Thursday, September 12, 2013

Ziarah Penambah Barokah Dalam Persahabatan

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, Rabb Yang Maha Pencipta Sekalian Alam. Selawat dan salam diutuskan buat Rasulullah saw, suri teladan terbaik sepanjang zaman. Salam sejahtera buat ahli keluarga serta para sahabatnya yang unggul.


Sidang pembaca sekalian,


Semoga ketika ini, saya dan kalian sentiasa berada di dalam sakinah Imaniyah dalam perjalanan menuju ke sebuah negeri abadi. Semoga ketika ini, saya dan anda masih bersemangat dan tersenyum selebar mungkin, walau pelbagai badai dan duri ditempuhi, juga menanti di hadapan sana, semoga kita terus tabah dalam meniti hari-hari dalam hidup ini, kerana inilah hakikat keinsanan. Namun, yakinlah bahawa sesungguhnya Allah tidak memberi ujian melainkan apa yang terdaya dipikul oleh hamba-hambaNya. 

Doa Mohon Ketenangan

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir. (286).”



Pertama dan selamanya saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah swt, kerana dengan limpahan keizinanNya, Dia mengatur satu persatu perjalanan kehidupan saya dengan begitu teratur, ada masanya tersenyum, gembira, berduka dan kecewa. Semuanya silih berganti, musim demi musim, namun, itulah aturan Allah yang sebenarnya begitu cantik dan indah seandainya saya menyelaminya dengan mata hati.



Semoga limpahan rahmat serta keberkatan Illahi senantiasa menaungi kehidupanku, ibu bapaku, bakal ibu bapaku, ibu bapa angkatku, beliau yang berada di dalam jagaan dan peliharaan Allah swt, para sahabatku yang tidak pernah sekali-kali menjadi kelupaanku, anak-anak didikku yang sentiasa segar dalam hati sanubariku, sama ada mereka yang berada di SMK Bukit Gambir, SMK Convent Greenlane, SMK Kedawang, mereka yang mendoakanku, mereka yang daku temui setiap hari dan setiap waktu, serta sanak saudara kita yang berada di bumi Mesir, Palestin, Somalia, Syria, dan di seluruh pelosok dunia ini. Walaupun kalian jauh di mata, namun kalian sentiasa dekat di hati ini. In sha Allah.




Pada perkongsian kali ini, saya sekadar ingin berkongsi sedikit catatan perjalanan ini sehingga pada hari ini, saya berkhidmat sebagai seorang Pendidik di SMK Kedawang, Pulau Langkawi. Saya berhajatkan agar perkongsian pengalaman saya ini, sedikit sebanyak menjadi satu proses untuk muhasabah diri buat diri saya sendiri, buat generasi pewaris saya suatu hari nanti, serta sidang pembaca sekalian, dan semoga sedikit kebaikan daripadanya akan terus menjadi satu kekuatan untuk diri ini melangkahi satu persatu anak tangga kehidupan, maka segala keburukan daripadanya, saya berharap ia hanyalah ditinggalkan di sini sahaja. Semoga kita semua sentiasa berada di dalam rahmat dan keampunan dariNya. Saya memohon keberkatan masa dan waktu daripada Allah swt.




Setelah menamatkan pengajian di Universiti Sains Malaysia atau Universiti Sangat Menarik, sebuah terma yang sangat cantik dinamakan oleh sahabat saya yang sangat kreatif, maka saya memilih untuk terus berkhidmat di Pulau Pinang, untuk mencari kekuatan sebagai persediaan rohani, emosi dan jasadi untuk kembali ke tanah air Langkawi. Sebagai seorang manusia, saya memiliki satu sifat iaitu sukar membuat satu perubahan kepada keputusan saya, tidak kira bagaimanapun ia, kerana secara metafiziknya, saya manusia bernombor 4. Namun, manusia itu merancang, Allah juga merancang, dan sesungguhnya Allah sebaik-baik Perancang. Disebabkan beberapa perancangan saya di Pulau Pinang tidak dapat saya laksanakan, maka, saya memerlukan masa untuk bersedia menghadapi dan mengolah perancangan baru. Alhamdulillah, dengan berkat keizinan Allah, setelah beberapa bulan saya berada di bumi Pulau Pinang, menunaikan satu persatu impian saya di sana, maka, saya kembali ke Pulau Langkawi dengan hati yang tenang, semangat yang baru, kekuatan yang baru, azam yang baru, target yang baru di tempat yang baru bagi jiwa saya, namun, sudah lama bagi jasad saya.




