Tuesday, July 16, 2013

Kehidupan Bermakna Dengan BARAKAH


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. 


Segala puji hanya bagi Allah swt, Rabb Yang Maha Pencinta Lagi Maha Pencipta, di sisiNyalah tertulis segala takdir dan ketentuan kehidupan buat para hamba, sama ada hidup dan matinya, mahupun jodoh dan pertemuan, serta apa-apa sahaja yang telah terjadi, sedang terjadi dan akan terjadi di dalam kamus kehidupan seorang insan  semuanya tersimpan dalam genggamanNya, tidak ada satu pun yang tersembunyi daripada pengetahuanNya. 


Sidang pembaca yang dirahmati Allah swt sekalian,


Semoga limpahan Rahmat serta BARAKAH daripada Allah saw sentiasa melimpahi kehidupanku, kedua ibu bapaku yang dikasihi Lillahitaala, kedua ibu bapa angkatku yang sentiasa dalam rinduku, kedua ibu bapa yang bakal mengisi bahagian besar dalam hidupku yang dihormati selalu, insan istimewa yang berada di dalam peliharaan dan jagaan Allah, setia dalam doa dan harapanku, adik beradikku, sahabat-sahabatku semuanya, semua anak didikku, serta sanak saudaraku di Palestin, Mesir, Syria, Somalia, Lubnan dan Umat Islam seluruhnya. Semoga dengan kehadiran tetamu Barakah ini, memberi satu sinar harapan baru buat Umat Islam dengan kemenangan Islam di Mesir. Amin. Terus mendoakan.



Sidang pembaca yang disayangi Allah swt lagi dikasihi Rasulullah saw,


Pada kesempatan yang barakah ini, saya mendoakan moga-moga kita semua dianugerahi sebuah kehidupan yang BARAKAH, dan dilimpahi pula BARAKAH dalam setiap saat setiap detik yang kita lalui terutamanya di bulan Ramadhan yang mulia ini. Saya berharap masih tidak terlewat untuk saya mengucapkan Ramadhan Kareem buat kalian yang sudi mengunjungi warung tarbawi ini!


Jazakumullahukhairan kathira atas kesudian kalian mengunjungi serta membaca segala perkongsian di laman ini. Walaupun mungkin ada kalanya perkongsian saya menggetarkan jiwa para pembacanya dengan kata-kata yang mungkin menyentuh perasaan yang tidak-tidak, awal penulisan ini, saya benar-benar memohon keampunan Allah swt serta meminta maaf atas segala kesilapan, kekasaran setiap coretan kata-kata saya, sedang saya tidak memaksudkan untuk menimbulkan perselisihan faham kepada mana-mana pihak. In sha Allah. Namun, sebagai manusia yang punya kelemahan dan kekurangan, saya tidak bisa menahan hati untuk tidak menyukai, saya hanya punya kudrat untuk terus berdoa dan berdoa. Walau apapun, saya sentiasa mendoakan kebaikan buat semua insan, sama ada yang menerima penulisan saya dengan baik ataupun tidak, moga-moga kehidupan saya dan anda semua sentiasa berada di dalam keberkatan, dan in sha Allah, sesungguhnya Allah sahajalah yang menjadi saksi terhadap setiap bait kalimah yang dilontarkan. Moga-moga ia bermanfaat buat saya dan anda yang boleh diamalkan dalam kehidupan ini.


Saudara-saudara sekalian,


Mengapa saya acapkali mengulang-ulang kata BARAKAH ini wahai pembaca sekalian?


Melalui pembacaan saya di dalam sebuah buku yang cukup-cukup bermanfaat yang jiwa saya sentiasa berbunga-bunga dan bersemangat membacanya iaitu " Bahagianya Merayakan Cinta" ditulis oleh seorang yang wara’ peribadinya iaitu saudara [Salim A Fillah] yang menekankan soal percintaan yang BARAKAH. Maka di situ saya cuba mendalami dan mengerti makna di sebalik BARAKAH dan mengapa pentingnya BARAKAH dalam kehidupan. Walaupun buku ini mengupas mengenai bagaimana menimbulkan Barakah dalam sebuah Rumahtangga Islam, tetapi suka saya meluaskan skopnya dan maknanya supaya ia sesuai difahami oleh semua insan di setiap peringkat usia. In sha Allah.


Apakah itu Barakah?


