Tuesday, July 30, 2013

Ramadhan Yang Indah Bersama Mereka


Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah, atas kesudianNya memberi kesempatan untuk kita menghirup udara segar Ramadhan Yang Barakah, terutamanya pada penghujung 10 hari terakhirnya. Subhanallah, saya merasakan detik kehidupan yang sungguh tenang dan indah pada setiap saat, setiap hari di bulan Ramadhan. Sepanjang melalui ramadhan kali ini, saya memanjatkan syukur yang amat kepada Allah swt, kerana sentiasa membahagiakan jiwa saya salah satunya dengan mempertemukan saya bersama insan-insan yang sentiasa meniupkan aura positif ke dalam diri saya. Tidak kira siapa sahaja yang saya temui, saya sentiasa melihat wajah yang tenang dan tersenyum. Subhanallah, betapa Madrasah Ramadhan ini merupkan Madrasah Tarbiyah buat insan menjadi seorang Muslim, seterusnya Mukmin, kemudian Muttaqin. Silibusnya cukup lengkap seandainya kita mengikuti satu persatu silibus Tarbiyah Ramadhan dalam Melahirkan Insan Muttaqin, in sha Allah, Kemenangan itu milik mereka yang menjalaninya dengan Iman & Mengharapkan Keredhaan Allah swt. 


" Ya Allah, nikmat apa sahaja yang daku kecapi dan perolehi daripada para hambaMu pada waktu pagi/petang hari ini, semuanya adalah daripadaMu jua; Yang Maha Esa dan tidak mempunyai sekutu. BagiMu segala puji & syukur"


Pada kesempatan ini, saya ingin mengambil masa beberapa minit untuk mengucapkan Jutaan Jazakumullahukhairan kathira kepada beberapa insan yang sentiasa prihatin dan tulus dalam ukhuwahnya. Jazakumullahukhairan kathira kepada anak-anak didikku atas segala pemberian sepanjang cikgu di sini. Sungguh cikgu tidak menyangkakan bahawa ikatan kita akan seerat ini. Cikgu tidak pernah sekali-kali melupakan kamu walaupun kita telah terpisah pada jarak masa yang begitu panjang. Alhamdulillah, Allah swt meraikan ukhuwah mahabbah kita, dengan mengatur satu demi satu pertemuan, agar kita bisa terus menjalinkan ukhuwah dalam rangka mencapai Redha Allah. 

Thanks a lot...

Macam tau2 cikgu suka buku...hehe. In sha Allah. (lepas baca, kena buat sesi bedah buku)


" Cikgu, saya tak tahu nak nasihat cikgu macam mana, cikgu baca jelah buku ni"- My student


Menu berbuka puasa untuk warga HOM. Tiba-tiba muncul di klinik dengan sebuah kejutan..Jazakillahukhairan kathira, my dear Shahirah..


Buat anak-anak didik yang cikgu kasih kerana Allah swt,

Alhamdulillah, cikgu sangat bersyukur berpeluang mengenali kalian, insan-insan yang sangat berharga dalam hidup cikgu. Saat bersama kamu adalah saat yang sangat indah dalam kehidupan cikgu. Saat bertadarrus dan bermusafir bersama kalian, adalah detik-detik sebuah pengharapan agar Allah akan mempertemukan kita di Jannah-Nya. Sama-sama kita saling mendoakan, semoga Allah menerima segala amal kita.

Merekalah insan-insan yang sentiasa bersama saya, walaupun mereka jauh lebih muda daripada saya, kadangkala segala kata pujukan, nasihat, gurau senda mereka mendidik saya erti sabar & syukur. Merekalah anak didik dan sahabat saya selamanya... In sha Allah.

Sweet Memory : 17 Ramadhan 1434 H, iftar bersama pelajar yang dirindui & dicintai selalu....

Jazakumullahukhairan kathira buat semua. Mari kita terus berlari kencang, menyiapkan bekalan menuju akhirat iaitu TAQWA. Semoga sinar ramadhan ini mendidik kita untuk menjadi hamba Rabbani, iaitu hamba yang begitu dekat dengan Illahi Rabbul Izzati. Sentiasa saling mendoakan antara satu sama lain, semoga ikatan kita ini menjadi saksi yang melayakkan kita bertemu di syurga Illahi. Doakan cikgu selalu. Terus berlari tanpa henti dalam pencarian menjadi Hamba Allah yang soleh/ah. 

