Wednesday, February 13, 2013

SMK Bijak Gemilang di Hatiku


Bismillahirrahmanirrahim

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang,

“ Ya Allah, perbaikilah agama kami yang merupakan penyelesaian segala masalah kami. Perbaikilah dunia kami yang menjadi penegak kehidupan kami dan perbaikilah akhirat kami yang akan menentukan akhir kesudahan kami. Ya Allah, anugerahkanlah kepada kami rezeki taqwa yang memperbaiki amalan serta akhlak kami. Kami memohon rasa takut terhadap murkaMu, mengharap keredhaanMu, dan selalu bergantung kepada limpah rahmatMu. Anugerahkanlah kepada kami rezeki taqwa  dalam sembunyi sebelum terang-terangan.  Jangan hinakan kami dengan bermaksiat kepadaMu. Jadikan kami cenderung dalam melaksanakan kebaikan serta membawa kebaikan kepada seluruh insan. Kabulkanlah wahai Dzat Yang Paling Rahim.”


Buat sidang pembaca yang dirahmati Allah swt sekalian,


Semoga Allah mengampuni segala dosa dan kesilapan hamba yang begitu dhaif dan dipenuhi dosa ini, dan insan-insan yang di sekelilingku.


Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada ahli keluarga SMK Bukit Gambir, SMK Bijak Gemerlang, selama kira-kira 14 minggu, dan kiranya termasuk minggu ini, telah 2 minggu saya menjadi sebahagian daripada tenaga pengajar di sana, walaupun hanya sementara, dan hanya bergelar guru pelatih, saya sedikitpun tidak pernah merasakan kesementaraan saya di situ ataupun hadir sebagai seorang asing. Mengapa?


1.       Hal ini disebabkan, kami tidak pernah mendapat layanan sebagai seorang guru pelatih, tetapi di awal kehadiran kami ke situ, kami bukan sahaja diraikan, malah diterima baik oleh semua warga SMK Bukit Gambir, daripada pelajarnya, guru-gurunya, staf-staf, pembantu makmal, dan sesiapa sahaja di situ.


2.      Satu budaya yang saya perhatikan di sana ialah hampir kesemua lapisan masyarakat di sana sentiasa saling hormat menghormati antara satu sama lain, saling meraikan, sentiasa murah dengan senyuman, dan teguran walau di mana sahaja berada tidak kira dalam kalangan guru, staf mahupun pelajar. Mereka sentiasa saling bantu membantu, tidak kira bangsa dan budaya. Di mana sahaja kita temui pelajar mahupun guru, secara tidak lansung, kita akan memberi salam, ataupun diberi salam.


3.      Panggilan. Semua staf, guru mahupun pelajar di situ tidak memanggil kami dengan panggilan nama tetapi mesti dimulakan dengan “cikgu”. Ya, mungkin bagi sesetengah orang, merasa biasa dengan perkataan itu, tetapi pada saya, panggilan itu merupakan satu panggilan yang menandakan satu penghormatan kita kepada seseorang. Alhamdulillah, sepanjang saya berada di sana, saya sentiasa dipanggil sebagai “cikgu Syafiyah”, dan pada saya juga, panggilan itu merupakan satu doa dan kekuatan untuk saya melakukan yang terbaik dalam usaha mendidik pelajar-pelajar saya menjadi “somebody”. Sesiapa yang tidak mengenali saya, akan memanggil saya dengan panggilan “ustazah”, agak melucukan sebenarnya, tetapi, raikan sahaja sebagai sebuah doa.




4.      Setelah saya melalui Mesyuarat Guru Kali Pertama bersama Tn Guru Besar, Dr Tn Hj Nazari, saya melihat ada satu harapan besar yang beliau letakkan di bahu kami, dalam melahirkan pelajar yang cemerlang sahsiah dan akademiknya, tetapi, beliau acapkali menyebutkan soal Pembentukan Keperibadian Seorang Pendidik itu sangat penting sebelum membentuk anak muridnya. Beliau membawakan satu analogi yang sangat mudah untuk difahami mengenai kisah “Arnab & Kura-Kura”.

-         Konklusi pada ceritanya, apa yang saya lihat ialah, beliau berharap para guru ini saling bekerjasama, dan lengkap melengkapi dalam melakukan sesuatu kerja.
-         Team work is very important, and war is not the answered.
-         “ Learn to complete not to compete”
-         Identify core competency and change the playing field to suit your core competency.