Barakah dalam bahasa Aa'Gym adalah kepekaan untuk bersikap benar dalam menghadapi masalah. Barakah dalam pengkajian Ibnu Qayyim pula adalah semakin dekatnya kita kepada Rabb semakin akrabnya kita kepada Allah. Barakah dalam umpama Umar Ibnu Khattab pula adalah dua kenderaan yang tidak peduli yang mana harus ditunggangi iaitu Sabar & Syukur. Barakah dalam pujian Nabi pula adalah keajaiban. Keajaiban yang menakjubkan. Sabda Rasulullah saw:


“Sungguh ajaib dalam urusan orang mukmin. Sesungguhnya setiap urusan baginya baik belaka perkara ini tidak berlaku melainkan kepada orang mukmin. Sekiranya dia diberi nikmat, maka dia bersyukur, maka menjadilah syukur itu baik baginya, dan apabila dia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar, maka menjadilah sabar itu kebaikan baginya” (Hadis Riwayat Muslim)


Barakah adalah keajaiban. Keajaiban yang hanya terjadi kepada orang-orang yang beriman. Barakah baginya dalam syukur dan sabar. Ia menapaki jalan-jalan Sulaiman, sekaligus juga menyusuri permatang-pematang Ayub. 'Alaihimassalaam.


Kehidupan bertemankan Barakah


"Di saat apapun barakah itu membawa kebahagiaan. Sebuah letup kegembiraan di hati, kelapangan di dada, kejernihan di akal, dan rasa nikmat di jasad. Barakah itu memberi suasana lain dan mencurahkan keceriaan musim semi, apapun masalah yang sedang membadai kehidupan.


Barakah itu membawa senyum, meski air mata menitik-nitik. Barakah itu menyergapkan rindu di tengah kejengkelan. Barakah itu menyediakan rengkuhan dan belaian lembut di saat dada kita sesak oleh masalah."
Bagaimana dalam kondisi apapun, kapan pun, di mana pun, nafas-nafas kita adalah hembusan keberkatan, dan detik-detik kita dihitung sebagai kebaikan, sebagai pahala.

Bagaimanakah kita meraih Barakah itu?
Kunci barakah itu ada pada Keimanan dan Ketaqwaan. Keimanan yang meyakinkan kita untuk terus beramal soleh menurut apa yang telah dituntunkan Allah dalam setiap aspek kehidupan, semuanya. Dan ketaqwaan yang mengisi hari-hari kita dengan penjagaan, kepekaan, dan rasa malu bahawa kita sentiasa berada di bawah pengawasan Allah swt.

Firman Allah swt di dalam surah Al-A’raf : 96


Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

 Kesimpulan
 Secara kesimpulannya, kunci keberkatan dalam kehidupan ini ada pada Keimanan & Ketaqwaan kepada Allah swt sahaja. Dalam apa sahaja urusan kehidupan kita, sekiranya Iman & Taqwa menjadi pegangan utama kita, maka kita akan selalu merasa tenang & bahagia dalam apa juga keadaan hidup, menerima takdir kehidupan ini dengan Redha, dan melaluinya dengan Sabar & Syukur. Walaupun kita merasakan mudah untuk berbicara, tetapi sulit untuk melaksana, namun, jika sekiranya kita cuba dan cuba untuk melaksanakannya, kita akan merasakan manisnya kehidupan yang BARAKAH.


Barakah dalam rezeki, barakah dalam pengurusan masa & kerja, barakah dalam memperoleh harta, barakah dalam sebuah rumahtangga Islam, barakah dalam pekerjaan, barakah dalam urusan dakwah & tarbiyah, maka, in sha Allah, bahagialah kehidupan kita dunia & akhirat.

Semoga dengan menyambut kehadiran Ramadhan yang Barakah ini dengan bersungguh-sungguh meraih Iman & Taqwa, memanfaatkan peluang ini untuk Mencapai Mardhatillah. bisa menjadikan kita insan yang baru dari segi Ruhi, Jasadi, Emosi, dan Akhli. In sha Allah.

Semoga Allah swt mengampuni segala dosa-dosa kita yang telah lalu, sama ada kita sedar atau tidak ketika melakukannya, moga-moga pada setiap kejatuhan kita kerana membiarkan jiwa kita berpenyakit, diberi kesedaran oleh Allah swt dengan limpahan taufiq & hidayahnya, lalu kita cuba ubatinya satu demi satu peringkat, dan kita akan bangkit dengan jauh lebih baik dari sebelumnya. In sha Allah. Wallahuta'ala a'lam. 

Rujukan : Bahagianya Merayakan Cinta penulisan saudara [Salim A Fillah]

Penawarhati90,
9.04am
8 ramadhan 1434 H bersamaan 17 Julai 2013
Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang


No comments:

Post a Comment