Thursday, June 27, 2013

[At-Tarbiyah Fi Aidikum, Fi Aidikum Faqad]


[At-Tarbiyah Fi Aidikum, Fi Aidikum Faqad]

Membawa maksud :

" Tarbiyah itu di tangan kamu dan di tangan kamu sahaja"


Semasa masih belajar di sekolah menengah, kami selalu mendengar perkataan ini seringkali meniti di bibir setiap murobbi kami. Lalu, sentiasa timbul persoalan di minda,

" Apa maknanya kata-kata tersebut? "


Tahun berganti tahun, proses demi proses kehidupan yang dilalui semakin mencelikkan dan mencernakan minda dan jiwa ini akan erti tersebut.


Ini bermakna, kitalah yang membuat pilihan sama ada untuk terus berada di jalan Dakwah & Tarbiyah ataupun tidak. Kitalah yang memilih untuk terus bersama rombongan yang ikhlas mentauhidkan Deen Allah swt ataupun sebaliknya. Sama ada kita ingin menyumbangkan dan mengorbankan tenaga, harta, nyawa dan wang ringgit kita ataupun tidak, Islam tetap akan mendapatkan kemenangannya kerana itu Janji Allah yang pasti. Islam tidak akan sekali-kali rugi dengan keciciran kita di atas jalan Dakwah & Tarbiyah melainkan kerugian tersebut berbalik kepada diri kita dengan kerugian yang TOTAL.  Hal ini disebabkan kita telah meninggalkan sunnah terbesar Rasulullah saw, kerja yang paling mulia, tetapi banyak kelompongan yang kekosongannya kerana terlalu ramai manusia yang memandang rendah, lekeh dan hina terhadap kerja-kerja yang mulia ini. Mereka melihat kerja mulia ini bagaikan terlalu asing/pelik dengan diri mereka, dan mereka memandang rendah terhadap insan-insan yang sanggup memikul tanggungjawab dakwah dan tarbiyah ini. Tetapi sedarkah kita akan beberapa persoalan:

1.       
Apakah yang sedang kita kejari dalam kehidupan yang terlalu singkat ini?

2.       Apakah kita tidak berminat dengan tawaran syurga daripada Allah swt yang merupakan destinasi pengakhiran bagi mereka yang menyahut seruan Dakwah & Tarbiyah dengan sebenar-benarnya?
3.       Di manakah kita meletakkan dunia dan di mana pula kita meletakkan akhirat di hati kita?



Justeru wahai saudaraku yang daku kasihi Lillahitaala,



Kembalikanlah diri kita kepada landasan sebenar kehidupan ini dan berusahalah untuk kembali pada setiap kealpaan kita. Sedarilah bahawasanya, kita berada bersama rombongan Dakwah & Tarbiyah adalah disebabkan oleh belas kasihan dan keizinan Allah swt. Kita merupakan insan dan hamba terpilih untuk memikul kerja-kerja yang mulia ini. Maka, sesungguhnya menjadi tanggungjawab kita untuk terus memastikan diri kita terus berada di atas jalan Dakwah & Tarbiyah sehingga ke hembusan nafas yang terakhir kerana kita tidak tahu siapakah kita pada masa yang akan datang dan apakah kita masih lagi akan terus istiqamah di atas jalan ini sedangkan hati manusia itu sentiasa berbolak balik. Tetapi, in sha Allah, Doa, Usaha, Tawakkal dan Ikhtiar kita pada hari ini dengan bersungguh-sungguh memperlihatkan kesungguhan kita kepada Allah swt untuk terus berada di atas jalanNya yang Dia redhai, maka, in sha Allah, sesungguhnya Allah swt itu Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Memakbulkan Doa Insan, moga-moga Dia menerima DUIT ini dan terus membenarkan kita untuk berada di atas jalan Dakwah & Tarbiyah.  Sememangnya jatuh dan bangun itu suatu sunnatullah. Firman Allah swt:


“ Dan bersabarlah engkau (Muhammad) bersama orang yang menyeru Tuhannya pada pagi dan petang hari dengan mengharap keredhaanNya, dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia, dan janganlah engkau mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti keinginannya dan keadaannya sudah melampaui batas”
-surah Al-Kahfi, ayat 28-