Pada tanggal 21 Ogos 2013 yang lalu, iaitu 10 hari sebelum kepulangan saya ke Pulau Langkawi, saya mengambil kesempatan ini untuk menziarahi sahabat-sahabat handal di sekitar Wilayah Tengah, bagi mengumpul kekuatan dan himmah daripada mereka. Saat bersama mereka sungguh indah dan menghiburkan hati, kerana mereka adalah sahabat yang sentiasa menghubungkan jiwa kepada Allah. Saat bersama mereka menyergapkan kerinduan saya terhadap segala memori yang pernah kami bina ketika di Kolej Matrikulasi dan sepanjang di USM sendiri.




Jazakumullahukhairan kathira kepada sahabatku tersayang merangkap kembar tak seibu tak sebapa, Syafiqah Athirah Abdul Razak dan keluarga, kerana sudi menerima kehadiranku sebagai tetamu dengan lapang dada. Alhamdulillah, pertemuan pertama kami di Masjid KMK pada 4 tahun yang lalu menemukan kami kembali sehingga pada hari ini. Bersyukur mengenali ibu ayahnya yang juga merupakan seorang pendidik, terlalu banyak isu yang bisa kami bualkan sehingga tubuh begitu berat untuk melangkah keluar. Walau apapun, semoga pertemuan yang singkat ini mendapat keredhaan Allah, serta dipertemukan lagi dan lagi. “ Nanti Syafiyah datang lagi bawa family pulak” – Makcik Rozi (Ibu Syafiqah) –Take Note- ^___^

Bersama Syafiqah & Makcik Rozi- Nasi Ayam Special


I  like this place...


Destinasi saya seterusnya adalah menziarahi “Ex-Roomate” saya dahulu yang merupakan sahabat yang pernah tinggal sebilik dengan saya semasa di USM, Nur Hayati. Alhamdulillah, hati terasa amat gembira dan berbunga-bunga ketika bertemunya. Tidak dapat digambarkan betapa gembiranya hati ini, seorang sahabat yang sentiasa bersama saya ketika susah dan senang. Segala kenangan kami bersama ketika di Pulau Pinang terbit satu persatu di ruangan pemikiran ini. Mendengar cerita kehidupannya di KL, saya mendoakan semoga beliau bisa belajar erti berdikari seperti yang dihajatkan olehnya. Semoga Allah memurahkan rezeki buatmu ati. ^__^. I love you for the sake of Allah. Terima kasih kerana terlalu banyak bersabar dengan kerenah kurang matang saya, dari dulu hingga sekarang. ^_^.

 Kenangan ziarah raya bersama nur hayati & sahabat2.


Setelah menginap di rumahnya selama 1 hari, kami bersama-sama meneruskan perjalanan menziarahi junior kami di USM dahulu, Nissa’ Karimah Wahid bersama sahabat-sahabatnya. Alhamdulillah, gembira menemui adik-adik bakal Arkitek harapan Islam. Menziarahi mereka membuatkan diriku umpama tersedar daripada mimpi. Alhamdulillah, berpeluang untuk makan bersama, membina memori baru untuk terus disimpan rapi ke dalam diari hari-hari dalam hidupku.




Pada keesokan harinya, hari yang istimewa, hari yang bersejarah, hari yang indah, Alhamdulillah, ditemani sahabat-sahabatku Nur Hayati & Jamilin Rasyida, kami berjaya melaksanakan misi terbesar yang merupakan salah satu tujuan perjalananku. Alhamdulillah, kalian sangat bermakna dalam hidupku wahai sahabat-sahabatku. Merekalah sahabat yang tidak pernah mengharapkan untuk dibalas jasa, tetapi persahabatan yang dibina sungguh tulus menusuk ke dasar qolbuku, membuatkanku merasa begitu bersyukur kerana dianugerahi sahabat istimewa seperti mereka sedangkan diriku, hanyalah insan biasa. Alhamdulillah, Allah Maha Adil.



