Saturday, April 20, 2013

Memori Indah Bersama Warga SMK Bukit Gambir


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Segala puji hanya bagi Allah Rabb Pemilik Arsy Yang Agung, selawat dan salam buat Rasul Junjungan Mulia, Rasulullah saw serta ahli keluarga juga para sahabatnya yang diibaratkan seperti bintang-bintang yang menyinari alam ini, maka setiap yang mencontohi keperibadian mereka turut menjadi mulia dan hebat di sisi Allah swt.


Setelah sekian lama tidak menulis, terasa seperti kekok untuk memulakan semula, minda terasa beku untuk memikirkan bahan yang ingin dikongsikan, dan mungkin juga jiwa sedang kehilangan himmah dan iradah, maka hamba ini ingin sekali kembali mencari dirinya yang hilang buat kesekian kali.



Masa berlalu begitu pantas, sepantas awan di langit dan selaju tiupan angin. Di saat-saat keseronokan, masa dirasakan berlalu begitu cepat sekali. Cuma di waktu kesedihan dan kedukaan datang melanda, maka masa yang berlalu di saat-saat ini dirasakan terlalu lama. Tetapi pada hakikatnya semuanya sama. Kata seorang penyair arab:

“Masa..!
Kau berlalu begitu pantas,
Seminggu dirasakan sehari,
Sebulan bagaikan seminggu,
Tanpa disedari,
Tahun ke tahun,
Seumur hidup,
Kalian rasakan dalam impian”

Kepantasan dan kependekan masa di dunia ini dirakamkan di dalam kitab Al-Quran surah An-Naziat ayat ke 46 :

“ Seolah-olah di hari mahsyar kelak mereka baru dapat merasakan hidup di dunia, lama masanya hanyalah di antara semalam atau sehari semalam.”

Dikukuhkan lagi dengan sebuah firman Allah yang bermaksud :

“ Dan di hari mereka dikumpulkan di padang mahsyar, mereka tidak merasakan hidup di dunia kecuali hanya sesaat sahaja di siang hari, yang di waktu itu mereka hanya dapat berkenal-kenalan”



Hari berganti hari, detik berganti detik, saya semakin berada di penghujung perkhidmatan sebagai seorang guru pelatih. Di saat saya mula merasa kehangatan cinta menjadi seorang pendidik, di saat saya mula menghayati dan merasa nikmatnya berada di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gambir, di saat saya sudah sangat menyayangi setiap individu para pelajar saya, tidak kira mereka yang saya kenali atau tidak kenali secara mendalam, maka, salam perpisahan semakin menggamit hiba. Di saat bersama mereka, saya merasa sangat bahagia, saya mampu tersenyum selebar mungkin, segala permasalahan peribadi hilang tenggelam dalam kebahagiaan bersama para pelajar, tetapi di saat mengenangkan masa saya semakin pendek, maka wajah yang gembira bertukar menjadi sedih. Namun, saya bersyukur kerana inilah peluang yang Allah beri, biarpun pendek, tetapi saya merasa cukup bahagia. Alhamdulillah.



Sepanjang berada di sekolah selama kira-kira 2 bulan lebih, pelbagai peristiwa suka dan duka telah saya lalui, pahit dan manis semuanya ada. Alhamdulillah, saya amat bersyukur kerana di sini Allah telah mentarbiyah diri saya dengan pelbagai perkara, di sini juga saya mempelajari banyak perkara baru. Kadangkala saya menerima beberapa tugasan dalam satu masa, dan perlu disiapkan dalam masa yang pendek, sememangnya keadaan pada waktu itu menjadi tegang, tetapi Allah memujuk jiwa saya dengan 2 perkara. 


1.       Saya selalu mengatakan di dalam diri saya, semua ini satu ujian yang perlu saya lalui sebagai latihan supaya saya lebih menghargai dan bijak mengurus masa.


Hal ini disebabkan, saya adalah antara manusia yang sangat lemah dalam pengurusan masa. Namun, apabila menerima banyak tugasan dalam satu masa dan semuanya penting, saya mula belajar mengenai pengurusan kerja dan bagaimana untuk bertoleransi dengan mereka yang memberi tugasan. Walaupun pada mulanya saya merasa tertekan, tetapi motivasi dalaman itu banyak memberi kesan ke dalam tindakan saya. Maka, sangat penting untuk membina kekuatan dalaman, kerana kekuatan dalaman amat mempengaruhi kekuatan luaran. Saya pernah melalui fasa-fasa yang amat lemah dan kuat. Saya pernah menangis kerana terlalu penat, sesuatu yang saya tidak pernah lalui sebelum ini, dan saya mula mengkaji asbabnya dan mencari solusi terhadap permasalahan itu. Maka, bagaimanakah untuk membina kekuatan dalaman?

“Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati-hati akan menjadi tenang”.
“Jagalah Allah, Allah akan menjagamu”.  

Dua ayat Allah inilah yang selalu menjadi motivasi bagi diri saya. Kerana saya dapati, di awal fasa LM saya, saya telah kehilangan 2 perkara ini walaupun secara luarannya, saya dilihat seperti ada, namun, saya lebih tahu apa yang saya telah hilang. Maka, apabila Allah sedarkan saya, bahawa saya sedang kehilangan 2 hakikat itu, maka saya cuba dan cuba untuk mencarinya semula dan ia tidaklah semudah yang dibicarakan. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah atas taufiq dan hidayah Allah swt.



2.       Nikmat mendekati dan didekati oleh para pelajar.

Inilah satu pujukan Allah buat jiwa saya, dalam keadaan tegang. Saya menjumpai jiwa-jiwa yang benar-benar ikhlas dalam menjalin hubungannya dengan saya sebagai seorang pendidik. Keikhlasan para pelajar saya dalam bersahabat dengan saya terasa di dalam lubuk yang paling dalam, di dalam hati saya, menyebabkan saya begitu terharu dengan mereka. Alhamdulillah, secara kesimpulannya, saya dapati pelajar Bukit Gambir bukanlah seperti apa yang pernah saya dengari, di sana saya menjumpai mereka yang jiwanya sangat dan sungguh baik, walaupun mungkin ada dalam kalangan mereka yang dikatakan bermasalah, tetapi bagi saya, mereka adalah mangsa keadaan, mereka telah kehilangan hak didikan yang selayaknya diberikan kepada mereka, lalu, sebagai pendidik, saya harus mendekati mereka sebagai seorang kawan yang ingin membantu tanpa sebarang persepsi negatif terhadap mereka, tetapi bersederhana dalam menghadapi mereka. Alhamdulillah, pengalaman itu tidak boleh dibeli, tetapi harus dilalui, dihadapi, barulah kita boleh jadikan ia sebagai nostalgia yang sangat indah dalam kehidupan.



Ketika saya berada dalam ketegangan, saya tidak mampu menjamah sarapan walaupun sedikit sehingga ke petang, berat saya menurun, wajah saya tegang, senyuman saya hanyalah satu lakonan. Ini menampakkan saya dengan tertekan. Kemudian, ada beberapa orang pelajar datang, menghadiahkan saya dengan makanan, sentiasa bertanya khabar, sentiasa menghantar mesej, memberi kata-kata peransang kepada saya ketika hendak diselia oleh pensyarah, dan juga kerjasama yang mantap, subhanallah, saya tidak pasti daripada manakah mereka melihat saya sedang tertekan, namun, mungkin juga keikhlasan itu sampai dari hati ke hati, dan saya amatlah terharu dan hamper mengalirkan air mata. Subhanallah. Terima kasih yang amat tidak mampu cikgu balas segala jasa kalian, hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya dengan balasan yang paling baik.


" Ya Allah, nikmat apa yang aku perolehi pada hari ini dan diperolehi daripada seseorang makhlukMu adalah daripadaMu jua, Yang Maha Esa dan Tidak bersekutu, maka segala bagiMu segala puji dan syukur"


Pelajar form 1 pula, walaupun mereka tidak tahu apa-apa, namun, melihat gelagat mereka cukup membuatkan jiwa saya menjadi begitu gembira. Setiap seorang daripada mereka, mempunyai keistimewaan masing-masing. Konklusinya, saya amat menyayangi mereka kerana Allah. Alhamdulillah, Allah memberi peluang kepada saya untuk melalui semua ini. Subhanallah, saya mendapati segala tugasan dapat saya laksanakan dengan baik walaupun tidak sempurna. Alhamdulillah.

Science Form 1 

Science Form 1

"Different Liquids Have Different Density"


Ceramah Keibubapaan

Sebuah doa yang ingin sekali saya kongsikan buat amalan kita bersama:


Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita semua, sentiasa dan sentiasa. Saya ingin menggunakan detik-detik yang masih berbaki ini dengan sebaik mungkin. In sha Allah, moga saya dapat tinggalkan sesuatu yang bermanfaat di sana, sesuatu yang bermanfaat di sisi Allah. In sha Allah.


Justeru, saya merafakkan sepenuh kesyukuran kepada Allah swt, merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua warga SMK Bukit Gambir yang Bijak dan Gemilang, atas segala kebaikan yang diberikan kepada saya. Alhamdulillah. Maka, saya mendoakan semoga sekolah ini mampu menjadi kilang yang baik dalam menghasilkan produk-produk yang bisa menjadi agen perubah masyarakat. In sha Allah. Wallahutaala a'lam.

Penawarhati90
3.16pm
20 April 2013
Putrajaya





No comments:

Post a Comment