Dalam perjalanan ini, ada kalanya kita bisa berlari, ada kalanya kita berjalan sahaja, ada masanya pula kita jatuh, tetapi, bangunlah semula, bepaut & bergantung terus menerus kepada Yang Maha Satu, in sha Allah, suatu saat, Dia akan membangunkan kita dalam keadaan yang lebih baik daripada sebelumnya.

Saya ingin menghargai setiap insan yang hadir ke dalam kehidupan saya, semoga kita terus saling mendoakan agar Allah mempertemukan kita di syurgaNya, destinasi paling abadi paling hakiki. Senyum. :)

Alhamdulillah..Keputusan Akhir Semester telah diperolehi..Alhamdulillah..Alhamdulillah..Alhamdulillah... Jazakumullahukhairan kathira kepada mereka yang tidak pernah berhenti menembak doa buat saya...:)


Penawarhati90
10.37 am
22 Ramadhan 1434H bersamaan 31 Julai 2013
Universiti Sains Malaysia 

Sunday, July 21, 2013

BILA RAMADHAN BERBICARA



Sekiranya bulan Ramadhan boleh berbicara kepada kita, apakah yang akan kita dengari dari Ramadhan?

Putera-puteri yang dikasihi kerana Allah SWT!

Marilah kita memberhentikan jam kehidupan kita sebentar dan marilah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mendengar bicara Ramadhan kepada kita.  Semoga nasihat dan teguran Ramadhan akan memberikan kita mementum imaniyah untuk memanfaatkan bulan Ramadhan yang baru disedari hanya bersisa dua minggu sahaja lagi.

Ramadhan memulakan bicaranya:

Syeikh Dr Mustafa as-Siba’ie telah lebih dulu merakamkan bicara Ramadhan ini dalam tahun 1376 atau 1957.

“Aku datang menemui anda, ada yang mahu menyambut kehadiranku dengan senang, sebagaimana tamu undangan yang disambut dengan penuh hormat dan kebesaran.  Namun ramai juga dari kalian yang enggan menyambutku, mereka melalui hari-hariku tanpa ada yang istimewa, sebagaimana mereka melalui hari-hari dan bulan-bulan selainku.  Bahkan di antara kalian ada yang menyia-nyiakan dan meremehkan diriku.  Padahal aku datang tiada lain untuk mengajar dan mendidik mereka, agar mereka boleh memasuki kancah kehidupan ini dengan selamat dan boleh menang”


Adakah kita merasai kehadiran Ramadhan dalam hidup kita sebagai seorang tamu yang paling istimewa pernah kita sambut dan kita ra’ikan?.  Ramadhan adalah tamu yang diutuskan oleh Allah SWT Yang Maha Belas dan Maha Penyayang untuk membimbing kita melalui ubudiyyah melalui aktiviti-aktiviti yang telah digariskan oleh Allah SWT, yang mengutuskannya.  


Adakah kita menikmati kehadiran tamu teristimewa ini?  Adakah setiap ketika kita melayani tamu bernama Ramadhan ini dengan penuh ketelitian dan berhati-hati, agar Ramadhan mendapat pemerhatian dan layanan yang terbaik dapat kita berikan.


Wahai putera-puteri yang dikasihi!


Ramadhan datang bertamu sebagai ‘pembimbing’ yang membantu kita dalam proses tarbiyah dan tazkiyah diri kita. 


Ramadhan berkata: Wahai kaum muslimin! Aku datang bersama dengan puasa, yang merupakan bekalan bagimu untuk meningkatkan keimananmu.  Inilah yang telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW kepada kita.


Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang berpuasa dengan iman dan mencari ridha Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni ” (HR Bukhari, Muslim dan Abu Daud)


Ramadhan juga mengingatkan: “Engkau tidak akan mendapat apa-apa dari kehadiranku dalam hidup walaupun aku bersamamu selama sebulan, selagi engkau tidak bertekad dan berusaha untuk shaum seluruh anggota dan hatimu.  Sekejap sahaja lagi aku akan menghabiskan pertamuanku denganmu tetapi tidak ada sebarang kesan atau bekas walaupun sedikit kepada hidupmu.  Seolah-olah aku tidak pernah bertamu dan hidup bersamamu selama sebulan.



Renungilah ungkapan Ramadhan ini sebelum dia meninggalkan kita dan kita tidak punya kepastian yang Ramadhan akan menziarah dan bertamu dengan kita di tahun hadapan.


Ramadhan Kareem
Rujukan dari : Kajian Tarbawi Edisi FB 220713 oleh Tn Hj Rosdi Baharom
Foto oleh       : FB Haluansiswa



Penawarhati90
1.54pm
13 Ramadhan 1434H bersamaan 22 Julai 2013
Universiti Sains Malaysia

Sebuah Senyuman Menyimpan Seribu Khazanah Erti


Bismillahirrahmanirrahim
Dengan nama Allah Yang Maha Mengasihi & Maha Menyayangi Hamba Ciptaan-Nya,

Sebuah Senyuman Menyimpan Seribu Khazanah Erti,
Ada kalanya manusia mengira bahawa ia sedang gembira kerana tersenyum,
Ada pula manusia menyangka dia sudah mendapatkan apa yang diimpikannya,
Lalu membuatkan ia tersenyum dan gembira,
Tetapi, adakah insan yang mengerti bahawa,
Ada kalanya senyuman itu menyimpan segunung kesedihan,
Ada kalanya ia sedang kehilangan impiannya,
Lalu membuatkan ia tersenyum,
Dek kerana ia sedang mengoreksi segulung hikmah,
Atas sulaman takdir Tuhan ke atas hidupnya,

Salahkah jika ia tersenyum?
Untuk bersyukur atas nikmat yang dianugerahi Tuhan ke atasnya,
Untuk bersabar atas musibah yang menimpa dirinya,
Salahkah jika ia tersenyum?
Untuk menghargai sebuah nikmat yang dipinjamkan kepadanya,
Untuk meredhai sebuah nikmat yang ia telah kehilangannya,
Sesungguhnya,
Bukan senyuman yang menjadikan kita bersyukur,
Tetapi bersyukurlah yang akan membuatkan kita tersenyum,
Senyumlah,
Senyuman akan sentiasa membiaskan aura tenang & lapang,
Senyumlah kepada manusia supaya manusia juga menjadi bahagia bersama kita,
Alhamdulillah, segala pujian hanya bagi Allah,
Atas anugerah sabar & syukur kurniaanNya, 
Sabar & Syukur yang tiada bertepi,

Ayuh saudaraku,
Marilah kita sama-sama memohon keampunan Tuhan,
Maafkanlah kesalahan insan,
Doakanlah kebaikan yang banyak buat semua insan,
Itulah penawar sebuah kesedihan, 
Itulah kunci Keimanan & Ketaqwaan, 
Itulah namanya sebuah Keberkatan...

Ramadhan Kareem..^_^

Hamba yang sentiasa mengharapkan rahmat & keampunan,
Penawarhati90.
11.38 pm
12 Ramadhan 1434 H bersamaan 21 Julai 2013
Universiti Sains Malaysia






Tuesday, July 16, 2013

Kehidupan Bermakna Dengan BARAKAH


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. 


Segala puji hanya bagi Allah swt, Rabb Yang Maha Pencinta Lagi Maha Pencipta, di sisiNyalah tertulis segala takdir dan ketentuan kehidupan buat para hamba, sama ada hidup dan matinya, mahupun jodoh dan pertemuan, serta apa-apa sahaja yang telah terjadi, sedang terjadi dan akan terjadi di dalam kamus kehidupan seorang insan  semuanya tersimpan dalam genggamanNya, tidak ada satu pun yang tersembunyi daripada pengetahuanNya. 


