Wednesday, June 12, 2013

Bahagialah Dalam Membahagiakan

Bismillahirrahmanirrahim




Dengan nama Allah Yang Maha Penyayang Lagi Maha Mengasihani, Rabb Yang Memegang Sebuah Takdir & Ketentutan kehidupan seorang hamba, Rabb yang sentiasa menyediakan kehidupan terbaik bagi para hamba. Alhamdulillah, segala puji dan syukur hanya selayaknya bagi Dia. Selawat serta salam diutuskan buat Rasulullah saw, suri teladan terbaik sepanjang zaman, bagindalah qudwah terbaik yang menjadi ikutan buat para Umat dalam perjalanan kembali ke tempat asalnya iaitu Syurga Firdausi. Salam sejahtera buat ahli keluarga serta para sahabat baginda yang memiliki keimanan yang luar biasa.


Sidang pembaca yang saya sayangi dan kasihi kerana Allah swt sekalian,


Sepenuh rahmat, keampunan, keberkatan dan kasih sayang Allah swt saya pohonkan buat diri saya sendiri,  anda, kedua ibu bapa yang saya selalu cintai kerana Allah, kedua ibu bapa angkat saya yang tidak pernah lekang daripada ingatan saya, kedua ibu bapa yang in sha Allah akan menjadi ibu bapa saya kelak yang sentiasa menerima dan meraikan kehadiran saya di dalam keluarga besar mereka, subhanallah, beliau yang sentiasa berada di dalam perlindungan dan peliharaan Allah, yang saya sentiasa hormati dan kagumi, bakal pelengkap kehidupan saya yang saya raikan di dalam doa dan impian saya, in sha Allah, jika Allah izinkan, sahabat-sahabat saya yang jauh di mata namun sentiasa dekat di hati ini, sentiasa rapat disebabkan ikatan Rabbaniyah, rakan-rakan taulan, anak-anak didik saya yang saya cukup kasih, cukup rindu, dekat di dalam doa saya, memori bersama kalian sentiasa segar bugar berbunga di dalam jiwa cikgu, adik-beradik, sanak saudara, mereka yang saya kenali dan temui setiap hari dan setiap waktu, serta umat Islam seluruhnya di dunia ini. In sha Allah. Amin Ya Robbal Alamin.


Alhamdulillah, dengan keizinan serta belas kasihan daripada Allah swt, saya telah diberi sedikit ruang dan peluang untuk mencoret sedikit perkongsian pengalaman kehidupan. Tika ini, saya ingin membawa sebuah cerita yang diceritakan oleh ustazah yang saya sangat kagumi (semoga Allah merahmati beliau), Ustazah Norhafizah Musa. 


Seorang ibu sedang menyulam sambil duduk di atas kerusi. Beliau mempunyai ada anak kecil, berumur 5 tahun sedang bermain-main. Lalu anaknya mendekatinya dari bawah, dan melihat gumpalan benang yang berpintal-pintal kelihatan seperti buruk gumpalan itu. Anaknya seperti bingung melihat ibunya duduk lama di atas kerusi, tetapi membuat sesuatu yang buruk.  Lalu anaknya bertanya:

“Ibu sedang buat apa?”

Lalu ibunya menjawab dengan lembut, “ Kamu pergilah main, ibu sedang membuat kerja ibu”.
Lalu anaknya meneruskan main dan datang lagi kepada ibunya, dan melihat benang itu semakin berpintal-pintal. Anaknya hairan melihat apa yang ibunya sedang lakukan. Setelah beberapa ketika, ibunya memanggil.

“Anakku, mari melihat, apa yang ibu buat”

Anaknya pun mendekati ibunya dan melihat satu sulaman yang begitu cantik, tidak seperti sebelumnya. Pada sulaman itu terdapat permandangan yang sangat indah. Ada pokok, bunga, burung dan sebagainya.


 Pengajaran daripada kisah ini

Inilah satu gambaran mengenai kehidupan di dunia ini, di mana, sebagai manusia, kita selalu melihat segala yang Allah takdirkan kepada kita daripada bawah, melihat melalui sudut pandang seorang hamba hina yang melihat takdir Tuhan itu sebagai sesuatu yang buruk sepertimana pintalan benang tadi. Kita seringkali tertanya-tanya, mengapa ini dan mengapa itu. Namun, sebenarnya pada setiap Takdir yang kelihatannya seperti buruk itu, ketahuilah bahawasanya, Allah sedang menyulam kehidupan kita dengan suatu sulaman yang cukup indah di atasnya.