Bersama sahabat-sahabatku, maka, kami menuju pula ke majlis walimatul urus seorang senior kami iaitu Kak ‘Aqilah dan Akhi Ikrimah Husni. Disebabkan jalan yang begitu sesak, maka, tidak kami sangkakan bahawa kamilah tetamu terakhir yang menghadiri majlis ini.

Barakallahufikum...


Alhamdulillah, seterusnya, kami menuju ke Masjid Jamek, destinasi terakhir sebelum ke Pudu Raya. Berkat keizinan daripada Allah swt, kami dipertemukan bersama sahabat yang terlalu lama tidak ketemu, Nur Yasmin Ahmad. Beliau merupakan senior dan sahabat kami ketika di USM dan mengambil jurusan Sains Komputer. Alhamdulillah, Allah mengizinkan pertemuan kami sebelum beliau melangkah ke alam perkahwinan. Walaupun tidak bisa memenuhi jemputan dek jarak yang terlalu jauh dan bersekolah, Alhamdulillah, dapat juga kami bertemunya di Masjid Jamek dan berbual satu dua perkara. Barakallahufikum buat Nur Yasmin Ahmad dan pasangannya Hafizuddin Pirus. ^___^


Jejak Kasih

Dengan itu, berakhirlah sudah misi ziarah saya bersama sahabat-sahabat, sebelum saya menamatkan perkhidmatan di Klinik Syifa dan memulakan perkhidmatan di Pulau Langkawi.


Pengalaman dan memori ini cukup-cukup berharga dalam kehidupan saya, walaupun mungkin tubuh merasa begitu lelah, namun, kemanisan di hati ini, hanya Allah yang mengerti. Saya tidak pernah merasa menyesal atau usaha yang sia-sia untuk tujuan ini. Apabila sesebuah ukhuwah itu diikat oleh ikatan Rabbaniyah, maka, segala halangan itu bisa ditempuhi. Untuk memenuhi hak ukhuwah itu, kita mungkin memerlukan pengorbanan harta, nyawa, tenaga, namun, yakinlah, apabila kita bersahabat kerana Allah, semoga segala pengorbanan itu menjadi saksi di hadapan Allah nanti yang melayakkan kita bertemu di syurga Illahi. Amin.



Bersungguh-sungguhlah berusaha untuk beroleh kedudukan yang telah Allah janjikan.


“Di antara hamba-hamba Allah ada manusia yang tidak termasuk para Nabi dan juga para syuhada’, tetapi pada hari akhirat para nabi dan syuhada’ cemburu kerana kedudukan mereka di sisi Allah”.


Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, beritahu kami siapakah mereka?”.


Rasulullah menjawab; “Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai kerana Allah dan bukan berdasarkan hubungan keluarga dan bukan kerana harta yang mereka saling berikan”.


“Demi Allah, muka mereka itu bercahaya. Mereka berada di atas cahaya. Tidak merasa takut ketika orang lain merasa takut. Tidak berdukacita pada saat orang lain berdukacita”.


Kemudian Rasulullah membacakan firman Allah dalam surah Yunus ayat 62: “Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah tidak merasa khuatir dan tidak pula bersedih hati”. (HR Abu Daud, Nasai dan Ibnu Hibban)



Semoga Allah dan Rasul sentiasa menyayangi dan mengasihiku, kedua ibu bapaku dan sahabat-sahabatku semuanya.


Buat semua sahabatku tersayang, walaupun kalian jauh di mata, kalian sentiasa dekat di hati ini. Moga jarak yang memisahkan kita sentiasa kita dekatkan dengan saling mendoakan antara satu sama lain. Doa kalian daripada kejauhan diharapkan akan terus menyalakan obor kekuatan untuk kita terus berprestasi sebagai abdullah (hamba Allah) dalam menggapai MARDHATILLAH. Sesungguhnya akhirat sanalah sahaja pertemuan yang abadi. "Mari Berlumba Menuju Syurga!!"



*Next Mission in Progressing* 


 Sahabatmu,

Penawarhati90
8.23am
7 Zulkaedah 1434 H bersamaan 13 September 2013
Pulau Langkawi, Kedah







No comments:

Post a Comment