Sidang pembaca yang dirahmati Allah swt sekalian,


Semoga limpahan Rahmat serta BARAKAH daripada Allah saw sentiasa melimpahi kehidupanku, kedua ibu bapaku yang dikasihi Lillahitaala, kedua ibu bapa angkatku yang sentiasa dalam rinduku, kedua ibu bapa yang bakal mengisi bahagian besar dalam hidupku yang dihormati selalu, insan istimewa yang berada di dalam peliharaan dan jagaan Allah, setia dalam doa dan harapanku, adik beradikku, sahabat-sahabatku semuanya, semua anak didikku, serta sanak saudaraku di Palestin, Mesir, Syria, Somalia, Lubnan dan Umat Islam seluruhnya. Semoga dengan kehadiran tetamu Barakah ini, memberi satu sinar harapan baru buat Umat Islam dengan kemenangan Islam di Mesir. Amin. Terus mendoakan.



Sidang pembaca yang disayangi Allah swt lagi dikasihi Rasulullah saw,


Pada kesempatan yang barakah ini, saya mendoakan moga-moga kita semua dianugerahi sebuah kehidupan yang BARAKAH, dan dilimpahi pula BARAKAH dalam setiap saat setiap detik yang kita lalui terutamanya di bulan Ramadhan yang mulia ini. Saya berharap masih tidak terlewat untuk saya mengucapkan Ramadhan Kareem buat kalian yang sudi mengunjungi warung tarbawi ini!


Jazakumullahukhairan kathira atas kesudian kalian mengunjungi serta membaca segala perkongsian di laman ini. Walaupun mungkin ada kalanya perkongsian saya menggetarkan jiwa para pembacanya dengan kata-kata yang mungkin menyentuh perasaan yang tidak-tidak, awal penulisan ini, saya benar-benar memohon keampunan Allah swt serta meminta maaf atas segala kesilapan, kekasaran setiap coretan kata-kata saya, sedang saya tidak memaksudkan untuk menimbulkan perselisihan faham kepada mana-mana pihak. In sha Allah. Namun, sebagai manusia yang punya kelemahan dan kekurangan, saya tidak bisa menahan hati untuk tidak menyukai, saya hanya punya kudrat untuk terus berdoa dan berdoa. Walau apapun, saya sentiasa mendoakan kebaikan buat semua insan, sama ada yang menerima penulisan saya dengan baik ataupun tidak, moga-moga kehidupan saya dan anda semua sentiasa berada di dalam keberkatan, dan in sha Allah, sesungguhnya Allah sahajalah yang menjadi saksi terhadap setiap bait kalimah yang dilontarkan. Moga-moga ia bermanfaat buat saya dan anda yang boleh diamalkan dalam kehidupan ini.


Saudara-saudara sekalian,


Mengapa saya acapkali mengulang-ulang kata BARAKAH ini wahai pembaca sekalian?


Melalui pembacaan saya di dalam sebuah buku yang cukup-cukup bermanfaat yang jiwa saya sentiasa berbunga-bunga dan bersemangat membacanya iaitu " Bahagianya Merayakan Cinta" ditulis oleh seorang yang wara’ peribadinya iaitu saudara [Salim A Fillah] yang menekankan soal percintaan yang BARAKAH. Maka di situ saya cuba mendalami dan mengerti makna di sebalik BARAKAH dan mengapa pentingnya BARAKAH dalam kehidupan. Walaupun buku ini mengupas mengenai bagaimana menimbulkan Barakah dalam sebuah Rumahtangga Islam, tetapi suka saya meluaskan skopnya dan maknanya supaya ia sesuai difahami oleh semua insan di setiap peringkat usia. In sha Allah.


Apakah itu Barakah?


Barakah dalam bahasa Aa'Gym adalah kepekaan untuk bersikap benar dalam menghadapi masalah. Barakah dalam pengkajian Ibnu Qayyim pula adalah semakin dekatnya kita kepada Rabb semakin akrabnya kita kepada Allah. Barakah dalam umpama Umar Ibnu Khattab pula adalah dua kenderaan yang tidak peduli yang mana harus ditunggangi iaitu Sabar & Syukur. Barakah dalam pujian Nabi pula adalah keajaiban. Keajaiban yang menakjubkan. Sabda Rasulullah saw:


“Sungguh ajaib dalam urusan orang mukmin. Sesungguhnya setiap urusan baginya baik belaka perkara ini tidak berlaku melainkan kepada orang mukmin. Sekiranya dia diberi nikmat, maka dia bersyukur, maka menjadilah syukur itu baik baginya, dan apabila dia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar, maka menjadilah sabar itu kebaikan baginya” (Hadis Riwayat Muslim)


Barakah adalah keajaiban. Keajaiban yang hanya terjadi kepada orang-orang yang beriman. Barakah baginya dalam syukur dan sabar. Ia menapaki jalan-jalan Sulaiman, sekaligus juga menyusuri permatang-pematang Ayub. 'Alaihimassalaam.


