Saturday, February 9, 2013

Didiklah Anak-Anak Dengan Cinta & Kasih Sayang


Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Buat sidang pembaca yang disayangi Allah swt dan dikasihi Rasulullah saw sekalian,

Saya mendoakan semoga sehingga saat ini, setiap daripada jiwa-jiwa yang mendambakan kasih Illahi berada di dalam ketenangan Iman dan kesihatan rohani, jasmani dan akhli. In sha Allah.

Taman Lagenda


Segala puji hanya bagi Allah swt, Rabb Arsy Yang Agung, Rabb Yang Maha Mengetahui, Maha Memelihara, Maha Melindungi setiap jiwa hamba daripada sebarang anasir dan debu-debu penyakit yang bisa mambatalkan nilai-nilai hamba dalam dirinya. Dia-lah Allah, Yang Maha Mengetahui akan takdir kehidupan para hamba, segala yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku, semuanya telah tercatat di Loh Mahfuz, namun, sebagai seorang hamba yang Maha Jahil, mengharapkan semoga Rabbnya, selalu memimpinnya ke jalan yang benar, jalan orang-orang yang Muttaqin, jalan orang-orang yang Redha, Sabar dan Menyerah diri semata-mata kepada Allah swt secara total dalam kehidupannya sehari-hari, serta mengharapkan pada setiap takdir yang telah ditetapkan Allah untuknya, sama ada berbentuk nikmat atau musibah, sentiasa dalam kebaikan dan tidak dalam kemurkaanNya. Amin. In sha Allah.


Selawat dan salam buat kekasih Allah yang Agung, Nabi Muhammad SAW, Penghulu sekalian Alam, suri teladan terbaik sepanjang zaman, tidak ada contoh yang lebih hebat, lebih mulia untuk dicontohi, melainkan baginda, Murobbi Mithali yang paling baik untuk diteladani. Salam sejahtera buat ahli keluarga serta para sahabat baginda SAW.


Semoga Allah swt sentiasa mengasihi, mencintai, merahmati dan mengampuni diriku, kedua ibu bapaku, adik beradikku, sanak-saudaraku, murobbi-murobbiku, sahabat-sahabatku seluruhnya, bakal pemilik cintaku setelah Allah dan Rasul yang berada di dalam simpanan dan jagaan Allah, rahsia buatku, rakan-rakan sekerjaku, anak-anak didikku yang ku kasihi dan sayangi kerana Allah swt sentiasa dan sentiasa serta sesiapa sahaja yang daku temui setiap hari dan setiap waktu, tidak lupa juga buat saudara-saudaraku di Rohingya, Palestin, Somalia, Syria, Lubnan, Mesir, dan di seluruh pelosok dunia, moga-moga kita semua berada di dalam sakinah Imaniyah dalam keadaan apapun jua.


Sidang pembaca yang dirahmati Allah sekalian,


Pada petang yang hening ini, ingin sekali saya bawakan suatu isu yang acapkali saya terfikir setelah beberapa hari terjun ke medan persekolahan sebagai seorang pendidik kepada masyarakat, dan melalui Mesyuarat Guru tempoh hari mengenai Pembentukan Keperibadian Seorang Insan Bernama Manusia atau Mengenai Bagaimana Cara Untuk Memanusiakan Manusia. Hal ini disebabkan, seorang murobbi/guru/pendidik itu sebenarnya mempunyai amanah yang sangat berat dalam membentuk keperibadian seorang insan yang memenuhi 3 fakulti insan iaitu Cemerlang Rohani, Cemerlang Jasmani, Cemerlang Akhli.



Pada malam itu, saya telah menjamu selera di sebuah kedai makan. Sambil menunggu makanan tiba, mata saya tertumpu ke kaca tv yang memaparkan sketsa kehidupan sebuah keluarga. Kisah ini menceritakan bagaimana seorang kakak sanggup melupakan pengorbanan adiknya yang telah banyak berkorban untuknya memenuhi cita-citanya menjadi seorang Doktor, kemudian, turut melupakan segala jasa ibu, dan melukakan hati mereka demi memilih pasangan yang dicintainya, sedangkan ibu melarang kerana ada sebabnya, dan sebab untuk kebaikan wanita itu sendiri. Saya terpesona dengan cara ibunya menasihati, dengan penuh kelembutan, dengan penuh hikmah, tetapi, orang muda ini ada egonya, keras hatinya.  Semasa kecil, wanita ini merupakan seorang anak yang taat dan seorang kakak yang sangat baik. Beliau pernah didenda oleh ayahnya, diikat di sebatang pokok, kerana melakukan kesalahan. Ayahnya memukul beliau, dan adiknya merayu-rayu supaya dilepaskan kakaknya. Demikian sahaja cerita saya.


Sebenarnya, apa yang ingin saya kaitkan dengan isu saya pada hari ini adalah saya melihat ayahnya terlalu garang, memukul, mendenda anaknya. Pada pandangan saya, seorang ayah walaupun sebenarnya perlu ada ketegasan dalam mendidik, tetapi ketegasan itu harus bersama kelembutan bukan kegarangan. Hal ini disebabkan, sebagai seorang ibu bapa, kita adalah pendidik, kita adalah pembentuk, kita ingin mendidik anak-anak dengan cinta dan kasih sayang yang pertama dan utama dahulu, mencintai Allah, Rasulullah, Ibu Bapa, Alam Ciptaan Allah, sahabat-sahabat, adik beradik, kita ingin menerapkan perasaan Tauhidullah, dengan menggunakan pendekatan cinta & kasih sayang. Kemudian, membentuk anak-anak menjadi manusia yang memiliki nilai-nilai kemanusiaan, akhlak seorang manusia, dan membentuk mereka melakukan sesuatu atas dasar Cinta, Faham, Sedar, Iklas, Jujur, dan gembira, bukan atas dasar keterpaksaan. Kita ingin anak-anak kita menyayangi, menghormati, dan mentaati ibu bapa kerana faham dan sedar, bukan kerana takut dan tidak tahu apa-apa. Semua itu harus bermula daripada ibu bapa, ibu bapa harus sentiasa merendah diri untuk menuntut Ilmu Keibu bapaan, sebelum, semasa dan selepas menjadi ibu dan bapa, kerana sifat ilmu itu tidak akan habis, tidak ada penghujungnya, semakin kita mendalami, semakin kita merasa jahil, semakin kita merasa begitu kerdil kerana luasnya cabang ilmu Allah yang diibaratkan sebagai setitis air laut itu. Seperti kata hadis :


Sabda Rasulullah SAW, maksudnya:  “Setiap bayi yang dilahirkan adalah suci fitrahnya.  Ibu
bapalah yang menjadikan mereka Yahudi, Nasrani mahupun Majusi.” (HR Bukhari dan Muslim).

Saya meyakini, media massa benar-benar telah memainkan fungsinya untuk menjauhkan para ibu bapa muslim pada hari ini yang sedang mencari-cari identiti ibu bapa muslim, daripada cara didikan Islam yang sebenarnya. Mereka telah berjaya menerapkan satu persepsi ke dalam keperibadian ibu bapa dan guru bahawasanya, untuk mendisiplinkan anak-anak, mestilah menggunakan cara kekerasan, kegarangan, pukulan. Tetapi, benarkah cara ini dalam Islam?


Berdasarkan pembacaan saya di dalam buku Pendidikan Anak-Anak dalam Islam, Dr Abdullah Nasih Ulwan, ada menceritakan:


“ Selagi anak-anak itu masih kecil, wajarlah dia berada di sisi ibu bapanya. Dan selama dia masih dalam usia belajar dan berdidik, maka wajarlah bagi kedua ibu bapa dan para pendidik tiada membiarkan mana-mana satupun dari cara pembaikan, melainkan dicubainya (maksudnya, gunakan segala cara kelembutan dalam mendidik dahulu) dan tiada satu jalan yang boleh meluruskan bengkoknya, dan memperbaiki akhlak dan perilakunya, melainkan di atas kelakukan Islam yang sempurna, dan moralitas kesosialan yang tinggi.”
“Islam mempunyai cara-caranya yang tersendiri dalam hal memperbaiki anak-anak dan mendidiknya. Kiranya berguna sifat lemah lembut dalam menasihati anak-anak itu, maka tiadalah patut bagi para pendidik untuk mengambil sikap menjauhkan diri, ataupun kekerasan, tiadalah patut mereka menggunakan cara pukulan. Apabila mereka gagal dengan cara-cara pembaikan ini, dan tiada berguna lagi cara lemah lembut dan nasihat, ketika itu barulah boleh ia menggunakan cara memukul yang tidak mencederakan. Moga-moga para pendidik akan mendapat kebaikan dengan cara ini untuk memperbetulkan diri anak-anak itu, dan meluruskan bengkoknya dalam kelakuan.”