" Tarbiyah itu di tangan kamu dan di tangan kamu sahaja"


Menjadi tanggungjawab kita untuk merawat kerosakan yang semakin merajai alam buana ini. Demikian setiap hari, kita melihat kerosakan demi kerosakan Akidah dan Akhlak umat Islam pada hari ini, lalu, menjadi satu amanah kita untuk berusaha membaik pulih kerosakan tersebut. Untuk melenturkan jiwa-jiwa yang sedang liat dan keras, para pendidik terlebih dahulu perlu melenturkan kekerasan jiwanya. Untuk mengajak manusia merendahkan jiwanya di hadapan Rabbnya, para pendidik dahulu perlu merendahkan jiwanya di hadapan Al-‘Ali, Rabb Yang Maha Tinggi. Untuk mengajak masyarakat bangun menunaikan solat, para pendidiklah terlebih dahulu perlu menghidupkan sepertiga malamnya di atas sejadah zikrullah. Untuk mendidik masyarakat tunduk dan patuh kepada Allah, para pendidiklah terlebih dahulu perlu tunduk dan patuh kepada Allah. Menjadi satu tanggungjawab kita bersama untuk mendidik masyarakat ini dan mengembalikan diri kita dan juga mereka ke jalan Allah swt.



Sedarilah wahai insan, keadaan masyarakatmu sedang kritikal, mereka sedang hilang hala 
tuju kehidupan, mereka sudah tidak kenal erti Allah swt sebagai Rabb & Illah. Ramai dalam kalangan mereka sedang bertuhankan material dan teknologi. Ramai dalam kalangan mereka yang bertuhankan hawa nafsu dan syaitan semata-mata. Tanggungjawab siapakah untuk mengembalikan mereka ke jalan Allah?

Hayati firman Allah swt di dalam surah Al-Mudassir yang bermaksud:



1. Hai orang yang berselimut.
2. Bangunlah dan berikanlah peringatan.
3. Agungkan Tuhanmu.
4. Bersihkanlah pakaianmu.
5. Tinggalkan perbuatan dosa.
6. Jangan memberi kemudian mengharap balasan yang lebih banyak.
7. Bersabarlah kerana Allah.



" Tarbiyah itu di tangan kamu dan di tangan kamu sahaja"


·         Muhasahabah diri setelah melihat kegersangan Aqidah dan kesuraman Akhlak yang berlaku pada anak-anak didik yang daku sayangi Lillahitaala di medan tumpah baktiku. Amat menyedihkan dan sentiasa menampar jiwaku akan kealpaanku selama ini.


·         Kita mungkin tidak terasa kepentingan Dakwah & Tarbiyah dengan hanya berada di dalam biah solehah (suasana yang baik), tetapi kita cukup merasakannya apabila kita keluar dan turun ke padang masyakat pada masa kini, inilah suatu realiti dan inilah suatu kenyataan yang amat menyedihkan. Kita akan selalu tertanya-tanya, 


·         Apakah yang aku lakukan selama ini? Beginikah wajah masyarakat pada hari ini? Apa yang kita boleh lakukan untuk merawat penyakit berjangkit ini?


Jawapannya, marilah kita sama-sama berusaha menegakkan kalimah Allah swt di dalam diri kita terlebih dahulu dengan merapatkan jiwa dan fizikal kita ke majlis Ilmu & Zikrullah, menjaga Hubungan Dengan Allah dengan sebenar-benarnya, dan sesungguhnya Dialah sebenar-benar tempat pergantungan, Dialah Yang Berkuasa Memberi Penyakit, dan Dia jugalah Rabb Yang Maha Penyembuh. Maka kita akan bersama-sama bersatu membasmi segala racun yang merebak ke dalam jiwa masyarakat pada hari ini bernama Wahan iaitu Cintakan Dunia & Takutkan Mati.


Lahawlawala Quwwataillabillahilaliyul azim.


[At-Tarbiyah Fi Aidikum, Fi Aidikum Faqad]


Jumaah Mubarak & Syaaban Yang Barakah


No comments:

Post a Comment