Setelah melalui mesyuarat itu, saya merasa jiwa saya sangat terisi, mendapat satu semangat dan kekuatan untuk bersungguh-sungguh menggunakan peluang yang ada ini dengan sebaik-baiknya dalam usaha untuk belajar apa sahaja ilmu dan kemahiran seorang mendidik, serta mengajar iaitu seorang pendidik yang sukses kepada anak-anak didik saya, bukan sekadar memberi ilmu, malah menjadi ibu, kakak dan pendidik mereka. Masa saya tidak panjang di situ, dan saya merasakan kesuntukannya, dan saya ingin sekali menghargai setiap satu detik ini untuk belajar dan mengajar.

Ruangan kecil yang besar peranannya untuk mencurah bakti selama 14 minggu, 
In sha Allah.

5.      Pelajar-pelajar buah hati saya. Subhanallah, merekalah buah hati saya, merekalah penyejuk pandangan mata saya. Bersih wajah mereke, redup pandangan mereka seakan-akan meminta sesuatu daripada saya, iaitu limpahan ilmu dan kasih sayang. Pada kali pertama dan minggu pertama saya memasuki kelas mereka, saya meminta mereka menuliskan matlamat hidup mereka, dan teknik pengajaran yang bagaimana yang mereka ingin saya perbanyakkan dalam usaha memahami Fizik & Biologi, kerana saya inginkan mereka mula hadir ke sekolah dengan matlamat. Mereka belajar dengan matlamat, ada sesuatu yang mereka ingin kecapi. Dan akan selalu saya ulang matlamat mereka itu supaya mereka beringat dan bersungguh-sungguh dalam pengajaran mereka. Dengan segala tumpuan, dan kesungguhan mereka untuk belajar, jiwa saya terpanggil untuk turut membuat persediaan terbaik untuk memasuki kelas mereka. Subhanallah, saya benar-benar mula mencintai kerjaya pendidikan. Saya ingin bantu mereka sebaik mungkin. Saya mula merasakan bagaimana perasaan para guru dan murobbi saya, apabila mereka faham apa yang guru itu ajarkan. Tidak kira berapa kalipun saya ulang-ulang pengajaran yang sama, apabila mereka faham, saya terasa ingin sujud syukur. Subhanallah. Alhamdulillah, Allahuakbar.



Namun, mengingati kata-kata ustaz saya:

“ Penghalang ilmu antara murobbi dan mutarabbi adalah dosa. Maka, berhati-hatilah dengan dosa, kerana ilmu itu adalah cahaya, ia tidak dapat menembusi hati-hati yang dipenuhi dosa”

Maka, dalam usaha kita membuat persediaan fizikal, dengan bacaan, rancangan pengajaran, dan segala persediaan fizikal, jangan lupa persediaan rohani, kerana di sana ada banyak duri-duri dan racun-racun yang bakal menghalang daripada mengalirnya ilmu itu ke hati sanubari pelajar.

Pada hari Jumaat, Alhamdulillah, sebagai mengeratkan sillaturrahim dan meraikan guru-guru berbangsa cina, satu “port luck” telah diadakan. Semua guru terlibat dalam majlis ini dan membawa apa sahaja jenis makanan. Alhamdulillah. Moga saya dapat belajar dan terus belajar di sini, dan membina hubungan baik dengan guru-guru yang lebih senior dalam usaha untuk mendapatkan ilmu dan pengalaman yang akan saya gunakan pada masa depan.

Dr Tn Hj Nazari - Guru Besar

Team Guru Pelatih Rakan seperjuangan

Guru-Guru yang lahir pada bulan Januari & Februari menerima hadiah. (angpau...^__^)

Makanan yang sangat sedap..^_^

Sekitar kawasan bilik guru.

Hidup ini adalah peluang bukan bebanan jika kita melihat dan menerima sesuatu dari sudut positif. Walaupun apa sahaja yang dipertanggungjawabkan, anggap ia sebagai peluang untuk mematangkan kita. Menulis RP setiap hari selangkap mungkin, walau kadangkala, tangan sudah terlalu lenguh, tetapi, RP itulah yang akan membantu para guru dalam proses PNP. In sha Allah.

Mungkin sekadar ini sahaja perkongsian saya, untuk mengisi masa rehat sebentar setelah tamat menulis RP fizik, dan menyambung semula ke Biologi dan Sains. Beberapa jam lagi akan bergerak pulang, jadi, korbankan sebentar tidur malammu, untuk tidur di dalam bas. Hehe.


Tidak sabar untuk pulang ke rumah… Diharapkan tidak membawa pulang segala kerja-kerja ini ke rumah, hanya membawa cerita-cerita indah-indah dan manis-manis untuk dikongsi bersama keluarga. ^__^.


Penawarhati90,
6.05am
14 Februari 2013
Universiti Sains Malaysia.

No comments:

Post a Comment