. Beliau akan menjadi murobbi saya dan bersama-sama saya untuk menjadi murobbi/ah kepada bakal pewaris kami. Saya akan selalu berdoa buat insan istimewa itu. Itulah harapan saya selama ini, dan setiap apa yang saya harapkan, tidak pernah sekali-kali saya ingin mementingkan diri sendiri, tetapi mengharapkan kebaikan bersama, sama-sama mendapat kebaikan, sama-sama mendapat manfaat dari usahasama untuk meningkatkan diri. Walaupun mungkin kami sama-sama tidak sempurna, tetapi, penyatuan itu adalah saling melengkapkan. Kita mungkin tidak akan menjadi sempurna pun, kerana fitrah manusia memang tidak sempurna. Tetapi, kata Guru Besar yang saya cintai kerana Allah, Dr Tn Hj Nazari:


“ Marilah kita sama-sama membiasakan yang betul, dan membetulkan yang biasa”

*membetulkan yang biasa bermaksud, jika amal itu kita biasa lakukan, dan rasa ia betul, tetapi sebenarnya salah, jadi harus membetulkan yang biasa. (Seperti kena tembakan peluru berpandu…Mesyuarat yang sangat BEST!) Alhamdulillah.  

Sentiasa setia menantinya dalam munajat.
………………………………………………………………………………………………………….........................
* rindu ibu ayah yang dikasihi selalu, namun, tanggungjawab menuntutku untuk terus bertahan di sini seketika menyiapkan segala kerja. Moga-moga dapat balik dengan senang hati dan sentiasa gembira melayani mereka. Tutupilah segala kedukaan dengan sebuah senyuman yang paling manis, layanan yang paling istimewa buat ibu bapa dan keluargamu yang sangat merinduimu. Saat itu akan tiba beberapa hari lagi, in sha Allah.

Hamba yang mengharapkan rahmat & maghfirah,
Penawarhati90,
8.30 pm
28 Rabiul Awwal 1434 H bersamaan 9 Februari 2013
Universiti Sains Malaysia,
Pulau Pinang. 

Thursday, February 7, 2013

Kepada Pengganggu Yang Berkenaan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Kepada individu yang berkenaan,

Terima kasih atas gangguan demi gangguan anda. Saya minta maaf kerana saya menulis kerana ini adalah laman saya sendiri, saya tidak mengganggu kehidupan individu lain terutamanya kehidupan anda. Jika sekiranya anda merasakan saya sangat mengganggu kehidupan anda, silakan jangan buka laman sesawang saya ini. Saya pun senang hati, dan sentiasa senang hati, dan anda pun tidak susah hati. Kasihan sungguh saya pada anda.

p/s: saya tak berminat pun nak tahu tentang diri anda ataupun perasaan anda.





Wednesday, February 6, 2013

SENYUM MELALUI HARI BARU


Senyum Seindah Suria yang membawa cahaya,
Senyumlah dari hati duniamu berseri,
Senyum umpama titian dalam kehidupan,
Kau Tersenyum, Ku Tersenyum,
Kemesraan menguntum.

Senyum, kepada semua,
Senyumanmu amatlah berharga,
Senyum seperti Rasulullah,
Dengan senyuman, 
Terjalinlah UKHUWAH


Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Semoga kita akan terus menghayati hari dengan penuh senyuman walau bagaimanapun keadaannya. 

* Tidak berpeluang update blog yang panjang, masya Allah, realiti alam sebagai pelajar benar-benar tidak sama dengan alam bekerja. Alam teori tidak sama dengan alam praktikal, namun, itulah kehidupan sebenar. Melihat kepada kehidupan yang hamba hadapi sekarang, barulah hamba merasakan betapa penting dan besarnya nikmat Islam dan nikmat Iman dalam kehidupan, apabila berada di dalam suasana yang subhanallah amat gersang dengan Iman. 

Bersyukurlah sentiasa.

Tersenyum mendapat emel Dr hari ini. ALHAMDULILLAH...

"Salaikumsalam Syafiyah,Kamu ada kesungguhan.  Insya allah saya akan bantu kamu. All the best utk lm ;-)"

Dr Nooraida, PA.

In sya ALLAH.

