Friday, May 3, 2013

Detik-Detik Masa


Bismillahirrahmanirrahim



Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Segala puji hanya bagi Allah swt, kerana dengan limpahan keizinan dan rahmat daripadaNya, kita masih sudi diberi peluang dan kesempatan untuk terus bernafas dan bermunajat kepadaNya, memohon keampunanNya atas segala dosa yang kita lakukan sama ada secara sedar ataupun tidak. Alhamdulillah, dengan keizinan Allah, ada kalanya Allah anugerahkan kita nikmat, supaya dengan nikmat itu, kita menjadi hamba yang bersyukur dan lebih taat kepada Allah, ada kalanya Allah anugerahkan kita satu musibah, kerana Allah tahu, itulah ubat yang paling baik untuk mengubati kelalaian dan kealpaan kita. Walau bagaimanapun, Alhamdulillah, setiap detik dan waktu itu, taufiq dan hidayah Allah sentiasa hadir menyedarkan kita akan hakikat perhambaan kita dan pergantungan kita hanya kepadaNya. Alhamdulillah.


Beberapa hari yang lalu, diriku dikejutkan dengan berita bahawa seorang pelajar yang daku kenali, adikku Zafry, telah menghidapi sebuah penyakit Kanser Usus. Bagaikan tidak percaya dan dadaku terus menjadi sebak, kerana dirinya yang daku kenali adalah seorang yang amat ceria, menghormati guru, dihormati oleh kawan-kawan, sentiasa tersenyum dan menundukkan diri tanda hormat jika terserempak dengan mana-mana guru sekalipun. Allah mengizinkan, daku menjadi guru penasihat Perpustakaan Sekolah, dan selalu melihatnya ketika perjumpaan pengawas sekolah.


Belum habis menerima kejutan ini, pada keesokan harinya, sebuah panggilan oleh seorang pelajar, bahawa Zafry telah pengsan di dalam kelas. Lalu, daku terus meluru ke kelas tersebut dan melihat kelibat dirinya yang sedang terbaring dalam kesakitan yang amat dan tidak mampu bergerak. Sebak dadaku melihat dirinya yang sebelum ini ceria, dan hari ini daku melihatnya dalam tangisan kesakitan yang amat sangat. Subhanallah, sayangnya Allah kepadanya, kerana Allah tahu ujian inilah yang terbaik untuk Zafry. Para guru cuba melakukan segala yang terbaik untuk membantunya supaya beliau tidak pengsan sementara menunggu kedatangan ambulan. Daku hanya mampu berdoa, dan memberi sedikit kata-kata untuk menenangkannya . Menitis butir-butir jernih dari kacamatanya, berderai air mata hatiku melihatnya, sudah tentu lebih berat baginya untuk menanggung dugaan ini. Namun begitu, aku percaya, Allah swt telah menyimpan sesuatu yang baik untuknya di sana nanti. In sha Allah.

Melihat pelajar yang daku kasihi itu merupakan satu tarbiyah buat sesiapa sahaja yang melihatnya. Terasa kehidupan ini terlalu singkat dan harus dipergunakan setiap detik dan waktu itu dengan sebaiknya.

Semoga Allah menyelamatkan dan memberi kesembuhan kepada adik Zafry, pelajar tingkatan 5, SMKBG. Semoga beliau yang soleh, tabah dan sabar dalam menghadapi ujian ini.

“ Jadikanlah sabar dan solah itu penolongmu, dan sesungguhnya itu adalah sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk ”.


Masa yang berlalu tidak mungkin akan kembali lagi.


Inilah ketentuan yang ada pada masa. Yang mana setiap hari, setiap detik masa tetap akan berlalu. Detik-detik masa yang telah hilang tidak akan datang lagi atau mungkin dapat dicari ganti. Berhubung dengan masa, AL- Hassan Al- Basri telah membayangkan di dalam satu rangkapan kata-katanya yang padat iaitu:
“ Tiada suatu haripun bila terpancar sahaja fajar, melainkan masa akan menyeru kamu: “ Wahai Anak Adam ! Aku masa yang baru. Hanya pekerjaan kamu menjadi saksi. Maka ambillah daku untuk bekalanmu. Sesungguhnya selepas aku pergi, aku tidak akan kembali lagi hinggalan sampai ke hari khiamat.”

Ada orang menyangka pada ungkapan ini sebuah hadis. Sebenarnya, bukanlah sebuah hadis, malahan ini adalah satu kata-kata nasihat dari Hassan Al- Basri yang menyerupai hadis nabi.

Seorang penyair Arab membayangkan bahawa setiap umur yang berlalu , detik-detik masa yang telah pergi tidak mungkin dapat diganti. Tidak mungkin berulang lagi. Rintihan ini diluahkan dalam sebuah syairnya yang berbunyi:

Semua yang hidup bagaikan dalam bahtera pelayaran,
            Setiap hari dan bulan, kian jauh dalam perjalanan.
Berhari bermalam semuanya bagaikan impian,
            Dunia ditinggalkan akhirnya kubur jualah yang berdekatan.



Rujukan : Detik-Detik Masa (Dr Yusuf Al-Qaradhawi)

Penawarhati90
10.00 pm
3 May 2013
Pulau Pinang

No comments:

Post a Comment