Kehidupan bertemankan Barakah


"Di saat apapun barakah itu membawa kebahagiaan. Sebuah letup kegembiraan di hati, kelapangan di dada, kejernihan di akal, dan rasa nikmat di jasad. Barakah itu memberi suasana lain dan mencurahkan keceriaan musim semi, apapun masalah yang sedang membadai kehidupan.


Barakah itu membawa senyum, meski air mata menitik-nitik. Barakah itu menyergapkan rindu di tengah kejengkelan. Barakah itu menyediakan rengkuhan dan belaian lembut di saat dada kita sesak oleh masalah."
Bagaimana dalam kondisi apapun, kapan pun, di mana pun, nafas-nafas kita adalah hembusan keberkatan, dan detik-detik kita dihitung sebagai kebaikan, sebagai pahala.

Bagaimanakah kita meraih Barakah itu?
Kunci barakah itu ada pada Keimanan dan Ketaqwaan. Keimanan yang meyakinkan kita untuk terus beramal soleh menurut apa yang telah dituntunkan Allah dalam setiap aspek kehidupan, semuanya. Dan ketaqwaan yang mengisi hari-hari kita dengan penjagaan, kepekaan, dan rasa malu bahawa kita sentiasa berada di bawah pengawasan Allah swt.

Firman Allah swt di dalam surah Al-A’raf : 96


Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

 Kesimpulan
 Secara kesimpulannya, kunci keberkatan dalam kehidupan ini ada pada Keimanan & Ketaqwaan kepada Allah swt sahaja. Dalam apa sahaja urusan kehidupan kita, sekiranya Iman & Taqwa menjadi pegangan utama kita, maka kita akan selalu merasa tenang & bahagia dalam apa juga keadaan hidup, menerima takdir kehidupan ini dengan Redha, dan melaluinya dengan Sabar & Syukur. Walaupun kita merasakan mudah untuk berbicara, tetapi sulit untuk melaksana, namun, jika sekiranya kita cuba dan cuba untuk melaksanakannya, kita akan merasakan manisnya kehidupan yang BARAKAH.


Barakah dalam rezeki, barakah dalam pengurusan masa & kerja, barakah dalam memperoleh harta, barakah dalam sebuah rumahtangga Islam, barakah dalam pekerjaan, barakah dalam urusan dakwah & tarbiyah, maka, in sha Allah, bahagialah kehidupan kita dunia & akhirat.

Semoga dengan menyambut kehadiran Ramadhan yang Barakah ini dengan bersungguh-sungguh meraih Iman & Taqwa, memanfaatkan peluang ini untuk Mencapai Mardhatillah. bisa menjadikan kita insan yang baru dari segi Ruhi, Jasadi, Emosi, dan Akhli. In sha Allah.

Semoga Allah swt mengampuni segala dosa-dosa kita yang telah lalu, sama ada kita sedar atau tidak ketika melakukannya, moga-moga pada setiap kejatuhan kita kerana membiarkan jiwa kita berpenyakit, diberi kesedaran oleh Allah swt dengan limpahan taufiq & hidayahnya, lalu kita cuba ubatinya satu demi satu peringkat, dan kita akan bangkit dengan jauh lebih baik dari sebelumnya. In sha Allah. Wallahuta'ala a'lam. 