Bersemangat melalui hari ini. ^__^

p/s: hari pertama melalui mesyuarat guru

Hamba yang mengharapkan rahmat & maghfirah.

Penawarhati90,
6.21am
7 Februari 2013
Universiti Sains Malaysia


Monday, February 4, 2013

Coretan Hari Pertama Persekolahan


Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Buat sidang pembaca yang dirahmati Allah swt sekalian,


Firman Allah swt dalam surah Al- Baqarah ayat 45 yang bermaksud :

“Dan mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya ia adalah benar-benar berat kecuali ke atas orang-orang yang khusyuk”.

Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah swt, kerana dengan keizinannya, kita masih dianugerahkan secebis nafas untuk memujiNya, memohon rahmat dan keampunanNya, dilimpahkan rezeki yang tidak pernah putus, serta nikmat taufiq dan hidayahNya yang acapkali mengejutkan mereka yang terlena, dan menyedarkan mereka yang terlalai.


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah, limpahan pujian buat Allah swt dan limpahan selawat buat Rasulullah saw serta ahli keluarga dan juga para sahabatnya, saya masih diberi kesempatan untuk mencoret sedikit peristiwa yang berlaku sepanjang hari ini, iaitu hari pertama saya memulakan khidmat sebagai seorang guru pelatih di Sek Men Bukit Gambir, Pulau Pinang.


Setelah tamatnya perjalanan persekolahan pada hari ini, Allah izin, saya mengalami demam yang sangat teruk, selsema, batuk dan sebagainya. Innalillahi wainna ilaihirajiun. Sememangnya sejak semalam, kondisi kesihatan tidak berapa baik, tetapi Allah izin, melangkahi hari ini, menambahkan lagi kepanasan suhu badan. Alhamdulillah, semasa bekerja di klinik, saya menelan Paracetamol, vitamin C dan meminum air sebanyak mungkin. Alhamdulillah, berkat nasihat dari sahabat tercinta, keadaan saya semakin stabil. Namun, subhanallah, sebenarnya nikmat kesihatan ini merupakan sebuah nikmat yang tidak dapat dibeli dengan apapun jua. Apabila kita kehilangan nikmat kesihatan, maka, tubuh kita semakin kurang produktif walaupun kita cuba kuatkan diri. Saya sangat membimbangi akan keadaan kesihatan ketika ini, hal ini disebabkan, saya mempunyai beberapa tanggungjawab penting untuk diselesaikan dalam masa beberapa bulan iaitu menjadi guru pelatih, bekerja , dan dalam masa yang sama  membuat kajian mengenai “ Bagaimana Pengawetan Aloe vera Dapat Membantu Minat Pelajar Terhadap  Proses Pembelajaran Sains di Sekolah” dan “ Perbezaan Biologi Lelaki dan Wanita Mempengaruhi Cara Pembelajaran” (tajuk yang masih difikir dan dibincangkan) serta menulis tesis mengenainya. Buat masa ini, saya masih di fasa pertama dalam kajian tersebut.  Pada masa ini, saya benar-benar perlu mendisiplinkan diri untuk mematuhi jadual, dan masa supaya gerak kerja ini akan berjalan dengan baik. Justeru, mengharapkan doa dari  sidang pembaca sekalian, doakanlah Allah mengurniakan nikmat kesihatan yang baik kepada kita semua dalam rangka untuk beribadah kepada-Nya dan melaksanakan tuntutan-Nya dalam kehidupan.

Suasana pagi yang begitu segar di Sekolah


Berkisar mengenai peristiwa hari ini, di awal pagi lagi, seperti biasa, pada hari pertama persekolahan, perhimpunan mingguan diadakan, semua guru pelatih diperkenalkan di hadapan umum sebagai meraikan kedatangan.  Teringat zaman persekolahan dulu, semasa itu saya di usia para pelajar, berdiri seperti mereka, di hadapan para guru yang. Pada hari ini, saya duduk di hadapan mereka sepertimana para murobbi saya dalulu, memandang anak didiknya dengan penuh kasih sayang dan harap dapat membantu mereka akan erti kehidupan yang sebenar. Perkara yang paling saya sukai di sekolah ini setakat ini ialah, istimewa benar cara guru besar dan penolong kanan serta guru-guru di sana. Mereka saling bantu membantu, menasihati dan meraikan, dimana, hari lahir guru-guru pada bulan 1 diumumkan. Hal ini akan memberi maklumat kepada pelajar untuk meraikan guru-guru tersebut. Kami disambut dengan baik oleh semua ahli pentadbiran di sekolah, setiap pertanyaan dijawab dengan penuh sabar dan wajah yang tersenyum sahaja. Kami diberi tempat masing-masing berdekatan dengan guru pembimbing supaya mudah melakukan seisi perbincangan.