“ Wahai orang-orang yang beriman, mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah 2:153)”



Alhamdulillah,segala puji dan syukur saya panjatkan ke hadrat Allah swt kerana telah menyulamkan satu takdir yang begitu indah terhadap kehidupan insan seperti saya. Walaupun pada awalnya, tidak dinafikan, saya turut melihat dari sudut pandang seorang hamba hina, saya turut menangis kerana membawa sifat seorang manusia, namun jauh di hati saya, apabila saya mula bermuhasabah dan menilai semula, saya merasa sangat lega, lapang dan tenang kerana saya telah membuka jalan kehidupan bagi insan- insan lain untuk mencapai impian yang mereka impikan selama ini. Jika inilah yang mereka inginkan selama ini, Alhamdulillah dengan izin Allah, saya telah mengembalikan hak-hak mereka semula. Saya tidak menzalimi sesiapa lagi dan tidak pula mengecewakan sesiapa. Segala yang berlaku subhanallah, bukanlah saya rancang bagaimana dan bila ia akan berlaku, tetapi, semuanya berlaku dengan keizinan daripada Allah swt dan saya begitu bahagia dengan membuka jalan kebahagiaan buat insan-insan lain.


“ Percayalah, apabila kita mempermudahkan urusan insan lain dengan ikhlas, dengan terbuka hati, dan rasa gembira, in sha Allah, Allah akan selalu mempermudahkan segala urusan kita dan selalu mengembirakan jiwa kita. Alhamdulillah.”


Buat insan yang baik itu, saya mendoakan semoga kini beliau dan keluarganya bahagia, lapang dan tenang, dengan kehadiran insan baru yang bakal menyinari dan mewarnai perjalanan harinya. Tidak ada yang lebih saya harapkan melainkan kebahagiaan buat insan-insan di sekeliling saya. Alhamdulillah, saya turut rasa bahagia melihat kebahagiaan mereka.


Buat insan yang istimewa itu, Alhamdulillah, saya memanjatkan sepenuh kesyukuran kepada Allah swt, kerana dengan izin Allah, saya berpeluang untuk menunaikan hajatnya dan keluarganya. Beliau yang saya raikan, hadiah bernilai buat saya, in sha Allah, sesungguhnya saya dan keluarga berbesar hati menerimanya dan keluarganya untuk bersatu membentuk sebuah keluarga besar yang membawa satu misi iaitu mencari Mardhatillah. Alhamdulillah, jazakumullahukhairan kathira saya ucapkan, semoga kalian merasa tenang, lapang, gembira, dan sentiasa bahagia dengan keputusan ini. Alhamdulillah, marilah kita sama-sama berusaha untuk menjadikan segala yang kita impian satu kenyataan. In sha Allah. Saya mendoakan semoga berkat restu daripada kedua-dua keluarga, berkat doa daripada para sahabat dan anak-anak didik, semoga Allah permudahkan jalannya seandainya inilah yang telah Allah tentukan buat kami. Semoga seluruh penduduk di langit, di bumi dan di dalam air sekalipun mendoakan kejayaan dan kebahagiaan buat kami dalam perjalanan membina sebuah kehidupan bersama. Alhamdulillah. In sha Allah.



Selalu teringat kata ibu yang saya cintai kerana Allah suatu masa dahulu:

“ Pilihlah insan yang benar-benar berhajat kepada kita”


Saya berharap, pilihan saya ini mengembirakan kedua ibu bapa saya terutamanya, dan adik-beradik saya, sahabat-sahabat saya, anak-anak didik saya dan sesiapa sahaja. Juga in sha Allah, kepada beliau yang berhajat kepada saya yang saya hormati dan kagumi juga keluarganya yang saya sayangi kerana  Allah swt. Amin…Amin..Ya Rabbal Alamin. Wallahua'lam.


Penawarhati90
8.26 am
3 Syaaban 1434 H bersamaan 13 Jun 2013
Langkawi, Kedah




2 comments:

  1. subhanallah..

    " Allah takkan ambil sesuatu dari kita melainkan Dia akan gantikan dengan yang lebih baik ".

    semoga Allah permudahkan semuanya. nanti jgn lupe jemput ;)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ain Soffiyah : Amin, in sha Allah, begitulah keadilan Allah. In sha Allah, jika Allah izinkan, doakan semoga dipermudahkan oleh Allah dalam segenap urusan. Semoga Allah merahmati kita semua. ^_^. Jazakillahukhairan kathira.

      Delete