Rujukan : Bahagianya Merayakan Cinta penulisan saudara [Salim A Fillah]

Penawarhati90,
9.04am
8 ramadhan 1434 H bersamaan 17 Julai 2013
Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang


Wednesday, July 3, 2013

Ucapan Dr Mohammed Morsi



Sesungguhnya,
Aku melalui jalan-jalan yang sukar sangat,
Bukanlah aku mahukan jawatan sebesar ini,
Bukanlah aku dambakan kedudukan teratas sebuah negera,
Bukanlah impianku untuk menjadi orang pertama harapan rakyat,
Keberadaaanku adalah kerana Allah mahukan agama ini dijaga,
Kerana agama ini sahajalah penyelamat segala,
Kerana kebenaran ini sahaja yang membuka mata,
Menyedarkan hati-hati yang kebutaaan agama,
Islam ini bukanlah semata-mata luaran pakaian sahaja,
Islam ini bukanlah pada percakapan dan manis tutur kata sahaja,
Islam ini perlu bergerak seiring dengan iman,
Iman yang membuktikan segala kepatuhan agama,
Kerana dalam setiap apa pun,
Sama ada hati, percakapan, ataupun perbuatan, itulah islam bagiku,
Kaffah menyeluruh,
Kita bukan islam biasa-biasa.

Maka itu yang aku mahukan ianya berlaku dalam negara kita,
Segala macam korupsi yang ada,
Apakah dianjurkan islam?
Dengan segala hak rakyat menjadi hak milik orang-orang besar,
Adakah itu yang islam harapkan?
Orang-orang miskin di tepi jalan, semakin ramai yang menganggur, jenayah dan maksiat, berpeleseran seperti syaitan,
Apakah itu yang islam anjurkan?
Itulah yang mahu aku baiki,
Untuk semua rakyat di negara ini,
Kita ada agama yang memimpin hidup kita,
Kita ada Tuhan yang akan menilai tingkah laku kita,
Ingat hari kiamat akan muncul, dan semuanya akan dipertontonkan semula.

Aku memohon ampun atas kelewatanku,
Untuk mengurus negeri ini,
Aku mengetahui batasan aku,
Aku mengakui ketidakmampuanku pada sesuatu perkara,
Namun, ku mengharapkan, kamu membantu aku,
Bersama-sama kita bangunkan negeri ini,
Jika tidak ada sokongan kamu,
Aku tidak akan berada di sini,
Ku hanya memohonkan sabarmu,
Ku hanya memohonkan komitmenmu,
Ku hanya memohonkan bantuanmu,
Bantulah aku untuk kita bina negara ini bersama,
Kerana ianya bukan hak mutlak diriku,
Dia adalah milik kita bersama,
Tetapi keadaannya tidak demikian,
Kau malah menuduh aku bermacam-macam,
Sikapmu yang tidak sabar,
Ianya hanya merugikan kita.

Maka, aku hanya mengharapkan Allah yang satu,
Untuk membantu perjuanganku ini,
Kerana Dia bersikap tidak pernah meninggalkan hambaNya,
Maka aku hanya berpegang dengan taliNya,
Allahumma, bantulah aku Ya Allah, kerana aku membawa agamaMu,
Allahumma, sentiasalah bersama-samaku Allah, untuk memimpin negara ini,

Allahumma, kerana cukup kekuatanMu ya Allah, maka aku merasa Kau mencukupi untukku.



Doa Qunut Nazilah


Ya Allah,
Sesungguhnya kami meletakkan-Mu di batang-batang leher musuh2 kami
Dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan2 mereka
Ya Allah,
Leburkanlah kumpulan2 mereka
Pecah belahkan dan kacau bilaukan persatuan mereka
Goncangkan pendirian mereka
Dan hantarkanlah anjing2 kamu kepada mereka
Wahai tuhan yang gagah perkasa Wahai tuhan yang penuh raksasa
Wahai tuhan yang bersifat murka
Ya allah Ya allah Ya allah Ya allah,
Wahai tuhan yang menurunkan kitab,
Wahai tuhan yang mengarakkan awan
Wahai tuhan yang menewaskan bala tentera al-ahzab
Kalahkan mereka Kalahkan mereka
Kalahkan mereka Dan menangkan kami ke atas mereka.


rujukan : 

Penawarhati90
11.23pm
25 Syaaban 1434H bersamaan 4 Julai 2013
Universiti Sains Malaysia