Perkara pertama yang saya pilih adalah untuk memilih tempat duduk yang baik, dan persekitaran yang bagi saya baik dan selesa untuk bekerja. Saya sedang cuba memikirkan bagaimana untuk menjadikan tempat itu lebih baik, supaya tenang bagi saya untuk bekerja dan tenang bagi pelajar untuk berkomunikasi dengan saya. Bagi saya, pemilihan tempat dan persekitaran yang baik sangat penting dalam membina kerjaya yang produktif. Jika serabut tempat itu, maka serabutlah pemiliknya. Jika kemas tempat itu, maka kemaslah pemiliknya. Itu rumusan yang saya dapat.


Kemudian, saya terus mencari guru pembimbing setiap subjek yang harus saya ganti untuk berbincang mengenai silibus. Masya Allah, sedikit kejutan buat saya pada hari ini, semasa mengambil jadual waktu, saya diberi 3 subjek penting iaitu Biologi Tingkatan 4, Fizik Tingkatan 4 dan Sains Tingkatan 1. Saya juga diberi waktu yang paling banyak iaitu 13 waktu, rata-rata rakan guru pelatih berada di antara 11-12 waktu sahaja. Alhamdulillah, Allah ingin memberi pahala lebih, dan mungkin dengan ini, akan berlaku peningkatan kemahiran saya di situ. Ada hikmahnya in sha Allah. Seperti kata guru penolong kanan, ambillah peluang ini untuk belajar dan berlatih bersungguh-sungguh supaya kamu keluar sebagai seorang yang penuh dengan ilmu dan kemahiran dan meninggalkan memori yang indah-indah di sini. (edit sikit ayat). Ya, ini adalah fasa belajar, dan saya harus terima dengan lapang dada. Alhamdulillah.

Buku Teks untuk ketiga-tiga subjek


Seusai berbincang dengan guru tingkatan 1, saya terus diminta menggantikan kelasnya, dalam keadaan suara yang serak-serak, saya masuk ke kelas itu. Masya Allah, kesimpulannya, saya harus mencari jalan bagaimana untuk menarik perhatian mereka untuk belajar. Bayangkanlah, pelajar tingkatan 1. Kedudukan kelas yang jauh antara-satu sama lain, menyebabkan suara saya tidak kedengaran, dan saya menggunakan semaksima suara yang ada untuk menenangkan mereka. Saya fikirkan, mungkin selepas ini akan membeli mikrofon mudah alih, dapat menjimatkan suara dan tenaga. Selepas memasuki kelas itu, keadaan saya semakin teruk, merasa haba yang sangat panas, dan tidak mempu berbuat apa-apa termasuk menulis. Jadi, saya memilih untuk berjalan ke sana ke mari menyiapkan borang-borang penting.


Saya pulang ke rumah dalam keadaan terketar-ketar kerana suhu terlalu panas. Setelah pulang, saya mencapai Paracetamol dan Zecuf serta berehat sebentar, dan menuju ke tempat kerja. Alhamdulillah.


Peristiwa di klinik pula, pada hari ini, saya amat gembira berjumpa dengan sebuah pasangan. Suaminya amat gembira apabila mengetahui isterinya telah mengandung 5 minggu. Terasa seperti satu dunia ingin ia khabarkan. Dan saya kerapkali menjumpai pasangan-pasangan dan ibu-ibu yang datang ke klinik, dalam keadaan sangat ceria untuk scan, dan sunat. Alhamdulillah, saya tumpang gembira buat mereka. Mabruk buat kalian.

Dengan itu, berakhirlah coretan saya untuk hari pertama ini. Mengharapkan doa yang berterusan daripada sidang pembaca sekalian. Wassalam.

