Thursday, February 14, 2013

Andai Keinginanmu Masih Tertahan



Bismillahirrahmanirrahim,

Dengan nama Allah yang Maha Pencipta dan Maha Pencinta,


Saya mendoakan semoga limpahan rahmat, keampunan dan kasih sayang ALLAH sentiasa membanjiri dan mengiringi kehidupan saya, kedua ibu bapa saya, kedua ibu bapa angkat saya, adik beradik, sanak saudara, sahabat-sahabat seperjuangan, bakal pemilik cintaku setelah Allah dan Rasul yang berada di dalam simpanan dan jagaan Allah swt selalu, anak-anak murid penyejuk mataku, serta sesiapa sahaja yang saya temui setiap hari dan setiap waktu. Moga-moga kita semua sentiasa berada di dalam iklim kesejukan syukur dan qanaah iaitu merasa cukup dengan pemberianNya.


Baju ini, sentiasa mengingatkan saya akan peristiwa besar yang sepatutnya dirancang berlaku dalam kehidupan saya, pada March 2013. Tetapi, takdir Allah itu lebih baik dari apa yang telah dirancang. Alhamdulillah, sentuh dada di sebelah kiri atas, rasakanlah degupan jantungmu, maka berdoalah dengan setulus hati.


" Ya Allah, sesungguhnya aku meyakini bahawa semua ini merupakan ketetapan dan susunanMu yang terbaik buat Iman dan Akhiratku, maka kurniakanlah kebaikan kepada setiap yang telah ditakdirkan buatku"


Alhamdulillah, Allah belum izinkan ia digunakan, maka saya akan terus menyimpannya dengan baik, sehingga suatu saat yang belum pasti tetapi meyakini bahawa ia berada di dalam rancangan Allah. Ada peristiwa besar juga March ini, perkahwinan kakak saya. Alhamdulillah.


Sidang pembaca sekalian,



Iman kepada Allah itu, apabila telah menetap di dalam hati seseorang mukmin, maka tentulah ia akan menimbulkan pelbagai keajaiban. Sebab ia akan menukar keadaan lemah menjadi kuat, dan keadaan yang kecut menjadi berani, yang bakhil menjadi murah hati, dan putus asa dan kecewa menjadi sabar dan tenang hati. Lalu, kembalilah menghayati dan bermuhasabah akan nilai keimanan dalam kesedihan. Jika kita melihat semula, ramai orang boleh berbicara mengenai Iman, boleh menghayati erti syukur apabila dikurniakan sesuatu nikmat, namun begitu wahai diriku dan sahabatku, tidak ramai yang boleh merasainya ketika ditimpa sesuatu musibah, oleh yang demikian, dalam apa sahaja keadaan, kita sama-sama harus kembali menghayati nilai seorang mukmin, siapa itu mukmin, dan bagaimana ciri-ciri seorang mukmin.


“Menakjubkan sungguh urusan orang mukmin. Segala perkaranya adalah kebaikan. Dan itu tidak terjadi, melainkan hanya kepada orang-orang mukmin. Jika mendapat nikmat dia bersyukur, dan menjadilah syukur itu baik baginya. Dan jika ditimpa musibah, dia bersabar, dan menjadilah sabar itu baik baginya ” (HR Abu Dawud dan Tirmidzi)


Firman Allah swt yang bermaksud :

“Allah-lah yang menciptakanmu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan kamu setelah keadaan lemah itu menjadi kuat.Dia menjadikan kamu setelah kuat itu lemah kembali dan beruban. Dia menciptakan apa yang dia kehendaki. Dan Dia Maha Mengetahui Mahakuasa. ” Surah Ar-Rum - 54.


Sidang pembaca yang dirahmati Allah sekalian,


Saya menyedari bahawa, perkahwinan itu bukan hanya pada persediaan fizikal sahaja, pada persediaan pakaian, wang ringgit, rumah, dan kereta. Semua itu satu keperluan yang harus ada, tidak dinafikan, tetapi, bukan yang paling aula (utama). Untuk membina sebuah perkahwinan itu harus juga ada persediaan rohani, dan emosi. Perkahwinan itu boleh menjadi syurga bagi sesetengah orang dan boleh juga menjadi neraka bagi sesetengah yang lainnya. Hal ini berbalik kepada bagaimana pasangan tersebut mengendalikan bahtera di dasar lautan sebuah kehidupan yang bernama "Perkahwinan". Adapun ia akan menjadi syurga bagi mereka yang benar-benar menjaga pintu masuknya. Apakah ia ingin masuk hanya untuk memenuhi keperluan syahwatnya, atau hanya sekadar ikut-ikutan, atau juga hanya untuk bercinta? ataupun ia melihat perkahwinan itu merupakan satu amanah besar dari Allah, satu sunnah Rasulullah, dan merupakan satu peluang untuk dipergunakan ke arah mencari keredhaan Allah. Maka, dalam perkahwinan itu, dia dan pasangannya akan berlumba-lumba (fastabiqul khairat) untuk membuat kebaikan, saling memberi yang terbaik, saling lengkap melengkapi, tolong menolong dalam kebaikan, dan bantu membantu dalam meninggalkan keburukan. Maka, perkahwinan itu akan menjadi syurga bagi seorang mukmin. Maka, akan lahirlah mawaddah dan sakinah.


Maka......

Saya menyedari bahawa, mungkin dengan takdir Allah ini, menunjukkan bahawa, saya masih belum bersedia, belum cukup persediaan untuk melangkah ke alam perkahwinan. Maka, saya harus terus maju membuat persediaan ke arahnya, dalam masa yang sama berusaha menjadi seorang mukminah yang baik daripada aspek yang lain. In sha Allah.


Penawarhati90
10.49 am
15 Februari 2013
Langkawi, Kedah

1 comment: