Sunday, February 3, 2013

Melangkah ke Latihan Mengajar Sebagai Guru Pelatih



Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Buat sidang pembaca yang dirahmati Allah swt sekalian,

Semoga limpahan rahmat, kemuliaan, kasih sayang serta keampunan Allah swt sentiasa mengiringi perjalanan hari-hari dalam hidupku, kedua ibu bapaku, kedua ibu bapa angkatku, adik beradikku, sanak saudaraku, murobbi-murobbiku, sahabat-sahabatku seluruhnya, bakal pemilik cintaku setelah Allah dan Rasul yang berada di dalam jagaan dan perlindungan Allah, rahsia buatku, para pesakit klinik, bakal anak muridku, para pensyarah dan guru pembimbing serta sesiapa sahaja yang daku temui setiap hari dan waktu.


Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah swt kerana dengan limpahan rahmat serta keizinannya, kita masih diberi peluang untuk bernafas dalam jiwa hamba, dan merasai perhambaan kepada Allah swt atas nikmat Iman dan nikmat Islam yang dianugerahkan olehNya. Alhamdulillah, dengan izin Allah swt juga, saya tiba di hari yang dinanti-nanti, hari yang mendebarkan, dan hari yang menenangkan, hari yang baru melangkah ke destinasi yang baru, dengan tujuan dan harapan yang baru, untuk menjadi seorang pendidik, fasilitator, seorang kakak, seorang ibu kepada anak-anak murid yang subhanallah, sangat memerlukan bimbingan, dan kasih sayang seorang guru. Alhamdulillah, in sha Allah, saya akan diberi tanggungjawab mengajar di dalam subjek Biologi, sebuah subjek yang benar-benar hampir kepada kejiwaan.


Maka, dalam peluang dan nikmat yang Allah beri ini, ingin sekali, ya Allah, in sha Allah, saya pergunakan sungguh-sungguh untuk belajar menjadi seorang pendidik yang dapat membawa akhlak Islamiyah, dan memberi ilmu dengan penuh keikhlasan. Moga-moga pada setiap langkahan saya, Allah kira sebagai satu amal soleh yang akan menjadi saksi yang melayakkan saya bertapak di syurgaNya. Ingin saya menghayati, hari-hari dalam kehidupan seorang pendidik, dengan penuh nikmat walaupun di tengah-tengah perjalanan ini, pastinya ada cabaran yang menanti, namun, saya memohon semoga Allah meneguhkan hati ini untuk terus bertapak di jalan ini, hingga ke akhirnya. In sha Allah.


Tidak lupa kepada yang mendoakan saya, subhanallah, saya ucapkan jazakumullahukhairan kathira.  Semoga doa dan harapan setiap seorang kepada saya ini tidak saya persiakan, dan berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana sepertimana yang kita sedia maklum bahawasanya Allah swt tidak akan mengubah takdir sesuatu kaum melainkan mereka mengubah diri mereka sendiri. In sha Allah, untuk mencapai impian dan matlamat itu, saya harus berani untuk mengubah diri sendiri, kerana saya benar-benar inginkan ia tercapai sepertimana yang diharapkan.


Sedikit pembacaan yang ingin kongsikan buat diri saya sendiri sebagai langkah awal untuk berhadapan dengan kehidupan baru hari ini dan para pembaca yang saya sayang kerana Allah sekalian,


Menggapai keikhlasan

Untuk menggapai keikhlasan, ada 5 hal yang perlu engkau perhatikan:

Pertama, hendaklah setiap amalan yang engkau lakukan semata-mata hanyalah mengharapkan rahmat Allah.

Kedua, setiap aktiviti, amal perjuangan, dan perikehidupan social harus sesuai dengan tuntutan syariat Allah swt.

Ketiga, Setiasa bermuhasabah diri, apakah sebenarnya yang engkau inginkan dari dakwah ini? Motivasi apakah yang hendak engkau capai daripada misi yang mulia ini, apakah mengajak manusia ke jalan Allah, ataukah untuk kepentingan diri dan kelompoknya?

Keempat, sentiasa memperhatikan segala perbuatannya, apakah sudah sesuai dengan apa yang diucapkan oleh lisannya?

Kelima, sentiasa waspada terhadap tipu daya syaitan yang sentiasa ammaratun bis suu; (mengajak berbuat jahat) dan mendorong para hamba Allah berbuat riya’ dan memburu popularity.

Tugas seorang pendidik adalah melaksanakan didikan dengan ikhlas dan istiqamah dalam menapaki jalan-jalan dakwah. Kita tetap yakin, bahawa suatu saat Allah akan melimpahkan rahmatNya kepada masyarakat berupa terpimpinnya mereka dengan syariat-syariat Islam, menaruh simpati, menyambut dakwah, dan menerima petunjuk Allah dengan penuh kepatuhan, keinsafan dan tanpa paksaan.


Wahai para pendidik,

“ Sungguh keikhlasan itu sangat berpengaruh pada hasil dakwah yang engkau lakukan. Seorang pendidik yang ikhlas dan tawadhuk akan mendapat tempat di hati masyarakat”

-Taujih Ruhiyah (Allahyarham Ustaz Abdullah Nasih Ulwan)-

Baru kini saya faham, mengapa Allah mengambil semula pinjamanNya daripada saya, mungkin kerana keikhlasan saya belum benar-benar mantap, dan saya harus redha atas segalanya. Semoga dengan bertemu dengan para pelajar yang saya sangat rindu dan kasih kerana Allah, dapat sedikit sebanyak mengubat jiwa ini. Untuk kali ini, saya tidak ingin lagi kehilangan nikmat di hadapan mata saya, yang harus saya manfaatkan sepenuh jiwa raga dan akan sentiasa dan sentiasa mendoakan nikmat yang telah hilang. Alhamdulillah, syukur pada Allah atas segala-galanya.


Mungkin sekadar di sini sahaja coretan saya buat hari pertama ini. Doakanlah semoga Allah mempermudahkan langkah saya, dan mengampuni dosa-dosa saya dengan nikmat kesihatan yang ditahan seketika. Semoga Allah kurniakan kejayaan kepada saya untuk menjadi pendidik di Sek Men Bukit Gambir, dan dalam masa yang sama perlu menyiapkan 2 tesis dalam masa 5-7 bulan. Subhanallah, masa itu berlalu bergitu pantas. Harus pergunakannya dengan sebaik-baiknya. In sha Allah.


Segala yang baik itu daripada Allah, yang lemah itu daripada saya sendiri, hakikatnya kedua-duanya adalah daripada Allah swt jua. Ambillah segala yang baik, dan tinggalkan segala yang tidak baik itu di sini sahaja, maka kehidupan kita akan selalu bahagia, kerana tidak menyimpan perasaan yang tidak-tidak kepada mana-mana makhluk ciptaan Allah swt.


Wallahua’lam. Jazakumullahukhairan kathira.

Sekolahku Taman Mencurah Ilmu

 Buku Catatan Harian (Diari Harian)

Buku Rancangan Pengajaran (Hari-hari kena isi)

Buku Takwim Sekolah (Paling Best Tengok Cuti ).hehe

Guru Pelatih seramai 9 Orang (2 ISMP USM, 5 DPLI USM, 2 UTHM), mengetuai team guru pelatih, subhanallah, masya Allah, moga Allah kuatkan hati untuk menerima amanah ini, doakan. 

*selamat ke perhimpunan

Hamba yang mengharapkan rahmat & maghfirah,

Penawarhati90
6.47am
4 Februari 2013
USM


No comments:

Post a Comment