*p/s :
Hari Rabu    : Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sekolah
Hari Khamis : Mesyuarat Agung Guru
Hari Jumaat : Port Luck (masih berfikir apa yang hendak dimasak)
Hari Sabtu   : Cuti Seminggu…ALHAMDULILLAH……………………^__^




Belajar Punch Card..
Mikrofon mudah alih.. Akan cuba dibeli in sha Allah..

Printer yang akan selalu menemani perjalanan LM saya..
Printer kesayangan, satu-satunya aset yang saya ada. Kini sakit sedikit seperti tuannya, akan sentiasa dijaga dengan baik, dan dimanfaatkan sebaik mungkin, in sha Allah...

Saya letakkan ia di tempat yang dekat dengan saya..^__^

Jom makan polaramine..

Hamba yang mengharapkan rahmat & maghfirah,


Penawarhati90,
12.21 am,
23 Rabiul Awwal 1434 H bersamaan 4 Februari 2013.
Universiti Sains Malaysia.

Sunday, February 3, 2013

Melangkah ke Latihan Mengajar Sebagai Guru Pelatih



Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Buat sidang pembaca yang dirahmati Allah swt sekalian,

Semoga limpahan rahmat, kemuliaan, kasih sayang serta keampunan Allah swt sentiasa mengiringi perjalanan hari-hari dalam hidupku, kedua ibu bapaku, kedua ibu bapa angkatku, adik beradikku, sanak saudaraku, murobbi-murobbiku, sahabat-sahabatku seluruhnya, bakal pemilik cintaku setelah Allah dan Rasul yang berada di dalam jagaan dan perlindungan Allah, rahsia buatku, para pesakit klinik, bakal anak muridku, para pensyarah dan guru pembimbing serta sesiapa sahaja yang daku temui setiap hari dan waktu.


Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah swt kerana dengan limpahan rahmat serta keizinannya, kita masih diberi peluang untuk bernafas dalam jiwa hamba, dan merasai perhambaan kepada Allah swt atas nikmat Iman dan nikmat Islam yang dianugerahkan olehNya. Alhamdulillah, dengan izin Allah swt juga, saya tiba di hari yang dinanti-nanti, hari yang mendebarkan, dan hari yang menenangkan, hari yang baru melangkah ke destinasi yang baru, dengan tujuan dan harapan yang baru, untuk menjadi seorang pendidik, fasilitator, seorang kakak, seorang ibu kepada anak-anak murid yang subhanallah, sangat memerlukan bimbingan, dan kasih sayang seorang guru. Alhamdulillah, in sha Allah, saya akan diberi tanggungjawab mengajar di dalam subjek Biologi, sebuah subjek yang benar-benar hampir kepada kejiwaan.


Maka, dalam peluang dan nikmat yang Allah beri ini, ingin sekali, ya Allah, in sha Allah, saya pergunakan sungguh-sungguh untuk belajar menjadi seorang pendidik yang dapat membawa akhlak Islamiyah, dan memberi ilmu dengan penuh keikhlasan. Moga-moga pada setiap langkahan saya, Allah kira sebagai satu amal soleh yang akan menjadi saksi yang melayakkan saya bertapak di syurgaNya. Ingin saya menghayati, hari-hari dalam kehidupan seorang pendidik, dengan penuh nikmat walaupun di tengah-tengah perjalanan ini, pastinya ada cabaran yang menanti, namun, saya memohon semoga Allah meneguhkan hati ini untuk terus bertapak di jalan ini, hingga ke akhirnya. In sha Allah.


Tidak lupa kepada yang mendoakan saya, subhanallah, saya ucapkan jazakumullahukhairan kathira.  Semoga doa dan harapan setiap seorang kepada saya ini tidak saya persiakan, dan berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana sepertimana yang kita sedia maklum bahawasanya Allah swt tidak akan mengubah takdir sesuatu kaum melainkan mereka mengubah diri mereka sendiri. In sha Allah, untuk mencapai impian dan matlamat itu, saya harus berani untuk mengubah diri sendiri, kerana saya benar-benar inginkan ia tercapai sepertimana yang diharapkan.