______________________________________________________________________________


Apabila memandang pelajar-pelajar saya, subhanallah, timbul perasaan sayang yang cukup kuat dalam hati ini, saya merasa cukup sayang dengan mereka, sayang kerana Allah swt. Mereka adalah insan-insan yang masih punya harapan untuk dibentuk, dan ingin sekali diri mereka dibentuk menjadi insan berguna untuk masa hadapan. Mereka ingin dibantu, dan itulah yang saya sedang lihat.


Sebagai seorang pendidik, saya harus cuba melakukan yang terbaik untuk menjalankan masuliyah ini. Semoga saya terus bersabar, gembira dan terus menghayati dan menikmati sepenuhnya detik-detik bersama mereka untuk beberapa bulan ini. Mereka saya anggapkan seperti adik saya, dan anak-anak saya sendiri. Walaupun saya belum mempunyai cahaya mata, saya sentiasa membayangkan wajah anak-anak saya di hadapan mata saya, dan merekalah anak-anak saya hari ini, yang bakal menjadi pendidik anak-anak saya nanti, oleh itu saya perlu sedaya upaya, menyediakan diri saya untuk menyediakan mereka menjadi insan yang cemerlang dalam akademiknya, dan dalam masa yang sama menerapkan nilai-nilai keinsanan ke dalam diri mereka. Mereka akan menjadi inspirasi saya untuk mendidik anak-anak saya pada suatu hari nanti. In sha Allah.
………………………………………………………………………………………………………….......................


Walaupun si dia masih menjadi rahsia buat saya, tetapi saya meyakini bahawa, Allah sedang menyediakan si dia untuk menjadi pendidik dan pemimpin yang terbaik untuk saya dan anak-anak saya. Terbaik bukan bermaksud paling baik dan paling sempurna, tetapi terbaik buat saya. Beliau akan menjadi murobbi saya dan bersama-sama saya untuk menjadi murobbi/ah kepada bakal pewaris kami. Saya akan selalu berdoa buat insan istimewa itu. Itulah harapan saya selama ini, dan setiap apa yang saya harapkan, tidak pernah sekali-kali saya ingin mementingkan diri sendiri, tetapi mengharapkan kebaikan bersama, sama-sama mendapat kebaikan, sama-sama mendapat manfaat dari usahasama untuk meningkatkan diri. Walaupun mungkin kami sama-sama tidak sempurna, tetapi, penyatuan itu adalah saling melengkapkan. Kita mungkin tidak akan menjadi sempurna pun, kerana fitrah manusia memang tidak sempurna. Tetapi, kata Guru Besar yang saya cintai kerana Allah, Dr Tn Hj Nazari:


“ Marilah kita sama-sama membiasakan yang betul, dan membetulkan yang biasa”

*membetulkan yang biasa bermaksud, jika amal itu kita biasa lakukan, dan rasa ia betul, tetapi sebenarnya salah, jadi harus membetulkan yang biasa. (Seperti kena tembakan peluru berpandu…Mesyuarat yang sangat BEST!) Alhamdulillah.  

Sentiasa setia menantinya dalam munajat.
………………………………………………………………………………………………………….........................
* rindu ibu ayah yang dikasihi selalu, namun, tanggungjawab menuntutku untuk terus bertahan di sini seketika menyiapkan segala kerja. Moga-moga dapat balik dengan senang hati dan sentiasa gembira melayani mereka. Tutupilah segala kedukaan dengan sebuah senyuman yang paling manis, layanan yang paling istimewa buat ibu bapa dan keluargamu yang sangat merinduimu. Saat itu akan tiba beberapa hari lagi, in sha Allah.

Hamba yang mengharapkan rahmat & maghfirah,
Penawarhati90,
8.30 pm
28 Rabiul Awwal 1434 H bersamaan 9 Februari 2013
Universiti Sains Malaysia,
Pulau Pinang. 

No comments:

Post a Comment