Wednesday, October 2, 2013

Kejutan Insan-Insan "Istimewa"...


"Ya Allah, nikmat apa sahaja yang daku kecapi dan perolehi daripada para hambaMu pada waktu pagi/petang hari ini, semuanya adalah daripadaMu jua; Yang Maha Esa dan tidak mempunyai sekutu. BagiMu segala puji & syukur "

Alhamdulillah, seusai pulang dari sekolah pada hari ini, daku dikejutkan dengan sebuah bungkusan besar daripada abangku. Hasrat untuk tidur menghilangkan lelah terus dilupakan.


“ Nah, ada orang “istimewa” bagi”.



Ku buka bungkusan itu seperti yang tercatat di atas sekeping nota. Subhanallah, sungguh terkejut dengan hadiah istimewa itu. Alhamdulillah. Segala puji hanya bagi Allah. Setinggi-tinggi pujian hanya bagi Allah swt, Rabb Yang Maha Pencinta. Rupa-rupanya insan-insan istimewa itu adalah para pelajarku a.k.a adinda-adindaku daripada 4 Satria 2 SMK Bukit Gambir yang tidak pernah sekali-kali melupakan daku. Begitu juga daripada kelas-kelas yang lain. Alhamdulillah, sungguh terharu dan ingin menangis. T__T




Saya tidak pernah menyangkakan pertemuan selama hanya 4 bulan sebagai Guru Pelatih di sekolah tersebut membuahkan ikatan ukhuwah fillah sehingga hari ini sudah 4 bulan lebih saya meninggalkan sekolah tersebut dengan penuh memori suka dan duka yang meruntun kesedihan saat mengenangkannya. Walaupun perkhidmatan saya di sana telah tamat, Alhamdulillah, berkat keizinan Allah, Dia mengatur satu demi satu pertemuan kami. Sungguh, luasnya kasih sayang Allah.


Buat anak-anak didik cikgu yang disayangi Lillahitaala,


Setinggi-tinggi rasa syukur cikgu panjatkan kepada Allah swt kerana telah mengizinkan cikgu mengenali insan-insan yang tinggi nilai keinsanannya, yang baik budi pekertinya seperti kalian. Terima kasih yang tidak terhingga cikgu ucapkan atas segala pemberian, kebaikan, kasih sayang, pengorbanan dan segala-galanya yang kamu curahkan buat insan kerdil ini. Terima kasih atas segala ucapan, peringatan dan doa kalian buat cikgu yang benar-benar menusuk hati yang paling dalam. T__T. Kalian banyak mendidik cikgu erti kehidupan, daripada kalian, cikgu belajar banyak perkara tentang kehidupan.



Alhamdulillah, cikgu bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada kalian kerana kalian selalu menjadi Qurratun A’yun (Penyejuk Mata). Kalianlah insan-insan yang terus memberi sokongan dan semangat kepada cikgu untuk meneruskan kehidupan di saat cikgu jatuh tersungkur dan hampir hilang harapan. Memandang satu persatu wajah kalian yang menenangkan benar-benar menenangkan jiwa cikgu, saat bersama kalian adalah saat yang amat menghiburkan hati cikgu dan menghilangkan segala kesedihan yang membelenggu jiwa cikgu. Kerana itu anak muridku, kalian amatlah berharga dalam kehidupan cikgu. Cikgu sangat berharap, pertemuan kita tidak berakhir di sini sahaja. Tetapi ukhuwah kita akan terus bersemi hingga ke syurga Illahi. Pernah kan cikgu sebut-sebut dalam kelas, jika kita berkawan, janganlah sekadar untuk dunia sahaja, tetapi berjanjilah bahawa kita sama-sama akan terus bertaut kasih hingga ke syurga Illahi. Walau apa badai yang melanda, kita akan terus diikat dengan rabithah Illahi. Nescaya kalian akan mendapat kemanisan ukhuwah.



Akhir kata, cikgu memohon ampun kepada Allah dan meminta maaf seandainya dengan keterbatasan diri ini, cikgu tidak mampu menghadiahkan kamu sesuatu yang istimewa sepertimana kamu berikan, namun, cikgu mendoakan semoga Allah dan Rasul menyayangi kamu, melimpahkan rahmatNya ke atas kamu dan menjadikan kamu semua modal insan yang cemerlang dengan kecemerlangan yang TOTAL iaitu cemerlang di dunia dan di akhirat.



Semoga kalian semua dipermudahkan urusan menjawab soalan peperiksaan akhir tahun. Terus memiliki DUIT, in sha Allah kamu akan berjaya. Serta janganlah berputus asa dan hilang keyakinan, kerana apabila tiada keyakinan maka tiadalah kehidupan. Kenanglah wajah insan-insan yang sedang menantikan kejayaan kalian dengan penuh harapan, ibu bapa, guru dan masyarakat. Harapan agar suatu masa nanti kalian akan menjadi insan-insan yang bermanfaat buat Umat.



Ucapan buat adik-adikku yang dirindui kerana Allah swt,

" Sesuatu yang MAHAL tentu ada MAHARNYA. Risiko yang ada tidak terkeluar daripada qada' & qadar Allah. Inilah masanya untuk kita buktikan keyakinan kita kepada Allah swt. Allah swt telah meletakkan kita di atas jalan ini, maka GENGGAMLAH dengan penuh keyakinan bahawa kemenangan itu adalah sesuatu yang PASTI. Jangan kamu berundur setelah pakaian perjuangan dipakaikan ALLAH RABBULJALIL pada tubuhmu" [ Almarhum Ustaz Dahlan Mohd Zain]



Semoga kalian dikurniakan kesihatan yang baik, doakanlah cikgu sentiasa. Cikgu di bumi Langkawi akan terus setia menanti kehadiran kalian ke sini. Moga-moga kita akan terus dipertemukan lagi dan lagi. In sha Allah.



“Taqabballalahu minna waminkum.” Semoga Allah menerima amal kami dan amal kamu.



Pendidik yang sentiasa menyayangi & merindui anak-anak didiknya,

Penawarhati90
12.10 am
27 Zulkaedah 1434 H bersamaan 3 Oktober 2013
Pulau Langkawi, Kedah.








“Barangsiapa yang bersyukur atas nikmatKu maka akan Ku tambah nikmat baginya berlipat ganda dan barang siapa yang ingkar terhadap nikmatKu maka sesungguhnya azabKu sangatlah pedih”

(Al Qur’an : Ibrahim ayat 7)

No comments:

Post a Comment