Sedikit pembacaan yang ingin kongsikan buat diri saya sendiri sebagai langkah awal untuk berhadapan dengan kehidupan baru hari ini dan para pembaca yang saya sayang kerana Allah sekalian,


Menggapai keikhlasan

Untuk menggapai keikhlasan, ada 5 hal yang perlu engkau perhatikan:

Pertama, hendaklah setiap amalan yang engkau lakukan semata-mata hanyalah mengharapkan rahmat Allah.

Kedua, setiap aktiviti, amal perjuangan, dan perikehidupan social harus sesuai dengan tuntutan syariat Allah swt.

Ketiga, Setiasa bermuhasabah diri, apakah sebenarnya yang engkau inginkan dari dakwah ini? Motivasi apakah yang hendak engkau capai daripada misi yang mulia ini, apakah mengajak manusia ke jalan Allah, ataukah untuk kepentingan diri dan kelompoknya?

Keempat, sentiasa memperhatikan segala perbuatannya, apakah sudah sesuai dengan apa yang diucapkan oleh lisannya?

Kelima, sentiasa waspada terhadap tipu daya syaitan yang sentiasa ammaratun bis suu; (mengajak berbuat jahat) dan mendorong para hamba Allah berbuat riya’ dan memburu popularity.

Tugas seorang pendidik adalah melaksanakan didikan dengan ikhlas dan istiqamah dalam menapaki jalan-jalan dakwah. Kita tetap yakin, bahawa suatu saat Allah akan melimpahkan rahmatNya kepada masyarakat berupa terpimpinnya mereka dengan syariat-syariat Islam, menaruh simpati, menyambut dakwah, dan menerima petunjuk Allah dengan penuh kepatuhan, keinsafan dan tanpa paksaan.


Wahai para pendidik,

“ Sungguh keikhlasan itu sangat berpengaruh pada hasil dakwah yang engkau lakukan. Seorang pendidik yang ikhlas dan tawadhuk akan mendapat tempat di hati masyarakat”

-Taujih Ruhiyah (Allahyarham Ustaz Abdullah Nasih Ulwan)-

Baru kini saya faham, mengapa Allah mengambil semula pinjamanNya daripada saya, mungkin kerana keikhlasan saya belum benar-benar mantap, dan saya harus redha atas segalanya. Semoga dengan bertemu dengan para pelajar yang saya sangat rindu dan kasih kerana Allah, dapat sedikit sebanyak mengubat jiwa ini. Untuk kali ini, saya tidak ingin lagi kehilangan nikmat di hadapan mata saya, yang harus saya manfaatkan sepenuh jiwa raga dan akan sentiasa dan sentiasa mendoakan nikmat yang telah hilang. Alhamdulillah, syukur pada Allah atas segala-galanya.


Mungkin sekadar di sini sahaja coretan saya buat hari pertama ini. Doakanlah semoga Allah mempermudahkan langkah saya, dan mengampuni dosa-dosa saya dengan nikmat kesihatan yang ditahan seketika. Semoga Allah kurniakan kejayaan kepada saya untuk menjadi pendidik di Sek Men Bukit Gambir, dan dalam masa yang sama perlu menyiapkan 2 tesis dalam masa 5-7 bulan. Subhanallah, masa itu berlalu bergitu pantas. Harus pergunakannya dengan sebaik-baiknya. In sha Allah.


Segala yang baik itu daripada Allah, yang lemah itu daripada saya sendiri, hakikatnya kedua-duanya adalah daripada Allah swt jua. Ambillah segala yang baik, dan tinggalkan segala yang tidak baik itu di sini sahaja, maka kehidupan kita akan selalu bahagia, kerana tidak menyimpan perasaan yang tidak-tidak kepada mana-mana makhluk ciptaan Allah swt.


Wallahua’lam. Jazakumullahukhairan kathira.

Sekolahku Taman Mencurah Ilmu

 Buku Catatan Harian (Diari Harian)

Buku Rancangan Pengajaran (Hari-hari kena isi)

Buku Takwim Sekolah (Paling Best Tengok Cuti ).hehe

Guru Pelatih seramai 9 Orang (2 ISMP USM, 5 DPLI USM, 2 UTHM), mengetuai team guru pelatih, subhanallah, masya Allah, moga Allah kuatkan hati untuk menerima amanah ini, doakan. 

*selamat ke perhimpunan

Hamba yang mengharapkan rahmat & maghfirah,

Penawarhati90
6.47am
4 Februari 2013
USM